Sunday, January 04, 2015

seindah bougainvillea 04.




   Usai solat maghrib. 

   Mak Senah berteleku sebentar di atas sejadahnya menunggu Man yang sedang bakdiyah maghrib. Diperhati setiap olah gerak anaknya itu. Mak Senah senyum. Masa sudah berlari cukup jauh. Kalau dulu, di hadapan itu adalah suaminya bersama utas tasbih, memimpinnya dengan untaian zikir fatimah. Kini peran itu dibawa oleh anaknya pula. 

   Memikirkan soal waktu dan masa, Mak Senah terkadang bisa mengalirkan air mata jernih. Waktu dan masa kadang tidak mudah untuk di hadapi. Memikirkan masa hadapan dia dan Man, siapa kelak di antara mereka berdua yang akan pergi dahulu menyusuli suaminya. Apakah dia atau anaknya. Dan Mak Senah tidak pernah mampu untuk memilih. Jika dia pergi dahulu, apa yang bakal Man lalui tanpa dia? Terbelakah hidupnya jika Man tinggal sendirian? Dan jika berlaku sebaliknya, apakah dia kuat untuk kesunyian itu? Seberat mana pula beban kesedihan yang bakal menimpanya? Atas segalanya, apakah imannya akan tetap utuh untuk menafikan segala sesal atas segala takdir yang ditetapkan untuknya?

   Dan kali ini, hal yang paling diharapkannya berlaku lebih lambat, kini telah  benar-benar terjadi meski hanya perpisahan antara dua jasad yang masih berada di dunia. Merenung lebih dalam Tuhan sungguh bijaksana. Mungkin ini medan untuk Mak Senah belajar menjawab persoalan-persoalan tadi. Mungkin ini juga medan untuk Mak Senah dan Man mempersiapkan diri untuk perpisahan akhir yang pasti bakal terjadi yakni kematian.

   Ketika Man hampir kepada ucapan salam selepas tahiyat akhir, Mak Senah mendapatkan naskhah al-Quran. Dibuka mushaf usang itu yang lembarnya berwarna kekuningan. Mahu menyambung bacaan hariannya. Tapi, malam itu Mak Senah tidak memakai kacamata yang menambah jelas penglihatan tuanya. Sengaja. Dengan itu, bacaanya tersangkut-sangkut. Melihat Man yang selesai mengaminkan doanya, segera disapa anaknya itu.
"Man, tolong mak baca Quran ni. Mak tak berapa nampaklah Man."
"Mak tak pakai kacamata lagi?"
"Takpalah Man. Malam ni Man jadi kacamata mak ya."
"Oh, baik mak."
   Man memimpin bacaan emaknya satu persatu. Meski bertatih dan perlahan, mereka akhirnya berjaya menghabiskan bacaan untuk dua muka surat. Masih ada masa yang berbaki sebelum isya'. Mak Senah memilih untuk menyatakan berita yang disimpan-simpannya sejak Ustazah Nur bertandang ke rumah mereka beberapa hari lepas.
"Man, bawah tilam Mak ada sampul surat warna coklat. Man ambil bawa ke sini."
   Itulah surat yang dibawa oleh Ustazah Nur kepadanya. Selepas menimbang baik buruk, Mak Senah sudah punya keputusan. Dan dia memilih untuk Man pergi, meski itu bukan keputusan yang mudah. Tapi, ini bukan untuk dirinya dan diri Man yang sekarang. Tetapi untuk diri Man pada masa depan, meski masa depan itu mungkin tanpa dia. Masa akan tetap berlalu meski manusia tidak bersedia.
"Surat apa ni mak?"
"Ustazah Nur hantar haritu. Man dapat tawaran masuk sekolah asrama penuh nak. Alhamdulillah. Mulai esok kita buat persiapan sama-sama ya. Ustazah Nur kata banyak nak selesaikan segera sebelum Man pergi mendaftar kat sana. Nanti dia datang tolong jugak."
   Mak Senah cuba menuturkan khabar itu dengan penuh gembira itu sambil menahan hiba. Enggan Man tahu betapa dia sebenarnya masih tidak yakin untuk melepaskan. Man senyap. Tekun membaca butir-butir yang tertulis. Man jelas dengar apa yang dituturkan emaknya.
"Nanti siapa yang nak jaga mak?"
   Mak senah sudah menjangkakan soalan itu dari Man. Dengan tenang dia menjawab,
"Mak tahulah nak jaga diri Man. Selama ini Mak siap jaga kamu sekali kan. Kamu juga yang cakap masuk sekolah ni bagus kan. Mudah nak belajar, cikgu dan kawan-kawan yang pandai ramai boleh tolong. Kalau Man duk dengan mak kat sini, mak mampu ajar Man bungkus nasi lemak je nak.." 
   Man senyap. Dia tidak pernah mahu menolak keputusan emaknya. Keputusan emaknya adalah keputusannya. Dia tidak akan berdalih. Tapi, ini tetap tidak mudah.
"Kalau Man rindu mak macam mak rindu ayah macammana?"
   Mak Senah akhirnya kalah. Airmatanya jatuh juga membasahi telekung putehnya. Segera dirangkul tubuh Man. Dipeluknya kuat. Man menyambut peluk hangat itu dengan rangkulan yang lebih kuat. Airmatanya juga jatuh. Dalam esak itu, Mak Senah cuba menjawab tanya Man.
"Kalau Man rindu, Man tulis surat nak. Kirimkan ke mak. Mak akan balas suratmu nak. Mak tidak punya apa-apa untuk kamu. Ini saja yang mak mampu nak. Kamu amanah ayah buat mak. Jangan sia-siakan harapan ayahmu nak."
"Kalau itu keputusan mak, Man tak kisah mak. Man sayang mak."
"Mak juga sayang kamu nak." 
   Ia adalah sela masa antara maghrib dan isya' yang paling panjang buat Mak Senah dan Man. Akhirnya keduanya bangkit untuk solat isya' dan Man menuturkan doa panjang usai solat.



[episod 4 dan bersambung lagi..]

3 comments: