Monday, October 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (xii).






bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. semoga aku, kau serta sesiapa pun yang sedang membaca ini, perjalanannya akan redup dan nyaman di bawah lindungan awan-awan Tuhan.
saat menjadi minit. minit menjadi jam. jam menjadi hari. hari menjadi bulan. bulan menjadi tahun. begitu juga, huruf menjadi kata. kata menjadi ayat. ayat menjadi paragraf. paragraf menjadi surat. surat menjadi surat-surat. beginilah waktu dan tulisan ini berjalan. rasanya seperti baru semalam aku termenung di atas meja tulis bersama beberapa helai kertas kosong dan sebatang pena. berfikir sendiri, entah bagaimana aku ingin memulakan semua ini, entah apa yang aku akan ceritakan di sini, entah kapan aku akan berhenti kerana lelah atau mungkin kehilangan arah. justru, hari ini hampir semua kertas itu penuh dengan dakwat contenganku sendiri. mahu dikata waktu berjalan begitu cepat, tidak juga. mahu dikata waktu berjalan perlahan, ah, tidak tepat juga. mungkin memang begitu, waktu tidak akan pernah diukur tepat. setiap sesuatu yang hilang pasti boleh ditemukan kembali, pasti ada jalannya untuk dicari. tidak, ia tidak hilang sebenarnya, hanya kita yang tidak dapat melihatnya di depan mata kerana ia berada di tempat yang lain, yang jika kita berada di tempat itu, pasti kita akan menemukannya kembali. orang yang pergi selamanya, ketika melepaskan nafas terakhirnya di dunia, yang kita sebut-sebut sebagai kehilangan, pun sejatinya tidaklah hilang. kita akan bertemu lagi dengan mereka di kehidupan yang benar-benar terakhir nanti; akhirat. tapi, tidak masa yang hilang. masa adalah kehilangan sejati. masa adalah kerugian sejati. tidak akan ada jalan untuk menemukan masa yang hilang sia-sia di belakang kerana masa sentiasa bergerak ke hadapan. maka, jagalah sebaiknya masa yang dikasi Tuhan untuk kita. 

...


tujuhbelas, 
kalau ada membaca setiap naskhah sehingga yang ini, masih ingat lagi pada naskhah ke-lima aku bercerita tentang foto-foto langit yang aku tampalkan pada setiap naskhah bermula dari naskhah pertama hingga ke-lima? nah, kali ini aku mahu bercerita tentang foto yang aku tampalkan pada naskhah ke-enam hingga ke-sebelas. mungkin ini cerita terakhirku bersama surat-surat yang entah apa-apa ini. ya, yang semua itu, foto dua buah bangunan yang sedang dibina orang-orang. foto yang entah apa-apa kan? haha. jelek dan langsung tidak aestetik. oh ya, bangunan itu sudah pun siap struktur asasnya, tinggal lagi ditambah servis-servis asas dan kekemasannya. dan tidak lama lagi akan menjadi tempat orang-orang untuk hidup berteduh. apa-apa pun, aku mahu bercerita tentangnya di naskhah akhir ini. akan dibaca atau tidak, ah, terpulang lah. saban naskhah yang aku tulis bermula naskhah ke-enam, aku menampalkan foto binaan yang sedang membangun tinggi. aduh, namanya juga bangunan, mestilah ia bangun dan berdiri meninggi. ianya terbahagi, blok satu dan blok dua. begitu. keduanya sama-sama masing-masing sedang membina diri. bermula daripada tanah lapang yang kosong, mereka mula tumbuh perlahan-lahan, dan seiring waktu, tingkatan demi tingkatan mereka capai. sehinggalah hari ini, mereka berjaya mencapai tingkatan tertinggi yang mereka cita-citakan. sungguh, perjalanan ke tingkat tertinggi itu tidak selesai dalam satu malam yang singkat. ia adalah perjalanan panjang, yang sangat panjang. 

tujuhbelas, 
tentang bangunan ini, orang-orang asing yang kagum(mungkin) melihat ianya berdiri teguh dan tenang pada luarannya, tidak akan pernah tahu seperti apa kisah di dalamnya sepanjang ia perlahan-lahan tumbuh meninggi. orang-orang tapak datang dan pergi sepanjang pembinaan itu. ada yang datang sebentar, kemudian bertemu realiti kisah dalaman bangunan ini seperti apa, akhirnya memilih untuk keluar, meninggalkan dan mencari tapak lain yang mereka lebih senangi. ada juga yang datang sedikit lebih lama, tapi, akhirnya memilih untuk keluar juga atas alasan mereka ingin mendapatkan cabaran yang baru dan tapak ini tidak lagi sesuai buat mereka, meski ianya belum lagi selesai siap. juga sudah tentu, masih ada yang kekal bersama terus membina, yang yakin bahawa bangunan ini pasti akan mencapai ketinggiannya meski seberapa rumit dan komplikated laluan ke atas itu. dua buah bangunan, yang setiap satunya memiliki kisahnya, masalahnya dan konfliknya sendiri. masing-masing melalui jalan dan cara yang berbeza untuk sampai ke tingkat tertinggi mereka. sepanjang perjalanan naik, blok dua sentiasa di hadapan, ia memanjat lebih tinggi mendahului berbanding blok satu. ya, blok dua tiba dulu di puncak sebelum blok satu sampai kemudian. nah, itu terjadi atas perbagai kombinasi situasi sepanjang perjalanan pembinaannya. dan sekarang, bila atau yang mana sampai dulu bukan lagi cerita utamanya kerana kedua-duanya sudah pun berjaya mencapai tingkat itu dan sama-sama ada berdiri di puncak ketinggian yang sama.

tujuhbelas, 
itulah kisah yang aku baca setiap hari sepanjang naskhah ini aku tulis setiap bulan. bermula dari naskhah pertama sehingga naskhah yang ini. bermula ketika aku masuk menyertai kumpulan orang-orang tapak yang membinanya. aku menyertai mereka ketika sudahpun lebih daripada sepertiga struktur asas telah siap terbina sehinggalah struktur itu siap sepenuhnya hari ini. kisah yang aku baca, seluruhnya adalah kisah tentang tumbuh. kisah tentang bangkit dan membangun. kisah tentang dua identiti yang sedang berusaha tumbuh tinggi menggapai langit. kisah tentang dua identiti yang sedang gigih membangunkan dirinya. dua identiti yang melalui perjalanannya masing-masing menuju destinasi yang sama. aku kira, surat-surat tujuhbelas ini tumbuh dan membangun bersamanya. dan seperti aku katakan, yang baru selesai pada bangungan itu adalah struktur asasnya. perjalanannya masih lagi ada berbaki ke depan sebelum ia benar-benar bersedia untuk menjadi tempat naungan orang-orang hidup berteduh di dunia. dari semasa ke semasa, struktur itu perlu disemak semula dari tingkat paling bawah ke tingkat paling atas. diteliti dan diperhatikan semula setiap satunya. jika ada yang tersilap, maka diperbaiki. jika ada yang terkurang, maka ditambah. begitu. mungkin naskhah ini juga harusnya seperti itu untuk aku yang menulisnya. surat-surat tujuhbelas. sudah pun sampai sehingga ke naskhah dua belas ini. cukup dua belas bulan, yakni setahun. sekarang adalah untuk memulai semula membaca daripada naskhah pertama. mencari apa yang kurang, apa yang silap, apa janji yang belum ditunaikan, dan apa kata yang belum sampai kepada perbuatan. semoga aku dan mungkin kau atau sesiapa yang membaca bisa belajar sesuatu, kalaupun tidak bertemu perkara-perkara yang baik daripada naskhah-naskhah ini, tapi belajarlah daripada kesilapan yang telah dilakukan oleh sang penulisnya dalam naskhah-naskhah ini.

tujuhbelas, 
cinta tidak pernah hadir tiba-tiba lalu menjadi sebesar gunung, datang menghempap manusia. cinta itu adalah pohon. pohon bermula dengan benih. cinta bermula dengan benih kecil. setiap orang menumbuhkan cinta masing-masing dengan benih masing-masing. ada yang menumbuhkan cinta daripada cita-cita mereka, ada yang menumbuhkan cinta mereka daripada pertemuan ringkas beberapa menit dengan sesuatu atau seseorang, ada yang menumbuhkan cinta daripada kesedihan atau kegembiraan mereka di masa lalu, ada yang menumbuhkan cinta daripada tulisan-tulisan orang sembarangan, ada yang menumbuhkan cinta daripada keinginan untuk melindungi dan dilindungi sesuatu atau seseorang, dan ada pula yang menumbuhkan cinta hanya sekadar alasan mereka ingin tahu cinta itu seperti apa. begitu, ada jutaan benih-benih yang ditemukan pelbagai orang untuk menumbuhkan pohon cinta mereka masing-masing. kemudian dari benih kecil inilah, mereka gigih menyirami, membaja, menjaga segala kebutuhannya untuk ia tumbuh subur. ia adalah proses panjang yang berjalan seiring masa, keberanian dan kesabaran. jika berjaya, pohon itu pasti akan membesar, dari akar mengeluarkan batang, batang menumbuhkan ranting, dari ranting muncul dedaunan, di antara rimbun dedaunan mekarlah bunga dan daripada bunga ia bertukar menjadi buah. ketika itu yang paling manis bukanlah menikmati buah yang telah masak ranum, justru, ia adalah mengimbau kembali perjalanan panjang untuk mendapatkan buah itu, sebuah proses yang mendewasakan.

...


naskhah ke-dua belas, yang terakhir. ya, ini naskhah akhir. menurutku, tulisan tidak akan pernah mati. setiap tulisan punya peluang untuk terus hidup. seperti manusia dan tumbuhan yang saling bertukar oksigen dan karbon dioksida untuk terus hidup, tulisan pula bertukar nafas dengan pembacanya untuk terus hidup. sepanjang itu, penulisnya pula yang akan menangung bayaran untuk tulisan itu terus hidup. jika tulisan itu baik, maka keberuntunganlah yang akan diraih penulisnya. namun, jika tulisan itu tidak baik, maka berhutanglah penulisnya dengan hal-hal buruk yang tersebar dari tulisan itu. sungguh, aku sentiasa merasakan bahawa aku adalah penulis yang banyak berhutang dengan tulisanku. pena ini terlalu berani untuk dilarikan sesukanya oleh jari-jari angkuhku. maka, mungkin yang terbaik sekarang adalah melepaskan pena ini setelah menyelesaikan naskhah ini. berhenti menulis untuk membaca, mencari nafas baru.

sekian.
 | tujuh belas oktober dua ribu enam belas.

No comments:

Post a Comment