Showing posts with label chenta. Show all posts
Showing posts with label chenta. Show all posts

Monday, May 18, 2015

of trial and love.




Seluk poket seluar. Sambil tarik keluar kotak Winston Putih, Uncle Ben berkongsi kata-kata ini.

"Cinta adalah ujian. Dan ujian terbesar adalah pada apa atau siapa yang paling kau cinta. Kau hisap rokok?"

Aku geleng sambil senyum.

Jeans Levi's koyak lutut. Jaket Denim, dibiarkan tidak berbutang menampakkan baju pagoda lusuh yang dipakainya di dalam. Selipar jepun.

Kotak Winston Putih ditepuk-tepuk pada telapak tangannya. Sebatang rokok ditarik dari kotak. Sua ke mulut. Tangannya kembali ke poket. Keluarkan pemetik api.

Aku datang untuk tengok-tengok seluar. Ini kali pertama aku datang ke situ. Aku dengar cerita member-member, katanya bundle area sini barang bagus-bagus, murah pulak tu. Pusing-pusing, aku akhirnya jumpa sehelai di kedai ni. Kain bagus lagi, cuma bottom dia lebar. Aku bukan reggae. Jadi, aku minta Uncle Ben repair bagi kecil sikit. Dia cas RM 2 untuk repair. Seluar tu aku tawar RM 30. Not bad la. Kalau masuk butik mahu sampai seratus lebih. Tak masuk GST lagi.

Asap keluar masuk mulut Uncle Ben. Jarum pun keluar masuk kain. Serentak. Sebelah tangan pegang kain, sebelah pegang rokok. Power Uncle Ben ni. Dalam pada itu, aku tekun dengar sambungan ceritanya. Aku memang suka dengar cerita-cerita penuh falsafah dari orang-orang lama.

"Aku dulu pernah ada bini. Dia orang Perak."

Aku menangkap ada perkataan 'pernah' dalam ayatnya. Belum sempat aku tanya Uncle Ben sudah bagi jawapannya.

"Dia meninggal eksiden empat tahun lepas. Masa tu dia mengandung anak pertama kami. Kau tau macammana aku rasa masa tu? Ah, kau mana tau. Kau budak lagi. Kau pernah sekolah kan? Mesti kau tau apa akibatnya kalau gagal ujian.."

Ya. Gagal dalam ujian adalah sesuatu yang agak menyebalkan. Aku tahu apa rasanya sebab aku bukannya student genius, apa lagi yang jenis rajin belajar. Bila gagal ni, dia buat kita mencari sesuatu untuk disalahkan. Masa tak cukup lah, soalan luar topik lah, tak sempat prepare lah, macam-macam lagi lah. Padahal salah sendiri malas belajar.

"...Ya, aku pernah gagal. Aku salahkan semua orang. Dan paling teruk aku salahkan takdir. Kalau gagal ujian di sekolah paling-paling kau kena marah cikgu atau mak bapak kau. Kalau gagal ujian kehidupan, kau fikir siapa yang marah? Tuhan yang akan marah kau. Tuhan... Kau sembahyang tak?.."

Aku angguk.

"...Itu kau jangan tinggal."

Uncle Ben senyap sebentar. Bunyi mesin jahit dan hingar bingar kawasan bundle berdekatan bersatu mengetuk gegendang telingaku macam pancaragam. Lepas 10 minit Uncle Ben sudah siap jahit. Dia suruh aku try dulu. Aku masuk fitting room. Aku tak try pun. Saja masuk. Nak hadam kata-kata Uncle Ben tadi. Aku keluar balik. Uncle Ben mengelamun panjang. Mungkin fikirkan arwah isterinya.

"Dah ok."
"Baguslah. Pasal cerita aku tadi. Aku sebenarnya cuma nak pesan, hati-hati bila kau menjatuhkan cinta. Kalau kau silap, maka kau akan gagal ujian paling besar."

Aku hulur not RM 50. Uncle Ben pulangkan not RM 10 dua keping. Dia kata halal lah dua ringgit tu. Lepas salam aku, Uncle Ben buka radio. Suria Cinta bersama DJ Lin. Perghh, memang lejen betul jiwa Uncle Ben ni.

Well, haritu sekali lagi aku belajar dari pengalaman orang.


__________________________________________
*ini cuma cubaan untuk menulis dengan penuh indie. haha. buruk betul.


Sunday, May 10, 2015

bue.




   Sebelum sulur cahaya fajar mekar, Toyota Fortuner itu sudah sampai Tugu Kartasura. Jalanan masih sepi dan lengang. Hanya sesekali satu dua mobil dan bus Sumber Kencono melesat memecah keheningan. Fortuner itu mengambil jalan ke kanan, ke arah Jogja, melaju dengan tenang. Sebelum sampai markas Kopasus belok kanan masuk dukuh Sraten yang masuk dalam wilayah Pucangan, Kartasura.

   Rumah-rumah masih rapat menutup pintu dan jendelanya. Hanya beberapa rumah saja yang sudah membuka pintunya tanda sang penghuninya sudah siap beraktifitas. Mereka yang telah membuka pintu di hari masih gelap seperti itu biasanya adalah para bakul yang harus sampai di pasar sebelum subuh tiba. Kecuali sebuah rumah tak begitu jauh dari masjid Al Mannar. Itu adalah rumah kelahiran Khairul Azzam. Sejak jam tiga Lia dan ibunya telah bangun dan menyiapkan segalanya menyambut kepulangan Azzam.

   Hati Azzam bergetar. Rumahnya masih seratus meter lagi, tapi ia seperti telah mencium bau wangi ibunya. Ibu yang sangat dicintainya, telah sembilan tahun berpisah lamanya. Matanya basah. Diujung dua matanya air matanya meleleh. 

   Saat cahaya fajar perlahan mulai mekar, fajar keharuan luar biasa mekar di hati Azzam. Fortuner itu berhenti di halaman rumahnya. Bu Nafis dan Lia sudah berdiri di beranda. Azzam turun dengan derai air mata yang tak bisa ditahannya.

   "Bue...!"

   Ia bergegas mencium tangan ibunya lalu memeluk ibunya penuh cinta. Tangis bahagia Azzam tak tertahan lagi. Tangis pertemuan seorang anak dengan orang yang telah melahirkan, merawat dan mengajarkannya kebaikan, setelah sekian tahun lamanya ditinggal pergi. Ibunya juga menangis bersedu-sedan. Tangis kerinduan yang memuncak dan tertahan ber tahun-tahun lamanya. Azzam kesengukan dalam pelukan ibunya. Lia, Husna, Eliana bahkan Pak Marjuki menitikkan air mata.

-Ketika Cinta Bertasbih jilid 2, Habiburahman al-Shirazy. 
 Bab 9; Bertemu Ibu, m/s 147-148.


_________________________
selamat hari ibu, bonda sayang.  harap nanti akan bisa seperti mas azzam kepada buenya. saat aku juga pulang ke syurga dan bertemu bonda. aku akan berlari mendapatkan bonda. memeluk erat bonda dengan penuh cinta dan rindu. 

bonda tunggu ya. :')



Saturday, February 28, 2015

seindah bougainvillea 05.




   Alhamdulillah. Sudah pun berlalu seminggu sejak hari Mak Senah pergi menghantar Man ke sekolah barunya. Hari itu Cikgu Nur menghantar mereka berdua dengan kereta kancilnya. Dan Cikgu Nur juga yang membantu menguruskan proses pendaftaran Man di sana.

   Mak Senah melalui hari-hari biasanya seorang diri. Seawal pagi dia keluar mengayuh membawa makanan bungkus untuk dijual di luar pagar sekolah. Petangnya berehat di rumah bersama pokok-pokok bunganya, membersihkan apa yang patut sebelum pergi ke kedai untuk membeli barang masakan yang sudah kurang. Malamnya pula usai solat isya', menyiapkan barang jualan untuk hari esok. Kalau hari cuti sekolah, Mak Senah datang melawat jiran-jirannya dan jika ada kenduri dia pasti hadir membantu apa yang patut di dapur.

   Sunyi?

   Rindu?

   Siapa yang boleh menipu tentang hati dan perasaan seorang ibu. Apalagi untuk seorang ibu yang ada cuma satu-satunya anak lelaki. Apalagi untuk seorang ibu yang tinggal sendirian tanpa suaminya. Tapi Mak Senah sudah berjanji kepada kepada Man bahawa dia tidak akan bersedih lagi di hari kemudian untuk keputusan yang mereka pilih bersama ini. Bahkan Mak Senah sudah berjanji pada dirinya sendiri agar jangan pernah meragukan takdir Tuhan, yakin bahawa dia dan Man akan sentiasa berada di bawah perhatianNya. Dia telah bertekad untuk tetap kuat.

  Rutin antara maghrib dan isya' Mak Senah tetap dijalaninya seperti biasa meski kali ini tanpa Man yang berada di hadapan mengimamkan solat mereka, meski dia tidak lagi mengaminkan bacaan doa daripada Man yang sentiasa terselit namanya dan nama arwah suaminya, meski tanpa dia dan Man membaca Al-Quran bersama, memperbetuli bacaan masing-masing. Ya, kali ini semua itu dilakukannya seorang diri. Solat sendirian. Berdoa sendirian. Membaca Al-Quran sendirian.

   Tapi, malam itu Mak Senah tidak lagi kuat untuk menampung rindunya. Hari ini dia baru tersedar bahawa bebanan rindu yang dipikulnya sudah berganda dua. Rindu berat pada arwah suaminya sudah ditambah dengan rindu pada anaknya. Sungguh, dia tidak pernah menduga hatinya akan jadi sedu seperti ini pada hari dia memutuskan untuk melepaskan Man. Ternyata dia belum cukup kenal dengan hatinya sendiri.

   Sungguh bersendiri dalam kesukaran beginilah manusia akan lebih dekat kepada Tuhannya, merasakan diri sungguh lemah tidak punya kuasa.

   Sejadah hijau lusuh yang sudah dilipat dua, dibukanya kembali. Sejadah yang telah banyak menyambut dan menampung air mata Mak Senah ketika dia hanyut dalam sujud panjangnya. Sejadah yang saban waktu mendengar luahan sedu, permintaan-permintaan penuh rendah diri, dan pujian syukur Mak Senah kepada Tuhan. Sejadah yang berkongsi cerita suka duka Mak Senah sedari hari pertama dahi Mak Senah menyentuhnya. Kisah hidup Mak Senah ada tersimpan kemas pada sehelai sejadah.

   Pada malam ini sekali lagi sejadah hijau lusuh akan menjadi peneman Mak Senah mengadu dan meminta pada Tuhannya. Sejadah hijau lusuh juga sudah cukup kering untuk terus menerima hujan air mata daripada wajah cekal itu.

   Dan Mak Senah pun mengangkat dua tangan untuk takbiratul ihram.

   Allahu akbar..

   Tapi, belum pun sempurna kedua telapak tangannya bertemu di atas dada, Mak Senah berhenti. Air matanya mengalir lebih awal. Dia hilang fokus. Dicubanya lagi untuk mengangkat takbir. Sekali lagi, ia tidak dapat disempurnakan. Mak Senah menatap sejadah. Menyeka air matanya sendiri. Tarik nafas sedalamnya dan melepaskan perlahan, mahu menenangkan diri.

   Sekali lagi, diangkat dua tangannya ke paras bahu.

   Allahu akbar..

   Ah, akhirnya Mak Senah mengaku kalah. Dia masih belum mampu. Dia terus saja merebahkan tubuhnya di atas sejadah hijau lusuh. Airmata yang tadi ditahan-tahan agar tidak jatuh, terus saja mengalir laju membasahi telekung putih dan sehelai sejadah yang tahu benar apa yang ditanggungnya.

   Dalam sedu Mak Senah cuba bangun menadah tangan, berdoa.

   "Ya Allah, ujian apakah ini? Aku sudah tidak mampu menyempurnakan solatku. Aku tertahan dengan beban cinta dan rindu. Apakah aku benar menyimpan cinta dan rindu ini?  Sungguh aku tidak tahu.. Ampunkan dosaku ya Allah. Ampunkan dosaku.."


[done 05. nanti disambung lagi..]
_episod 4
_episod 3
_episod 2
_episod 1

Sunday, January 04, 2015

seindah bougainvillea 04.




   Usai solat maghrib. 

   Mak Senah berteleku sebentar di atas sejadahnya menunggu Man yang sedang bakdiyah maghrib. Diperhati setiap olah gerak anaknya itu. Mak Senah senyum. Masa sudah berlari cukup jauh. Kalau dulu, di hadapan itu adalah suaminya bersama utas tasbih, memimpinnya dengan untaian zikir fatimah. Kini peran itu dibawa oleh anaknya pula. 

   Memikirkan soal waktu dan masa, Mak Senah terkadang bisa mengalirkan air mata jernih. Waktu dan masa kadang tidak mudah untuk di hadapi. Memikirkan masa hadapan dia dan Man, siapa kelak di antara mereka berdua yang akan pergi dahulu menyusuli suaminya. Apakah dia atau anaknya. Dan Mak Senah tidak pernah mampu untuk memilih. Jika dia pergi dahulu, apa yang bakal Man lalui tanpa dia? Terbelakah hidupnya jika Man tinggal sendirian? Dan jika berlaku sebaliknya, apakah dia kuat untuk kesunyian itu? Seberat mana pula beban kesedihan yang bakal menimpanya? Atas segalanya, apakah imannya akan tetap utuh untuk menafikan segala sesal atas segala takdir yang ditetapkan untuknya?

   Dan kali ini, hal yang paling diharapkannya berlaku lebih lambat, kini telah  benar-benar terjadi meski hanya perpisahan antara dua jasad yang masih berada di dunia. Merenung lebih dalam Tuhan sungguh bijaksana. Mungkin ini medan untuk Mak Senah belajar menjawab persoalan-persoalan tadi. Mungkin ini juga medan untuk Mak Senah dan Man mempersiapkan diri untuk perpisahan akhir yang pasti bakal terjadi yakni kematian.

   Ketika Man hampir kepada ucapan salam selepas tahiyat akhir, Mak Senah mendapatkan naskhah al-Quran. Dibuka mushaf usang itu yang lembarnya berwarna kekuningan. Mahu menyambung bacaan hariannya. Tapi, malam itu Mak Senah tidak memakai kacamata yang menambah jelas penglihatan tuanya. Sengaja. Dengan itu, bacaanya tersangkut-sangkut. Melihat Man yang selesai mengaminkan doanya, segera disapa anaknya itu.
"Man, tolong mak baca Quran ni. Mak tak berapa nampaklah Man."
"Mak tak pakai kacamata lagi?"
"Takpalah Man. Malam ni Man jadi kacamata mak ya."
"Oh, baik mak."
   Man memimpin bacaan emaknya satu persatu. Meski bertatih dan perlahan, mereka akhirnya berjaya menghabiskan bacaan untuk dua muka surat. Masih ada masa yang berbaki sebelum isya'. Mak Senah memilih untuk menyatakan berita yang disimpan-simpannya sejak Ustazah Nur bertandang ke rumah mereka beberapa hari lepas.
"Man, bawah tilam Mak ada sampul surat warna coklat. Man ambil bawa ke sini."
   Itulah surat yang dibawa oleh Ustazah Nur kepadanya. Selepas menimbang baik buruk, Mak Senah sudah punya keputusan. Dan dia memilih untuk Man pergi, meski itu bukan keputusan yang mudah. Tapi, ini bukan untuk dirinya dan diri Man yang sekarang. Tetapi untuk diri Man pada masa depan, meski masa depan itu mungkin tanpa dia. Masa akan tetap berlalu meski manusia tidak bersedia.
"Surat apa ni mak?"
"Ustazah Nur hantar haritu. Man dapat tawaran masuk sekolah asrama penuh nak. Alhamdulillah. Mulai esok kita buat persiapan sama-sama ya. Ustazah Nur kata banyak nak selesaikan segera sebelum Man pergi mendaftar kat sana. Nanti dia datang tolong jugak."
   Mak Senah cuba menuturkan khabar itu dengan penuh gembira itu sambil menahan hiba. Enggan Man tahu betapa dia sebenarnya masih tidak yakin untuk melepaskan. Man senyap. Tekun membaca butir-butir yang tertulis. Man jelas dengar apa yang dituturkan emaknya.
"Nanti siapa yang nak jaga mak?"
   Mak senah sudah menjangkakan soalan itu dari Man. Dengan tenang dia menjawab,
"Mak tahulah nak jaga diri Man. Selama ini Mak siap jaga kamu sekali kan. Kamu juga yang cakap masuk sekolah ni bagus kan. Mudah nak belajar, cikgu dan kawan-kawan yang pandai ramai boleh tolong. Kalau Man duk dengan mak kat sini, mak mampu ajar Man bungkus nasi lemak je nak.." 
   Man senyap. Dia tidak pernah mahu menolak keputusan emaknya. Keputusan emaknya adalah keputusannya. Dia tidak akan berdalih. Tapi, ini tetap tidak mudah.
"Kalau Man rindu mak macam mak rindu ayah macammana?"
   Mak Senah akhirnya kalah. Airmatanya jatuh juga membasahi telekung putehnya. Segera dirangkul tubuh Man. Dipeluknya kuat. Man menyambut peluk hangat itu dengan rangkulan yang lebih kuat. Airmatanya juga jatuh. Dalam esak itu, Mak Senah cuba menjawab tanya Man.
"Kalau Man rindu, Man tulis surat nak. Kirimkan ke mak. Mak akan balas suratmu nak. Mak tidak punya apa-apa untuk kamu. Ini saja yang mak mampu nak. Kamu amanah ayah buat mak. Jangan sia-siakan harapan ayahmu nak."
"Kalau itu keputusan mak, Man tak kisah mak. Man sayang mak."
"Mak juga sayang kamu nak." 
   Ia adalah sela masa antara maghrib dan isya' yang paling panjang buat Mak Senah dan Man. Akhirnya keduanya bangkit untuk solat isya' dan Man menuturkan doa panjang usai solat.



[episod 4 dan bersambung lagi..]

Wednesday, May 21, 2014

kerongsang untuk Ana.




staring at the ceiling in the dark
same old empty feeling in your heart

staring at the bottom of your glass
hoping one day you'll make a dream last
but dreams come slow and they go so fast

maybe one day you'll understand why
everything you touch surely dies..

Kopitiam Kotaraya. Hujan. Dinding kaca tepi meja Ray basah dari luar. Passenger 'Let Her Go' dipasang perlahan pada corong bunyi, cukup masuk dengan bunyi hujan. Secawan Mexican Cappucino, kamera hitam dan buku Kahlil Gibran, Sayap-sayap Patah. Tipikal jiwa Ray. 

Sementara menungggu, pada sehelai kertas memo sederhana Ray menulis sesuatu. Tidak lama, Ana datang dengan sekaki payung lutsinar. Semacam biasa, dengan blausnya. Kali ini warna krim. Rambut ikal mayang panjangnya diikat pada paras bahu. Ana melangkah masuk ke dalam kopitiam. Ray lipat kemas kertas yang ditulisnya tadi. Selit dalam buku.
"Kenapa nak jumpa aku tiba-tiba dengan hujan begini."
"Duduklah dulu. Nak minum? Macam biasa?"
"Hmm, okay."
Ray angkat tangan ke arah waiter. Meminta untuk datang ke meja mereka.
"Peanut Buttercup Hot Chocolate for her please."
Sunyi sebentar. Ana menatap Ray. Ray cuba membuang pandang daripada itu. Tidak seperti biasa. Akhirnya, Ray tekad. Biar segalanya segera selesai, dia tidak mahu berlama di situ.
"Ana. Mungkin ini terlalu mengejut. Tapi, aku dah fikir masak pasal ini. Its a tough decision for me. For both of us perhaps."
"Ray? What do you mean by that?" 
Kotak kecil warna puteh berbalut reben merah Ray keluarkan dari beg sandangnya. Kertas yang diselitnya dalam buku juga dikeluarkan. Kedua-duanya didorong sekali ke arah Ana.
"This is for you."
"Apa ni?" 
"I can't explain everything here, Ana. Its too complicated. You know I'm not good with words. So, aku cuba tulis sesuatu dalam ini. Aku pun tak pasti kau akan faham atau tidak. Ah.. tapi aku harap kau faham."
"But, Ray.."
"Ana, lets break up.." 
Sejurus itu, kamera hitam dan buku Ray masukkan ke dalam beg. Ray bangun dan meninggalkan tip bayaran untuk 2 cawan yang ditempah mereka. Ray melangkah meninggalkan Ana yang senyap sendirian dengan kedinginan. Kaku terpana. Ray terlalu laju dalam beberapa saat.

Ana membuka balutan reben merah pada kotak puteh. Kemudian mengangkat perlahan penutupnya. Ada cahaya bersinar-sinar dari dalam kotak. Segugus kerongsang bunga ros merah. Cantik.

Ana terpaku lagi. Lipatan kertas pula dibukanya. Dakwat hitam memenuhi halaman yang terlipat ke dalam. Ana membacanya diam-diam sendirian. Dalam pada itu, sepertinya hujan telah beralih masuk ke dalam kopitiam itu dan jatuh mengalir di pipi Ana.

Kerongsang tu untuk kau dan penjelasan aku ada dalam 17:32 dan 24:31. Kalau kau tak tahu, itu ayat al-Quran. Kau carilah.
Ini yang aku belajar dalam usrah. Aku minta maaf Ana.

Diluar, Ray melangkah pergi meninggalkan kopitiam. Langkahnya kurang yakin. Cuba untuk tidak memandang bayang yang ditinggalnya. Masih tidak berani, Ray memandang juga sekilas ke belakang. Dengan perlahan berbisik, entah kepada siapa. Kepada hujan barangkali.
"Kerongsang itu harapan aku untuk kau. Aku doakan kau. Aku akan tunggu apa kata takdir untuk kita.."

well you only need the light when it's burning low
only miss the sun when it starts to snow

only know you've been high when you're feeling low
only hate the road when you're missin' home

only know you love her when you let her go
and you let her go..



[the end]



______________________________________________
cerita orang orang yang mengantuk dan tak mahu tidur.
ok, dah boleh sambung tulis thesis.. keh keh keh. 


Thursday, May 01, 2014

konfesi ailovyu.






(i)
Dari Mu’az r.a berkata,
“Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Azza Wajalla berfirman, “Orang-orang yang saling menyintai kerana keagunganKu, maka mereka itu akan memiliki mimbar-mimbar dari cahaya yang diinginkan pula oleh para nabi dan para syuhada.”
(HR Tirmizi)


(ii)
Dari Abu Karimah Al-Miqdad bin Ma’dikariba r.a dari Nabi s.a.w, baginda bersabda:

“Jika seseorang itu mencintai saudaranya, maka hendaklah dia memberitahukan kepada saudaranya itu bahawa dia mencintainya”
(HR Abu Daud dan Tirmizi)


(iii)
Dari Anas r.a bahawa ada seorang lelaki duduk di hadapan Rasulullah kemudian ada seseorang yang lalu di situ, lantas orang yang duduk di hadapan Rasulullah berkata, “Wahai Rasulullah, sungguh saya mencintai orang itu”
Nabi s.a.w bertanya kepadanya, “Apakah kamu sudah memberitahu kepadaanya?” Lelaki itu menjawab, “Belum” Baginda berkata, “ Beritahukanlah kepadanya” Kemudian lelaki itu menemui orang itu dan berkata, “Sesungguhnya saya mencintai kamu kerana Allah” Orang itu menjawab, “ Semoga kamu dicintai oleh Zat yang menjadikan kamu mencintaiKu keranaNya”
(HR Abu Daud)


(iv)
Dari Abu Idris Al-Khaulanin rahimahullah berkata, 
“Saya masuk masjid Damaskus dan di sana ada seorang pemuda yang mengkilat giginya. mereka selalu mengerumuninya dan jika mereka berselisih pendapat maka mereka minta pertimbangannya, maka saya bertanyakan tentang pemuda itu, lantas dijawab bahawa pemuda itu adalah Mu'az bin Jabal r.a.
Esok harinya saya pagi pagi benar datang ke masjid tetapi pemuda itu lebih pagi daripada saya dan saya dapatkan dia sedang solat. Saya menunggu sehingga dia selesai solat kemudian saya datang kepadanya dari arah depannya serta menyampaikan salam dan berkata,
"Demi Allah, saya mencintaimu kerana Allah"
Dia bertanya, "Benar kerana Allah ? "
Saya menjawab, "Ya kerana Allah"
Dia bertanya, "Benar kerana Allah?"
Saya menjawab "Ya kerana Allah"
Kemudian dia menarik hujung selendangku untuk mendekat kepadannya dan dia berkata, 
"Sambutlah berita gembira, sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah Tabaraka wa ta'ala berfirman, "CintaKu tercurah untuk mereka yang saling menyintai kerana Aku, mereka berkawan kerana Aku, mereka saling mengunjungi kerana Aku dan mereka saling membantu kerana Aku"
(HR Malik)

*Dipetik daripada Kitab Riyadus Solihin susunan Iman Nawawi. Terima kaseh Inspektor Saahab.


_______________________________________

Kehadapan kalian kalian yang indah semuanya,

Sungguh, aku tak punya berani untuk berkata seperti ini secara depan depan kepada kalian. Kalian tahu kan aku ini termasuk dalam golongan introvert itu. Izinkan aku untuk tersipu sipu sambil tunduk malu sebentar. Oleh itu, ditinggalkan catatan kumal ini dengan harapan kisah mahabbah aku dan kalian akan sentiasa hidup dan terus mekar pada tiap kali ada yang membaca.

Dan iya, aku mengaku;
"Kalian amat aku cintai, kerana Allah."

Oke, sampai ketemu lagi ya!

(^_^ )Y



Monday, January 20, 2014

seindah bougainvillea 03.



[poto]
 
   Kringgg! 
   
   Kringgg! 

   Loceng tamat sesi persekolahan bergema serata perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Manggis. Selepas berdiri memberi penghormatan dan terima kasih kepada guru yang mengajar mereka, Man mengemas segala peralatan sekolahnya. Dimasukkan dan disusun cermat ke dalam beg galas jenama Angsa. Siap. Man terus bergegas mendapatkan ibunya di luar pagar sekolah.

   Terus saja Man menghulurkan salam kepada ibunya. Dicium hangat telapak tangan berurat keras itu. Mak Senah masih berjualan kuih ketika itu.
"Macammana kelas Man, ok tak?"
"Ok mak. Ada dapat kerja sekolah sikit  tadi. Kuih habis dah mak?"
"Ada lagi sikit tak habis. Kejap lagi habis la ni."

   Tidak lama, kuih terakhir Mak Senah siap dijual semuanya. Mak Senah mengemas barang-barang berjualannya. Man tanpa disuruh, pergi mendapatkan basikal tua yang disandarkan pada pagar sekolah di belakang tempat emaknya berjualan. Dibawa ke hadapan agar mudah emaknya memasukkan segala barang-barang ke dalam bakul basikal.

  Selepas itu, dua beranak itu pulang berdua. Mengayuh basikal. Mak Senah masih lagi menjadi pengayuhnya. Dan Man masih duduk dibelakang membonceng.

   Selama hampir 6 tahun, basikal tua membawa dua beranak itu ulang alik ke sekolah. Jarak antara rumah dan sekolah tidaklah jauh. Hanya sekitar satu setengah kilometer. Jika dihitung bilang, mahu hampir 1000 kilometer telah Mak Senah berulang alik kayuh basikal peninggalan arwah suaminya itu sejak hari pertama Man masuk ke sekolah sehingga hari itu. Kalau dibandingkan, hampir sama jaraknya daripada selatan Johor ke utara Perlis jika melalui Lebuhraya Utara Selatan. Itupun, masih berbaki lebih 100 kilometer kayuhan Mak Senah. Betapa kuatnya Mak Senah untuk anaknya seorang itu, Man.

   Sepanjang perjalanan pulang, Man bercerita tentang apa yang berlaku sepanjang sesi persekolahannya pada hari itu. Apa yang dibelajarnya, kawan-kawannya, guru-gurunya dan apa sahaja tentang sekolah. Mak Senah akan mendengar penuh berminat sambil keringat jernih mengalir perlahan dari ubun-ubun ke dahinya.
"Man, mak tanya sikit boleh?"
"Tanya je mak"
"Man suka tak sekolah kat sini?"
"Emm, suka. Ramai je kawan. Cikgu pun semua baik-baik. Kenapa Mak? Mak dengar cerita Man, macam Man tak suka sekolah kat sini ke?"
"Hmm, takdelah Man. Saje je Mak tanya."

   Senyap sebentar antara mereka. Hanya bunyi rantai basikal yang berpusing, menukar tenaga kayuhan Mak Senah kepada putaran roda basikal kedengaran. Awan dan matahari juga senyap jauh di atas mereka. Sekali sekala ada bayang-bayang burung yang berterbangan melintasi dua beranak itu.
"Man, kalau sekolah arsama penuh tu bagus ke?"
"Asrama la mak. Bukan arsama."
"Haha. Yeke? Mak tak tahu la Man."
"Bagus jugak sekolah tu Mak. Cikgu-cikgu selalu cerita, siapa yang masuk sekolah asrama penuh tu masa depannya cerah nak masuk universiti. Ustazah Nur pun pernah bagitau, sebelah kaki dah ada kat universiti kalau sekolah kat asrama penuh. Jadi Man fikir, sebelah kaki lagi kat sekolah la. Maksudnya, kene berkangkang la mak. Hahahaha."
"Macam tu pulak. Kamu ni, ada-ada je."
"Hehe. Kenapa Mak tanya?"

   Soalan terakhir Man itu menyampaikan mereka ke perkarangan rumah. Man pun turun dari basikal dan segera mendapatkan  barang-barang di bakul hadapan basikal. Soalannya tadi tidak berjawab. Tapi, Man tidak kisah pun.
"Man, lepas ni pergi mandi ya. Lepas tu makan, solat dan tidur."
"Baik mak."

   Mak senah berehat sebentar di beranda rumah. Menghilangkan lelahnya mengayuh basikal. Bunga-bunga di halaman rumah diperhatikan satu persatu. Semua masih subur. Kelopaknya mekar. Mak Senah senang. Sememangnya, hobi Mak Senah ialah menanam bunga. Dan sudah tentu, halaman rumahnya penuh dengan bunga pelbagai jenis. Meski rumahnya itu tidaklah berapa cantik, hanya rumah kayu lama, tapi bunga-bunga yang di tanam Mak Senah menjadikannya indah. Dengan aroma, warna-warninya dan cerita yang pernah tertanam sama pada setiap pohon-pohon bunga itu. Meski tidak semua orang tahu, Mak Senah suka menikmatinya sendiri.

  Paling disukanya adalah sepohon bunga kertas merah jambu dan putih. Terletak di sebelah kanan tangga naik ke rumah. Pohon bunga yang penuh nostalgia antara dia, arwah suaminya dan Man. Pohon itu ditanamnya ketika awal dia mengandungkan Man. Dua warna pada bunganya adalah hasil kerja tangan Mak Senah yang 'mengahwinkan' pohon asal dengan baka dari pohon lain. Kelopak bunga kertas merah jambu mewakili Mak Senah dan kelopak putih adalah arwah suaminya. Manakala setiap batang dan ranting yang tumbuh adalah Man yang semakin menginjak dewasa. Puisi pada pohon bunga yang cukup indah.
"Mak, jomlah makan."
   Sapaan Man mengejutkan Mak Senah. Segera Mak Senah naik ke atas rumah.
"Mak panaskan dulu nasi ni ye Man. Tolong masukkan basikal kat depan rumah tu Man."
"Ok mak."

   Sambil menyiapkan makan tengahari, Mak Senah teringat akan surat tawaran Man. Malamnya nanti barangkali. Biarlah Man berehat dahulu petang itu.


[episod 3 dan bersambung..]
_episod 2
_episod 1

Sunday, January 05, 2014

serdadu kumbang.


the wonderful sk abaka 

terbang tinggi ke awan
mungkin ada yang bisa ku temukan
menyeberangi ilalang 
walaupun jauh yang harus ku tempuh 

jalan masihlah panjang 
banyak keinginan yang dilupakan
masih harus berjuang 
percayalah masih ada banyak harapan 

terbanglah terbang raihlah mimpi 
jangan berhenti terbanglah serdadu kumbang 

laju serdadu kumbang
jangan menyerah rintangan menghalang
tenang jalani semua
percayalah harapan itu masih ada 

terbanglah terbang raihlah mimpi
jangan berhenti terbanglah tinggi
terbanglah terbang raihlah mimpi
jangan berhenti terbanglah serdadu kumbang 

serdadu kumbang
terbanglah terbanglah terbanglah 

-ipang


_________________________________
cerita ini bikin aku rindu menjadi kanak kanak lebih lebih lagi pada kampung arongan dan sk abaka. di sana angan dan mimpiku mendapatkan sayapnya sampai saja ia bisa terbang tinggi mengapai awan. teman teman, walau di mana pun kalian berada, pabila hujan turun: itulah aku yang rindu untuk berlari bersama kalian! :)


Thursday, December 12, 2013

cerita hujan.



   Tik.. 
   
   Tak.. Tak..Tak..

   Tik.. Tik..

   Berantakan bunyinya laskar-laskar tetes hujan yang turun dari langit mendarat di lapangan atap atas bumbung. Formasi dibentuk. Lalu mereka bergerak seiringan menuruni laluan lengkuk-lengkuk beralun zink separa berkarat. Ada yang berguling. Ada yang melompat. Ada juga yang merayap. Akhir sekali mereka semua bertemu di tanah.

  Dua sosok menyaksikan persembahan tentera-tentera langit itu. Dari balik jendela lutsinar, di dalam kotak bilik segiempat tanpa pusingan kipas. Mereka bertukar-tukar suara.
"Temanku, Puteri Farsyiha Ellyza. Kau lihat itu, hujan turun lagi. Lebat. Padahal baru saja reda ba'da subuh tadi."
"Aku kurang jelas dengan nadamu Qaseh Aishea Zein. Bunyi hujan terlalu bingit. Apa kau suka atau mengeluh dengannya?"
 "Hmm. Aku juga kurang pasti. Kalau aku memilih untuk suka, apa aku berkira-kira keadaan mereka yang di sana, yang bergelut tenggelam dengan air? Dan bila aku mendengus benci, apakah aku sudah kufur dengan nikmat."
"Barangkali jawapannya ada pada tanah-tanah di bawah itu. Cuba kau tanyakan padanya."
 "Ha, memangnya kenapa? Eh, kau mahu aku bertanya pada tanah, Puteri Farsyiha Ellyza? Apa kau masih waras atau tidak?"
  Berkerut dahinya, Qaseh Aishea Zein. Melopong juga mulutnya. Lucu sekali memek mukanya.
"Hei, Qaseh Aishea Zein. Aku bercanda saja lah. Tapi, kalau memang boleh, aku rasa tanah memang ada jawapannya. Kerna mereka yang akhir sekali ditemui oleh tetes-tetes hujan. Kan. Pasti hujan menceritakan perkhabaran apa yang dibawanya dari langit"
"Ha, sepertinya kau benar. Tapi, itu mustahil. Mereka itu makhluk tanpa roh."
"Ya. Imijinasiku terlalu tinggi."
  Begitu perbualan mereka berhenti, hawa sejuk hujan mendodoikan mereka berdua. Sehingga mereka terlena sepi.

  Maka hujan dan tanah pun memulakan perbualan mereka.
"Hahahaha. Ada yang membicarakan perihal kita tu."
  Berdekah ketawa-ketawa daripada Sang Tanah. Sang Hujan pula tampaknya kurang senang.
 "Tanah, aku justru kasihan pada mereka. Mereka selalu tersilap membaca surat kiriman Tuhan melalui aku. Barangkali aku yang silap dalam menyampaikan. Padahal, semua isinya sekadar tentang rahmat dan cinta Nya. Mengapa begitu sukar."
"Maafkan aku Hujan. Aku bahkan kasihan padamu. Kau sudah melakukan yang terbaik sebenarnya. Tapi, manusia lah yang tidak pandai membacanya. Jauh lebih dari itu, aku begitu kagum padamu. Saban waktu, kau lebih banyak menerima keji dan caci dari manusia. Tapi, kau terus saja dengan konsistensimu menyampaikan rahmat dan cinta Nya."
"Itulah sebenarnya yang aku takutkan Tanah. Aku seringkali malu untuk naik semula ke langit Nya di atas, padahal tugasku tidak sempurna di bumi."
"Jangan begitu kawan. Kau tahu? Ini, semua pohon-pohon indah yang aku tumbuhkan. Mereka menjadi kesukaan manusia dengan redup teduh dan manis buahnya."
"Kau beruntung Tanah. Mudah sekali manusia membaca mesej cinta Tuhan yang ada padamu."
"Aku belum selesai menerangkan, Hujan. Semua ini adalah budi darimu. Kau yang menyuburkan aku. Tanpa kau menyirami, aku hanya gurun gersang dan kontang. Padaku, kau sebenarnya wira. Wira yang tidak punya bayang-bayang. Tidak pernah ditahu akan kewujudanmu. Kau hebat Hujan!"
"Ah, pujianmu terlalu Tanah."
  Sang Tanah tersenyum. Indah sekali temannya itu, Sang Hujan. Rendah hati dan istiqamahnya, sungguh luar biasa.

  Paling Sang Tanah suka, Sang Hujan selalu saja melukis pelangi untuk teman-temannya di bumi. Katanya, itu hadiah dari Sang Matahari. Padahal, Sang Matahari cuma memberikan warna. Sang Hujan pula yang melukisnya.

  [Tamat]


  Hey, aku ingin menjadi seperti Sang Hujan!


Thursday, October 17, 2013

seindah bougainvillea 02.

[poto]

  Flashback.

  Imbau semula.

  Petang yang damai. Angin sepoi-sepoi bahasa melayu nusantara. Mak Senah menyapu laman rumah. Daun-daun kering pohon mempelam. Jatuh gugur meninggalkan dedaunan hijau yang masih baru dan segar. Sinonim dengan helaian rambut Mak Senah yang terselindung di balik tudung lusuhnya. Ada yang masih hitam berkilau. Ada yang sudah memutih. Menunggu masa juga untuk gugur.

   Sebuah kereta. Kancil. Warna putih. 4 rodanya seiringan berpusing. Masuk ke laman rumah Mak Senah. Seorang wanita muda menolak keluar pintu kereta.
“Assalamualaikum mak cik. Apa khabar?”
   Cikgu Nur. Mengajar bahasa inggeris. Cikgu-cikgu sekolah, murid-murid dan penduduk  sekitar kampung memanggilnya dengan gelaran ‘ustazah’. Ustazah Nur. Sebab dia bertudung labuh. Cikgu Nur tidak kisah.
“Waalaikumsalam ustazah. Alhamdulillah, sihat. Lama tak datang rumah mak cik.”
   Mak Senah sandar penyapu ke pohon mempelam. Bersihkan tapak tangan dengan kain batik yang dipakainya. Sambil senyum, Mak Senah hulur tangan. Mereka bersalaman. Peluk sekali.
“Hmm, tu la mak cik. Rindu nak datang sini. Man ada mak cik?”
   Sekolah Kebangsaan Rambutan. Sekolah rendah tempat Man belajar dahulu. Sekolah rendah tempat Cikgu Nur mengajar sejak setahun lalu. Sekolah kampung. Sekolah kecil.

   Sekolah tersebut mengamalkan system ibu(cikgu) dan anak(murid) angkat. Khusus untuk pelajar darjah 6, yang akan mengambil UPSR. Memudahkan sekolah memantau dan membantu perkembangan akademik mereka.

   Semasa cabut undi untuk memilih anak angkat masing-masing, Cikgu Nur dapat nama Man. Seorang lagi adalah Zaim, rakan sekelas Man. Maka, Cikgu Nur agak rapat dengan Man dan Mak Senah. Walaupun Man sudah tamat sekolah rendah, Cikgu Nur tetap menjaga Man. Seperti anak sendiri. Cikgu Nur pun masih bujang. Sayang nak lepaskan ‘anak pertamanya’ itu.
“Man pergi kedai. Mak cik suruh beli barang sikit. Nak buat kuih. Naiklah ke rumah ustazah. Minum-minum kejap.”
“Eh, takpela mak cik. Saya datang kejap je ni. Ada surat untuk Man. Sampai kat sekolah semalam. Guru besar minta saya sampaikan. Kejap ea, saya ambil dalam kereta.”
   Cikgu Nur kuak pintu hadapan kereta, sebelah kiri. Buka dashboard. Sampul surat berwarna coklat. Saiz besar sedikit daripada kertas kajang. Di bahagian hadapan sampul surat, tertulis 'URUSAN SERI PADUKA BAGINDA'. Di bawahnya, ada nama penuh Man dan  alamat penuh Sekolah Kebangsaan Rambutan. Cikgu Nur hulur kepada Mak Senah.
“Surat apa ni ustazah?
“Mak cik bukalah.”
“Kalau buka je, mak cik boleh. Tapi, ustazah tolong bacakan ye. Mak cik ni tak berapa sangat baca tulisan rumi ni. Jawi bolehlah.”
   Mak Senah hulur semula sampul surat kepada Cikgu Nur. Sambil itu Mak Senah pelawa Cikgu Nur duduk di tangga rumah.

   Cikgu Nur baca penuh teliti butiran-butiran dalam surat. Cikgu Nur baca senyap. Lepas habis baca, Cikgu Nur pandang Mak Senah sambil senyum. Manis. Mak Senah tak respon apa-apa.
“Surat tu kata apa Ustazah?”
“Alhamdulillah mak cik. Man diterima masuk SBP. Sekolah Berasrama Penuh Teratai. Panggilan kedua.”
   Cikgu Nur kekal senyum. Tumpang bangga. Man, anak didiknya. Masuk SBP.

  Mak Senah tertunduk ke bawah. Senyum. Kemudian, ditariknya lengan baju. Kesat air mata. Tangisan dalam senyuman. Entah gembira. Entah sedih. Mak Senah ambil surat yang dihulur Cikgu Nur. Tidak dibaca. Belek-belek. Diraba-rabanya saja.
“Bila Man kena mendaftar Ustazah?”
“28 haribulan. Dua minggu lagi.”
“Sekolah tu kat mana ustazah? Jauh tak?”
“Daerah sebelah mak cik. Dari sini, dalam 4 jam perjalanan.”
“Jauh tu ustazah.”
   Tiba-tiba raut muka Mak Senah berubah. Sedikit gusar. Pelbagai perkara mula mendatangi kotak fikirannya. Cuba meredakan risaunya, Mak Senah bangkit. Diambilnya bekas menyiram bunga. Isi air. Pohon bunga di halaman rumah yang baru disiram sejam lepas, disiramnya lagi. Tidak disedari oleh Mak Senah. Cikgu Nur perasan akan perubahan Mak Senah.
“Tak pe Mak Cik. Nanti kita pergi sekali. Kereta saya boleh je jalan jauh.”
“Yurannya mahal tak ustazah?”
“Man dapat pengecualian yuran mak cik. Jangan risau. Semua akan baik-baik saja. Sekolah ni bukan calang-calang. Masa depan Man cerah mak cik. Alhamdulillah.”
“Hmm, terima kasih banyak ustazah. Nanti saya bagitau kat Man.”
   Tidak lama kemudian Cikgu Nur pun beransur pulang. Sempat berpesan kepada Mak Senah, dia akan datang lagi hujung minggu nanti. Membantu Man buat persediaan.

   Mak Senah masuk ke dalam bilik. Di letaknya surat itu di atas meja. Bimbang kalau-kalau sampul surat itu hilang terbang dibawa angin, Mak Senah pindahkan pula ke bawah bantal. Masih merasa tidak selamat, Mak Senah selit  bawah tilam.

   Sebenarnya Mak Senah masih risau. Bukan kerana tiada kenderaan mahu ke sana. Dia dan Man biasa naik bas, dekat atau jauh. Bukan soal yuran. Cikgu Nur sudah maklumkan bahawa Man diberi biasiswa. Kalau pun ada perbelanjaan lain, Mak Senah masih ada duit simpanan sedikit sebanyak. Barang-barang kemas semasa kahwin dulu masih ada untuk digadai. Dia sudah lama bersedia untuk itu. Untuk Man.

   Man, satu-satunya anak yang dia ada. Harapannya. Man juga satu-satunya peneman hidup Mak Senah.

   Kalau Man masuk asrama, siapa pula yang akan menemaninya nanti. Siapa yang akan diajaknya berbual, bergurau senda. Siapa yang akan membantunya menyiapkan nasi kuning setiap malam. Siapa yang akan berjalan kaki bersama-samanya ke sekolah setiap hari selepas subuh. Ah, satu-persatu ‘siapa’ muncul di fikirannya.

   Air mata mengalir perlahan menuruni lurah pada raut berkedut wajah Mak Senah. Begitu hangat membasahi. Dibiarkan saja. Tidak mahu diseka. Mak Senah sudah lali dengan air mata. Sejak pemergian suaminya. Tapi, tidak di hadapan Man. Man tidak lahir untuk menadah kesedihannya.
“Assalamualaikum. Makk. Ooo Makk.”
   Lamunan terhenti. Mak Senah segera seka air mata. Masuk ke bilik air. Basuh muka.
“Man. Dah beli semua barang yang mak minta tu?”
“Dah mak. Tapi, Susu Cap Junjung dapat beli 1 tin je. Dah habis stok kata Tauke Lim.”
   Man tunjuk barang-barang yang dibelinya di Kedai Runcit Kita. Penuh satu plastic hitam.
“Hmm, takpe la.”
“Eh, kenapa mata mak? Mak nangis ke?”
“Takde la. Ha, baju kat ampaian mak tak pungut lagi. Tolong Man.”
   Mak Senah cuba mengelak. Di ambilnya plastic berisi barang-barang dari tangan Man. Segera masuk ke dapur. Man terus saja turun ke ampaian. Dia kenal benar emaknya. Walaupun Mak Senah cuba sembunyi, Man tahu emaknya menangis lagi. Tapi, Man lebih faham bahawa emaknya itu mahu dia tidak risau. Di usia 13 tahun, Man sudah matang dalam pelbagai perkara.

   Diam-diam, Man berbisik perlahan.
“Apa pula kali ini mak?”
   Man cuba untuk tidak menangis. Man cuba. Tapi, tumpah juga..
             

[episod 2] 
panjang pulak..

Saturday, October 12, 2013

seindah bougainvillea 01.

[poto]
   
   Hari selasa.

   Malam rabu.
   
   Esok sekolah.
                
   Selesai kerjarumah matematik tingkatan satu. Man keluarkan baju sekolah daripada bakul plastik yang berisi kain-kain yang sudah kering dijemurnya petang tadi. Man tarik sekali sehelai kain pelikat kotak-kotak. Lipat dua. Kemudian bentangkan di sudut rumah. Man siapkan seterika besi berisi arang api. Jimat elektrik.

“Mak. Ooo mak.”
         “Ya Man. Mak kat dapur ni.”

   Perlahan suara serak Mak Senah menyahut daripada dapur.   
“Butang baju sekolah Man tercabutlah. Tolong pasangkan boleh tak mak?" 
“Kejap lagi sayang. Mak habiskan dulu bungkus nasi kuning ni ya.”
   Man masuk ke dapur.

   Rutin harian setiap malam Mak Senah. Menyiapkan nasi kuning dan kuih muih. Setiap pagi hari persekolahan, Mak Senah akan menghantar Man ke sekolah. Dia akan duduk di pondok menunggu bas di luar pagar sekolah dengan nasi kuning dan kuih muih. Murid-murid sekolah akan mengerumuninya setiap kali waktu rehat dan waktu pulang sekolah. Untungnya tak banyak. Tapi, dapatlah tampung sedikit sebanyak duit sara hidup mereka berdua. Man pun tak perlu beli makanan di kantin sekolah.

“Bagi Man buat la mak."   
“Hmm. Baju letak kat mana?”         
“Man gantung kat pintu bilik. Butang yang tercabut tu Man letak dalam poket baju.”        
   Mak Senah meninggalkan Man sendirian. Bekas tin biskut bentuk silinder pendek. Mak Senah keluarkan dari laci meja. Di dalamnya ada alatan menjahit.
                
   Tak lama kemudian, Mak Senah bersuara kembali. 
“Man, dah siap?”     
“Sikit lagi.”     
“Kalau dah siap, mari datang kat mak.”   
   Man segera menyiapkan bungkusan terakhir. Terus mendapatkan maknya.   
“Ada apa mak?”        
“Tolong  mak masukkan benang dalam jarum ni.”      
“Oh. Meh jarum tu.”      
   Mak senah hulur jarum. Man ambil.
“Mata mak ni dah tak nampak dah Man. Tunggu masa je nak tertutup terus. “
“Ish mak ni. Ada-ada je. Bagi benangnya mak.”
   Mak Senah hulur utas benang putih. Man ambil.

   Senyap sebentar antara mereka. Cengkerik di halaman rumah berentap suara.  Sambil burung-burung malam bernyanyi riang memuji pasangan masing-masing. Purnama menjadi metafora puisi-puisi mereka.

       Diam-diam Mak Senah perhatikan sosok figura anak lelakinya itu. Begitu pantas masa berlalu. Seperti baru semalam dia mendengar sayup-sayup suara suaminya mengalunkan azan menyambut kelahiran Muhammad Azman bin Talib, nama yang diberikan kepada anak tunggal mereka. Anak yang lahir bersama harapan dan cita-cita baru buat mereka bertiga.

   Tapi, itu 13 tahun lepas. 

   Kini suaminya itu sudah tiada. 

   Tinggal dia dan Man berdua.

   Tiba-tiba Mak Senah teringat surat yang disimpannya di bawah tilam petang tadi. Tak semena-mena matanya bergenang. Segera dikesatnya sebelum butir-butir jernih tumpah. Mujur Man tak perasan. Dalam hati, Mak Senah bermonolog;

   "Ya Allah, apakah ini rahmat atau musibah?"


[episod satu]

Friday, June 14, 2013

hadiah untuk papa.

   

   Hari itu adalah harimau. Eh, bukan. Hari Sabtu. Malam itu, di meja makan mereka sekeluarga, Kimi (8 tahun) berkata pada bapanya, Raikonen.
“Papa, esok ada sambutan hari bapa di sekolah. Datang ya.”
   Hujung minggu adalah masa paling berharga bagi Raikonen. Di usia 47 tahun, seorang jurutera yang padat dengan jadual kerja di hari-hari biasa, pastinya dia lebih selesa untuk duduk berehat di rumah. Tapi, setelah dipujuk paksa oleh isteri dan anaknya, dia setuju. Malam itu, talipon Sumsang Nota dia cas biar penuh baterinya. Pelbagai aplikasi dan permainan boleh dilayannya esok kalau-kalau cekgu-cekgu dan murid-murid membuatkannya dia bosan tahap dewa.

   Seperti perkiraannya, keesokan hari setiap murid diminta untuk menyampaikan persembahan masing-masing. Khas kepada bapa mereka. Duduk diatas kerusi plastik, Raikonen berpeluk tubuh. Dua tiga kali menguap menonton persembahan-persembahan murid-murid. Setiap daripada mereka diberikan masa 7 minit di atas pentas. Cekgu bertugas akan mengumumkan nama bapa ke atas pentas setelah anak mereka selesai. Ada yang menyanyi, ada yang berpuisi, ada yang cuma menangis, ada yang bercerita dan sebagainya.

   Nama Kimi kemudian diumumkan. Perlahan-lahan Kimi bangun dan naik ke atas pentas. Matanya melirik kearah papanya yang memerhatikan dia dari tengah-tengah orang keramaian.

   Raikonen tidak pasti apa bakat yang ada pada anak bongsunya itu. Pasti Kimi akan berbuat sesuatu yang sama seperti kawan-kawannya yang lain, begitu pada perkiraan Raikonen. Dia bahkan sudah bersedia, sebaik sahaja Kimi tamat membuat persembahan, dia berpura-pura terharu dan dengan bangga berlari mendapatkan Kimi di atas pentas kemudian memeluknya. Dan semua selesai.
“Persembahan apa yang Kimi nak buat untuk papa?”
   Pertanyaan cekgu itu Kimi jawab dengan soalan juga, dengan penuh semangat.
“Boleh saya sampaikan dengan Ustaz Osman?”
   Maka, Ustaz Osman dijemput naik ke pentas. Dinyatakan kepada para bapa yang hadir bahawa, beliau adalah Ustaz yang datang ke sekolah mereka dan mengajar murid-murid membaca al-Quran 3 kali seminggu.

   Cekgu berundur ke belakang. Mempersilakan Kimi dengan persembahannya.
   
   Kimi bermula dengan member salam dan sedikit kata-kata aluan. Dia menyatakan bahawa dia mahu membaca surah al Kahfi sebanyak 100 ayat. Tetapi, kerana masa tidak panjang, dia meminta untuk Ustaz Osman memilih mana-mana ayat untuk dibacanya.

   Para bapa takjub. Kimi bukan sahaja membaca surah al Kahfi, tapi menghafalnya!

   Ustaz Osman mengeluarkan senaskah kecil al Quran dari saku bajunya. Menyelak halaman 293.
“Oke, Kimi mulakan dengan ta’awuz dan basmalah.”
   Kimi mula membaca dari ayat pertama hingga ke ayat ke sepuluh. Dengan suaranya yang tenang dan lunak. Ustaz Osman menggangguk-angguk membenarkan ayat-ayat yang dibaca Kimi. Kemudian Kimi diminta pula membaca dari ayat 50 hingga 60. Sekali lagi, Kimi mudah mengalunkannya.

   Setiap pasang mata di dalam dewan kecil itu tertumpu kepada Kimi. Mengharapkan anak mereka menjadi sepertinya. Raikonen pula, daripada rasa terharu bertukar menjadi gembira yang amat. Sangat.

   Kimi menghabiskan 7 minit di atas pentas dengan menyelesaikan bacaan dari ayat 100 hingga 110. Penuh lancar dan merdu.

   Selepas selesai, Raikonen berdiri megah menyambut Kimi yang berlari perlahan ke arahnya dan mendakap penuh erat anaknya itu. Tidak dihiraukan cekgu yang menyebut namanya untuk naik ke atas pentas. Semua yang melihat, terpegun dan ada yang tanpa sedar mengalirkan air mata.

   Kemudian, cekgu bertanya kepada Kimi, kenapa dia memilih untuk membaca al Quran. Dua kali dia bertanya. Kimi memandang kepada papanya, yang masih erat mendakapnya.
“Papa..”
“Eh, sori. Sori.”
   Raikonen perlahan-lahan melepaskan pelukannya. Tidak perasan.
“Ustaz Osman selalu bagitau Kimi supaya rajin-rajin belajar dan baca al-Quran. Ustaz kata, siapa yang hafal al-Quran, ibu bapanya dimuliakan Allah masa hari akhirat nanti. Masuk, syurga. Tak masuk neraka. Kimi nak hadiahkan syurga untuk ibu dan papa. Syurga kan best.”
   Suara Kimi yang berucap itu jelas kedengaran di sekitar dewan yang sedang sunyi terpegun kepada kata-katanya. Ada suara-suara tangisan terharu dalam keramaian itu.
“Subhanallah..”
   Raikonen berdehem. Membetulkan saluran tekaknya.
“Boleh saya berucap sedikit?”
   Cekgu mengangguk. Menghulurkan mikrofon kepadanya.
“Hari ini adalah hari paling gembira dalam hidup saya. Saya yakin anda juga begitu. Kita menghantar anak kita ke sekolah paling baik di bandar ini. Dengan yuran yang mahal dan kemudahan serba canggih. Tetapi, kita lupa. Kita sebenarnya mengejar dunia semata-mata. Saya kini hampir berusia 50 tahun. Dan Kimi adalah anak bongsu saya. Dengan cita-cita kosong saya, saya menghantar dia ke sini supaya dia akan beroleh masa depan yang cerah, untuk DUNIA. Tapi, baru sekarang saya sedar bahawa dia di sini juga sedang belajar al Quran,agar ibu dan bapanya memiliki masa depan yang cerah, tapi untuk AKHIRAT. Terima kasih Kimi. Papa minta maaf terlupa mengajar kamu tentang al-Quran..”

                

Friday, May 17, 2013

sahabat nurani.




satu saat, kuminta nasehat pada seorang sahabat
aku merasa tak layak akh, katanya

aku tersenyum dan berkata
jika setiap kesalahan kita dipertimbangkan
sungguh di dunia ini tidak ada lagi
orang yang layak memberi nasehat

memang merupakan kesalahan
jika kita terus saja saling menasehati
tapi dalam diri tak ada hasrat untuk berbenah
dan menjadi lebih baik lagi di tiap bilangan hari

tapi adalah kesalahan juga
jika dalam ukhuwah tak ada saling menasehati
hanya karena kita berselimut baik sangka kepada saudara

dan adalah kesalahan terbesar
jika kita enggan saling menasehati
hanya agar kita sendiri tetap
merasa nyaman berkawan kesalahan

Subhanallah, di jalan cinta para pejuang
nasehat adalah ketulusan
kawan sejati bagi nurani
menjaga cinta dalam ridhaNya

-Salim A Fillah (Jalan Cinta Para Pejuang)

...

Sahabat itukan seperti cermin, ia adalah pantulan kepada diri sendiri. Hakikatnya, kau sedang membersihkan nuranimu sendiri, tatkala sahabat itu kau nasehati. Nah, teruslah saling tazkirah antara kita. Supaya nanti, kita sama-sama menjadi lebih baik.

(•‿•) 


Monday, April 15, 2013

rindu itu isyarat cinta.



  Apabila Rasulullah wafat, keluarlah para Sahabat dari kota Madinah menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. menjadi da'i dan pemimpin. Mengajak, mengajar dan mendidik umat di luar Madinah kepada kebenaran. Bilal memilih Syam sebagai tempat menabur bakti. Di sana dia menyambung tugas dengan jayanya.

 Tidak lama kemudian dia pulang ke Madinah untuk menziarahi Masjid Nabawi dan makam Rasulullah S.A.W. Berita kepulangannya diperkatakan oleh penduduk Madinah.
"Bilal yang mengalunkan azan pada zaman Rasulullah hidup dahulu ada bersama di Madinah. Alangkah lunak sekiranya kita boleh mendengarnya lagi."
  Itulah permintaan dalam kalangan Sahabat dan penduduk Madinah kepada Bilal.
"Maaf, aku tidak boleh azan lagi."
  Itu jawapan tegas daripada Bilal penuh berhemah. Sehinggalah sampai berita ini kepada Sayidatina Aishah r.ha., Ummul Mukminin.

  Sayidatina Aishah memanggil Bilal. Dari balik tabir Sayidatina Aishah berkata,
 "Wahai Bilal, perdengarkanlah kepada kami azan seperti kami mendengarnya semasa Rasulullah masih hidup. Kami rindu untuk mendengar suara kamu wahai Bilal."
  Mendalam harapan dan rayuan Ummul Mukminin. Bilal tidak punya pilihan kedua. Dengan berat hati Bilal bersetuju.
  
  Subuh keesokan harinya, ketika Madinah masih dibungkus embun pagi dan kedinginan menyelimuti suasana damai, Bilal berdiri di tempat biasa dia melaungkan azan.
"Allahu akbar..Allahu akbar!"
  Suara lunak Bilal memecah kedinginan fajar sadik. Gemersik azan itu merayap dari celah pohon-pohon tamar dan bangunan batu membangkit penghuni Madinah. Sebahagian besar daripada mereka telah ada di atas sejadah di bilik masing-masing. Tersentak, mereka segera membangkitkan ahli keluarga yang lain.
"Bangun dan dengar. Inilah suara yang masih berkumandang setiap kali solat semasa Rasulullah masih hidup. Bangun. Mari bersama mendengar suara Bilal"
  Mereka mengejutkan ahli keluarga. Mereka tidak segera keluar ke masjid tetapi berada di tempat mereka dalam sebak penuh kesayuan.
 "Allahu akbar..Allahu akbar!"
  Laungan azan terus berkumandang daripada mulut Bilal, menyucuk dalam sehingga ke tangkai hati. Mereka menangis kerana membayangkan betapa syahdu laungan azan ini saat Rasulullah masih bersama.

  Mereka menangis teresak-esak sambil turut menuturkan, Allah Maha Besar.. Allah Maha Besar.
"Asyhadu allailaha illallah!"
"Asyhadu allailaha illallah!"
  Kian meninggi suara Bilal atas pengakuan untuk menyaksikan betapa tiada Tuhan melainkan Allah. Syahadah itu bergema dalam atmosfera dingin kota Madinah meresap ke dalam jiwa penghuninya.

  Bersama airmata, mereka yang mendengar, bibir turut bergetar. 'Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.'
Mereka terus duduk sambil tangan menekup muka bersama esakan.
"Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah!"
  Bergetar suara Bilal apabila dia melaungkan kalimah tersebut, sementara penduduk Madinah khusyuk mendengar laungan yang menyaksikan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.

  Suasana sepi sekali. Mereka menunggu dan terus menunggu sambungan azan daripada Bilal. Lama tempohnya mereka dapati azan tidak bersambung; laungan itu mati di situ.

  Penduduk Madinah bergegas ke Masjid dalam keadaan hairan. Mereka meluru masuk. Nun di penjuru, Bilal kelihatan terjelepuk di atas lantai masjid nan suci itu. Dia jatuh pengsan.

  Mereka berusaha menyedarkan Bilal. Apabila terjaga dari pengsannya, dalam linangan airmata, dalam esakan dan sedu yang sangat berat, Bilal berkata:
"Bukankah aku telah beritahu kalian, aku tidak dapat azan lagi. Aku tidak mampu menyebutkan dalam azan kalimah Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Aku merasakan bahawa Rasulullah sedang berada di belakangku seperti masa hayatnya untuk menjawab azanku itu. Aku sangat rindu kepada Rasulullah!"
  Bilal tidak berupaya lagi menyembunyikan rasa hatinya. Rindunya terdedah. Perasaannya terngadah dan dia tidak mampu bertahan daripada perasaan kasih yang sangat dalam kepada Rasulullah.

  Demikian rindu Bilal yang disembunyikan selama ini, sebagai bukti betapa mendalamnya perasaan kasihnya kepada Rasulullah. Kasih yang menunjukkan kesempurnaan iman para Sahabat. Kesempurnaan itulah menjadikan mereka berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa membangunkan Islam. Benar sabda Rasulullah S.A.W.,
Daripada Ali r.a., Rasulullah bersabda: "Seseorang itu bersama dengan siapa yang dia cintai." [Riwayat Abu Daud]
- petikan daripada buku RnR di Lebuhraya Kehidupan, Ustaz Zul Ramli M Razali.

...

  Kisah ini saya selalu baca berulang-ulang kali. Kisah yang sangat membasahi. Kemudian, saya akan bertanya kepada diri sendiri; Sejauh mana aku punya 'Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah'? Bisakah seperti Bilal? 

:')

Mata anda kering tak bermaya? Titiskan cecair Eyemore segera. Ouch!

Saturday, March 16, 2013

selipar.

Azizi dan Azlan. Satu bilik. Katil lain-lain. Pada suatu pagi yang indah di hujung minggu yang cemerlang. Mereka bercengkerama. Bersiap mahu keluar bersama.

"Alamak Ji, selipar aku putus sebelah la. Caner ni?"

"La. Ye ke. Selipar lain tak de?"

"Satu je aku ada."

Azizi masuk semula ke dalam bilik. Ditariknya sebuah kotak dari bawah katilnya. Kotak kertas warna coklat. Sepasang selipar jepun warna merah baru dia beli beberapa hari lepas, dikeluarkan. Mahu dibuat selipar pakai ke tandas untuk diorang berdua sebenarnya.

"Nah. Guna ni dulu. Nanti, kita pegi kedai mana-mana. Beli selipar baru."

"Eh. Selipar baru ni Ji. Takpe la."

"Hish budak ni. Pakai je la. Aku tak kisah pun pasal kau. Aku risau maruah aku je. Jalan dengan orang selipar sebelah kaki. Gila ke?"

"Sampai hati kau."

"Haha. Aku gurau je la. Nah pakai cepat."

Azizi hulur selipar. Azlan sambut. Azlan campak selipar ke lantai. Kakinya bertukar alas.

"Ok. Eh, muat pulak Ji."

"Aku memang beli saiz lebih kurang. Untuk kita sama-sama boleh pakai pegi tandas."

Selipar Azlan yang putus, dimasukkan ke dalam plastik. Masuk ke tong sampah terus. Mereka pun keluar berfoya-foya bersama. Eh. Pergi bermandi siraman ukhuwah di pusat kegiatan membeli-belah masyarakat tempatan sebenarnya. Keh keh keh.

...


Kali ini di perkarangan tempat letak selipar dan kasut sebuah masjid. Azizi duduk seorang-seorang di tangga kejayaan. Termenung. Jemarinya lincah bermain butang telefon. Tiba-tiba telefonnya dia dekatkan ke telinga. Dua tiga saat kemudian, dia buka mulut.

"Hello Lan. Assalamualaikum. Kau katne?"

"Ha, hello. Waalaikumsalam. Kat bilik. Nape?"

"Kau boleh datang kat Masjid Kemajuan Ummah kejap tak?"

"Ada apa?"

"Aku baru habis usrah dengan adek-adek usrah aku lepas isya' tadi. Tapi, aku tak boleh nak  balik. Selipar aku ntah mana hilang."

"La, ye ke. Oke oke. Kejap lagi aku sampai. Kau jangan pergi mana-mana."

"Oke Lan. Mekasih."

Selepas sembilan minit lebih kuranglah, tampil Azlan dengan sepasang selipar jepun yang dijinjitnya. Selipar dari bilik mereka berdua. Selipar yang dipakai untuk keluar masuk tandas.

"Ji. Ada selipar tandas je kat bilik. Aku tak jumpa selipar lain. Sori a'."

"Eh, takpe takpe. Kau datang sini bawa selipar pun aku cukup terharu Lan."

"Ha, kalau terharu nangislah."

"Haish. Mana boleh. Hati aku keras kot. Haha."

"Ceh."

Mereka pun berjalan seiringan sehaluan lenggang kangkung menuju bilik. Bagai itik pulang petang. Walaupun masa tu dah nak tengah malam, bukan petang.

"Weh Lan. Sori la susahkan kau."

"Hmm. Takde hal la."

"Eh, ko perasan tak ?"

"Apa?"

"Minggu ni. Dah dua kali kita hilang selipar."

"Oh, baru-baru ni selipar aku putus kan. Haha. Hari ni kau pulak hilang selipar."

Sunyi sebentar. Mereka di bahu jalan. Beberapa kereta lalu-lalang. Pandang kanan. Pandang kiri. Pandang kanan semula. Selepas jalan lengang barulah mereka melintas.

"Ji. Kau rasa, mana penting. Selipar belah kanan ke belah kiri?

"Ha? Dua-dua la penting. Putus sebelah. Atau hilang sebelah, dah tak boleh pakai dah selipar tu."

"Ji. Kalau kita jadi selipar, kau nak jadi belah mana?"

"Hmm, entah la. Kau?"

"Aku pilih belah kiri. Kau jadi belah kanan."

"Kenapa pulak?"

"Sunnah. Nabi muliakan belah kanan. Kalau nak jalan atau nak masuk tempat-tempat baik, kanan langkah dulu. Baru kiri follow."

"So?"

"Aku ni masih baru kat jalan ni. Tapi, kau dah lama. Kau tahu selok beloknya. Aku follow kau. Aku tsiqah ngan kau Ji."

"Jalan apa?"

"Jalan-jalan cari makan."

"Hahaha."

...

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, sesungguhnya Allah s.w.t berfirman pada hari kiamat, “ Manakah mereka yang berkasih sayang kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan pada hari tiada naungan melainkan naunganKu sendiri”
(HR Muslim)

Ji, romantik tak? Kah. Kah. Kah.

Friday, February 22, 2013

lamunan cinta.

[poto]

Memang seperti itulah dakwah. Dakwah adalah cinta. Dan cinta akan meminta semuanya dari dirimu. Sampai pikiranmu. Sampai perhatianmu. Berjalan, duduk, dan tidurmu.

Bahkan di tengah lelapmu, isi mimpimu pun tentang dakwah. Tentang umat yang kau cintai.

Lagi-lagi memang seperti itu. Dakwah. Menyedot saripati energimu. Sampai tulang belulangmu. Sampai daging terakhir yang menempel di tubuh rentamu. Tubuh yang luluh lantak diseret-seret. . Tubuh yang hancur lebur dipaksa berlari.

-Almarhum KH. Rahmat Abdullah

...

Ternyata diri yang ini sedang dilamun cinta. Kesekian kali. Oh? Tapi kali ini bukan lagi cinta picisan. Diri yang ini suka. Diri yang ini gembira. Diri yang ini teruja. Diri yang ini berguling-guling sambil tumbok-tumbok bantal. 

Yeah!