mungkin dia.
mungkin dia adalah burung yang sedang mengumpul semula bulu-bulu yang akan dicantumkan semuanya yang akhir nanti akan membentuk sepasang sayap yang telah dipatahkannya sendiri satu ketika dulu kerana dia sedang terperangkap dalam sangkar ilusi yang dibina untuk dirinya sendiri.
mungkin dia adalah kamera hitam yang sedang mencari-cari di mana hilangnya lensa yang satu ketika dulu pernah dia guna untuk melihat dunia dengan magnifikasi yang lebih jelas dan terang tetapi setelah sejak lama dibiarkan diam lensa itu mulai kabur dengan debu-debu yang kosong dan dia pun memilih untuk tidak menangkap momen lagi.
mungkin dia adalah berus lukis yang sedang mencari-cari kertas polos dan botol-botol yang berisi warna-warna baru setelah lama tidak melakar kerana ilham yang tidak kunjung datang akibat langit di tempatnya yang statik tanpa hujan dan bintang sudah tidak lagi mampu mendatangkan ketenangan buatnya.
mungkin dia adalah cawan yang sedang mencari-cari serbuk kopi baru yang ingin dibancuhnya menjadi seringkas espresso atau sehangat americano atau semeriah cappucino kerana dia telah lama menawarkan minuman tawar kepada yang memilih untuk menghirup padanya demi sebuah kesegaran.
mungkin dia adalah sebatang pena yang telah lama kekeringan dakwat dan kerana itu dia ingin mencari naskhah-naskhah baru untuk dibacanya demi mencairkan semula tulisan-tulisan yang semakin membeku dan kaku.
mungkin dia adalah aku.
No comments:
Post a Comment