Wednesday, August 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (x).






bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. wie gehts?
setiap manusia sedang berjalan di garis masa mereka masing-masing. setiap orang adalah pejalan waktu di atas garisan yang mereka lalui sendiri. kita akan bertemu dengan empat momen dalam garis masa kita. pertama, perkara yang salah pada waktu yang salah. kedua, perkara yang tepat tapi pada waktu yang salah. ketiga, perkara yang salah datang pada waktu yang tepat. dan keempat, perkara yang tepat pada waktu yang tepat. semuanya adalah takdir yang sengaja diatur Tuhan di atas perjalanan garis masa kita, tidak lain untuk kita belajar dan mendewasa. terkadang kita merasa tertekan dan sedih kerana melihat orang lain sudahpun bertemu momen keempat mereka, sedangkan kita masih berlegar-legar di tiga momen lain itu. padahal, kita lupa, setiap orang melalui garis masa mereka masing-masing. nah, tenanglah menjalani hidup dengan meyakini bahawa urusan kita adalah dibawah aturan Tuhan yang maha mengetahui dan maha bijaksana.

...

tujuhbelas, 
manusia dan rahsia. menurutku peribadi, setiap orang pasti memiliki rahsia-rahsia yang disimpannya sendiri. tidak ada yang mengetahuinya selain dia dan Tuhan. itu tidaklah akan diceritakan kepada sesiapa, meski berapa besar kepercayaannya kepada orang-orang yang baik itu. kalaupun diceritakan, pasti bukan kisah yang sebenar atau belum selesai, itu cumalah cerita di permukaannya, masih banyak yang disimpan jauh dan dalam ke dasarnya. tapi, ini bukanlah soal percaya atau tidak. ini hanya soal sikap dan sifat ke-privasi-an yang sememangnya fitrah untuk dimiliki oleh setiap manusia. nah, semoga Tuhan menerima amal-amal rahsia, menjawab doa-doa rahsia dengan jawapan yang baik menurutNya, menghapus airmata-airmata rahsia, mengampunkan dosa-dosa rahsia dan mengamankan ketakutan-ketakutan rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali diri kita sendiri dan Dia.

tujuhbelas, 
hidup terkadang menjadi sangat ironi. pengajaran terkadang datang dalam cara yang tidak kita senangi, bukan dalam bungkusan kotak terbalut indah dengan reben merah berkilau dan berbau wangi. datangnya dengan bunyi yang keras dan menyesakkan dada. terkadang kita harus merasa kehilangan untuk menyedari dan lebih menghargai apa yang sedia ada di sekeliling kita, tapi tidak pernah kita endahkan. kadang apa yang kita bina, apa pun itu, harus hancur habis dahulu agar kita tahu bahawa binaan kita itu asasnya masih belum kukuh, kita harus membinanya semula dengan lebih teliti dan berhati-hati agar ia lebih kuat dan utuh, agar ia mampu menampung apa pun beban(ujian dan tanggungjawab) yang bakal dipikulnya. kita tahu, jika binaan dengan asas yang goyah, terus saja dinaik-tinggikan, semakin meningkat semakin tidak stabil dan pastinya semakin parah jika tumbang. ya, hikmah tidak selalu datang dalam cara yang mudah, terkadang kita harus berfikir panjang dan mendalam untuk mengetahuinya.

tujuhbelas, 
setiap daripada kita memiliki masalah yang berbeda. setiap manusia menanggung kegusaran yang berbeda. setiap orang, di fikiran dan hatinya ada menyimpan perkara-perkara kusut yang mahu diselesaikannya segera agar lebih lapang. yang kelihatan tenang di luar, mungkin ada taufan yang sedang dilaluinya di dalam fikirannya. yang senyumnya paling ceria, mungkin di dalam hatinya sentiasa banjir dengan tangisan. tapi, walaupun kita menanggung hal-hal berat yang sangat peribadi dan sangat masing-masing, kita adalah hamba kepada Tuhan yang sama. alangkah indahnya ketika kita sama-sama saling mendoakan agar Tuhan memudahkan urusan kita sesama.

tujuhbelas, 
memang mudah untuk terlihat buruk dan lemah. tapi butuh seumur hidup untuk terlihat hebat dan membanggakan. namun, hidup bukanlah soal menyamankan pandangan dan perkataan orang lain terhadap kita. bebaslah menjadi diri kita sendiri tanpa perlu hidup terkongkong dalam sangkar pandangan dan perkataan orang lain. ya, menjadi kuat dan indah itu perlu untuk melalui perjalanan hidup yang semakin panjang dan berliku ini. justru, jadilah sosok yang kuat dan indah, bukan untuk sesiapa atau untuk apa-apa, tapi, untuk diri sendiri, ikhlas kerana Tuhan.

...

naskhah ke-sepuluh, untuk diriku dan untuk sesiapa pun yang membaca. ada waktu-waktu dalam hidup, kita akan memandang ke belakang, melihat betapa jauhnya perjalanan yang sudah kita tempuhi, apa pun perjalanannya itu, dan kita senang kerana kita tidak menyerah ketika putus asa adalah satu-satunya pilihan yang ada. hidup di dunia adalah petualangan. kitalah petualangnya. maka, menjadilah petualang yang bebas tapi terpandu, kerana kita akan pulang. pulang kepada Tuhan. seperti bebasnya kapal layar berlayar di lautan, menempuh ombak dan badai, tapi sentiasa ingin pulang ke pelabuhan. seperti bebasnya burung di langit, terbang ke sana sini mengemudi angin, tapi sentiasa ingin pulang ke sarangnya. semoga dalam kehidupan sementara ini, kita tidak menjadi hamba dunia; bebas tapi tidak merdeka, tapi jadilah kita hamba Tuhan; sentiasa bebas dan merdeka. walau apa pun yang berlaku dalam hidup ini, kita pasti akan pulang kepada Tuhan.

sekian.
 | tujuh belas ogos dua ribu enam belas.

2 comments: