Tuesday, November 10, 2015

its raining again.





usai solat maghrib, aku duduk sebentar di kaki lima masjid kota iskandar. memandang ke atas, lautan langit yang kian gelap.


ini maghrib pertama aku di sini. mungkin yang pertama untuk kebanyakan hari-hari ke depan. structure inspection terakhir hari itu, staircase di level 2 bahagian podium habis pukul enam lima puluh petang. dua minit sebelum azan maghrib. turun dari level dua podium, aku terus ke site office. mengemas barang-barang untuk segera pulang. langit mendung lagi seperti hari-hari lepas. keluar dari site terus bergerak ke masjid yang tidak sampai satu kilometer. maghrib di sini jemaahnya tidak ramai. cuma suku saf pertama. mungkin ini sebab kawasan perumahan semua jauh-jauh. dan masjid ini khusus untuk staff kota iskandar nusajaya ini, pusat pentadbiran negeri johor.


hujan mulai jatuh. tapi cuma sedikit. aku mengambil keputusan untuk redah saja. semoga hujan tidak lebat sehingga aku sampai di rumah. tapi, ternyata bila aku sudah melepasi separuh perjalanan, hujan jatuh dengan lajunya. di kiri kanan ramai rider-rider berhenti, memakai baju kalis hujan masing-masing. aku memutuskan untuk berhenti juga. tapi, bila cari-cari baju hujan, baru aku teringat aku terlupa bawa! baju hujan itu aku sidai, hari cuti semalam. aduh..

ah, aku nekad untuk teruskan lagi perjalanan.


tapi, melepasi dua traffic light, ternyata hujan jatuh makin lebat. tiada pilihan lain. aku belok ke simpang deretan rumah kedai. di situ ada ramai juga rider-rider lain yang memberhentikan pejalanan mereka sebentar, sama seperti aku, kerana tidak ada baju hujan. dalam keadaan basah lencun begitu aku memandang sepi ke arah hujan. teringat peristiwa sama masa datang interview untuk kerja aku sekarang ini. 


...



ingat lagi, tarikh enam oktober, sehari sebelum tujuh oktober, tunggang motosikal sebab mahu elak jalan sesak. petang itu hujan jatuh lebat juga ketika aku dalam perjalanan ke site. habis lencun pakaian yang aku rapikan untuk interview itu. aku hampir berpatah balik di tengah perjalanan kerana hujan yang terlalu lebat. tapi takdir menyampaikan juga aku di sana. 


sebelum masuk, aku singgah untuk duduk termenung di pondok menunggu bas berdekatan. masih berfikir mahu teruskan atau tidak. dalam keadaan lencun begitu, apakah mereka akan benarkan aku masuk dalam ofis atau tidak? akhirnya, aku memutuskan untuk redah masuk saja. basah tak basah, lepas tak lepas belakang cerita. interview itu berjalan lancar. interviewer ketika itu, yang kini merupakan general manager aku sekarang, bos yang sangat sempoi, haha, bertanya beberapa soalan dan aku menjawab dalam keadaan menggigil, bukan kerana nervous, tapi sebab baru lepas basah kuyup mandi hujan, masuk pulak bilik beraircond! tapi akhirnya, beberapa hari kemudian dia menghubungi aku untuk bertanya bila aku boleh mula berkerja.. Allahurabbi.


sungguh, kita tidak akan pernah tahu bagaimana takdir Tuhan bergerak.


...



kembali kepada kisah awal tadi, sambil memandang hujan aku berfikir tentang satu hal. hujan ini sebetulnya rahmat untuk kita. tapi terkadang ia bahkan boleh bertukar menjadi bencana atau musibah. bila hal ini boleh berlaku? menurut aku, ia apabila hujan jatuh pada masa dan tempat yang salah. seperti hari ini, aku merasakan ia jatuh tidak pada masa dan tempat yang tepat untuk aku. mungkin untuk orang lain, hujan ini jatuh pada masa dan tempat yang tepat untuk mereka. aku melihat rider-rider yang ada bersamaku. masing-masing hanyut dalam pikiran mereka. mungkin ada yang risau memikirkan anak-anak yang sedang menunggu mereka pulang dari kerja, mungkin ada yang sedih memikirkan baju yang baru mereka basuh pagi tadi masih belum diangkat dari ampaian, atau mungkin ada yang gembira memikirkan tangki air mereka terisi lagi setelah beberapa hari bekalan paip air terputus. begitu, masing masing punya 'masa dan tempat' masing-masing.


termenung lebih lama, aku berfikir lagi tentang satu hal yang lebih dalam. seperti hujan yang jatuh, cinta juga jatuh. seperti hujan, cinta jatuh pada masa dan tempat(orang) yang berbeza-beza untuk setiap daripada kita. seperti hujan, cinta boleh jadi rahmat bila ia jatuh pada masa dan tempat(orang) yang tepat. seperti hujan, cinta bahkan boleh jadi musibah bila ia jatuh pada masa dan tempat(orang) yang silap. justru kita harus bijak berfikir tentang hal jatuh cinta ini, apakah cinta itu jatuh pada masa dan tempat(orang) yang benar-benar tepat. jika bila telah habis berfikir dan menemukan jawapan dari Tuhan bahawa ia adalah benar-benar tepat, mungkin ada baiknya, seperti hujan, redahlah cinta yang jatuh itu. tapi tetap dengan sikap berhati-hati dan waspada bahwa takdir Tuhan tidak mungkin mampu dijangka kecuali setelah ia benar-benar telah terjadi. 



dan kali ini, aku memutuskan untuk meredah hujan yang jatuh. kerana entah sampai bila aku akan harus menunggu di sini. mungkin hujan ini hanya akan berhenti esok pagi. siapa tahu kan..



...


“boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” [al-baqarah; 216]







2 comments:

  1. terima kasih untuk tulisan ini.

    ReplyDelete
  2. Beautiful as ever
    -hidayahanipah

    ReplyDelete