Tuesday, November 17, 2015

surat-surat tujuhbelas (i).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. kamu sehat?
kita bertemu lagi ya, tujuhbelas. pertemuan kali terakhir di oktober kan? nah, sekarang kita bertemu lagi di november. tidak sedar sudah berlalu sebulan kan? masa pantas sekali berputar dan katamu benar, masa itu kehidupan. kerana kehidupan singkat ini, adalah masa(kesempatan) yang diberi Tuhan, untuk kita isi dengan hal-hal baik yang ada dalam lingkungan perintahNya. setelah kita mati, tiada lagi kehidupan dan tiada lagi masa. yang ada cuma hari perhitungan. terima kasih atas peringatan itu, tujuhbelas.

... 

tujuhbelas,
apa kamu terkejut kerana tiba-tiba saja aku menuliskan surat ini? sebetulnya, aku juga tidak tahu apa yang aku ingin sampaikan lewat surat-surat ini. aku menulis ini juga dalam keadaan mengantuk. oh ya, kamu tahu kenapa aku mengatakannya 'surat-surat'? haha, kamu pasti tidak tahu bagaimana menjawabnya, kan? nah, aku jawabkan saja. kerana surat-surat itu maksudnya lebih dari satu surat, hehe. iya, maksud aku, kita akan bertemu lagi tarikh tujuh belas di setiap bulan yang mendatang, kan? jadi, aku mahu menuliskan surat setiap kali tarikh ini berulang, tujuhbelas. aku sendiri tidak pasti entah berapa banyak surat akan aku tuliskan, dan entah kamu akan membacanya atau tidak, tapi aku akan tetap menulis sehingga tiba hari itu, tujuhbelas. mungkin akan ada sepuluh atau dua belas atau tujuh belas surat atau mungkin ketika aku tidak lagi menemui kamu hanya dalam kiraan bulan tapi pada kiraan hari, iya, pada tahun dua ribu tujuh belas nanti. nah, menemui engkau, tujuhbelas, ketika itu tidak lagi cuma sekali dalam sebulan, bahkan setiap tarikh yang aku tulis pasti akan ada kamu tujuhbelas. tapi entah, seperti kamu, aku juga masih ada beberapa hal yang belum pasti. mungkin setelah beberapa hal itu sudah menjadi pasti, kita boleh mula memastikan hal-hal lain pula ya. kamu mengerti kan maksud aku, tujuhbelas?

tujuhbelas, 
masa-masa ke depan yakni masa-masa sehingga hari itu, hari yang kita sendiri masih belum pasti bila, bahkan sama ada akan ada atau tidak, adalah masa-masa menunggu. dan setiap masa-masa menunggu adalah ujian bagi semua manusia. kita akan diuji dengan bagaimana kita mengisinya. hakikatnya kita sebagai manusia adalah makhluk yang sentiasa dalam keadaan menunggu. sedari alam rahim, kita menunggu untuk keluar melihat dunia. ketika kita adalah anak bayi, kita menunggu untuk disuapkan susu. ketika di alam persekolahan kita menunggu keputusan peperiksaan. ketika di alam pekerjaan, kita menunggu hari gaji. dan hari ini, kita ternyata sudah dewasa kerana menunggu saatnya menikah. oh ya, jangan lupa, kita sejatinya adalah orang yang bahkan ditunggu oleh malaikat maut


tujuhbelas, 
kerana masa-masa menunggu ini adalah ujian, maka marilah kita sama-sama mengisinya dengan hal-hal yang baik agar kita mendapat pengakhiran yang baik juga. jika kamu bertanya apa jawapan aku tentang masa-masa menunggu ini? maka jawapanku ringkas; menyiapkan diri. ya, soalan diri sudah siap atau belum itu sungguh subjektif. tapi, soalan subjektif tetap harus dijawab dengan jawaban yang teratur dan bijaksana. menunggu hari itu? isilah dengan meletakkan target peribadi. misalnya mahu menghabiskan membaca buku-buku persediaan seperti bukunya mas salim a fillah, barakallaahu laka, bahagianya merayakan cinta, atau bukunya ustaz hasrizal, aku terima nikahnya, atau bukunya hilal asyraf, sebelum aku bernikah dan lain-lainnya. atau misalnya mahu mengaji agama menerusi khatam mana-mana kitab dalam majlis-majlis ilmu. memantapkan ilmu fardhu ain, memahami fiqh munakahat, mendalami seni tarbiyatul aulad dan lain-lainnya. atau misalnya mahu menghabiskan hafalan beberapa surah daripada al-quran. tidak mampu habiskan juzuk, dapat sebilangan surah juga baik. tidak surah-surah yang panjang, dapat surah-surah pendek juga baik. mungkin surah ar-rahman yang mengajarkan kita agar sentiasa bersyukur, mungkin surah al-kahfi yang melindungi daripada fitnah dajjal atau mungkin surah luqman yang sarat dengan nasihat daripada seorang ayah untuk anak-anaknya dan lain-lainnya. atau misalnya mahu memantapkan ekonomi sendiri, biar masa-masa ke depan lebih teratur hal dunianya. seperti mahu menyimpan sebanyak ini, punya aset begini, dan lain-lainnya.


tujuhbelas, 
aku juga cuba semahunya tidak menjanjikan apa-apa setakat ini. menabur janji itu memenatkan kerana ia sentiasa akan mendatangkan ekspektasi. dan ekspektasi selalunya mengecewakan jika segalanya tidak kita disandarkan pada keimanan kepada takdir, yakni qada' dan qadr Tuhan. kita tidak hidup sekadar dengan memberi janji tapi kita hidup dengan perjuangan membenarkan janji. kita bergerak dalam laluan takdir yang kita sendiri tidak tahu apa yang menanti di hadapan. tapi, Tuhan tidak meyediakan laluan ini tanpa papan tanda penunjuk arah. maka, ayuhlah kita bergerak ke hadapan dengan mencari dan mengikuti papan tanda penunjuk arah yang benar. tujuan yang sama akan menemukan orang-orang di perjalanan, kan? 

... 


sudah terlalu panjang barangkali. cukuplah di sini saja tulisan untuk surat kali ini, tujuhbelas. semoga kita tetap dalam lindungan rahman-Nya yang seluas langit dan rahim-Nya yang sedalam lautan. sampai ketemu lagi di disember nanti. doakan?  

sekian.
 | tujuh belas november dua ribu lima belas.



__________________
*kalian, jangan ditanya siapa dia tujuhbelas itu. aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu dijelaskan.

No comments:

Post a Comment