Sunday, July 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (ix).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. cómo estás?
masa dan jalanan adalah dua hal yang serupa. tapi, orang-orang melihat masa atau jalanan dalam dua dimensi yang berbeda. ada yang melihat masa dan jalanan sebagai batas pemisah. pemisah antara destinasi. kata mereka, masa memisahkan hari ini dan besok. manakala jalanan, menurut mereka, memisahkan antara toko buku dan kedai kopi. lalu, ada yang menolak untuk melalui masa dan jalanan itu. aku mahu berada pada kelompok kedua. yang melihat masa dan jalanan sebagai penghubung. masa menghubungkan hari ini dan besok. jalanan menghubungkan toko buku dan kedai kopi. dengan melalui masa dan jalanan menuju tujuan, kita akan bertemu pelbagai hal yang membuat kita belajar sesuatu yang baru. akhirnya, hidup di dunia bukanlah sekadar destinasi-destinasi yang kita pilih, tapi tentang perjalanan dan pengembaraan yang kita lalui menuju ke destinasi itu. masa dan jalanan yang dilalui adalah sangat masing-masing untuk setiap orang. justru, masa yang sama dan jalanan yang sama akan mempertemukan orang-orang di persimpangan yang menyatukan laluan mereka ke hadapan.

...


tujuhbelas, 
tentang memberi harapan. tentang berjanji. ya, janji bukan sekadar kata-kata dalam percakapan atau tulisan. tapi bagaimanakah kita ingin menyampaikan janji kita kepada orang lain kalau bukan melalui kata-kata? ah, mungkin ada cara lain yang aku belum tahu. begitu banyak orang-orang berjanji untuk itu dan ini. sepertinya sangat mudah untuk orang-orang berbuat janji. sepertinya setiap janji itu terlalu ringan untuk diperkatakan. ya, janji adalah cara untuk menunjukkan bahawa kita serius untuk memperjuangkan sesuatu. tapi, marilah menjadi lebih bijaksana dan matang dalam berjanji. menjadi lebih bijaksana dan matang dengan kata-kata kita dalam berjanji. kita boleh berjanji untuk dan atas apa-apa pun. tapi, jangan berjanji dengan kata-kata yang bernada seperti "kita pasti akan mendapatkannya". tapi berjanjilah dengan kata-kata yang nadanya adalah "kita pasti akan -berusaha semampu kita untuk- mendapatkannya". ada bezanya kan? kerana, yang menentukan setiap sesuatu itu berlaku atau tidak bukan kita, tapi Tuhan. jika Dia mengizinkan, maka terjadilah. jika tidak, maka tidaklah. yang kita mampu lakukan hanyalah berusaha, berdoa dan bertawakal. itu yang kita belajar daripada kalimah 'insyaAllah' kan? begitu, sandarkan setiap janji pada takdir Tuhan agar kita tidak mudah kecewa dan mengecewakan orang lain.

tujuhbelas, 
bahawa semua manusia tidak terlepas daripada berbuat silap, berlaku salah. kita tersilap dalam memilih keputusan. kita tersalah dalam tindakan. kita tersilap dalam kata-kata dan tulisan. kita tersalah menilai orang lain. kita tersilap memahami orang lain. alangkah begitu banyak silap dan salah kita kepada diri sendiri, kepada orang lain dan kepada Tuhan. hakikatnya, tidak ada manusia yang sentiasa benar. orang-orang yang nampak baik dan suci juga adalah bekas pelaku salah, yang pernah tersilap. permohonan maaf yang paling baik adalah perubahan sikap. begitu, orang-orang menjadi lebih baik dengan menyedari, mengetahui salah dan silap yang terlanjur mereka lakukan, kemudian mereka ikhlas memohon maaf kepada diri mereka sendiri, kepada orang lain dan kepada Tuhan atas semua kesilapan dan kesalahan itu. akhirnya, semua kesilapan dan kesalahan menjadi sebuah pengalaman yang akan mengajarkan banyak hal menuju masa-masa ke hadapan. sungguh, menyedari bahawa diri kita sedang berdosa adalah satu tanda bahawa Tuhan masih menyayangi kita, tanda kita masih memiliki iman. setidaknya kita tidak menjadi orang yang hidup, kemudian mati hanya dengan berfikir mereka tidak berbuat apa-apa kesalahan. sudah tentu, merasa berdosa saja tidak cukup. perlu ada taubatnya. semoga kita kekal dalam suluhan hidayah Tuhan.

tujuhbelas, 
sungguh, Tuhan tidak pernah menolak doa-doa hambaNya. cuma, cara setiap doa dijawab itu beda-beda. jawapan Tuhan tidak pernah kosong. ada doa yang segera dijawabNya dengan "ya", ada pula doa yang dijawabNya dengan "ya, tapi belum sekarang", dan ada pula doa jawapannya adalah "tidak, Aku ada sesuatu yang lebih baik untuk kamu". ya, Tuhan tidak pernah membiarkan kosong setiap tadah tangan kita kepadaNya. yakinlah bahawa setiap doa-doa kita didengar oleh Tuhan. dan yakinlah bahawa Tuhan pasti akan menjawab doa-doa kita dengan jawapan yang paling baik menurutNya, bukan yang baik menurut kita. Tuhan maha mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui apa pun. bersabarlah sebentar untuk doa-doa yang belum kita terima jawapannya. Tuhan sedang merencanakan sesuatu untuk doa-doa itu.

tujuhbelas, 
aku menemukan sesuatu dalam pembacaanku yang aku kira adalah hikmah daripada sebuah pengalaman. pertama, jangan berjanji ketika kita sedang gembira. kedua, jangan memberi jawapan ketika kita sedang marah. dan ketiga, jangan membuat keputusan ketika kita sedang bersedih. aku tidak tahu bagaimana kau akan memahami ini, dan aku juga tidak tahu daripada mana ianya datang, tapi, sungguh aku menyedari bahawa hal ini adalah benar dan sebuah kebijaksanakan untuk dijadikan pegangan dalam hidup. lebih-lebih lagi setelah berlalu banyak hal dalam tempoh panjang sehingga hari ini. semoga selepas ini, hikmah datang dahulu sebelum kesabaran kita hilang. atau semoga kita kekal dalam kesabaran sehingga kita bertemu hikmah atas segala ujian yang kita lalui. sungguh, pengalaman adalah guru yang terbaik dalam menjalani hidup.

...

masih ada selonggok kertas putih yang tersimpan dan pena ini masih ada dakwatnya. nah, satu lagi naskhah tertulis. sesungguhnya, aku sedang mengutuk diriku sendiri setiap kali aku membaca tulisan-tulisanku, kerana, alangkah banyak kata-kata yang masih tersangkut sekadar tulisan di atas kertas, belum sampai kepada amal perbuatanku. hujan sedang turun lebat ketika naskhah ke-sembilan ini hampir habis ditulis. juga ada setin air kopi yang sudah habis separuh diteguk. ada tumpah sedikit. begitulah, tangan kanan bertukar-tukar antara pena dan tin kopi. sambil menulis sambil minum kopi. nasib saja tidak tertumpah ke atas kertas putih ini. belakangan ini, hujan sering turun di sini. mungkin cuaca seperti ini akan berterusan lagi untuk beberapa hari. dingin sekali. di luar langit masih gelap. matahari belum muncul. jika matahari muncul sebelum malam, pasti akan ada pelangi petang ini. apakah di sana sedang hujan juga?

sekian.
 | tujuh belas julai dua ribu enam belas.

3 comments:

  1. Suka membaca tulisan di sini. Setiap patah kata begitu tersusun. Teruskan menulis.

    ReplyDelete
  2. That crane tho.

    ReplyDelete
  3. Sesungguhnya berjanji itu plg berat, sama halnya dgn menuai sabar atas doa yg mgkn belum tercapai, kerana satu hal yg pasti manusia itu sulit mengotakan janji tp kerap menyalahkan takdir bila doa belum terjawab, padahal mgkn saja Allah merencanakan sesuatu yg lebih baik. Sedangkan kita xpernah mahu mengukur sejauh mana taatnya kita, sabarnya kita dlm ujian2 kecil itu.TQ

    ReplyDelete