Monday, January 20, 2014

seindah bougainvillea 03.



[poto]
 
   Kringgg! 
   
   Kringgg! 

   Loceng tamat sesi persekolahan bergema serata perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Manggis. Selepas berdiri memberi penghormatan dan terima kasih kepada guru yang mengajar mereka, Man mengemas segala peralatan sekolahnya. Dimasukkan dan disusun cermat ke dalam beg galas jenama Angsa. Siap. Man terus bergegas mendapatkan ibunya di luar pagar sekolah.

   Terus saja Man menghulurkan salam kepada ibunya. Dicium hangat telapak tangan berurat keras itu. Mak Senah masih berjualan kuih ketika itu.
"Macammana kelas Man, ok tak?"
"Ok mak. Ada dapat kerja sekolah sikit  tadi. Kuih habis dah mak?"
"Ada lagi sikit tak habis. Kejap lagi habis la ni."

   Tidak lama, kuih terakhir Mak Senah siap dijual semuanya. Mak Senah mengemas barang-barang berjualannya. Man tanpa disuruh, pergi mendapatkan basikal tua yang disandarkan pada pagar sekolah di belakang tempat emaknya berjualan. Dibawa ke hadapan agar mudah emaknya memasukkan segala barang-barang ke dalam bakul basikal.

  Selepas itu, dua beranak itu pulang berdua. Mengayuh basikal. Mak Senah masih lagi menjadi pengayuhnya. Dan Man masih duduk dibelakang membonceng.

   Selama hampir 6 tahun, basikal tua membawa dua beranak itu ulang alik ke sekolah. Jarak antara rumah dan sekolah tidaklah jauh. Hanya sekitar satu setengah kilometer. Jika dihitung bilang, mahu hampir 1000 kilometer telah Mak Senah berulang alik kayuh basikal peninggalan arwah suaminya itu sejak hari pertama Man masuk ke sekolah sehingga hari itu. Kalau dibandingkan, hampir sama jaraknya daripada selatan Johor ke utara Perlis jika melalui Lebuhraya Utara Selatan. Itupun, masih berbaki lebih 100 kilometer kayuhan Mak Senah. Betapa kuatnya Mak Senah untuk anaknya seorang itu, Man.

   Sepanjang perjalanan pulang, Man bercerita tentang apa yang berlaku sepanjang sesi persekolahannya pada hari itu. Apa yang dibelajarnya, kawan-kawannya, guru-gurunya dan apa sahaja tentang sekolah. Mak Senah akan mendengar penuh berminat sambil keringat jernih mengalir perlahan dari ubun-ubun ke dahinya.
"Man, mak tanya sikit boleh?"
"Tanya je mak"
"Man suka tak sekolah kat sini?"
"Emm, suka. Ramai je kawan. Cikgu pun semua baik-baik. Kenapa Mak? Mak dengar cerita Man, macam Man tak suka sekolah kat sini ke?"
"Hmm, takdelah Man. Saje je Mak tanya."

   Senyap sebentar antara mereka. Hanya bunyi rantai basikal yang berpusing, menukar tenaga kayuhan Mak Senah kepada putaran roda basikal kedengaran. Awan dan matahari juga senyap jauh di atas mereka. Sekali sekala ada bayang-bayang burung yang berterbangan melintasi dua beranak itu.
"Man, kalau sekolah arsama penuh tu bagus ke?"
"Asrama la mak. Bukan arsama."
"Haha. Yeke? Mak tak tahu la Man."
"Bagus jugak sekolah tu Mak. Cikgu-cikgu selalu cerita, siapa yang masuk sekolah asrama penuh tu masa depannya cerah nak masuk universiti. Ustazah Nur pun pernah bagitau, sebelah kaki dah ada kat universiti kalau sekolah kat asrama penuh. Jadi Man fikir, sebelah kaki lagi kat sekolah la. Maksudnya, kene berkangkang la mak. Hahahaha."
"Macam tu pulak. Kamu ni, ada-ada je."
"Hehe. Kenapa Mak tanya?"

   Soalan terakhir Man itu menyampaikan mereka ke perkarangan rumah. Man pun turun dari basikal dan segera mendapatkan  barang-barang di bakul hadapan basikal. Soalannya tadi tidak berjawab. Tapi, Man tidak kisah pun.
"Man, lepas ni pergi mandi ya. Lepas tu makan, solat dan tidur."
"Baik mak."

   Mak senah berehat sebentar di beranda rumah. Menghilangkan lelahnya mengayuh basikal. Bunga-bunga di halaman rumah diperhatikan satu persatu. Semua masih subur. Kelopaknya mekar. Mak Senah senang. Sememangnya, hobi Mak Senah ialah menanam bunga. Dan sudah tentu, halaman rumahnya penuh dengan bunga pelbagai jenis. Meski rumahnya itu tidaklah berapa cantik, hanya rumah kayu lama, tapi bunga-bunga yang di tanam Mak Senah menjadikannya indah. Dengan aroma, warna-warninya dan cerita yang pernah tertanam sama pada setiap pohon-pohon bunga itu. Meski tidak semua orang tahu, Mak Senah suka menikmatinya sendiri.

  Paling disukanya adalah sepohon bunga kertas merah jambu dan putih. Terletak di sebelah kanan tangga naik ke rumah. Pohon bunga yang penuh nostalgia antara dia, arwah suaminya dan Man. Pohon itu ditanamnya ketika awal dia mengandungkan Man. Dua warna pada bunganya adalah hasil kerja tangan Mak Senah yang 'mengahwinkan' pohon asal dengan baka dari pohon lain. Kelopak bunga kertas merah jambu mewakili Mak Senah dan kelopak putih adalah arwah suaminya. Manakala setiap batang dan ranting yang tumbuh adalah Man yang semakin menginjak dewasa. Puisi pada pohon bunga yang cukup indah.
"Mak, jomlah makan."
   Sapaan Man mengejutkan Mak Senah. Segera Mak Senah naik ke atas rumah.
"Mak panaskan dulu nasi ni ye Man. Tolong masukkan basikal kat depan rumah tu Man."
"Ok mak."

   Sambil menyiapkan makan tengahari, Mak Senah teringat akan surat tawaran Man. Malamnya nanti barangkali. Biarlah Man berehat dahulu petang itu.


[episod 3 dan bersambung..]
_episod 2
_episod 1

No comments:

Post a Comment