“Papa, esok ada sambutan hari bapa di sekolah. Datang ya.”
Hujung
minggu adalah masa paling berharga bagi Raikonen. Di usia 47 tahun, seorang
jurutera yang padat dengan jadual kerja di hari-hari biasa, pastinya dia lebih
selesa untuk duduk berehat di rumah. Tapi, setelah dipujuk paksa oleh isteri
dan anaknya, dia setuju. Malam itu, talipon Sumsang Nota dia cas biar penuh
baterinya. Pelbagai aplikasi dan permainan boleh dilayannya esok kalau-kalau
cekgu-cekgu dan murid-murid membuatkannya dia bosan tahap dewa.
Seperti
perkiraannya, keesokan hari setiap murid diminta untuk menyampaikan persembahan
masing-masing. Khas kepada bapa mereka. Duduk diatas kerusi plastik, Raikonen
berpeluk tubuh. Dua tiga kali menguap menonton persembahan-persembahan
murid-murid. Setiap daripada mereka diberikan masa 7 minit di atas
pentas. Cekgu bertugas akan mengumumkan nama bapa ke atas pentas setelah anak mereka selesai. Ada yang
menyanyi, ada yang berpuisi, ada yang cuma
menangis, ada yang bercerita dan sebagainya.
Nama
Kimi kemudian diumumkan. Perlahan-lahan Kimi bangun dan naik ke atas pentas.
Matanya melirik kearah papanya yang memerhatikan dia dari tengah-tengah orang keramaian.
Raikonen
tidak pasti apa bakat yang ada pada anak bongsunya itu. Pasti Kimi akan
berbuat sesuatu yang sama seperti kawan-kawannya yang lain, begitu pada
perkiraan Raikonen. Dia bahkan sudah bersedia, sebaik sahaja Kimi tamat membuat
persembahan, dia berpura-pura terharu dan dengan bangga berlari mendapatkan
Kimi di atas pentas kemudian memeluknya. Dan semua selesai.
“Persembahan apa yang Kimi nak buat untuk papa?”
Pertanyaan cekgu itu Kimi jawab dengan soalan juga, dengan penuh semangat.
“Boleh saya sampaikan dengan Ustaz Osman?”
Maka,
Ustaz Osman dijemput naik ke pentas. Dinyatakan kepada para bapa yang hadir
bahawa, beliau adalah Ustaz yang datang ke sekolah mereka dan mengajar
murid-murid membaca al-Quran 3 kali seminggu.
Cekgu
berundur ke belakang. Mempersilakan Kimi dengan persembahannya.
Kimi
bermula dengan member salam dan sedikit kata-kata aluan. Dia menyatakan bahawa
dia mahu membaca surah al Kahfi sebanyak 100 ayat. Tetapi, kerana masa tidak
panjang, dia meminta untuk Ustaz Osman memilih mana-mana ayat untuk dibacanya.
Para
bapa takjub. Kimi bukan sahaja membaca surah al Kahfi, tapi menghafalnya!
Ustaz
Osman mengeluarkan senaskah kecil al Quran dari saku bajunya. Menyelak halaman 293.
“Oke, Kimi mulakan dengan ta’awuz dan basmalah.”
Kimi
mula membaca dari ayat pertama hingga ke ayat ke sepuluh. Dengan suaranya yang tenang
dan lunak. Ustaz Osman menggangguk-angguk membenarkan ayat-ayat yang dibaca
Kimi. Kemudian Kimi diminta pula membaca dari ayat 50 hingga 60. Sekali lagi,
Kimi mudah mengalunkannya.
Setiap
pasang mata di dalam dewan kecil itu tertumpu kepada Kimi. Mengharapkan anak mereka menjadi sepertinya.
Raikonen pula, daripada rasa terharu bertukar menjadi gembira yang amat. Sangat.
Kimi
menghabiskan 7 minit di atas pentas dengan menyelesaikan bacaan dari ayat 100
hingga 110. Penuh lancar dan merdu.
Selepas
selesai, Raikonen berdiri megah menyambut Kimi yang berlari perlahan ke arahnya dan
mendakap penuh erat anaknya itu. Tidak dihiraukan cekgu yang menyebut namanya
untuk naik ke atas pentas. Semua yang melihat, terpegun dan ada yang tanpa sedar mengalirkan air mata.
Kemudian,
cekgu bertanya kepada Kimi, kenapa dia memilih untuk membaca al Quran. Dua kali
dia bertanya. Kimi memandang kepada
papanya, yang masih erat mendakapnya.
“Papa..”
“Eh, sori. Sori.”
Raikonen
perlahan-lahan melepaskan pelukannya. Tidak perasan.
“Ustaz Osman selalu bagitau Kimi supaya rajin-rajin belajar dan baca al-Quran. Ustaz kata, siapa yang hafal al-Quran, ibu bapanya dimuliakan Allah masa hari akhirat nanti. Masuk, syurga. Tak masuk neraka. Kimi nak hadiahkan syurga untuk ibu dan papa. Syurga kan best.”
Suara
Kimi yang berucap itu jelas kedengaran di sekitar dewan yang sedang sunyi terpegun
kepada kata-katanya. Ada suara-suara tangisan terharu dalam keramaian itu.
“Subhanallah..”
Raikonen
berdehem. Membetulkan saluran tekaknya.
“Boleh saya berucap sedikit?”
Cekgu
mengangguk. Menghulurkan mikrofon kepadanya.
“Hari ini adalah hari paling gembira dalam hidup saya. Saya yakin anda juga begitu. Kita menghantar anak kita ke sekolah paling baik di bandar ini. Dengan yuran yang mahal dan kemudahan serba canggih. Tetapi, kita lupa. Kita sebenarnya mengejar dunia semata-mata. Saya kini hampir berusia 50 tahun. Dan Kimi adalah anak bongsu saya. Dengan cita-cita kosong saya, saya menghantar dia ke sini supaya dia akan beroleh masa depan yang cerah, untuk DUNIA. Tapi, baru sekarang saya sedar bahawa dia di sini juga sedang belajar al Quran,agar ibu dan bapanya memiliki masa depan yang cerah, tapi untuk AKHIRAT. Terima kasih Kimi. Papa minta maaf terlupa mengajar kamu tentang al-Quran..”
No comments:
Post a Comment