Wednesday, December 30, 2015

stillness.









   the sun is so beautiful in the early morning. it does something to the trees that you don’t see any other time of the day. i think we all want the same thing: a quiet peace. maybe just even a single moment of it. to close our eyes and just be okay. 
   for even a single second, to not feel worried about something, sad about something. to not crave something we don’t–or can’t–have. just to be there, okay. still. silent. on the inside. maybe that’s what’s so beautiful about this time of the day: the stillness. 
   and the hope that maybe this day will be different. 

   (yasmin mogahed, reclaim your heart, page 159.)














_________________________
*may we find stillness in our solah; khusyu'. Allahumma ameen.


Thursday, December 17, 2015

surat-surat tujuhbelas (ii).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. keifa hal?


sebulan sudah berlalu, kita telah melepasi satu lagi rentang waktu yang penuh dengan pelbagai perkara. ada perkara yang telah kita selesaikan dengan jayanya dan ada juga perkara yang masih belum terlunas. alangkah, waktu memang sungguh unik dan penuh tanda tanya. kadang kita cuba merancang dan mengawal waktu, tapi bahkan waktu yang akhirnya merancang dan mengawal kita. marilah sentiasa mencuba untuk mendahului waktu yang berjalan, kalaupun bukan dengan tindakan kita, dahuluinya dengan fikiran kita. bergerak seiring waktu, kalaupun tidak berada di depan, kita tidak tertinggal jauh di belakang. agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi kerana waktu


...


tujuhbelas,

selamat mengembara - mentadabbur bumi Tuhan -  ke mana pun destinasi itu, bersama orang-orang yang kau sayangi dan mereka juga menyayangimu. sepanjang itu, berbicaralah dengan ibu dan ayahmu; mereka punya banyak pengalaman, mereka punya banyak nasihat. sepanjang itu, berbuallah dengan alam; mereka punya banyak cerita, mereka punya banyak pengajaran. sungguh, pengembaraan akan menemukan kita dengan pelbagai hal, termasuk menemukan siapa diri kita dan apa sebenarnya yang kita mahukan daripada hidup singkat ini. mungkin satu hari nanti kita bisa mengembara dunia bersama-sama, menyelak peta mencari jalan bersama-sama, membaca dunia orang-orang asing bersama-sama, menangkap momen bersama-sama, dan menuliskan semula setiap satunya dalam bahasa kita sendiri bersama-sama. ah, semua itu masih cuma 'mungkin' saja buat masa sekarang kan?


tujuhbelas,

tetaplah menjaga diri. teruskanlah berdiskusi dengan hatimu. kita sama-sama saling tahu sendiri bahawa ada sesuatu antara kita. tapi, meski sesuatu yang sedang tumbuh itu, ingin mahu segera berbunga mekar, ingin mahu segera berbuah ranum, kita telah sama-sama sudah sepakat bahawa ia tetap butuh waktu. kita juga sama-sama sudah sepakat mahu berusaha, sentiasa menjadikan Tuhan yang pertama dalam semua hal-hal kita, kan? maka, sehingga kau menemukan jawapanmu, tetaplah kita sama-sama menjaga diri ya.


tujuhbelas,

tetaplah berdoa. kerana doa tidak punya batas waktu. ia mampu pulang ke masa lalu dan mampu pergi ke masa depan. seperti doa memohon ampun kepada dosa-doa masa lalu dan seperti doa memohon ditetapkan dalam keimanan dan ketaqwaan di masa depan. kerana doa akan tetap tiba kepada penerimanya. ia mampu, dengan atau tanpa alamat, doa akan tetap sampai ke pintu rumah penerimanya, mengetuknya untuk menyampaikan kirimanmu. seperti doamu untuk sesuatu atau seseorang - yang mungkin kamu masih tidak tahu dan belum pasti apa atau siapa  - agar ia atau dia baik-baik saja; itu pasti akan sampai kepadanya. kerana doa tidak punya had muatan. seberapa berat permintaanmu atau seberapa besar kegusaranmu, doa tetap mampu mengangkatnya naik ke langit. kerana doa tidak semestinya perlu dikatakan. meski satu masa nanti kau hilang kata-kata, tidak tahu apa yang harus kau luahkan, tetaplah berdoalah dalam kesenyapan kata-kata; Tuhan maha tahu. kerana bila berdoa, kita sedang berusaha agar sentiasa menjadikan Tuhan yang pertama dalam setiap pengharapan kita. maka, tetaplah kita sama-sama berdoa dan saling mendoakan ya.


tujuhbelas,

tetaplah bersabar. sungguh perjalanan ini akan lebih panjang. kita masih berdiri di petak mulanya. atau mungkin belum pun tiba di petak mulanya. jika ternyata kita nekad memutuskan untuk melalui jalan ini, jauh di depannya nanti, pasti akan lebih banyak ujian, akan lebih banyak cobaan. entah dari mana datangnya atau bagaimana caranya. perjalanan ini adalah perjalanan perjuangan. dan sunnatullah perjuangan pasti butuh pengorbanan. andai benar kita yakin bahawa perjuangan ini pasti akan menjadikan diri kita lebih baik, maka siap-siaplah kita untuk berkorban. entah itu pengorbanan tenaga, materi atau perasaan. kita sesungguhnya tahu bahawa aku atau kau tidak sedang melaluinya sendirian. Tuhan pasti akan bersama kita. ya, Tuhan pasti akan bersama kita. tapi tetap saja jika kita berusaha untuk sentiasa mendahulukan Tuhan dalam setiap langkah kita. maka, tetaplah kita sama-sama bersabar ya. 


...



rasanya cukup berhenti setakat di sini untuk surat kali ini. sungguh pada setiap tulisanku, aku sendiri juga yang membacanya terlebih dahulu. maka akulah yang paling akan dipertanggungjawabkan dan diuji dengannya. jika ada yang baik, kita lakukanlah bersama. jika ada yang buruk, ajarkanlah aku. ketakutan kita cuma setitis hujan yang jatuh ke laut, sedangkan alangkah luas dan dalamnya lautan rahman-Nya. harapan kita cuma setitis hujan yang jatuh dari langit, sedangkan alangkah luas dan tingginya langit rahim-Nya. sampai ketemu lagi pada bulan baru di tahun yang baru; januari dua ribu enam belas.



sekian.
 | tujuh belas disember dua ribu lima belas.

Monday, December 14, 2015

of books and cappucino.









kedai buku.


"kenapa abang suka baca buku?" 
"hmm, pernah tak ada benda yang bermain dalam fikiran kita, mahu kita keluarkan, mahu kita sampaikan, mungkin dalam tulisan atau mungkin dengan percakapan, tapi tak jumpa jalan macammana mahu terangkan, pernah?" 
"emm, pernah. selalu." 
"ha, itu sebab kita tak jumpa ayat yang sesuai untuk kita terangkan. kita tak jumpa perkataan yang tepat untuk menggambarkan apa yang kita fikirkan. sebab vocab kita masih kurang. kita kurang perkataan. kemudian, dalam buku kan ada banyak perkataan, ada banyak ayat. nah, sebab tu abang suka membaca,  mahu menambah vocab sendiri. jadinya, bila ada hal yang berputar dalam fikiran, mudah untuk dikeluarkan dan disampaikan, sebab kita sudah ada perkataan-perkataannya, tinggal disusun menjadi ayat."
"ouh, ok. bila-bila nak pinjam buku boleh?"
"bolehh.." 



kedai kopi.


"err, kenapa abang suka minum kopi?" 
"tak semua perkara akan selesai diterangkan cuma dengan perkataan." 
"emm, maksudnya?" 
"ada benda yang kita hanya sampaikan atau terangkan cuma dengan kata-kata, baik dalam tulisan atau percakapan. dan kita fikir cukup dengan sekadar itu, orang yang membacanya atau mendengarnya akan faham. tapi sebenarnya ia masih belum selesai di situ. mereka cuma tahu apa yang kita katakan. untuk mereka faham, mereka perlu merasakannya sendiri, melaluinya sendiri, barulah mereka mengerti apa yang kita maksudkan. dalam hal-hal begini, ada beza antara tahu dan faham. macam kopi, kalau abang cuma cerita pasal bagaimana nikmatnya rasa kopi pahit-pahit manis berkrim, cukup tak untuk faham dengan sekadar di situ?" 
"a'ah, tak cukup. kena rasa sendiri." 
"jadi, cappucino dua cawan?" 
"ha, boleh!"




dan hari pun hujan.
seperti semalam-semalamnya juga.








__________________________
*hari ni cuti. replacement untuk kerja semalam selesaikan inspection swimming pool, semoga hari ni dah boleh concrete. tubuh dan pikiran butuh rehat. mohon doa kalian. 


Tuesday, December 08, 2015

random words.









(i) sabar bukan duduk dan tunggu, ia adalah memandang ke depan. ia adalah melihat duri dengan memandang bunga ros merah yang akan kembang mekar di hujung pucuknya dan melihat gelap malam dengan memandang terang pagi yang akan hadir setelahnya. para pencinta sejati, yakni mereka yang cinta pada Tuhannya, yang cinta pada dakwah kerana Tuhannya, yang cinta pada manusia kerana dakwahnya, adalah mereka yang sabar, yang tahu sang bulan perlu waktu untuk menjadi purnama penuh yang mengambang indah. (ii) sungguh ketidaktahuan itu menyulitkan. ia membawa kita kepada ketakutan. dan perkara apa pula yang paling tidak diketahui oleh manusia melainkan masa depan mereka. maka, apabila takut pada masa depan yang penuh dengan ketidaktahuan, apakah tidak perlu menghadapinya? lebih rumit, masa depan memegang semua perkara penting dalam hidup; ajal, jodoh, rezeki termasuk syurga atau neraka. tapi, sempatkanlah berfikir, hari ini yang terang benderang juga adalah masa depan hari-hari semalam yang penuh kegelapan, ketakutan dan ketidaktahuan. Tuhan sudah membawa kita sejauh ini, tidakkah kita berfikir bahawa Tuhan maha mampu membawa kita lebih jauh ke depan? (iii) kadang, kita perlu berhenti untuk risau akan ketetapan-ketetapan yang di luar kekuasaan kita, berhenti untuk terlebih menganalisis soalan-soalan yang sudah ada jawapannya dan berhenti memberatkan fikiran kita pada hal-hal yang membunuh rasionalisasi kita. yakinlah sesuatu itu akan tetap terjadi sebagaimana ianya tertulis dalam susunan takdir. mungkin bukan seperti yang kita rancangkan, tapi seperti mana yang sepatutnya ia terjadi. (iv) kematangan adalah satu proses, bukan produk. bila ia adalah proses bukannya produk, maka ia akan sentiasa berjalan. kerana kematangan tidak cuma melibatkan diri kita sendiri, ia adalah proses kita berinteraksi dengan orang sekeliling. setiap pertemuan kita dengan orang lain pasti punya alasan, sama ada untuk mereka mengubah hidup kita, atau untuk kita mengubah hidup mereka, atau mungkin juga untuk saling mengubah hidup masing-masing. hargailah setiap interaksi ini dengan sentiasa belajar sesuatu daripadanya. (v) perkataan kita mungkin boleh disusun, tapi tidak tindakan kita kerana ia semulajadi dikawal oleh hati, jika bukan akal kita. hati dan akal adalah raja dan penasihatnya dalam kerajaan diri. kita perlu mendengar daripada keduanya untuk menjadi bijaksana dalam setiap tindakan. memilih untuk mengikuti cuma salah satunya akan membinasakan. jika hati punya emosi, akal juga punya keterbatasan ilmunya. justru, raja dan penasihat ini perlu dididik juga oleh kita sendiri agar menjadi pemerintah yang bijaksana. didik hati dengan 'zikir'. didik akal dengan 'fikir'.









ihdina ya Allah.








Friday, December 04, 2015

dua hal tentang dua hal.





sepanjang perjalanan hidup saya yang semakin jauh dan bersimpang siur, (aiwah!) haha, ada dua hal yang menurut saya begitu banyak menentukan ke mana arah hidup akan membawa kita. sungguh, saya masih lagi struggle dalam banyak hal, baik untuk meninggalkan kebiasaan zaman jahiliyah dulu (aiwah! lagi) mahupun untuk membiasakan diri dengan hal-hal yang sewajarnya ada pada peribadi muslim sejati (aiwah! sekali lagi). dua hal tadi, yang setiap satunya adalah gabungan antara dua hal yang lain pula. eh, betul ka ayat ni? mungkin anda juga ada berfikir dan merasakan yang sama seperti saya. nah, saya eksplain;

yang pertama, dua hal itu adalah ikhlas dan istiqamah. kita tahu bahawa amal terbaik adalah amal yang paling ikhlas dan dilakukan dengan istiqamah. dan sepertinya mahu mendapatkan dua hal ini sekaligus dalam amal kita amatlah sukar kan? dalam dunia akhir zaman yang penuh fitnah, kita tahu, menjaga hati untuk ikhlas tidak mudah. dalam dunia akhir zaman yang penuh fitnah, kita tahu, terus istiqamah melakukan hal-hal baik, juga tidak mudah.

tapi, hari ini saya belajar bahawa kita hanya perlu memilih untuk berkerja keras antara salah satunya; ikhlas atau istiqamah. bila kita mampu menjaga antara salah satunya, maka satu yang lain akan ikut sekali di hadapan. mendidik hati untuk ikhlas dalam amal, menumpukan semua yang kita lakukan hanya semata untuk Allah swt sambil berusaha menolak segala kebergantungan pada makhlukNya akan melenyapkan rasa ingin dipandang orang dan rasa kecewa. bila kita mampu menjaganya, maka istiqamah itu pasti akan hadir di hadapan. begitu juga bila kita berkerja keras untuk sentiasa istiqamah dalam melakukan hal-hal baik, meskipun diawalnya ianya dilakukan atas rasa terpaksa atau dipaksa. seperti hati yang keras dan kontang, bila sentiasa hujani air, pasti akan lembut dan subur juga. perlahan-lahan, bersama istiqamah itu, ikhlas pasti akan hadir di hadapan.


yang kedua, dua hal itu adalah sabar dan syukur. kita tahu bahawa untuk menjadi manusia bahagia, kita perlu sentiasa bersabar dan bersyukur dalam segala hal. bersabar dan bersyukur dalam musibah. bersabar dan bersyukur dengan nikmat. kerana hakikatnya, musibah dan nikmat adalah ujian daripada Allah kan? dalam dunia penuh dengan manusia lain yang suka membanding-bandingkan, kita tahu, sabar bukanlah hal yang mudah. dalam dunia penuh dengan orang yang suka membanding-bandingkan, kita tahu, bersyukur juga bukanlah hal yang mudah.

tapi, hari ini saya belajar bahawa kita hanya perlu memilih untuk berkerja keras antara salah satunya; sabar atau syukur. bila kita mampu menjaga antara salah satunya, maka satu yang lain akan ikut sekali di hadapan. berusaha bersabar, baik bila ditimpa musibah mahupun bila dikurniakan nikmat. bersabar dengan musibah dengan tidak menyalahkan takdir dan bersabar dengan nikmat dengan tidak sesukanya mempergunakan ia pada perkara yang tidak baik. bila kita mampu menjaganya, maka syukur pasti akan hadir di hadapan. begitu juga bila kita sentiasa beringat untuk bersyukur, berterima kasih pada Tuhan baik bila ditimpa musibah atau bila dikurniakan nikmat.  syukur kerana dengan musibah, boleh jadi ia adalah kifarah buat dosa-dosa kita. syukur dengan nikmat kerana dengannya kita mampu melaksanakan ibadah dengan lebih mudah dan tenang. syukur kerana mungkin orang lain tidak beroleh musibah dan nikmat itu seperti kita. maka, di hadapan nanti pasti rasa sabar akan hadir bersama. 

begitukah?



jadinya, selamat menikmati berkah-berkah sayyidul ayyam, jumaat yang indah ini dengan meniti ayat-ayat al-kahfi, kemudian dengan menghayati lantunan cinta dalam selawat buat baginda rasul saw, dan seterusnya bersungguh melaksana amalan-amalan sunnah jumaat yang lain ya.

:)

Tuesday, December 01, 2015

as we lost our words.

























"it's gonna be a tough one after this."
"sure."

































"doakan?"
"sama-sama doakan. ok?"
"always, in shaa Allah."













Friday, November 20, 2015

we're all.





we're all hoping, we're all hopeless
we're all thorns and we're all roses
we're all looking down our noses at ourselves
we're all flawed and we're all perfect
we're all lost and we're all hurting
and just searching for somebody to love



   apabila manusia-manusia introvert itu jatuh cinta, mereka tidak pernah menampakkannya terang-terangan pada dunia, tidak pada sesiapa pun. mereka akan cuba menyembunyikannya begitu kemas dalam perkara-perkara yang mereka paling suka. jika dia adalah pencinta kamera, cuba perhatikan foto-fotonya. jika dia adalah penyuka huruf dan kata-kata, cubalah baca tulisan-tulisannya. jika dia adalah penyuka earphone yang disambung pada empitri, cuba dengarkan lirik pada lagu lagu dalam playlistnya. atau mungkin pada buku yang dijinjitnya ke mana saja jika dia adalah penyuka bau kertas.

      mereka begitu.



we're all liars, we're all legends
we're all tens, that want elevens
we're all trying to get to heaven, but not today
we're all happy, we're all hatin'
we're all patiently impatient
and just waiting for somebody to love


we're all good, but we ain't angels
we all sin, but we ain't devils
we're all pots and we're all kettles
but we can't see it in ourselves
we're all livin' 'til we're dying
we ain't cool, but man, we're trying
just thinking we'll be fixed by someone else



   gudang buku(baca; perpustakaan) adalah tempat temujanji paling strategik bagi orang-orang introvert. tempat temujanji yang tidak perlukan suara yang banyak atau tatap mata yang panjang kerana masing-masing akan tenggelam dalam buku. mereka senang lebih banyak berbicara dalam bahasa diam. 

"so, this is our last day here." 
"how fast time flies.." 
"apa plan kau lepas ni?"
"hmm.. tak tahu lagi. kau?" 
"baca buku. menulis. dan mungkin travel dengan kamera kalau ada masa."
"ouh.."


   yang paling memahami orang-orang introvert adalah orang-orang introvert sendiri. jiwa mereka bergetar pada frekuensi yang sama. kerana itu, kadang mereka tidak perlu perbualan panjang untuk tahu apa yang bermain di fikiran masing-masing. kadang cukup hanya mendengar(membaca) dua tiga ayat ringkas, mereka sudah saling tahu. 

"sebenarnya, ada benda yang aku takut." 
"takut apa?"  
"entah lah.." 
"takut kehilangan? takut semua harapan kau tak menjadi?" 
"hmm.." 
"kau tahu kenapa Tuhan bagi rasa takut pada orang beriman?" 
"kenapa?" 
"sebab bila kau takut, kau akan lebih berhati-hati menjaga diri. dan pergantungan kau pada Tuhan akan lebih tinggi. sujud kau lebih dalam. airmata yang jatuh bersama doa kau lebih ikhlas.."



we all talk, but we don't listen
we're all starving for attention then we'll run
we're all paper, we're all scissors
we're all fightin' with our mirrors
scared we'll never find somebody to love


just tryin' to hold it all together
we all wish our best was better
just hopin' that forever's really real
we'll miss a dime to grab a nickel
overcomplicate the simple
we're all little kids just looking for love
yeah, don't we all just want somebody to love?







_________________
maaf, merepek pagi-pagi jumaat ni. jom kahfi.

Tuesday, November 17, 2015

surat-surat tujuhbelas (i).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. kamu sehat?
kita bertemu lagi ya, tujuhbelas. pertemuan kali terakhir di oktober kan? nah, sekarang kita bertemu lagi di november. tidak sedar sudah berlalu sebulan kan? masa pantas sekali berputar dan katamu benar, masa itu kehidupan. kerana kehidupan singkat ini, adalah masa(kesempatan) yang diberi Tuhan, untuk kita isi dengan hal-hal baik yang ada dalam lingkungan perintahNya. setelah kita mati, tiada lagi kehidupan dan tiada lagi masa. yang ada cuma hari perhitungan. terima kasih atas peringatan itu, tujuhbelas.

... 

tujuhbelas,
apa kamu terkejut kerana tiba-tiba saja aku menuliskan surat ini? sebetulnya, aku juga tidak tahu apa yang aku ingin sampaikan lewat surat-surat ini. aku menulis ini juga dalam keadaan mengantuk. oh ya, kamu tahu kenapa aku mengatakannya 'surat-surat'? haha, kamu pasti tidak tahu bagaimana menjawabnya, kan? nah, aku jawabkan saja. kerana surat-surat itu maksudnya lebih dari satu surat, hehe. iya, maksud aku, kita akan bertemu lagi tarikh tujuh belas di setiap bulan yang mendatang, kan? jadi, aku mahu menuliskan surat setiap kali tarikh ini berulang, tujuhbelas. aku sendiri tidak pasti entah berapa banyak surat akan aku tuliskan, dan entah kamu akan membacanya atau tidak, tapi aku akan tetap menulis sehingga tiba hari itu, tujuhbelas. mungkin akan ada sepuluh atau dua belas atau tujuh belas surat atau mungkin ketika aku tidak lagi menemui kamu hanya dalam kiraan bulan tapi pada kiraan hari, iya, pada tahun dua ribu tujuh belas nanti. nah, menemui engkau, tujuhbelas, ketika itu tidak lagi cuma sekali dalam sebulan, bahkan setiap tarikh yang aku tulis pasti akan ada kamu tujuhbelas. tapi entah, seperti kamu, aku juga masih ada beberapa hal yang belum pasti. mungkin setelah beberapa hal itu sudah menjadi pasti, kita boleh mula memastikan hal-hal lain pula ya. kamu mengerti kan maksud aku, tujuhbelas?

tujuhbelas, 
masa-masa ke depan yakni masa-masa sehingga hari itu, hari yang kita sendiri masih belum pasti bila, bahkan sama ada akan ada atau tidak, adalah masa-masa menunggu. dan setiap masa-masa menunggu adalah ujian bagi semua manusia. kita akan diuji dengan bagaimana kita mengisinya. hakikatnya kita sebagai manusia adalah makhluk yang sentiasa dalam keadaan menunggu. sedari alam rahim, kita menunggu untuk keluar melihat dunia. ketika kita adalah anak bayi, kita menunggu untuk disuapkan susu. ketika di alam persekolahan kita menunggu keputusan peperiksaan. ketika di alam pekerjaan, kita menunggu hari gaji. dan hari ini, kita ternyata sudah dewasa kerana menunggu saatnya menikah. oh ya, jangan lupa, kita sejatinya adalah orang yang bahkan ditunggu oleh malaikat maut


tujuhbelas, 
kerana masa-masa menunggu ini adalah ujian, maka marilah kita sama-sama mengisinya dengan hal-hal yang baik agar kita mendapat pengakhiran yang baik juga. jika kamu bertanya apa jawapan aku tentang masa-masa menunggu ini? maka jawapanku ringkas; menyiapkan diri. ya, soalan diri sudah siap atau belum itu sungguh subjektif. tapi, soalan subjektif tetap harus dijawab dengan jawaban yang teratur dan bijaksana. menunggu hari itu? isilah dengan meletakkan target peribadi. misalnya mahu menghabiskan membaca buku-buku persediaan seperti bukunya mas salim a fillah, barakallaahu laka, bahagianya merayakan cinta, atau bukunya ustaz hasrizal, aku terima nikahnya, atau bukunya hilal asyraf, sebelum aku bernikah dan lain-lainnya. atau misalnya mahu mengaji agama menerusi khatam mana-mana kitab dalam majlis-majlis ilmu. memantapkan ilmu fardhu ain, memahami fiqh munakahat, mendalami seni tarbiyatul aulad dan lain-lainnya. atau misalnya mahu menghabiskan hafalan beberapa surah daripada al-quran. tidak mampu habiskan juzuk, dapat sebilangan surah juga baik. tidak surah-surah yang panjang, dapat surah-surah pendek juga baik. mungkin surah ar-rahman yang mengajarkan kita agar sentiasa bersyukur, mungkin surah al-kahfi yang melindungi daripada fitnah dajjal atau mungkin surah luqman yang sarat dengan nasihat daripada seorang ayah untuk anak-anaknya dan lain-lainnya. atau misalnya mahu memantapkan ekonomi sendiri, biar masa-masa ke depan lebih teratur hal dunianya. seperti mahu menyimpan sebanyak ini, punya aset begini, dan lain-lainnya.


tujuhbelas, 
aku juga cuba semahunya tidak menjanjikan apa-apa setakat ini. menabur janji itu memenatkan kerana ia sentiasa akan mendatangkan ekspektasi. dan ekspektasi selalunya mengecewakan jika segalanya tidak kita disandarkan pada keimanan kepada takdir, yakni qada' dan qadr Tuhan. kita tidak hidup sekadar dengan memberi janji tapi kita hidup dengan perjuangan membenarkan janji. kita bergerak dalam laluan takdir yang kita sendiri tidak tahu apa yang menanti di hadapan. tapi, Tuhan tidak meyediakan laluan ini tanpa papan tanda penunjuk arah. maka, ayuhlah kita bergerak ke hadapan dengan mencari dan mengikuti papan tanda penunjuk arah yang benar. tujuan yang sama akan menemukan orang-orang di perjalanan, kan? 

... 


sudah terlalu panjang barangkali. cukuplah di sini saja tulisan untuk surat kali ini, tujuhbelas. semoga kita tetap dalam lindungan rahman-Nya yang seluas langit dan rahim-Nya yang sedalam lautan. sampai ketemu lagi di disember nanti. doakan?  

sekian.
 | tujuh belas november dua ribu lima belas.



__________________
*kalian, jangan ditanya siapa dia tujuhbelas itu. aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu dijelaskan.

Tuesday, November 10, 2015

its raining again.





usai solat maghrib, aku duduk sebentar di kaki lima masjid kota iskandar. memandang ke atas, lautan langit yang kian gelap.


ini maghrib pertama aku di sini. mungkin yang pertama untuk kebanyakan hari-hari ke depan. structure inspection terakhir hari itu, staircase di level 2 bahagian podium habis pukul enam lima puluh petang. dua minit sebelum azan maghrib. turun dari level dua podium, aku terus ke site office. mengemas barang-barang untuk segera pulang. langit mendung lagi seperti hari-hari lepas. keluar dari site terus bergerak ke masjid yang tidak sampai satu kilometer. maghrib di sini jemaahnya tidak ramai. cuma suku saf pertama. mungkin ini sebab kawasan perumahan semua jauh-jauh. dan masjid ini khusus untuk staff kota iskandar nusajaya ini, pusat pentadbiran negeri johor.


hujan mulai jatuh. tapi cuma sedikit. aku mengambil keputusan untuk redah saja. semoga hujan tidak lebat sehingga aku sampai di rumah. tapi, ternyata bila aku sudah melepasi separuh perjalanan, hujan jatuh dengan lajunya. di kiri kanan ramai rider-rider berhenti, memakai baju kalis hujan masing-masing. aku memutuskan untuk berhenti juga. tapi, bila cari-cari baju hujan, baru aku teringat aku terlupa bawa! baju hujan itu aku sidai, hari cuti semalam. aduh..

ah, aku nekad untuk teruskan lagi perjalanan.


tapi, melepasi dua traffic light, ternyata hujan jatuh makin lebat. tiada pilihan lain. aku belok ke simpang deretan rumah kedai. di situ ada ramai juga rider-rider lain yang memberhentikan pejalanan mereka sebentar, sama seperti aku, kerana tidak ada baju hujan. dalam keadaan basah lencun begitu aku memandang sepi ke arah hujan. teringat peristiwa sama masa datang interview untuk kerja aku sekarang ini. 


...



ingat lagi, tarikh enam oktober, sehari sebelum tujuh oktober, tunggang motosikal sebab mahu elak jalan sesak. petang itu hujan jatuh lebat juga ketika aku dalam perjalanan ke site. habis lencun pakaian yang aku rapikan untuk interview itu. aku hampir berpatah balik di tengah perjalanan kerana hujan yang terlalu lebat. tapi takdir menyampaikan juga aku di sana. 


sebelum masuk, aku singgah untuk duduk termenung di pondok menunggu bas berdekatan. masih berfikir mahu teruskan atau tidak. dalam keadaan lencun begitu, apakah mereka akan benarkan aku masuk dalam ofis atau tidak? akhirnya, aku memutuskan untuk redah masuk saja. basah tak basah, lepas tak lepas belakang cerita. interview itu berjalan lancar. interviewer ketika itu, yang kini merupakan general manager aku sekarang, bos yang sangat sempoi, haha, bertanya beberapa soalan dan aku menjawab dalam keadaan menggigil, bukan kerana nervous, tapi sebab baru lepas basah kuyup mandi hujan, masuk pulak bilik beraircond! tapi akhirnya, beberapa hari kemudian dia menghubungi aku untuk bertanya bila aku boleh mula berkerja.. Allahurabbi.


sungguh, kita tidak akan pernah tahu bagaimana takdir Tuhan bergerak.


...



kembali kepada kisah awal tadi, sambil memandang hujan aku berfikir tentang satu hal. hujan ini sebetulnya rahmat untuk kita. tapi terkadang ia bahkan boleh bertukar menjadi bencana atau musibah. bila hal ini boleh berlaku? menurut aku, ia apabila hujan jatuh pada masa dan tempat yang salah. seperti hari ini, aku merasakan ia jatuh tidak pada masa dan tempat yang tepat untuk aku. mungkin untuk orang lain, hujan ini jatuh pada masa dan tempat yang tepat untuk mereka. aku melihat rider-rider yang ada bersamaku. masing-masing hanyut dalam pikiran mereka. mungkin ada yang risau memikirkan anak-anak yang sedang menunggu mereka pulang dari kerja, mungkin ada yang sedih memikirkan baju yang baru mereka basuh pagi tadi masih belum diangkat dari ampaian, atau mungkin ada yang gembira memikirkan tangki air mereka terisi lagi setelah beberapa hari bekalan paip air terputus. begitu, masing masing punya 'masa dan tempat' masing-masing.


termenung lebih lama, aku berfikir lagi tentang satu hal yang lebih dalam. seperti hujan yang jatuh, cinta juga jatuh. seperti hujan, cinta jatuh pada masa dan tempat(orang) yang berbeza-beza untuk setiap daripada kita. seperti hujan, cinta boleh jadi rahmat bila ia jatuh pada masa dan tempat(orang) yang tepat. seperti hujan, cinta bahkan boleh jadi musibah bila ia jatuh pada masa dan tempat(orang) yang silap. justru kita harus bijak berfikir tentang hal jatuh cinta ini, apakah cinta itu jatuh pada masa dan tempat(orang) yang benar-benar tepat. jika bila telah habis berfikir dan menemukan jawapan dari Tuhan bahawa ia adalah benar-benar tepat, mungkin ada baiknya, seperti hujan, redahlah cinta yang jatuh itu. tapi tetap dengan sikap berhati-hati dan waspada bahwa takdir Tuhan tidak mungkin mampu dijangka kecuali setelah ia benar-benar telah terjadi. 



dan kali ini, aku memutuskan untuk meredah hujan yang jatuh. kerana entah sampai bila aku akan harus menunggu di sini. mungkin hujan ini hanya akan berhenti esok pagi. siapa tahu kan..



...


“boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” [al-baqarah; 216]







Sunday, November 01, 2015

muchas gracias.











bermula dengan bertambah usia pada hari ke-tujuh, tua dah, sikit lagi mau sampai kubur. dapat panggilan intebiu kerja baru daripada empat kompeni, perginya cuma tiga intebiu, diterima kerja cuma dua kompeni dan pilih satu kompeni untuk kerja baru yang akan bermula esok. projek semua dah siap, dapat cuti seminggu untuk balik tawau. kakak cantek yang pemurah sponsor tiket flight. sayanggg kakak cantek.. huhu. jumpa bapak, curhat dengan bapak. terima kasih bapak! jumpa femili, bermanja dengan femili. buat seprais pintu doraemon dalam reunion dengan kawan-kawan klasik di kfc, ahaks. minum kopi dengan kawan-kawan klasik, kembali ke sk abaka, be-rooftop dengan kawan-kawan klasik. meredah lautan langit balik johor bahru. dapat free buku lapis-lapis keberkahan, lama woo cari buku tu. menjalani minggu terakhir di kompeni lama. tinggalkan adik-adik penghafaz quran di maahad, sob..sob..sob.. masuk rumah baru dengan kawan-kawan kacak. backpacking(lah sangat) dari johor bahru ke kuala lumpur. sempat jumpa kakak yang baik hati. silaturahim ke rumah big bro and co. dan semalam rempit tiga ratus kilometer dari kuala lumpur balik ke johor bahru, aduh, rasa mau tercabut bah tulang belakang..











terima kasih ya Allah untuk oktober yang ini. :)
hai november! 




Friday, October 30, 2015

kawan-kawan klasik.


sk abaka.




bismillah.


pernah ada satu buku yang dulunya paling kita suka baca, tapi keakraban kita dengan buku tu perlahan-lahan berkurangan hari ke hari, mungkin kerana kita bertemu dengan buku-buku lain atau mungkin kerana kita sibuk dengan hal-hal lain selain membacanya. sehingga satu hari, mungkin dengan tidak sengaja, ketika kita tengah sibuk mengemas barang untuk keluar bermusafir, kita menemukan semula buku itu di laci paling bawah almari baju. maka satu persatu ingatan muncul dalam hati kita bahawa hati, jiwa, cita-cita dan impian pernah kita temukan dan tinggalkan di dalam naskhah itu.

pernah? saya pernah. :D



oh ya, sudah lebih dua minggu sejak reunion dengan kawan-kawan klasik, kawan-kawan sekolah rendah. kawan-kawan klasik sebab bila jumpa balik semuanya, satu persatu perkara, memori dari zaman belakang bermain semula di layar memori hitam putih. klasik sebab kita saling bercerita hal-hal klasik semasa kecil, daripada nikmatnya ais limau dalam plastik panjang kedai kak yan, sedapnyaaa, sehingga seronoknya main hujan sepanjang perjalanan pulang balik rumah selepas sekolah dan lari pusing padang sekolah dikejar anjing. haha. klasik sebab kita cerita tentang orang-orang klasik, para cikgu, para pak cik, para mak cik dan orang-orang lejen yang sudah lebih daripada sepuluh tahun tidak berjumpa.

klasik juga sebab kita(saya) 'bertemu semula' realiti kehidupan dan 'bertemu semula' dengan diri sendiri melalui kawan-kawan klasik ini.




...



throwback sebentar. 


sekolah rendah kami terletak di tengah hutan kelapa sawit, yang sebelum itu adalah hutan pokok koko, yang sebelum itu adalah hutan pokok getah, yang sebelum itu adalah hutan.., err, entah, tahu sampai situ jak. ya, sekolah kampung untuk anak-anak kampung. sekolah yang sederhana untuk orang orang sederhana seperti kami.

aturan Tuhan, lepas tamat upsr di sekolah ini, saya ke sekolah asrama penuh di daerah lain. sekolah elit (kononnya), yang ya, pelajarnya pelajar-pelajar bijak pandai. sebelum itu, don't get me wrong kay, saya bukan mahu masuk bakul angkat sendiri. maksud saya, saya berada dalam komuniti orang-orang yang punya jalan hidup yang cerah, ada masa depan yang terjanji dengan kejayaan. hal ini selalu diulang cakap setiap kali perhimpunan oleh cikgu-cikgu, pengetua bahkan para orang-orang besar yang berkunjung untuk majlis-majlis tertentu. kata mereka, anda semua adalah orang yang terpilih. hmm, kalaulah dapat mendengarkan rasulullah saw mengatakan "anda orang yang terpilih untuk memasuki syurga" seperti yang disampaikan baginda kepada para sahabat, oh alangkah...

aturan Tuhan, lima tahun kemudian saya meneruskan pengajian ke kolej matrikulasi. majoriti kawan-kawan daripada sekolah asrama penuh juga masuk ke sini, sementara yang lain bertebaran ke institut lain termasuk ke luar negara. situasinya sama, saya masih lagi berada dalam lingkungan penuh manusia-manusia cemerlang. again, don't get me wrong kay. selangkah lagi untuk ke menara gading, menara yang sentiasa dicanang-canangkan sejak tadika lagi oleh para cikgu.

aturan Tuhan, saya melalui fasa terakhir pendidikan dengan menuntut di universiti. menuntut dalam jurusan yang pasaran kerjanya boleh dikatakan cukup terjamin. masih tetap berada dalam kelompok manusia-manusia cemerlang pendidikannya. still, don't get me wrong kay. maka, habislah pengajian di universiti. baling topi hitam bertali merah. maka graduanlah saya. kira-kira sebulan lepas habis pengajian(belum majlis konvokesyen lagi) saya mula berkerja dengan pendapatan yang lebih dari mencukupi untuk seorang anak lelaki bongsu, bujang tanpa apa-apa tanggungan seperti saya.



ok, habis throwback. 



*bila tulis dan baca balik begini, baru saya sedar betapa jalan hidup saya terlalu mudah dan lurus. semuanya sentiasa bergemerlapan dengan lampu lip lap lip lap. alhamdulillah. tsumma alhamdulillah. sungguh hambaMu ini kurang rasa syukurnya, Allahurabbi.. T_T




...




kembali kepada kawan-kawan klasik. pertemuan yang bermula daripada facebook kemudian berkumpul dalam wassap dan akhirnya be-reunion temu mata di kfc bandar tawau, membawa saya kembali berfikir banyak tentang kehidupan.

saya tidak tahu jalan hidup yang bagaimana setiap dari kawan-kawan klasik ini lalui selepas tamat di sekolah rendah. yang pasti, tidak semua melalui laluan mudah seperti saya. selepas bertemu kembali barulah satu persatu cerita dibuka. ada yang manis indah dan ada juga yang pahit menyakitkan. terlalu banyak hal yang dilalui setiap dari kami. yang bila difikir kembali, saya ingatkan perkara-perkara ini cuma berlaku dalam drama-drama melayu slot akasia tv3. terlalu banyak hal yang entah jika saya sendiri yang lalui, entah di mana saya hari ini. jujur, kawan-kawan klasik ini melalui ujian hidup yang jauh lebih hebat daripada yang pernah saya sendiri lalui. ujian yang bagaimana, biarlah ia tetap rahsia antara kami.

apa yang tetap mengagumkan saya, kawan-kawan klasik ini tetap ceria dan mudah berkongsi cerita meski perjuangan yang mereka sedang lalui sungguh mencabar menurut saya peribadi.

seluruh hal ini kembali membuat saya bermuhasabah panjang, bahawa betapa manjanya saya dengan kehidupan. baru bertemu ujian luka terguris duri bunga sudah mahu dimasukkan dalam wad icu. sedangkan kawan-kawan klasik ini parah ditabrak lori masih tetap gagah mahu berlari menghabiskan marathon mereka. Allahurabbi..

bahkan, dari kawan-kawan klasik ini juga saya belajar, untuk sentiasa melahirkan rasa syukur dan menundukkan rasa sombong riak, kita perlu banyak memberi setiap kali kita merasa lebih. baik dalam hal ilmu pengetahuan, hal hati dan perasaan, mahupun hal materi. meski cuma sedikit, tetaplah sentiasa berkongsi.. begitu.






akhirnya, Alhamdulillah atas kurniaan kawan-kawan klasik ini. :)



Friday, October 23, 2015

rainy days.




daerah istimewa, Jogjakarta.

jalan Jendral Sudirman. di sudut barisan panjang rumah kedai, berdekatan simpang empat berlampu trafik merah hijau kuning adalah toko buku Gramedia. aktiviti berkala bila ada masa senggang bagi Mayra, berkunjung ke toko buku tiga tingkat itu. 

kadang Mayra bukanlah datang untuk mencari buku untuk dibeli, tapi untuk menyambung bacaannya. iya, menyambung bacaannya. ada sebuah buku lama yang sedang dibacanya setiap kali dia bertandang ke toko buku itu. sebuah buku tebal tulisan penulis asia tengah yang diterjemah ke dalam bahasa inggeris, berkulit keras dengan tujuh belas bab kandungannya. setiap kali datang ke situ dia membaca satu bab. buku itu cuma ada satu naskah yang tinggal untuk dijual.

Mayra akan mencapai buku tebal itu dan duduk di sudut, penghujung rak tempat letaknya. sehingga habis membaca satu bab, dia akan bersila di situ tanpa menghiraukan sesiapa pun. jadi, kenapa dia tidak beli sahaja buku tebal itu dan bawa balik baca dalam bilik? entah, saya pun tak tahu. mungkin dia perlu alasan untuk sentiasa datang ke toko buku itu. mungkin ada yang menantinya atau mungkin ada yang dinantinya. entahlah. 

hari itu sepatutnya Mayra membaca bab ke-sepuluh buku itu. tapi, bila sampai ke rak buku tempat letaknya, buku tebal itu sudah tiada lagi. dia cuba bertanya kepada petugas toko. kata mereka, naskhah terakhir buku itu sudah habis. baru sebentar tadi ada orang yang membelinya. ah, sudahlah buku itu buku keluaran terhad, publishernya dari luar negara pulak. ada tujuh bab lagi berbaki untuk dibacanya. dia kecewa. 

turun dari tingkat atas toko buku itu, baru Mayra sedar kota Jogja sedang dituruni hujan. payung pula tak bawa. jadinya, dia memilih untuk menunggu sehingga hujan habis reda. mujur, bersebelahan tingkat bawah toko buku Gramedia ada premis Dunkin Donut. menikmati hujan dengan sebiji donut dan segelas kopi cappucino juga adalah idea yang baik kan.

selepas membuat pesanan di kaunter, Mayra menuju meja kecil di tepi dinding kaca. memerhatikan mobil-mobil yang mengambil giliran untuk melalui simpang empat yang dikawal oleh lampu trafik. sambil-sambil itu, dia ligat berfikir mana mahu cari buku tebal itu. dia mesti habiskan bacaannya. ah, kalaulah orang lain tahu apa rasa membaca buku rare yang best tapi tidak dapat menghabiskannya.. dia menyumpah-nyumpah dirinya sendiri yang degil enggan membelinya saja awal-awal dulu.

ketika itu, segelas kopi sampai di mejanya. tapi bukan cappucino seperti yang dipesannya. yang datang adalah latte. dengan perlahan, Mayra menolak kopi itu.
"maap mas, ini bukan orderan saya."
pelayan yang membawa kopi itu tepinga-pinga sambil melihat semula catatan pada bil. sehinggalah ada suara dari meja sebelah Mayra. 
"mas, itu punya saya mas. latte kan?"
ternyata kopi itu adalah milik seorang lelaki bersweater cotton yang duduk di meja bersebelahan meja Mayra. dari tadi dia situ cuma menunduk. pada kiraan Mayra, mungkin dia sedang tertidur kerana dia duduk membelakangi meja Mayra. tapi, rupanya dia sedang membaca buku. haha, mau hampir tergelak kuat Mayra.

dalam pada itu, Mayra hampir menjerit girang bila terlihat buku yang dipegang lelaki itu adalah buku yang dibacanya di toko buku. mahu ditegurnya lelaki itu, malu pula. dan tidak lama..
"eh, kamu yang selalu duduk di ujung rak sambil membaca buku kan?"
ah, ternyata lelaki itu memerhatikan Mayra.
"err, iya. mungkin itu saya. kamu juga membaca buku sama? itu, buku ditanganmu. buku itulah yang selalu saya baca juga." 
"oh, iya. maap, saya terlanjur membelinya. mahu dibuat rujukan. saya selalu datang ke gramedia untuk membeli buku ini, tapi setiap kali itu juga buku ini ada ditanganmu, yang  ya, duduk sendirian di ujung rak buku."
"iya, gapapa. buku itu bukan punya saya. terserah mereka mahu jual kepada siapapun."
"kamu sudah di bab sepuluh ya? masih ada lipatan tandanya di sini. masih ada tujuh bab ke depan. sayang sekali.."
lelaki itu kembali meneruskan bacaannya. Mayra tersenyum tawar. pesanannya baru sampai. dia segera menikmati donut dan kopinya. setelah meminta password wifi daripada pelayan di situ, dia pun hanyut dalam dunia siber dalam ponselnya.

setelah hujan reda, Mayra bersiap untuk pulang. lelaki meja sebelahnya sudah pun meninggalkan dunkin donut itu lebih awal. Mayra menuju ke kaunter untuk membayar donut dan cappucino yang dipesannya.
"semuanya dua belas ribu mbak. oh ya, ada yang titip buku ini buat mbak."
juruwang itu menghulurkan sebuah buku tebal. buku yang dibaca lelaki tadi. buku yang setiap kali ke Gramedia, Mayra baca satu bab. bersebelahan cover depan buku itu, ada catatan yang ditulis lelaki bersweater cotton tadi.
--nah, buku ini kamu ambil ya. saya sudah habis. saya juga membacanya di toko buku itu, lama sebelum kamu. ternyata kamu datang mencarinya lagi hari ini. ternyata juga, bila hari hujan kamu suka singgah di kedai kopi. itu, naskhah terakhir di toko buku, kalau bukan saya, orang lain pasti akan membelinya sebelum sempat kamu menghabiskan. jadi, err, anggap saja ini hadiah daripada teman yang punya jiwa sama kayak kamu.  sampai ketemu lagi..

.


Wednesday, October 21, 2015

sesuatu.






sepertiga malam. kira-kira satu jam sebelum subuh.

langit berkabus, bukan jerebu. memang kabus pagi yang dingin. pintu masjid belum dibuka. masih gelap. pak cik tua baru tiba di pagar masjid. usai  menyandarkan basikalnya di tiang parkir berbumbung, dia segera ke tangga naik ke masjid yang bermozek. sebelum naik, dia membuka pili air tepi tangga. membasuh kaki dan seliparnya.

sampai di anak tangga paling atas, pak cik tua menyeluk poket di siring jubahnya. mengeluarkan segugus kunci tembaga dan perak. satu persatu suis lampu yang ditemukannya, dihidupkan. begitu juga dengan pintu masuk dewan solat sekeliling masjid. satu persatu dibuka. perlahan-lahan ruangan sekitar masjid menjadi semakin terang bercahaya.

tiba di bahagian belakang masjid, pak cik berhenti sebentar. dia perasan ada kelibat manusia sedang berdiri qiam solat di sudut berhampiran tiang dan pintu. anak muda berbaju melayu dan berkain pelikat. barangkali dia iktikaf. pak cik tidak jadi menghidupkan suis lampu di kawasan itu. tapi, belum pun sempat dia melangkah ke pintu seterusnya, dia mendengar suara esak. diperhatikan semula orang tadi. anak muda itu cuba mengangkat takbiratul ihram berberapa kali. tapi, cuma sampai di paras dada kemudian dijatuhkannya semula, tunduk menyeka airmatanya. hal itu diulangnya berkali-kali.

pak cik tua menghampiri anak muda itu. 

"sudahlah nak. hatimu belum bersedia untuk bertemu Tuhan. jangan dipaksa lagi. pergi basuh mukamu. perbahrui wudhukmu. lepastu datang sini balik."

anak muda itu mengangkat mukanya, yang jelas tampak sugul dan lelah, memandang pak cik tua. diturutinya saja. setelah bertemu pak cik tua itu semula, dia dihulurkan beberapa anak kunci.

"ini, pergi buka pintu sebelah sana. pak cik mau hidupkan lampu di dalam."

sekali lagi tanpa menjawab sepatah, anak muda itu patuh saja apa yang diarahkan pak cik tua. selepas membuka pintu terakhir masjid, dia kembali mendapatkan pak cik tua yang juga sudah selesai menghidupkan semua suis lampu dan beberapa suis kipas untuk jemaah subuh. 

"sudah buka semua?"

anak muda menjawab cuma dengan anggukan.

"sini, ambil ni."

pak cik tua berjalan ke arah rak al-quran bersebelahan kumpulan kotak-kotak suis. ditariknya senaskhah al quran. terus pergi ke indeks daftar surah berserta muka suratnya. selepas itu diselaknya al quran pada muka surat yang dipilihnya. akhir sekali naskhah al-quran itu dihulur kepada anak muda yang masih tetap sugul.

"nah, baca."

anak muda menyambut naskhah al-quran itu dan pergi menuju tiang utama masjid yang sebesar dua pemeluk orang dewasa. menyandarkan tubuhnya ke tiang kemudian terus membaca ta'awuz, basmalah, surah al-fatihah dan surah at-taubah, surah yang diselak pak cik tua.

perlahan-lahan anak muda itu kembali tenang. tidak disedarinya semakin ramai orang datang ke masjid. tepat dia menghabiskan ayat terakhir pada muka ke enam surah at-taubah, bilal melaungkan azan subuh..



_________________________
*semoga hati kita sentiasa dalam penjagaan Allah swt agar jangan pernah Dia didahului oleh yang lain.



Tuesday, September 29, 2015

kota kertas.




seperti satu hari di kota yang dituruni hujan, kau duduk di tepi jendela kaca berbingkai besi yang sudah sedikit luntur hitam warna catnya menampakkan karat karat lusuh, kopi panas dibancuh dalam cawan porcelain dengan corak bunga ceri dan tanganmu menggenggam sebuah buku klasik yang kertasnya kekuningan berbau lapuk. lalu, kerana terlalu hanyut dalam bacaan, kau terlupa kopi panas di atas meja yang diperbuat daripada susunan papan kayu lama dalam tona warna coklat yang serupa.
setelah hampir habis di halaman halaman terakhir buku itu, kau baru teringat akan kopi panas. dan ketika itu, menghirupnya tidak lagi nikmat kerana kopi panas tidak lagi panas tapi sudah pun sejuk dingin, seperti dinginnya hari hujan. di luar jendela pula, aroma petrichor mula naik daripada jalanan jalanan yang basah, menandakan hujan yang sudah berhenti dan cahaya mentari mula memanaskan semula kota. 

begitu maksud aku, tidak semua perkara kau nikmati dalam satu masa itu. kau tenggelam basah dalam salah satunya dan terapung kering pada yang lain. antara buku dan kopi, pikiranmu tenggelam dalam buku sedangkan tekakmu kering tanpa menghirup kopi panas ketika dingin hujan sudah mulai hilang.


kerana apa? 
kerana kau tidak cukup membagi bagikan perhatianmu. ada banyak perkara disekelilingmu yang harus kau nikmati sebelum waktu mereka bersamamu habis. mereka cuma butuh sedikit daripada perhatianmu.





Friday, September 18, 2015

two empty.




kau tahu?















ada dua tanda iman sedang nazak.





satu; hati yang tidak pernah disiram.
dua; hati yang bila disiram, tidak basah.









Saturday, August 29, 2015

colour-man.




langit senja hilang warna.

matahari semakin malap warna jingganya. satu persatu warna abstrak langit terpadam dan diganti dengan warna hitam. daripada langit ia turun perlahan-lahan ke bumi. pohon-pohon hijau betukar warna, daunnya hitam batangnya hitam. tanah coklat menjadi hitam. batu-batu putih menjadi hitam. haiwan bertukar warna kulit, bulu, pelepah sayap, dan sisik menjadi hitam. cuma air jernih tanpa warna dan udara yang tidak kelihatan kekal tidak berubah.

warna sudah tiada.

di tepi jalan, berhadapan lintasan hitam putih untuk pejalan kaki, yang sudah kehilangan warna putihnya, di bawah lampu isyarat yang tidak lagi mampu mengawal lalu lintas di persimpangan, berdiri seorang laki-laki menyaksikan semuanya berlaku. perlanggaran berlaku di mana-mana. skrin besar di mana-mana kembali ke zaman awalnya, cuma memaparkan wayang hitam. bangunan pencakar langit, kereta yang meluncur dan berparkingan tidak terkecuali; kini semua cuma ada hitam.

ah, warna sudah hilang daripada dunia.

laki-laki itu segera memandang dirinya, t-shirt biru dengan tulisan henshin yang dipakainya masih berwarna. topi corak kotak-kotak di kepala juga masih kekal berwarna hijau pudar. seluar jeans dengan sudah sedikit koyak-koyak pada hujungnya tetap juga berwarna kelabu asap. tadi dia baru pulang dari kedai alat tulis, membeli sekotak watercolour. mahu dibawa pulang untuk pakai melukis lagi. kotak watercolour itu dijinjitnya dalam beg plastik lutsinar berwarna merah. hairan, semua yang ada padanya masih berwarna.

laki-laki berjalan mendekati sebuah kereta kancil yang sudah kehilangan warna. cuba disentuhnya dengan jari telunjuk. dan wah, kereta itu kembali ke warna asalnya! laki-laki memandang tangannnya dengan penuh hairan. berjalan lagi ke hadapan, disentuhnya pula seekor kucing dengan bulu tanpa warna yang melintas memotongnya. dan sekali lagi sentuhannya mengembalikan warna, kali ini bulu kucing itu dengan tompok-tompok warna kuning putih. di tepinya ada seorang remaja lelaki yang tampak cemas dengan keadaannya yang kehilangan warna. disentuhnya juga dan remaja lelaki itu kembali kepada dirinya yang penuh warna. tiba-tiba, remaja lelaki  itu lari dari laki-laki dengan wajah ketakutan dan penuh tanda tanya. mungkin dia terlalu terkejut dengan apa yang sedang berlaku.

laki-laki semakin teruja.

dia mula merasakan dia memang ada kuasa untuk mengembalikan warna kepada dunia ini. laki-laki belari ke sana ke sini menyentuh apa saja yang ada. bunga orkid, lampu jalan, tong sampah, pintu rumah. segalanya disentuh laki-laki, mengembalikan semua warna mereka.

tapi keterujaannya tidak lama. dia segera penat, padahal masih banyak yang perlu disentuhnya. ini baru kawasan bandarnya, sudah terlalu besar untuk dicover olehnya sendirian. dunia beribu kali ganda lebih besar. tambahan, mana mungkin dia mahu menyentuh kaum perempuan. batal wudhuk nanti. iya, dia mahu menyelematkan dunia. dia mahu mengembalikan warna kepada dunia. tapi, itu tampak mustahil untuk dilakukannya sendiri.

laki-laki mula kehilangan semangat.

dia terduduk di lorong gelap antara dua bangunan, melihat manusia yang masih lari berkeliaran, masing-masing gusar kelam-kabut. tiba-tiba dari kejauhan dia melihat sekumpulan manusia, enam orang semuanya, dua lelaki dan empat perempuan bertudung labuh, yang meluncur ke sana sini dengan kasut roda. kesemuanya masih penuh berwarna. seperti apa yang dilakukannya tadi, kumpulan itu juga berlari kesana sini menyentuh apa saja yang ditemui mereka untuk mengembalikan warnanya..




ah, mengarut la cerita ni.



Friday, August 07, 2015

jogja; empat warna hari kedua.

bismillah.

its day number two. kali ini, biarkan kamera saya yang bercerita. 
less word, more pictures, more colours and a longer post.



misadventure? no, its just a different path.





warna satu; fajar.


hari kedua kami bermula se-awal tiga setengah pagi. kami masih ada temujanji bersama matahari jogja walaupun pada petang hari pertama, matahari ternyata segan silu untuk bertemu kami. lokasi temujanji sunrise hari kedua adalah di tanah tinggi punthuk setumbu. kerna jauhnya jarak antara punthuk setumbu dan pusat kota jogja, kami bertolak awal dari viavia guesthouse. se-awal pagi itu juga kami perlu berjalan mendaki naik bukit dengan jalan tanah yang basah untuk tiba di spot yang disediakan. solat subuh kami di atas tanah tinggi ini, sesuatu yang jarang jarang dilalui kan.


antara malam dan siang, ia adalah cahaya matahari. 




gunung merapi yang masih tidur.




renyai hujan di tanah tinggi; dingin.




selamat siang. 




tinggi mana pokok tanpa cahaya matahari?
tinggi mana manusia tanpa cahaya agama?




seputeh, selembut dan sedingin embun.





warna dua; sejarah dan misteri.


bersama matahari dari punthuk setumbu, kami langsung ke borobudur. ada pelbagai cerita yang ditulis dan dikata orang tentangnya. yang berlegar dalam kalangan kami berlima ceritanya adalah borobudur ini sebenarnya merupakan tempat pemerintahan nabi sulaiman a.s. dan yang mendirikan borobudur ini adalah para jin di bawah arahan nabi sulaiman a.s. tapi selepas beberapa ribu tahun selepas kewafatan nabi sulaiman a.s. tempat ini terbiar saja sehingga datang manusia penganut hindu yang menggunakannya sebagai pusat ibadah sehinggalah abad terdekat dengan hari ini. wallahualam, saya pun tidak tahu kesahihannya. saya pun dengar cerita dari mereka berempat. yang paling banyak membaca tentang ini adalah kak mar dan aslam. jadi, boleh ajukan pertanyaan kepada mereka saja ya.


hidup juga adalah perjalanan yang butuh panduan peta(baca; al-quran).




orang lain tahu bahwa cahaya sedang masuk ke dalam hatimu.
cuma kau tidak tahu kerna pandanganmu sedang silau. 




tiada jalan tanpa penghujung.
 cuma kita yang berputus asa di pertengahannya.




jangan jadikan langit sebagai yang tertinggi untuk dicapai, tapi redha Tuhan.




kagum pada ciptaan manusia, kenapa tidak pada yang menciptakan manusia?




what are you searching for?




head?




thousand stories.




faces.




ancient.




travel the world. with selipar.





warna tiga; peringatan dari Tuhan.


meninggalkan semua tanda tanya di borobudur, kami kemudian bertolak ke merapi. bagi saya peribadi, ini adalah highlight untuk trip ke jogja ini. kerana di sini, ada banyak perkara yang boleh dijadikan tazkiyah untuk hati hati yang kotor(hati saya lah tu). tinggal kita yang mahu mengambilnya atau tidak. petang itu dengan menaiki jeep, kami menyusuri kawasan bekas letusan gunung merapi beberapa tahun lepas. masih banyak kesan jelas yang boleh kelihatan. bahkan ada sebuah muzim khas disediakan untuk mempamerkan kesan tinggalan selepas bencana itu kepada pengunjung.


entri.




ini hangus dalam lava. hangus dalam api neraka?




a cup of coffee lava, please?




the journey's highlight.


yang terbakar itu adalah kumpulan kitab tafsir ibnu katsir. saya mula berfikir rumah siapa, di tengah pergunungan merapi ini, ada kitab sebesar tafsir ibnu katsir ini di rumahnya. luar biasa. kemudian, dalam kelompok helain hangus itu, ada sebuah kitab yang sudah hilang sebahagian muka suratnya, hangus terbakar. and guess what? halaman pertama dari kitab itu yang tidak terbakar adalah halaman yang terkandung ayat ini;

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu". Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. (at-Taubah; 42)


membacakan ayat dari Tuhan ini, ia menusuk langsung ke dalam hati. jauh berjalan sampai ke sini dan Tuhan menemukan saya (seorang manusia yang konon katanya mahu ikut berdakwah, mahu mentarbiyyah manusia tetapi selalu tewas dengan perasaannya) dengan jawapan yang paling tepat. bukan tidak pernah mendengar dan membaca tentang ayat ini, tapi menemukannya semula di sini, yaa, di sini.. ah, kalian pasti mengerti apa maksud saya kan.. Allahurabbi. sungguh,  Allah maha mengetahui bahwa betapa saya masih jauh ketinggalan di jalan dakwah dan tarbiyyah ini. tapi, putus asa pasti bukanlah cara menyelesaikannya.



tazkirah daripada alam.




lava rivers.




'ayat-ayat' Tuhan ada di mana mana. carilah ia dengan hati, bukan dengan mata.




the mountain flower; edelwiss. brave and beautiful.




tadabbur; berbuallah dengan alam. mereka ada banyak cerita.





warna empat; batik.


balik dari merapi, kami pulang berehat di viavia guesthouse sehingga selesai jamak maghrib dan isya'. kemudian malamnya kami keluar sebentar mencari makan malam sambil menikmati suasana jogja tanpa cahaya matahari. dengan dua buah beca, kami mutar mutar sekitar kota. dari kedai kain ke kedai kain. dari kedai koas ke kedai koas. dari galeri lukisan ke galeri lukisan. semua mesti ada corak batiknya, penuh seni dan warna warni.


ekceli, this is a road. lupa nak setting kamera.
by the way, black is a colour too..




kain.




corak dan tona.




hang in there.




life is full of choices, isn't it?




enlighten.




drawing. art.





malam itu berakhir dengan lima mangkuk bakmi di gerai ini. hari kedua ini kurang drama berbanding hari satu. hampir semuanya berjalan dengan lancar. tapi, tetap juga banyak perkara indah yang saya dan kawan kawan temukan sepanjang hari kedua. hari yang penuh dengan sentuhan yang menusuk jauh ke dalam hati.


terima kasih atas sajiannya mas!


_______________________________________________________
* alhamdulillah, 'kerajinan' datang bertandang. siap satu lagi bab untuk travelog jogja. terima kasih untuk semua yang beri galakan. beri satu tepukan gemuruh untuk diri anda.
** maaf, foto buruk. kamera dan tukang pegang kameranya masih di tahap paling amatuer. i'll practice more and upgrade my gear kalau jadi kaya nanti.