[poto] |
Flashback.
Imbau semula.
Petang yang damai. Angin sepoi-sepoi
bahasa melayu nusantara. Mak Senah menyapu laman rumah. Daun-daun kering pohon
mempelam. Jatuh gugur meninggalkan dedaunan hijau yang masih baru dan segar. Sinonim
dengan helaian rambut Mak Senah yang terselindung di balik tudung lusuhnya. Ada
yang masih hitam berkilau. Ada yang sudah memutih. Menunggu masa juga untuk
gugur.
Sebuah kereta. Kancil. Warna putih. 4
rodanya seiringan berpusing. Masuk ke laman rumah Mak Senah. Seorang wanita
muda menolak keluar pintu kereta.
“Assalamualaikum mak cik. Apa khabar?”
Cikgu Nur. Mengajar bahasa inggeris.
Cikgu-cikgu sekolah, murid-murid dan penduduk sekitar kampung memanggilnya dengan gelaran ‘ustazah’.
Ustazah Nur. Sebab dia bertudung labuh. Cikgu Nur tidak kisah.
“Waalaikumsalam ustazah. Alhamdulillah, sihat. Lama tak datang rumah mak cik.”
Mak Senah sandar penyapu ke pohon
mempelam. Bersihkan tapak tangan dengan kain batik yang dipakainya. Sambil
senyum, Mak Senah hulur tangan. Mereka bersalaman. Peluk sekali.
“Hmm, tu la mak cik. Rindu nak datang sini. Man ada mak cik?”
Sekolah Kebangsaan Rambutan. Sekolah
rendah tempat Man belajar dahulu. Sekolah rendah tempat Cikgu Nur mengajar
sejak setahun lalu. Sekolah kampung. Sekolah kecil.
Sekolah tersebut mengamalkan system ibu(cikgu)
dan anak(murid) angkat. Khusus untuk pelajar darjah 6, yang akan mengambil
UPSR. Memudahkan sekolah memantau dan membantu perkembangan akademik mereka.
Semasa cabut undi untuk memilih anak
angkat masing-masing, Cikgu Nur dapat nama Man. Seorang lagi adalah Zaim, rakan
sekelas Man. Maka, Cikgu Nur agak rapat dengan Man dan Mak Senah. Walaupun Man
sudah tamat sekolah rendah, Cikgu Nur tetap menjaga Man. Seperti anak sendiri.
Cikgu Nur pun masih bujang. Sayang nak lepaskan ‘anak pertamanya’ itu.
“Man pergi kedai. Mak cik suruh beli barang sikit. Nak buat kuih. Naiklah ke rumah ustazah. Minum-minum kejap.”
“Eh, takpela mak cik. Saya datang kejap je ni. Ada surat untuk Man. Sampai kat sekolah semalam. Guru besar minta saya sampaikan. Kejap ea, saya ambil dalam kereta.”
Cikgu Nur kuak pintu hadapan kereta,
sebelah kiri. Buka dashboard. Sampul surat berwarna coklat. Saiz besar
sedikit daripada kertas kajang. Di bahagian hadapan sampul surat, tertulis 'URUSAN SERI PADUKA BAGINDA'. Di bawahnya, ada nama penuh Man dan alamat penuh Sekolah Kebangsaan Rambutan. Cikgu
Nur hulur kepada Mak Senah.
“Surat apa ni ustazah?
“Mak cik bukalah.”
“Kalau buka je, mak cik boleh. Tapi, ustazah tolong bacakan ye. Mak cik ni tak berapa sangat baca tulisan rumi ni. Jawi bolehlah.”
Mak Senah hulur semula sampul surat
kepada Cikgu Nur. Sambil itu Mak Senah pelawa Cikgu Nur duduk di tangga rumah.
Cikgu Nur baca penuh teliti butiran-butiran
dalam surat. Cikgu Nur baca senyap. Lepas habis baca, Cikgu Nur pandang Mak
Senah sambil senyum. Manis. Mak Senah tak respon apa-apa.
“Surat tu kata apa Ustazah?”
“Alhamdulillah mak cik. Man diterima masuk SBP. Sekolah Berasrama Penuh Teratai. Panggilan kedua.”
Cikgu Nur kekal senyum. Tumpang
bangga. Man, anak didiknya. Masuk SBP.
Mak Senah tertunduk ke bawah. Senyum.
Kemudian, ditariknya lengan baju. Kesat air mata. Tangisan dalam senyuman.
Entah gembira. Entah sedih. Mak Senah ambil surat yang dihulur Cikgu Nur. Tidak
dibaca. Belek-belek. Diraba-rabanya saja.
“Bila Man kena mendaftar Ustazah?”
“28 haribulan. Dua minggu lagi.”
“Sekolah tu kat mana ustazah? Jauh tak?”
“Daerah sebelah mak cik. Dari sini, dalam 4 jam perjalanan.”
“Jauh tu ustazah.”
Tiba-tiba raut muka Mak Senah
berubah. Sedikit gusar. Pelbagai perkara mula mendatangi kotak fikirannya. Cuba
meredakan risaunya, Mak Senah bangkit. Diambilnya bekas menyiram bunga. Isi
air. Pohon bunga di halaman rumah yang baru disiram sejam lepas, disiramnya
lagi. Tidak disedari oleh Mak Senah. Cikgu Nur perasan akan perubahan Mak
Senah.
“Tak pe Mak Cik. Nanti kita pergi sekali. Kereta saya boleh je jalan jauh.”
“Yurannya mahal tak ustazah?”
“Man dapat pengecualian yuran mak cik. Jangan risau. Semua akan baik-baik saja. Sekolah ni bukan calang-calang. Masa depan Man cerah mak cik. Alhamdulillah.”
“Hmm, terima kasih banyak ustazah. Nanti saya bagitau kat Man.”
Tidak lama kemudian Cikgu Nur pun
beransur pulang. Sempat berpesan kepada Mak Senah, dia akan datang lagi hujung
minggu nanti. Membantu Man buat persediaan.
Mak Senah masuk ke dalam bilik. Di
letaknya surat itu di atas meja. Bimbang kalau-kalau sampul surat itu hilang
terbang dibawa angin, Mak Senah pindahkan pula ke bawah bantal. Masih merasa tidak
selamat, Mak Senah selit bawah tilam.
Sebenarnya Mak Senah masih risau.
Bukan kerana tiada kenderaan mahu ke sana. Dia dan Man biasa naik bas, dekat
atau jauh. Bukan soal yuran. Cikgu Nur sudah maklumkan bahawa Man diberi
biasiswa. Kalau pun ada perbelanjaan lain, Mak Senah masih ada duit simpanan
sedikit sebanyak. Barang-barang kemas semasa kahwin dulu masih ada untuk
digadai. Dia sudah lama bersedia untuk itu. Untuk Man.
Man, satu-satunya anak yang dia ada.
Harapannya. Man juga satu-satunya peneman hidup Mak Senah.
Kalau Man masuk asrama, siapa pula
yang akan menemaninya nanti. Siapa yang akan diajaknya berbual, bergurau senda.
Siapa yang akan membantunya menyiapkan nasi kuning setiap malam. Siapa yang
akan berjalan kaki bersama-samanya ke sekolah setiap hari selepas subuh. Ah,
satu-persatu ‘siapa’ muncul di fikirannya.
Air mata mengalir perlahan menuruni
lurah pada raut berkedut wajah Mak Senah. Begitu hangat membasahi. Dibiarkan
saja. Tidak mahu diseka. Mak Senah sudah lali dengan air mata. Sejak pemergian
suaminya. Tapi, tidak di hadapan Man. Man tidak lahir untuk menadah
kesedihannya.
“Assalamualaikum. Makk. Ooo Makk.”
Lamunan terhenti. Mak Senah segera
seka air mata. Masuk ke bilik air. Basuh muka.
“Man. Dah beli semua barang yang mak minta tu?”
“Dah mak. Tapi, Susu Cap Junjung dapat beli 1 tin je. Dah habis stok kata Tauke Lim.”
Man tunjuk barang-barang yang dibelinya
di Kedai Runcit Kita. Penuh satu plastic hitam.
“Hmm, takpe la.”
“Eh, kenapa mata mak? Mak nangis ke?”
“Takde la. Ha, baju kat ampaian mak tak pungut lagi. Tolong Man.”
Mak Senah cuba mengelak. Di ambilnya
plastic berisi barang-barang dari tangan Man. Segera masuk ke dapur. Man terus
saja turun ke ampaian. Dia kenal benar emaknya. Walaupun Mak Senah cuba
sembunyi, Man tahu emaknya menangis lagi. Tapi, Man lebih faham bahawa emaknya
itu mahu dia tidak risau. Di usia 13 tahun, Man sudah matang dalam pelbagai
perkara.
Diam-diam, Man berbisik perlahan.
“Apa pula kali ini mak?”
Man cuba untuk tidak menangis. Man
cuba. Tapi, tumpah juga..
[episod 2]
panjang pulak..
menunggu yang seterusnya (=
ReplyDeletein shaa Allah.
ReplyDeletesemoga bermanfaat.
:)