Friday, February 28, 2014

laki-laki & perempuan febuari.






29 Febuari 2014.
7.58 malam.
Kepulauan Nami.

Usai ba'diyah maghrib, Umar capai Al-Quran cokelat dari meja belajar. Buka zip. Kemudian selak ke muka surat yang ditanda dengan tali hijau untuk meyambung bacaan kelmarin.

Halaman 353 - 354.
Umar cuba membaca dengan penuh hemat, memastikan bacaannya mengikut peraturan tajwid. 

Selesai dua halaman, Umar berhenti. Diulang semula dari ayat pertama yang dibacanya tadi. Kali ini, terjemahannya dalam bahasa melayu. Sekadar membaca terjemahan, tidak menafsir. Surah An Nur. Pada halaman 353, tercatat ayat 29 - 31. Penuh memuatkan perintah untuk menjaga batas aurat, pergaulan dan ikhtilat sesama laki-laki dan perempuan. Ah, terlalu banyak yang Umar langgar. Umar malu sendiri.

Terus mentadabbur. Kemudian, ayat 32 dalam halaman 354.
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya – pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

Umar terhenti sebentar. Umar ulang baca semula ayat 32 itu. Teringat beberapa hari lepas. Di bawah redup samar cahaya bulan ketika bayu laut malam berdendang gembira bertemu pasir pantai indah nian. Bersama para ikhwah senior berbulatan di tepian pantai. Mendengar pelbagai kisah dan perkongsian berkenaan pengalaman berBaitul Muslim masing masing.

Umar flashback satu persatu kisah itu. 

Akhirnya, Umar tak sempat menghabiskan bacaan terjemahan. Fikirannnya sudah jauh melayang. Seperti layang layang keputusan benang.

.....

29 Febuari 2014.
8.10 malam.
Kepulauan Jeju.

Di garisan longitud khatulistiwa yang sama tapi dengan sedikit perbezaan latitud, Natasha sedang tekun mendengar dan mencatat setiap bait yang dituturkan oleh kakak murabbiyah dalam halaqah mingguan mereka.

Natasha angguk angguk. Pen Stabila dakwat hitam menari-nari di atas buku catatan cokelatnya. Tekun.

"Kita refresh semula. Adapun tingkatan kedua dalam maratib amal dakwah yang digagaskan oleh Imam Hasan al Banna ialah tingkatan Baitul Muslim. Yakni, para daie yang benar itu tidak akan selamanya berdiri di anak tangga Fardhu Muslim. Mereka perlu ada kemahuan untuk meneruskan wawasan dakwah pada tingkatan yang lebih tinggi. Membina keluarga muslim adalah anak tangga yang menjadi penghubung kepada tingkatan dakwah membina masyarakat muslim. Tidak boleh tidak, anak tangga ini mestilah ditapaki terlebih dahulu sebelum naik ke tingkatatan seterusnya itu. Jika tidak, antunna boleh jatuh tergolek berguling guling kalau suka suka hati melangkau naik. Mengerti kalian?"

Natasha berhenti menulis sebentar. Dia mengangkat muka daripada menghadap buku catatan. Menatap beberapa saat wajah murabbiyahnya yang berkacamata jernih. Pandangan kosong. Matanya tak berkedip dalam tempoh itu.

"Ya Natasha, ada soalan?"

Natasha kedipkan mata. Sapaan murabbiyahnya itu sedikit mengejutkan.

"Err, takde takde."

Akhirnya, Natasha hilang fokus dalam halaqah itu. Dia antara dengar dan tidak dengar sahaja apa yang dikongsikan. Mengelamun, terbang melayang. Seperti layang layang keputusan benang.

.....

30 Febuari 2014.
3.01 pagi.
Kepulauan Nami.

Umar tersedar dari tidurnya yang baru sejam. Lewat ke katil malam itu kerana menyambung sedikit kerja menulis laporan projek sarjana muda. Lusa harus bertemu penyelianya lagi untuk membentangkan perkembangan projek.

Pagi itu ada perlawanan bola liga juara juara eropah. Tapi, Umar tidak bangun untuk itu. Awal awal lagi dia sudah menolak pelawaan janjitemu teman seManchester Unitednya di Kafe Bistro. Alasannya, esok ada hal di awal pagi. Takut terlambat bangun.

Tapi, sebenarnya Umar ada agenda lain. Ada sesuatu yang perlu 'dibincangkan' dengan Tuhan. Dan dia perlu masa masa sunyi sebegini untuk itu.

Umar bingkas bangun persiapkan diri untuk 'perbincangan' itu.

.....

30 Febuari 2014.
3.13 pagi.
Kepulauan Jeju.

Natasha dikejutkan oleh murabbiyah, mengajak untuk qiam bersama. Rutin dalam rumah yang didiami oleh 6 orang akhawat yang masih menuntut di universiti. Seronok tinggal serumah begitu. Hidup dalam biah solehah. Berdampingan dengan teman teman yang sentiasa menjaga dan memperingat.

Natasha terkadang malas malas juga untuk ikut qiam sekali. Biasalah, belum lagi menjadi mujahidah sejati. Tapi malam itu Natasha bersemangat. 

Ada sesuatu yang perlu 'dibincangkan' dengan Tuhan.

Natasha bingkas bangun persiapkan diri untuk 'perbincangan' itu.

.....

30 Febuari 2014.
4.01 pagi.
Kepulauan Nami dan Kepulauan Jeju.

Di atas dua sejadah petak, dua sosok manusia menadah tangan. Seorang berbaju melayu cekak musang, kain sarung cap gajah duduk dan kopiah putih. Manakala seorang lagi bertutup lengkap dengan telekung puteh susu, made in pakistan.

Keduanya berbicara dalam nada yang hampir serupa. Penuh khusyuk dan tawadhu'. Ada harapan besar terselit sama.

"Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-Mu, agar bertambah kekuatan ku untuk mencintai-Mu. 

Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta, jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku pada-Mu.

Ya Allah, jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu, agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta semu. 

Ya Rabbana, jika aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling pada hati-Mu.

Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu. 

Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindukan syurga-Mu. 

Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirmu. 

Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu. 

Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu. 

Ya Allah Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta pada-Mu, telah berjumpa pada taat pada-Mu, telah bersatu dalam dakwah pada-MU, telah berpadu dalam membela syariat-Mu.

Kukuhkanlah Ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya. Penuhilah hati-hati ini dengan Nur-Mu yang tiada pernah pudar. Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di jalan-Mu."

Maka pada malam itu, sepasang doa terbang naik ke langit dengan sayap masing masing. Meski antara pemilik kedua sayap itu tiada pernah bertemu dalam dimensi lingkungan dunia manusia, apatah lagi untuk kenal sesama sendiri, tapi mereka bersatu dalam doa yang sama.

.....

30 Febuari 2016.
9.55 malam.
Kepulauan Apa-apalah.

2 tahun kemudian..










Malaslah nak taip lagi. Tak reti.
Anda bayangkanlah sendiri macammana sambungannya ya.

(o_o)

Wednesday, February 19, 2014

hilang caribalik.




"Serabut semacam kau. Ada apa?" 
"Cari sesuatu. Dah lama aku hilang. Nampak tak?" 
"Sesuatu tu apa?" 
"Semangat."
"Oh, itu.. Japp.. Aku rasa aku tahu."
"Mana?"
"Cuba try tengok. Mungkin ada terselit dalam ni."