Monday, April 15, 2013

rindu itu isyarat cinta.



  Apabila Rasulullah wafat, keluarlah para Sahabat dari kota Madinah menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. menjadi da'i dan pemimpin. Mengajak, mengajar dan mendidik umat di luar Madinah kepada kebenaran. Bilal memilih Syam sebagai tempat menabur bakti. Di sana dia menyambung tugas dengan jayanya.

 Tidak lama kemudian dia pulang ke Madinah untuk menziarahi Masjid Nabawi dan makam Rasulullah S.A.W. Berita kepulangannya diperkatakan oleh penduduk Madinah.
"Bilal yang mengalunkan azan pada zaman Rasulullah hidup dahulu ada bersama di Madinah. Alangkah lunak sekiranya kita boleh mendengarnya lagi."
  Itulah permintaan dalam kalangan Sahabat dan penduduk Madinah kepada Bilal.
"Maaf, aku tidak boleh azan lagi."
  Itu jawapan tegas daripada Bilal penuh berhemah. Sehinggalah sampai berita ini kepada Sayidatina Aishah r.ha., Ummul Mukminin.

  Sayidatina Aishah memanggil Bilal. Dari balik tabir Sayidatina Aishah berkata,
 "Wahai Bilal, perdengarkanlah kepada kami azan seperti kami mendengarnya semasa Rasulullah masih hidup. Kami rindu untuk mendengar suara kamu wahai Bilal."
  Mendalam harapan dan rayuan Ummul Mukminin. Bilal tidak punya pilihan kedua. Dengan berat hati Bilal bersetuju.
  
  Subuh keesokan harinya, ketika Madinah masih dibungkus embun pagi dan kedinginan menyelimuti suasana damai, Bilal berdiri di tempat biasa dia melaungkan azan.
"Allahu akbar..Allahu akbar!"
  Suara lunak Bilal memecah kedinginan fajar sadik. Gemersik azan itu merayap dari celah pohon-pohon tamar dan bangunan batu membangkit penghuni Madinah. Sebahagian besar daripada mereka telah ada di atas sejadah di bilik masing-masing. Tersentak, mereka segera membangkitkan ahli keluarga yang lain.
"Bangun dan dengar. Inilah suara yang masih berkumandang setiap kali solat semasa Rasulullah masih hidup. Bangun. Mari bersama mendengar suara Bilal"
  Mereka mengejutkan ahli keluarga. Mereka tidak segera keluar ke masjid tetapi berada di tempat mereka dalam sebak penuh kesayuan.
 "Allahu akbar..Allahu akbar!"
  Laungan azan terus berkumandang daripada mulut Bilal, menyucuk dalam sehingga ke tangkai hati. Mereka menangis kerana membayangkan betapa syahdu laungan azan ini saat Rasulullah masih bersama.

  Mereka menangis teresak-esak sambil turut menuturkan, Allah Maha Besar.. Allah Maha Besar.
"Asyhadu allailaha illallah!"
"Asyhadu allailaha illallah!"
  Kian meninggi suara Bilal atas pengakuan untuk menyaksikan betapa tiada Tuhan melainkan Allah. Syahadah itu bergema dalam atmosfera dingin kota Madinah meresap ke dalam jiwa penghuninya.

  Bersama airmata, mereka yang mendengar, bibir turut bergetar. 'Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.'
Mereka terus duduk sambil tangan menekup muka bersama esakan.
"Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah!"
  Bergetar suara Bilal apabila dia melaungkan kalimah tersebut, sementara penduduk Madinah khusyuk mendengar laungan yang menyaksikan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.

  Suasana sepi sekali. Mereka menunggu dan terus menunggu sambungan azan daripada Bilal. Lama tempohnya mereka dapati azan tidak bersambung; laungan itu mati di situ.

  Penduduk Madinah bergegas ke Masjid dalam keadaan hairan. Mereka meluru masuk. Nun di penjuru, Bilal kelihatan terjelepuk di atas lantai masjid nan suci itu. Dia jatuh pengsan.

  Mereka berusaha menyedarkan Bilal. Apabila terjaga dari pengsannya, dalam linangan airmata, dalam esakan dan sedu yang sangat berat, Bilal berkata:
"Bukankah aku telah beritahu kalian, aku tidak dapat azan lagi. Aku tidak mampu menyebutkan dalam azan kalimah Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Aku merasakan bahawa Rasulullah sedang berada di belakangku seperti masa hayatnya untuk menjawab azanku itu. Aku sangat rindu kepada Rasulullah!"
  Bilal tidak berupaya lagi menyembunyikan rasa hatinya. Rindunya terdedah. Perasaannya terngadah dan dia tidak mampu bertahan daripada perasaan kasih yang sangat dalam kepada Rasulullah.

  Demikian rindu Bilal yang disembunyikan selama ini, sebagai bukti betapa mendalamnya perasaan kasihnya kepada Rasulullah. Kasih yang menunjukkan kesempurnaan iman para Sahabat. Kesempurnaan itulah menjadikan mereka berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa membangunkan Islam. Benar sabda Rasulullah S.A.W.,
Daripada Ali r.a., Rasulullah bersabda: "Seseorang itu bersama dengan siapa yang dia cintai." [Riwayat Abu Daud]
- petikan daripada buku RnR di Lebuhraya Kehidupan, Ustaz Zul Ramli M Razali.

...

  Kisah ini saya selalu baca berulang-ulang kali. Kisah yang sangat membasahi. Kemudian, saya akan bertanya kepada diri sendiri; Sejauh mana aku punya 'Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah'? Bisakah seperti Bilal? 

:')

Mata anda kering tak bermaya? Titiskan cecair Eyemore segera. Ouch!

No comments:

Post a Comment