Wednesday, December 28, 2016

sepeda-ing at georgetown.









"life is like riding a bicycle. 
to keep your balance, 
you must keep moving."
--albert einstein.














"the best routes 
are the ones 
you haven't ridden."
--anonymous.


























"cycling is like having wings on your feet."
--anonymous.

























"my two favorite things in life are
libraries and bicycles.
they both move people forward
without wasting anything.
the perfect day; riding a bike to the library."
--peter golkin.














life is a beautiful ride.
:)






Monday, December 5, 2016

tidak ada johor bahru hari ini.







tidak ada johor bahru hari ini.
tidak ada johor bahru kemarin.
aku di sini, sendiri tapi tidak sendiri. Tuhan menjagaku.
semua orang adalah diri mereka sendiri apabila mereka berpikir sebaliknya. 
bakda subuh di kamar tidurku.
kupeluk tubuh sendiri.
dan helaian kitab- kau tak ingin aku
mematikan mata lampu.
jendela terbuka
dan masa lampau memasukiku sebagai angin.
meriang. meriang. aku meriang.
dosa yang panas di kening. dosa yang dingin dikenang.  


hari ini adalah untuk belajar. kemarin adalah pengalaman. besok adalah ketidaktahuan(harapan). aku tidak pernah sendiri bahkan ketika menulis puisi ini. semuanya adalah kata yang hidup dalam harapan(ketidaktahuan). 
seperti puisi, doa bermula daripada keterbatasan manusia. masa-masa lepas dan negeri jauh yang tidak mampu digapai. jatuh dan patah. foto-foto hitam putih. hati gelisah. pikiran berselerak. di balik jendela, langit sedang mendung.


Tuhan mengetahui semuanya. termasuk doa yang diselit kemas-kemas dalam puisi. setiap puisi(doa) pasti akan dijawab Tuhan. jika tidak kemarin, hari ini. jika tidak hari ini, besok. maka, jangan. jangan pernah berhenti menulis puisi(berdoa).

[diubahtulis; 070816 | kota sejarah. dibaca semula; 051216 | pulau helang.]

Thursday, December 1, 2016

as the journey continues.













not
all
those
who
wander
are
lost


















"and He found you lost and guided [you]."
93:7















Monday, October 31, 2016

orang-orang kopi.







orang-orang yang sedang membancuh kopi, dia hati-hati dengan kopi bancuhannya. jangan sampai tertumpah air panas. terlebih gula, terlalu manis kelat. terkurang gula, pahit tidak tertelan. apa pun rasa yang terhasil daripada segala perihal yang di-adun-bancuh-nya masuk ke dalam cawan, yang pertama merasa kopi itu, pastilah dia sendiri. kalaupun kopi itu dibancuhnya untuk orang lain, tetap dia juga yang merasanya dahulu agar rasa kopi itu tidak mengecewakan.

pada kehidupan dunia yang kita jalani, kita akan berjumpa dengan tiga jenis orang.


orang-orang pertama;
--"kopimu sedap, aku suka rasanya begitu."

orang-orang kedua;
--"aku juga suka kopi. tapi, dengan rasa yang sedikit kurang manis berbanding kopimu."

 orang-orang ketiga;
--"emm, aku lebih suka minum teh."









dan kita perlu ketiga-tiganya untuk hidup mendewasa. kita belajar untuk lebih menghargai diri sendiri bersama orang-orang pertama, kemudian kita belajar untuk sentiasa memperbaiki diri daripada orang-orang kedua dan kita akan menemukan perkara-perkara baru melalui orang-orang ketiga.  

persamaan atau perbezaan, semuanya adalah hikmah dan nikmat. 

kan?







:-]







Monday, October 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (xii).






bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. semoga aku, kau serta sesiapa pun yang sedang membaca ini, perjalanannya akan redup dan nyaman di bawah lindungan awan-awan Tuhan.
saat menjadi minit. minit menjadi jam. jam menjadi hari. hari menjadi bulan. bulan menjadi tahun. begitu juga, huruf menjadi kata. kata menjadi ayat. ayat menjadi paragraf. paragraf menjadi surat. surat menjadi surat-surat. beginilah waktu dan tulisan ini berjalan. rasanya seperti baru semalam aku termenung di atas meja tulis bersama beberapa helai kertas kosong dan sebatang pena. berfikir sendiri, entah bagaimana aku ingin memulakan semua ini, entah apa yang aku akan ceritakan di sini, entah kapan aku akan berhenti kerana lelah atau mungkin kehilangan arah. justru, hari ini hampir semua kertas itu penuh dengan dakwat contenganku sendiri. mahu dikata waktu berjalan begitu cepat, tidak juga. mahu dikata waktu berjalan perlahan, ah, tidak tepat juga. mungkin memang begitu, waktu tidak akan pernah diukur tepat. setiap sesuatu yang hilang pasti boleh ditemukan kembali, pasti ada jalannya untuk dicari. tidak, ia tidak hilang sebenarnya, hanya kita yang tidak dapat melihatnya di depan mata kerana ia berada di tempat yang lain, yang jika kita berada di tempat itu, pasti kita akan menemukannya kembali. orang yang pergi selamanya, ketika melepaskan nafas terakhirnya di dunia, yang kita sebut-sebut sebagai kehilangan, pun sejatinya tidaklah hilang. kita akan bertemu lagi dengan mereka di kehidupan yang benar-benar terakhir nanti; akhirat. tapi, tidak masa yang hilang. masa adalah kehilangan sejati. masa adalah kerugian sejati. tidak akan ada jalan untuk menemukan masa yang hilang sia-sia di belakang kerana masa sentiasa bergerak ke hadapan. maka, jagalah sebaiknya masa yang dikasi Tuhan untuk kita. 

...


tujuhbelas, 
kalau ada membaca setiap naskhah sehingga yang ini, masih ingat lagi pada naskhah ke-lima aku bercerita tentang foto-foto langit yang aku tampalkan pada setiap naskhah bermula dari naskhah pertama hingga ke-lima? nah, kali ini aku mahu bercerita tentang foto yang aku tampalkan pada naskhah ke-enam hingga ke-sebelas. mungkin ini cerita terakhirku bersama surat-surat yang entah apa-apa ini. ya, yang semua itu, foto dua buah bangunan yang sedang dibina orang-orang. foto yang entah apa-apa kan? haha. jelek dan langsung tidak aestetik. oh ya, bangunan itu sudah pun siap struktur asasnya, tinggal lagi ditambah servis-servis asas dan kekemasannya. dan tidak lama lagi akan menjadi tempat orang-orang untuk hidup berteduh. apa-apa pun, aku mahu bercerita tentangnya di naskhah akhir ini. akan dibaca atau tidak, ah, terpulang lah. saban naskhah yang aku tulis bermula naskhah ke-enam, aku menampalkan foto binaan yang sedang membangun tinggi. aduh, namanya juga bangunan, mestilah ia bangun dan berdiri meninggi. ianya terbahagi, blok satu dan blok dua. begitu. keduanya sama-sama masing-masing sedang membina diri. bermula daripada tanah lapang yang kosong, mereka mula tumbuh perlahan-lahan, dan seiring waktu, tingkatan demi tingkatan mereka capai. sehinggalah hari ini, mereka berjaya mencapai tingkatan tertinggi yang mereka cita-citakan. sungguh, perjalanan ke tingkat tertinggi itu tidak selesai dalam satu malam yang singkat. ia adalah perjalanan panjang, yang sangat panjang. 

tujuhbelas, 
tentang bangunan ini, orang-orang asing yang kagum(mungkin) melihat ianya berdiri teguh dan tenang pada luarannya, tidak akan pernah tahu seperti apa kisah di dalamnya sepanjang ia perlahan-lahan tumbuh meninggi. orang-orang tapak datang dan pergi sepanjang pembinaan itu. ada yang datang sebentar, kemudian bertemu realiti kisah dalaman bangunan ini seperti apa, akhirnya memilih untuk keluar, meninggalkan dan mencari tapak lain yang mereka lebih senangi. ada juga yang datang sedikit lebih lama, tapi, akhirnya memilih untuk keluar juga atas alasan mereka ingin mendapatkan cabaran yang baru dan tapak ini tidak lagi sesuai buat mereka, meski ianya belum lagi selesai siap. juga sudah tentu, masih ada yang kekal bersama terus membina, yang yakin bahawa bangunan ini pasti akan mencapai ketinggiannya meski seberapa rumit dan komplikated laluan ke atas itu. dua buah bangunan, yang setiap satunya memiliki kisahnya, masalahnya dan konfliknya sendiri. masing-masing melalui jalan dan cara yang berbeza untuk sampai ke tingkat tertinggi mereka. sepanjang perjalanan naik, blok dua sentiasa di hadapan, ia memanjat lebih tinggi mendahului berbanding blok satu. ya, blok dua tiba dulu di puncak sebelum blok satu sampai kemudian. nah, itu terjadi atas perbagai kombinasi situasi sepanjang perjalanan pembinaannya. dan sekarang, bila atau yang mana sampai dulu bukan lagi cerita utamanya kerana kedua-duanya sudah pun berjaya mencapai tingkat itu dan sama-sama ada berdiri di puncak ketinggian yang sama.

tujuhbelas, 
itulah kisah yang aku baca setiap hari sepanjang naskhah ini aku tulis setiap bulan. bermula dari naskhah pertama sehingga naskhah yang ini. bermula ketika aku masuk menyertai kumpulan orang-orang tapak yang membinanya. aku menyertai mereka ketika sudahpun lebih daripada sepertiga struktur asas telah siap terbina sehinggalah struktur itu siap sepenuhnya hari ini. kisah yang aku baca, seluruhnya adalah kisah tentang tumbuh. kisah tentang bangkit dan membangun. kisah tentang dua identiti yang sedang berusaha tumbuh tinggi menggapai langit. kisah tentang dua identiti yang sedang gigih membangunkan dirinya. dua identiti yang melalui perjalanannya masing-masing menuju destinasi yang sama. aku kira, surat-surat tujuhbelas ini tumbuh dan membangun bersamanya. dan seperti aku katakan, yang baru selesai pada bangungan itu adalah struktur asasnya. perjalanannya masih lagi ada berbaki ke depan sebelum ia benar-benar bersedia untuk menjadi tempat naungan orang-orang hidup berteduh di dunia. dari semasa ke semasa, struktur itu perlu disemak semula dari tingkat paling bawah ke tingkat paling atas. diteliti dan diperhatikan semula setiap satunya. jika ada yang tersilap, maka diperbaiki. jika ada yang terkurang, maka ditambah. begitu. mungkin naskhah ini juga harusnya seperti itu untuk aku yang menulisnya. surat-surat tujuhbelas. sudah pun sampai sehingga ke naskhah dua belas ini. cukup dua belas bulan, yakni setahun. sekarang adalah untuk memulai semula membaca daripada naskhah pertama. mencari apa yang kurang, apa yang silap, apa janji yang belum ditunaikan, dan apa kata yang belum sampai kepada perbuatan. semoga aku dan mungkin kau atau sesiapa yang membaca bisa belajar sesuatu, kalaupun tidak bertemu perkara-perkara yang baik daripada naskhah-naskhah ini, tapi belajarlah daripada kesilapan yang telah dilakukan oleh sang penulisnya dalam naskhah-naskhah ini.

tujuhbelas, 
cinta tidak pernah hadir tiba-tiba lalu menjadi sebesar gunung, datang menghempap manusia. cinta itu adalah pohon. pohon bermula dengan benih. cinta bermula dengan benih kecil. setiap orang menumbuhkan cinta masing-masing dengan benih masing-masing. ada yang menumbuhkan cinta daripada cita-cita mereka, ada yang menumbuhkan cinta mereka daripada pertemuan ringkas beberapa menit dengan sesuatu atau seseorang, ada yang menumbuhkan cinta daripada kesedihan atau kegembiraan mereka di masa lalu, ada yang menumbuhkan cinta daripada tulisan-tulisan orang sembarangan, ada yang menumbuhkan cinta daripada keinginan untuk melindungi dan dilindungi sesuatu atau seseorang, dan ada pula yang menumbuhkan cinta hanya sekadar alasan mereka ingin tahu cinta itu seperti apa. begitu, ada jutaan benih-benih yang ditemukan pelbagai orang untuk menumbuhkan pohon cinta mereka masing-masing. kemudian dari benih kecil inilah, mereka gigih menyirami, membaja, menjaga segala kebutuhannya untuk ia tumbuh subur. ia adalah proses panjang yang berjalan seiring masa, keberanian dan kesabaran. jika berjaya, pohon itu pasti akan membesar, dari akar mengeluarkan batang, batang menumbuhkan ranting, dari ranting muncul dedaunan, di antara rimbun dedaunan mekarlah bunga dan daripada bunga ia bertukar menjadi buah. ketika itu yang paling manis bukanlah menikmati buah yang telah masak ranum, justru, ia adalah mengimbau kembali perjalanan panjang untuk mendapatkan buah itu, sebuah proses yang mendewasakan.

...


naskhah ke-dua belas, yang terakhir. ya, ini naskhah akhir. menurutku, tulisan tidak akan pernah mati. setiap tulisan punya peluang untuk terus hidup. seperti manusia dan tumbuhan yang saling bertukar oksigen dan karbon dioksida untuk terus hidup, tulisan pula bertukar nafas dengan pembacanya untuk terus hidup. sepanjang itu, penulisnya pula yang akan menangung bayaran untuk tulisan itu terus hidup. jika tulisan itu baik, maka keberuntunganlah yang akan diraih penulisnya. namun, jika tulisan itu tidak baik, maka berhutanglah penulisnya dengan hal-hal buruk yang tersebar dari tulisan itu. sungguh, aku sentiasa merasakan bahawa aku adalah penulis yang banyak berhutang dengan tulisanku. pena ini terlalu berani untuk dilarikan sesukanya oleh jari-jari angkuhku. maka, mungkin yang terbaik sekarang adalah melepaskan pena ini setelah menyelesaikan naskhah ini. berhenti menulis untuk membaca, mencari nafas baru.

sekian.
 | tujuh belas oktober dua ribu enam belas.

Wednesday, October 5, 2016

:)































"imagine being reunited with your mother in jannah, 
like running up to her and shouting; mak, i made it!"







































Sunday, October 2, 2016

menulislah seperti sedang berdoa.





menulislah seperti sedang berdoa. menulislah tentang segala hal yang kamu lalui di sepanjang perjalanan hidupmu. menulislah tentang jalanan yang kamu lalui itu. tentang persimpangan yang kamu pilih ketika jalanan itu terbahagi dua atau lebih. tentang jurang, tebing, bukit, langit, lautan dan hutan belantara yang merentas di sepanjang jalanan itu. tentang harapan. tentang kecewa. tentang patah. tentang jatuh. tentang terbang. tentang hujan. tentang panas. tentang musim luruh. tentang musim bunga. tentang kisah masa lalu. tentang cita-cita masa depan. tentang segala-galanya. tuliskan semuanya dalam nada sebuah permintaan agar hal-hal itu akan baik-baik saja di bawah pengaturan Tuhan.
menulislah seperti sedang berdoa. berceritalah perihal orang-orang yang pernah hadir dalam hidupmu. yang membawa bermacam-macam warna dakwat kepadamu. gunakanlah semua dakwat-dakwat itu dengan penamu untuk menulis. tulisanmu akan jadi warna-warni pastinya, menjadikannya lebih menarik dibaca. berceritalah perihal orang-orang yang pernah hadir dalam hidupmu. yang membawa bermacam kata dan bahasa baru dalam kamus hidupmu. gunakanlah setiap kata dan bahasa itu dalam ayat-ayat tulisanmu, ia akan lebih enak untuk dibaca. semoga orang-orang itu aman dalam penjagaan Tuhan, hanya Dia yang berhak membalas setiap apa yang mereka bawakan ke dalam tulisan dan hidupmu. 
menulislah seperti sedang berdoa. teruslah menulis dan menulis. jangan pernah berputus asa dan berhenti, jika kamu yakin bahawa tulisan-tulisan kamu itu baik. meski menulis itu terkadang memenatkan, mencari noktah yang tidak muncul pada akhir paragraf, jangan berhenti. begitu juga dalam berdoa, kamu tidak pernah akan mahu menyerah dalam berdoa kan? jika terkadang kamu berdoa dengan air mata, maka, tidak mengapa jika terkadang kertas tulisanmu juga basah dengannya. jika  terkadang kamu berdoa tanpa mengeluarkan sepatah kata atau suara, maka, tidak mengapa jika terkadang kertas tulisanmu juga tertinggal kosong tanpa abjad-abjad. menulislah ketika sunyi, ketika kamu bersendirian, seperti ketika di sepertiga malam yang dingin, kamu bangun sendirian untuk memperdengarkan doa-doamu kepada Tuhan di atas sejadah, nah, menulislah juga di atas kertas seperti sedang berdoa.
jadikan tulisanmu sebagai doa. justru, jika ada orang lain yang membacanya, mereka akan berdoa bersama-samamu. dan doa-doa itu akan kedengaran lebih nyaring bunyinya di langit.




Wednesday, September 28, 2016

living dead.








"menguruskan orang yang mati lebih senang daripada menguruskan hati yang mati. orang yang mati dimandikan, dikafankan, disolatkan lalu dikuburkan. tapi hati yang mati, hendak dimandi akalnya ada, hendak dikafan jasad bernyawa, hendak disolat masih bermaya, hendak dikubur nafasnya ada.
orang yang mati meninggalkan kenangan, hati yang mati meninggalkan palitan dosa. usah takut dengan orang yang mati, tetapi takutlah bila hati yang mati. berhati-hatilah dengan hati yang mati. hidupkan kembali hati yang mati dengan dekatkan diri kepada Allah." 
  --group wassap. 










T_T








Saturday, September 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (xi).






bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. too kaisa hai?
masa dan waktu yang diberikan setiap hari kepada dunia dan penghuninya adalah sama. dua puluh empat jam. seribu empat ratus empat puluh minit. lapan puluh enam ribu empat ratus saat. sama, tidak pernah terlebih tidak pernah pula terkurang. justru, aku, kau, dia, kalian, mereka dan kita semuanya melalui jumlah masa yang sama. yang tidak sama adalah apa yang terisikan dalam ruang waktu itu. dalam ketidaksamaan itulah ada yang kita namakan sebagai 'kesempatan'. setiap orang memiliki kesempatan yang sejatinya hanya milik mereka, yakni, seperti mereka memiliki hati mereka sendiri. pertemuan orang-orang hanya akan terjadi apabila dua atau lebih kesempatan berada di sela waktu yang sama dan pemilik kesempatan itu mahu mengisi(berkongsi)nya dengan pertemuan. dalam menjalani rutinitas kehidupan seharian, semoga kesempatan yang kita miliki terisi dengan hal yang baik-baik dan pertemuan yang baik-baik dengan orang yang baik-baik untuk kita belajar menjadi lebih baik.

...


tujuhbelas, 
jika mahu bercerita tentang pengorbanan, nah inilah waktunya. kisah agung perihal pengorbanan begitu dekat sekali dengan kita ketika ini. iya, yang itu. kisahnya nabi ibrahim as dengan anaknya nabi ismail as. tapi, aku tidak akan bercerita semula kisah itu di sini. aku yakin, kau juga tahu kisahnya, seperti yang diabadikan pada surah tiga puluh tujuh, ayat sembilan puluh sembilan sehingga seratus sebelas. peristiwa hebat beribu tahun lalu yang menjadi ibadah kita hari ini. justru, ibadah bukan hanya ibadah semata. setelah melaksanakan ibadah, nah selesai, kita sudah berpahala. tidak, belum selesai lagi. ibadah datang dengan ibrah. lagi-lagi ibadah yang datang dengan kisah besar dan peristiwa agung bersamanya.

tujuhbelas, 
mari membaca kisah nabi ibrahim as dan nabi ismail as dengan kacamata cinta. begitu, adalah cinta yang saling dimiliki mereka. cintanya seorang bapak kepada anak dan cinta seorang anak kepada bapaknya. cinta yang ikhlas. cinta yang saling berbalas. cinta yang suci. tapi, justru ada cinta lebih besar daripada itu yang mereka miliki. itulah cinta mereka berdua kepada Tuhan. cinta Tuhan adalah cinta nombor satu, tidak ada cinta lain di atasnya. justru, Tuhan menguji cinta yang dimiliki oleh nabi ibrahim as dan nabi ismail as. apakah cinta sesama mereka lebih besar daripada cinta mereka kepada Tuhan. dan, kesudahan itu kita juga tahu bagaimana kan? bahawa ternyata cinta mereka kepada Tuhan berada paling atas, mengatasi cinta antara mereka. nabi ibrahim as dan nabi ismail as, mereka korbankan cinta antara mereka. mereka berkorban untuk cinta yang lebih agung.

tujuhbelas, 
ya, cinta adalah hal fitrah untuk dimiliki manusia. jatuh cinta, mencintai dan dicintai. kita jatuh cinta pada pelbagai perkara. kita mencintai hal-hal tertentu. dan mungkin kita dicintai dengan sesuatu. tapi, sebelum itu, ketahuilah bahawa kita sedang dicintai Tuhan. ya, Tuhan sentiasa mencintai hamba-hambaNya. cuma, kita saja mungkin yang belum benar-benar jatuh cinta pada Tuhan. adalah tidak salah untuk memiliki rasa cinta kepada yang lain. tapi, cinta Tuhan adalah cinta nombor satu. Tuhan akan menguji cinta yang dimiliki manusia. Tuhan justru cemburu ketika ada cinta lain yang mendahului cintaNya. sebesar mana, semulia mana, sesuci mana cinta yang dimiliki antara manusia, tidak akan ada yang bisa menurunkan cinta Tuhan daripada anak tangga paling atas. tidak ada. 

tujuhbelas, 
ah, sepertinya  sudah terlalu banyak aku menuliskan kata cinta di sini. maaf, kalau itu memualkan. ya, cinta bukan perkara main-main. benar, cinta bukan hanya penyedap kata dan cerita. sungguh, cinta bukan sekadar pemanis puisi dan lirik. cinta punya pemaknaan yang lebih luas dan dalam. sepertinya tidak akan habis orang-orang mahu mendefinisikan cinta menurut fikiran mereka masing-masing. terlebih sering, definisi itu dirujuk pada kamus nafsu dan duniwai semata. aku juga tidak terlepas daripada itu. aku sungguh masih sedang belajar tentangnya. jika ditanya cinta yang sempurna itu apa atau bagaimana, jawabanku ialah  ia adalah tentang susun atur cinta-cinta yang kita miliki. bebaslah kita untuk jatuh cinta, mencintai atau membenarkan diri dicintai. tapi, pastikan cinta Tuhan ada di tingkat paling atas, menaungi semua cinta-cinta lain itu.

...

naskhah ke-sebelas. naskhah ini sudah masuk kepada kiraan belas rupanya. kasihan pena ini, dipaksa berlari sejauh ini oleh jari-jari egoisku. pasti pena ini kepenatan. aduh, sedikit lagi ya, sang pena, kamu pasti akan aku rehatkan nanti. tidak sang pena, kita tidak sedang berlari untuk mencari penghujung langit. meski pada pandangan kita, langit sepertinya punya penghujung di seberang sana. sungguh itu hanyalah bumi ini yang berbentuk sfera, yang membuatkan langit jatuh di penghujung pandangan mata kita. tidak juga sang pena, kita tidak sedang berlari di atas lautan yang ada penghujungnya, yang pasti akan ada daratannya. mustahil kita bisa berlari di atas permukaan air yang lembut ini. kita sedang menulis di atas kertas, sang pena. bertahanlah ya untuk sekian jarak yang berbaki di hadapan ini. temani aku hingga semua ini selesai.

sekian.
 | tujuh belas september dua ribu enam belas.

Thursday, September 15, 2016

pelangi cahaya.









namamu siapa nak?
--pelangi. biasa dipanggil 'ren' saja oleh kawan-kawan. maksudnya, rainbow.

pelangi?
--iya, pelangi. nama itu daripada bapak dan ibu saya; hujan dan matahari.

wah, pantaslah kamu dinamakan pelangi. namamu indah, nak. seperti kamu juga, indah berjilbab labuh. Tuhan menutup segala kelemahan dan aibmu seperti pakaian dan jilbab labuh itu menutupi tubuhmu.












pelangi, kamu tahu bagaimana untuk bahagia?
--err, sepertinya saya yang harus bertanyakan itu pada makcik.













begini nak, untuk bahagia itu mudah. jika kamu jatuh cinta, jatuh cintalah pada ketidaksempurnaan, pada apa-apa atau pada siapa-siapa. pada keluargamu, pada sahabat-sahabatmu, pada bakal teman hidupmu, pada pekerjaanmu, pada hartamu, pada tulisan-tulisan yang kamu baca, pada rasa makanan yang kamu makan dan minuman yang kamu minum, pada cuaca pagi, pada suhu malam, pada semuanya yang ada pada kamu hari ini dan pada yang akan kamu temui kelak di hari besok.  
kalau hanya mencari yang sempurna, kita akan menderita seumur hidup kita. bahagia yang kita cari tidak akan kita temui kerna yang benar sempurna tidak akan ada di dunia. yang kelihatan sempurna- pada firasat dan pandangan pertama- hakikatnya langsung tidak pernah sempurna. justru, jangan menyandarkan bahagia hanya pada firasat dan pandangan pertama terhadap sesuatu. kamu bahkan akan kecewa apabila menemukan sisi yang tidak sempurna padanya. jangan pula membanding-banding kerana jalan ketidaksempurnaan pada setiap sesuatu atau seseorang adalah berbeza.
kehidupan di dunia adalah segalanya tentang ketidaksempurnaan. jika mahu mencari yang sempurna, carilah di negeri akhirat kelak. Tuhan menunggu kita untuk bertemuNya di sana.










--nasihatnya indah sekali makcik. oh ya, sebentar. mahu tuliskan semula dalam buku catatan saya. takut terlupa nanti. boleh kan? emm, boleh tahu nama makcik?  













boleh, silakan nak. nama makcik, cahaya. panggil saja makcik yaya. kalau boleh, pelangi doakan makcik supaya dapat memenuhi harapan dan tanggungjawab yang terselit dalam nama ini. menjadi penerang dalam kegelapan kepada diri sendiri dan orang lain. kamu juga, pelangi, teruslah menjadi inspirasi buat orang lain, menjadi alasan untuk mereka tersenyum ketika memandangmu.
--insyaAllah makcik yaya. doakan pelangi juga. 









Monday, September 5, 2016

menjadi seorang kau(aku).











"aku sebenarnya ingin menjadi seperti kau."  
"sebelum itu, aku bahkan mahu menjadi seperti kau." 
"heh, kenapa?" 
"aku ingin lebih menghargai diriku sendiri. aku mahu lebih gembira dengan menjadi diriku sendiri. aku ingin lebih mensyukuri apa yang Tuhan telah pasangkan pada pakaian hidupku sehingga penampilanku tampak begitu baik pada pandangan orang lain. aku mahu menjadi kau, menjadi seseorang yang teruja untuk menjadi diriku sendiri."







...









kita tidak diciptakan untuk menjadi orang lain. kita dicipta untuk menjadi diri kita sendiri. bukan orang lain yang menjalani hidup kita atau bukan kita yang menjalani hidup orang lain. tidak salah untuk bercita-cita untuk menjadi seperti orang itu, orang ini, orang begitu dan orang begini selama mereka itu orang yang baik-baik. tapi, skrip hidup setiap orang datang dengan pakej penuh. ada baiknya dan ada buruknya. yang namanya manusia, tidak ada yang seratus peratus baik kecuali para nabi dan rasul.
orang-orang lain, yang kita ingin menjadi sepertinya, kerana baiknya dia pada pandangan kita, apakah kita tetap juga mahu menjadi seperti dia jika kita mengetahui sisi buruknya? apakah kita mahu menjadi seperti dia pada versi yang buruk?
menjadilah diri sendiri dengan mentauladani hal-hal baik daripada orang lain, bukan dengan meninggalkan diri sendiri kerana mahu menjadi orang lain.

 
:) 








Saturday, August 27, 2016

transit.







there are some phases and moments in life that make you pause and reflect; moments where your life thus far flashes before your eyes- who was i? where have i come? how did i get here? and snapshots of memories flash one after the other- all the smiles, all the moments of struggle, the tears, and the hugs; the moments of joy and moments of pain all come through. this happened to me the other day as i was standing, looking outside the window; as still as i was, the world outside was shuffling and moving; everyone was in transit. and i realized at that moment as snapshots started to flash in my mind, that i was in transit too. we’re all in transit. those memories were all snippets of moments that were also just fleeting by, just moving on from one moment to the next.
and that’s the summation of our lives. we are all in transit, hustling, bustling, struggling, exhausting ourselves to make it back home, to make it back to where we came from, back to a place where we no longer will be in transit, a place of permanence, a place of eternity- a place of lasting peace- paradise. Master, please allow us to live our lives in a way that is pleasing to You, please take us in a state that is pleasing to You, and please enter us into Your paradise, please allow us to make it back home to You.





Wednesday, August 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (x).






bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. wie gehts?
setiap manusia sedang berjalan di garis masa mereka masing-masing. setiap orang adalah pejalan waktu di atas garisan yang mereka lalui sendiri. kita akan bertemu dengan empat momen dalam garis masa kita. pertama, perkara yang salah pada waktu yang salah. kedua, perkara yang tepat tapi pada waktu yang salah. ketiga, perkara yang salah datang pada waktu yang tepat. dan keempat, perkara yang tepat pada waktu yang tepat. semuanya adalah takdir yang sengaja diatur Tuhan di atas perjalanan garis masa kita, tidak lain untuk kita belajar dan mendewasa. terkadang kita merasa tertekan dan sedih kerana melihat orang lain sudahpun bertemu momen keempat mereka, sedangkan kita masih berlegar-legar di tiga momen lain itu. padahal, kita lupa, setiap orang melalui garis masa mereka masing-masing. nah, tenanglah menjalani hidup dengan meyakini bahawa urusan kita adalah dibawah aturan Tuhan yang maha mengetahui dan maha bijaksana.

...

tujuhbelas, 
manusia dan rahsia. menurutku peribadi, setiap orang pasti memiliki rahsia-rahsia yang disimpannya sendiri. tidak ada yang mengetahuinya selain dia dan Tuhan. itu tidaklah akan diceritakan kepada sesiapa, meski berapa besar kepercayaannya kepada orang-orang yang baik itu. kalaupun diceritakan, pasti bukan kisah yang sebenar atau belum selesai, itu cumalah cerita di permukaannya, masih banyak yang disimpan jauh dan dalam ke dasarnya. tapi, ini bukanlah soal percaya atau tidak. ini hanya soal sikap dan sifat ke-privasi-an yang sememangnya fitrah untuk dimiliki oleh setiap manusia. nah, semoga Tuhan menerima amal-amal rahsia, menjawab doa-doa rahsia dengan jawapan yang baik menurutNya, menghapus airmata-airmata rahsia, mengampunkan dosa-dosa rahsia dan mengamankan ketakutan-ketakutan rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali diri kita sendiri dan Dia.

tujuhbelas, 
hidup terkadang menjadi sangat ironi. pengajaran terkadang datang dalam cara yang tidak kita senangi, bukan dalam bungkusan kotak terbalut indah dengan reben merah berkilau dan berbau wangi. datangnya dengan bunyi yang keras dan menyesakkan dada. terkadang kita harus merasa kehilangan untuk menyedari dan lebih menghargai apa yang sedia ada di sekeliling kita, tapi tidak pernah kita endahkan. kadang apa yang kita bina, apa pun itu, harus hancur habis dahulu agar kita tahu bahawa binaan kita itu asasnya masih belum kukuh, kita harus membinanya semula dengan lebih teliti dan berhati-hati agar ia lebih kuat dan utuh, agar ia mampu menampung apa pun beban(ujian dan tanggungjawab) yang bakal dipikulnya. kita tahu, jika binaan dengan asas yang goyah, terus saja dinaik-tinggikan, semakin meningkat semakin tidak stabil dan pastinya semakin parah jika tumbang. ya, hikmah tidak selalu datang dalam cara yang mudah, terkadang kita harus berfikir panjang dan mendalam untuk mengetahuinya.

tujuhbelas, 
setiap daripada kita memiliki masalah yang berbeda. setiap manusia menanggung kegusaran yang berbeda. setiap orang, di fikiran dan hatinya ada menyimpan perkara-perkara kusut yang mahu diselesaikannya segera agar lebih lapang. yang kelihatan tenang di luar, mungkin ada taufan yang sedang dilaluinya di dalam fikirannya. yang senyumnya paling ceria, mungkin di dalam hatinya sentiasa banjir dengan tangisan. tapi, walaupun kita menanggung hal-hal berat yang sangat peribadi dan sangat masing-masing, kita adalah hamba kepada Tuhan yang sama. alangkah indahnya ketika kita sama-sama saling mendoakan agar Tuhan memudahkan urusan kita sesama.

tujuhbelas, 
memang mudah untuk terlihat buruk dan lemah. tapi butuh seumur hidup untuk terlihat hebat dan membanggakan. namun, hidup bukanlah soal menyamankan pandangan dan perkataan orang lain terhadap kita. bebaslah menjadi diri kita sendiri tanpa perlu hidup terkongkong dalam sangkar pandangan dan perkataan orang lain. ya, menjadi kuat dan indah itu perlu untuk melalui perjalanan hidup yang semakin panjang dan berliku ini. justru, jadilah sosok yang kuat dan indah, bukan untuk sesiapa atau untuk apa-apa, tapi, untuk diri sendiri, ikhlas kerana Tuhan.

...

naskhah ke-sepuluh, untuk diriku dan untuk sesiapa pun yang membaca. ada waktu-waktu dalam hidup, kita akan memandang ke belakang, melihat betapa jauhnya perjalanan yang sudah kita tempuhi, apa pun perjalanannya itu, dan kita senang kerana kita tidak menyerah ketika putus asa adalah satu-satunya pilihan yang ada. hidup di dunia adalah petualangan. kitalah petualangnya. maka, menjadilah petualang yang bebas tapi terpandu, kerana kita akan pulang. pulang kepada Tuhan. seperti bebasnya kapal layar berlayar di lautan, menempuh ombak dan badai, tapi sentiasa ingin pulang ke pelabuhan. seperti bebasnya burung di langit, terbang ke sana sini mengemudi angin, tapi sentiasa ingin pulang ke sarangnya. semoga dalam kehidupan sementara ini, kita tidak menjadi hamba dunia; bebas tapi tidak merdeka, tapi jadilah kita hamba Tuhan; sentiasa bebas dan merdeka. walau apa pun yang berlaku dalam hidup ini, kita pasti akan pulang kepada Tuhan.

sekian.
 | tujuh belas ogos dua ribu enam belas.

Sunday, August 14, 2016

learn to shoot better.


















nah, ini kamera buat kamu. 
memorinya terhad dan baterinya akan habis


jadi, tangkaplah foto yang baik-baik ya.




















Wednesday, August 10, 2016

tentang kita.









diri dan jiwa kita adalah sebuah puzzle yang belum selesai. masih banyak kepingan-kepingan kecil yang hilang di sana sini, berserakan entah ke mana dan kita harus mencarinya. 
kerana itu, kita melakukan perjalanan-perjalanan. kerana itu, kita bertemu dengan orang-orang tertentu. kerana itu, kita membaca buku-buku yang bermacam ceritanya.
lalu, pada setiap perjalanan yang kita lakukan, pada interaksi antara kita dengan orang tertentu, pada halaman buku yang kita baca, kita akan bertemu kepingan-kepingan kecil yang hilang daripada puzzle kita, yakni seorang manusia yang masih belum cukup mengenali, atau mungkin, kehilangan diri dan jiwanya sendiri.
sebenarnya, tidak ada yang namanya 'kebetulan'. hanya manusia yang tidak mengetahui rencana Tuhan yang sentiasa cantik dan sempurna. seandainya kita yakin pada takdir Tuhan, hidup akan menjadi lebih indah untuk dijalani.







Tuesday, July 26, 2016

sesungguhnya aku juga manusia.








ku termenung seorang diri
ku menangis di sebalik sepi
ku mencari cebisan memori
yang ku namakan misteri 
ku tertawa mendengarnya
ku mengerti aku siapa
ku tak peduli sebenarnya
apa yang kau ada 

tapi aku tidak mengerti
mengapa cinta masih tak hadir
tapi aku tidak mengerti
mengapa rindu belum berbunga 
sebenarnya hati ini cinta kepadaMu
sebenarnya diri ini rindu kepadaMu

jangan kau menilai dari rupa
kerna semuanya milik Dia
hati ini akan ku jaga
kerna ku hanya manusia biasa

sesungguhnya walau ku kutip
semua permata di dasar lautan
sesungguhnya walau ku siram
dengan air hujan dari tujuh langitMu  
namun cinta takkan hadir
namun rindu tak akan berbunga

ku tertawa mendengarnya
ku mengerti aku siapa
ku tak peduli sebenarnya
apa yang kau ada

namun cinta takkan hadir
namun rindu tak akan berbunga 
sesungguhnya walau ku kutip
semua permata di dasar lautan
sesungguhnya walau ku siram
dengan air hujan dari tujuh langitMu 
namun cinta takkan hadir
namun rindu tak akan berbunga 
jika tidak mengharap rahmatMu
jika tidak menagih simpati
padaMu ya Allah.





Sunday, July 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (ix).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. cómo estás?
masa dan jalanan adalah dua hal yang serupa. tapi, orang-orang melihat masa atau jalanan dalam dua dimensi yang berbeda. ada yang melihat masa dan jalanan sebagai batas pemisah. pemisah antara destinasi. kata mereka, masa memisahkan hari ini dan besok. manakala jalanan, menurut mereka, memisahkan antara toko buku dan kedai kopi. lalu, ada yang menolak untuk melalui masa dan jalanan itu. aku mahu berada pada kelompok kedua. yang melihat masa dan jalanan sebagai penghubung. masa menghubungkan hari ini dan besok. jalanan menghubungkan toko buku dan kedai kopi. dengan melalui masa dan jalanan menuju tujuan, kita akan bertemu pelbagai hal yang membuat kita belajar sesuatu yang baru. akhirnya, hidup di dunia bukanlah sekadar destinasi-destinasi yang kita pilih, tapi tentang perjalanan dan pengembaraan yang kita lalui menuju ke destinasi itu. masa dan jalanan yang dilalui adalah sangat masing-masing untuk setiap orang. justru, masa yang sama dan jalanan yang sama akan mempertemukan orang-orang di persimpangan yang menyatukan laluan mereka ke hadapan.

...


tujuhbelas, 
tentang memberi harapan. tentang berjanji. ya, janji bukan sekadar kata-kata dalam percakapan atau tulisan. tapi bagaimanakah kita ingin menyampaikan janji kita kepada orang lain kalau bukan melalui kata-kata? ah, mungkin ada cara lain yang aku belum tahu. begitu banyak orang-orang berjanji untuk itu dan ini. sepertinya sangat mudah untuk orang-orang berbuat janji. sepertinya setiap janji itu terlalu ringan untuk diperkatakan. ya, janji adalah cara untuk menunjukkan bahawa kita serius untuk memperjuangkan sesuatu. tapi, marilah menjadi lebih bijaksana dan matang dalam berjanji. menjadi lebih bijaksana dan matang dengan kata-kata kita dalam berjanji. kita boleh berjanji untuk dan atas apa-apa pun. tapi, jangan berjanji dengan kata-kata yang bernada seperti "kita pasti akan mendapatkannya". tapi berjanjilah dengan kata-kata yang nadanya adalah "kita pasti akan -berusaha semampu kita untuk- mendapatkannya". ada bezanya kan? kerana, yang menentukan setiap sesuatu itu berlaku atau tidak bukan kita, tapi Tuhan. jika Dia mengizinkan, maka terjadilah. jika tidak, maka tidaklah. yang kita mampu lakukan hanyalah berusaha, berdoa dan bertawakal. itu yang kita belajar daripada kalimah 'insyaAllah' kan? begitu, sandarkan setiap janji pada takdir Tuhan agar kita tidak mudah kecewa dan mengecewakan orang lain.

tujuhbelas, 
bahawa semua manusia tidak terlepas daripada berbuat silap, berlaku salah. kita tersilap dalam memilih keputusan. kita tersalah dalam tindakan. kita tersilap dalam kata-kata dan tulisan. kita tersalah menilai orang lain. kita tersilap memahami orang lain. alangkah begitu banyak silap dan salah kita kepada diri sendiri, kepada orang lain dan kepada Tuhan. hakikatnya, tidak ada manusia yang sentiasa benar. orang-orang yang nampak baik dan suci juga adalah bekas pelaku salah, yang pernah tersilap. permohonan maaf yang paling baik adalah perubahan sikap. begitu, orang-orang menjadi lebih baik dengan menyedari, mengetahui salah dan silap yang terlanjur mereka lakukan, kemudian mereka ikhlas memohon maaf kepada diri mereka sendiri, kepada orang lain dan kepada Tuhan atas semua kesilapan dan kesalahan itu. akhirnya, semua kesilapan dan kesalahan menjadi sebuah pengalaman yang akan mengajarkan banyak hal menuju masa-masa ke hadapan. sungguh, menyedari bahawa diri kita sedang berdosa adalah satu tanda bahawa Tuhan masih menyayangi kita, tanda kita masih memiliki iman. setidaknya kita tidak menjadi orang yang hidup, kemudian mati hanya dengan berfikir mereka tidak berbuat apa-apa kesalahan. sudah tentu, merasa berdosa saja tidak cukup. perlu ada taubatnya. semoga kita kekal dalam suluhan hidayah Tuhan.

tujuhbelas, 
sungguh, Tuhan tidak pernah menolak doa-doa hambaNya. cuma, cara setiap doa dijawab itu beda-beda. jawapan Tuhan tidak pernah kosong. ada doa yang segera dijawabNya dengan "ya", ada pula doa yang dijawabNya dengan "ya, tapi belum sekarang", dan ada pula doa jawapannya adalah "tidak, Aku ada sesuatu yang lebih baik untuk kamu". ya, Tuhan tidak pernah membiarkan kosong setiap tadah tangan kita kepadaNya. yakinlah bahawa setiap doa-doa kita didengar oleh Tuhan. dan yakinlah bahawa Tuhan pasti akan menjawab doa-doa kita dengan jawapan yang paling baik menurutNya, bukan yang baik menurut kita. Tuhan maha mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui apa pun. bersabarlah sebentar untuk doa-doa yang belum kita terima jawapannya. Tuhan sedang merencanakan sesuatu untuk doa-doa itu.

tujuhbelas, 
aku menemukan sesuatu dalam pembacaanku yang aku kira adalah hikmah daripada sebuah pengalaman. pertama, jangan berjanji ketika kita sedang gembira. kedua, jangan memberi jawapan ketika kita sedang marah. dan ketiga, jangan membuat keputusan ketika kita sedang bersedih. aku tidak tahu bagaimana kau akan memahami ini, dan aku juga tidak tahu daripada mana ianya datang, tapi, sungguh aku menyedari bahawa hal ini adalah benar dan sebuah kebijaksanakan untuk dijadikan pegangan dalam hidup. lebih-lebih lagi setelah berlalu banyak hal dalam tempoh panjang sehingga hari ini. semoga selepas ini, hikmah datang dahulu sebelum kesabaran kita hilang. atau semoga kita kekal dalam kesabaran sehingga kita bertemu hikmah atas segala ujian yang kita lalui. sungguh, pengalaman adalah guru yang terbaik dalam menjalani hidup.

...

masih ada selonggok kertas putih yang tersimpan dan pena ini masih ada dakwatnya. nah, satu lagi naskhah tertulis. sesungguhnya, aku sedang mengutuk diriku sendiri setiap kali aku membaca tulisan-tulisanku, kerana, alangkah banyak kata-kata yang masih tersangkut sekadar tulisan di atas kertas, belum sampai kepada amal perbuatanku. hujan sedang turun lebat ketika naskhah ke-sembilan ini hampir habis ditulis. juga ada setin air kopi yang sudah habis separuh diteguk. ada tumpah sedikit. begitulah, tangan kanan bertukar-tukar antara pena dan tin kopi. sambil menulis sambil minum kopi. nasib saja tidak tertumpah ke atas kertas putih ini. belakangan ini, hujan sering turun di sini. mungkin cuaca seperti ini akan berterusan lagi untuk beberapa hari. dingin sekali. di luar langit masih gelap. matahari belum muncul. jika matahari muncul sebelum malam, pasti akan ada pelangi petang ini. apakah di sana sedang hujan juga?

sekian.
 | tujuh belas julai dua ribu enam belas.

Friday, July 15, 2016

atas semuanya yang terjadi pada dan setelah perjalanan pulang kemarin.




























apa?
kenapa?
bagaimana?
bila?

































ada pertanyaan-jawapan yang masih disimpan,
kan?




























Tuesday, July 12, 2016

retrouvailles.










persisiran highway, bandar tawau.
100716 | ahad.













---

















sedangkan cakrawala yang jauh lebih luas daripada lautan dan jauh lebih tinggi daripada langit yang sekadar kelihatan ini pun sangat mudah bagi Allah mengaturnya dengan begitu tertib dan cantik, apalagi urusan-urusan kita yang kecil kerdil ini.
   kkia | 120716 (selasa).




















__________
*retrouvailles [french]; the happiness of meeting again after a long time. 
--well, raya is all about reunion, families and friends, here and there.


Tuesday, June 28, 2016

immersed.









itulah kita manusia
sentiasa ter-__

ter-buat dosa
ter-tidak bersyukur
ter-angkuh sombong 

ter-lupa Tuhan.

haha
lupa pun ada ter-
lupa yang ter-lupa
lupa yang di(tidak)sengajakan? 

...

dalam surah lima puluh lima, ar-rahman
Allah ulang ayat ini;

"maka, nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?"

bukan sekali
bukan dua kali
bukan lima kali
bukan sepuluh kali
bukan dua puluh kali

tapi, diulang tiga puluh satu kali.

tadabbur analoginya, kalau sekali kita ter-lepas pandang, ter-tutup mata dan ter-abai satu nikmat, lalu kerana ter-__ itu, membawa kita kepada ter-__ yang lainnya, maka, ada tiga puluh kali lagi atau ada tiga puluh nikmat lain untuk terus dan terus kita diperingatkan.

...

eh kejap,
belum selesai lagi.
tengok dalam surah enam belas, an-nahl, ayat lapan belas;

"dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya.."

ha, nampak kan?
sayang tak sayangnya, peduli tak pedulinya Allah kepada kita.

:)


Friday, June 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (viii).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. ni hao ma? 
mari belajar daripada penunjuk masa, penunjuk waktu. jarum-jarum waktu yang berputaran dalam lingkungan melengkapkan satu bulatan. pada jarum saat yang geraknya laju, pada jarum minit yang jalannya sederhana tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan, dan pada jarum jam yang hanya beranjak sedikit-sedikit. kita boleh memilih untuk menjadi jarum yang mana. mungkin menjadi jarum saat yang cergas dan lincah, meski langkah kecilnya tidaklah membawa makna besar, tapi ia menjadi penggerak untuk menggerakkan jarum-jarum yang lain. atau bisa menjadi sesederhana jarum minit yang berada di tengah-tengah, tetap juga bergerak dalam konsistensinya. atau cukup menjadi jarum jam, yang sangat sedikit geraknya hampir tidak kelihatan, tapi jika ia bergerak, justru akan membawa perubahan signifikan yang sangat besar kepada waktu. nah, memilihlah untuk menjadi jarum-jarum waktu, sama ada saat, minit atau jam. yang pentingnya kita tetap dan terus bergerak. kerana jarum waktu yang tidak bergerak adalah waktu-waktu yang mati, hilang jiwanya.

...

tujuhbelas,  
kita(mungkin) adalah manusia yang terperangkap(mungkin) dalam sebuah ruangan teka-teki yang sangat kompleks dan rumit untuk difahami apalagi untuk diselesaikan. bayangan daripada kisah masa silam yang sukar untuk hilang dan dilepaskan, mungkin kita memang masih tidak mampu(mahu) melepaskannya sekarang, lalu bayang itu membataskan langkah kaki kerana ia sentiasa menarik kita untuk menoleh ke belakang. pintu-pintu masa depan yang tidak diketahui akan membawa ke mana, membuatkan kita tidak yakin untuk membukanya. gambaran watak-watak abstrak pada dinding yang kita tidak jelas apa motifnya sungguh mengelirukan. nah, apakah memang tidak ada jalan keluar daripada semua ini? sebentar, jalan keluar itu sebenarnya ada menurutku. hakikat bahawa kita telah melangkah gerbang masuk ke dalam ruangan ini adalah bukti bahawa akan ada jalan keluarnya. setidaknya, kita boleh keluar semula melalui gerbang masuk itu kalaupun tidak bertemu gerbang keluarnya. cuma, yakinlah, yang memasukkan kita ke dalam ruangan teka-teki ini adalah Tuhan yang memegang takdir, dan pasti Dia memiliki perancanganNya yang khusus dan sempurna. mungkin setelah kita benar-benar belajar dalam ruangan ini atau bertemu jawapan sebenar atas segala persoalanNya, Dia akan menunjukkan jalan keluar. tetaplah berdoa mohon petunjuk.

tujuhbelas,   
ramadhan; alangkah indahnya bulan ini. dan alangkah beruntungnya untuk dipilih berada dalam bulan indah ini. kita memasuki bulan ini tepat pada waktunya. setelah perjalanan panjang yang sangat memenatkan hati dan fikiran, kita dipertemukan dengan ramadhan. perjalanan panjang yang melibatkan perang antara iman dan nafsu, ditambah pula dengan pujuk rayu syaitan. kita terhimpit di tengah-tengahnya, ditarik-tarik dari tiga penjuru. lalu, hadir ramadhan. alangkah cantiknya percaturan Tuhan. ketika salah satunya, yakni syaitan, ditolak keluar lalu himpitan dan tarikan itu terasa semakin longgar. yang tinggal hanya iman dan nafsu. nah, inilah masanya untuk menyelam ke dalam diri, mencari tahu apa sebenarnya yang tersimpan dalam dasar hati kita, apa sebenarnya yang kita mahukan, apa sebenarnya yang kita perlukan dan apa sebenarnya makna atas setiap apa yang telah diberikan Tuhan kepada kita. inilah masanya untuk benar-benar memiliki diri kita sendiri lalu berdiskusi dengan iman dan nafsu sendiri. bahkan ramadhan datang dengan waktu-waktu mustajab untuk kita menadahkan doa-doa kita. semoga Allah memberkati semua manusia-manusia ramadhan, dan semoga kita terpilih menjadi tetamu lailatul qadr. 

tujuhbelas,  
menurutku, kehidupan adalah 'puasa' panjang. puasa panjang ini bermula ketika kita lahir di dunia. lalu sepanjang hayat kita, kita berpuasa. sehinggalah nantinya kita akan berbuka setelah kita pulang bertemu Tuhan. ya, dunia menawarkan seribu satu nikmat yang begitu menggiurkan untuk diambil dan dimiliki. tapi, tidak semua nikmat ini akan berkekalan dan menenangkan selagi kita berada di dunia. kerana itu, kita berusaha untuk 'berpuasa' daripadanya. sudah tentu, puasa bukanlah mudah. ada cabarannya. ada ujiannya. ia butuh iman yang benar-benar mantap dan terus istiqamah; inilah yang kita masih cari dan usahakan untuk perbaiki setiap hari. sesekali kita akan jatuh tewas, istiqamah tidak pernah mudah, tapi jangan biarkan itu memadamkan semangat untuk terus berada dalam usaha menjadi manusia taqwa. semoga kehidupan kita di dunia akan menjadi seindah, seberkah dan setenang ramadhan, juga semoga kita akan bertemu syawal yang meriah dan menggembirakan di akhirat setelah berjaya melalui puasa panjang ini.

tujuhbelas, 
adalah impian dan cita-cita yang membuatkan manusia terus hidup dalam perjuangannya. dengan impian dan cita-cita yang jelas, mereka akan mencari jalan untuk tiba kepadanya. membuka denai dengan menebas semak-samun, meletakkan titi di atas aliran sungai antara dua tebing dan membina anak tangga untuk mencapai puncak tinggi. sebesar mana impian dan cita-cita itu, maka besar jugalah perjuangan yang dibutuhkan. bahkan sebenarnya, jauh terlebih awal sebelum manusia membina cita-cita dan impian mereka ketika di dunia, Tuhan telah pun menanamkan sebuah cita-cita yang paling besar dalam setiap manusia untuk digapai ketika mereka lahir ke dunia; itulah cita-cita untuk bertemuNya di syurga. nah, untuk terus berada dalam kehidupan yang terpandu, miliki dan teruslah berpegang pada impian dan cita-cita yang jelas, sama ada yang ingin dicapai di dunia mahupun di akhirat.

... 

naskhah kelapan. ya, naskhah ini masih bersambung lagi dan mungkin akan terus bersambung ke naskhah ke-sembilan, ke-sepuluh dan seterusnya. entah bila dan di mana akan berhenti. mungkin apabila pena ini kehabisan dakwatnya atau tiada lagi kertas kumal untuk diconteng. naskhah ini akan aku lipat-lipat menjadi perahu kertas jika bertemu laut dan aku lepaskan ia berlayar. meski tidak akan jauh, sebentar saja pasti akan basah dan tenggelam hilang. atau jika aku bertemu langit, naskhah ini akan menjadi lipatan kapal terbang kertas dan aku lepaskan ianya terbang. meski tidak akan pergi setinggi mana, sekejap saja akan hilang jatuh menjunam ke tanah. hmm, setakat di sini sajalah untuk naskhah ini dan terima kasih telah membaca sehingga ke ayat ini. sungguh, aku sedang menulis tentang diriku dan kepada diriku sendiri sebelum naskhah ini dibaca orang lain.

sekian.
 | tujuh belas jun dua ribu enam belas.