Tuesday, December 8, 2015

random words.









(i) sabar bukan duduk dan tunggu, ia adalah memandang ke depan. ia adalah melihat duri dengan memandang bunga ros merah yang akan kembang mekar di hujung pucuknya dan melihat gelap malam dengan memandang terang pagi yang akan hadir setelahnya. para pencinta sejati, yakni mereka yang cinta pada Tuhannya, yang cinta pada dakwah kerana Tuhannya, yang cinta pada manusia kerana dakwahnya, adalah mereka yang sabar, yang tahu sang bulan perlu waktu untuk menjadi purnama penuh yang mengambang indah. (ii) sungguh ketidaktahuan itu menyulitkan. ia membawa kita kepada ketakutan. dan perkara apa pula yang paling tidak diketahui oleh manusia melainkan masa depan mereka. maka, apabila takut pada masa depan yang penuh dengan ketidaktahuan, apakah tidak perlu menghadapinya? lebih rumit, masa depan memegang semua perkara penting dalam hidup; ajal, jodoh, rezeki termasuk syurga atau neraka. tapi, sempatkanlah berfikir, hari ini yang terang benderang juga adalah masa depan hari-hari semalam yang penuh kegelapan, ketakutan dan ketidaktahuan. Tuhan sudah membawa kita sejauh ini, tidakkah kita berfikir bahawa Tuhan maha mampu membawa kita lebih jauh ke depan? (iii) kadang, kita perlu berhenti untuk risau akan ketetapan-ketetapan yang di luar kekuasaan kita, berhenti untuk terlebih menganalisis soalan-soalan yang sudah ada jawapannya dan berhenti memberatkan fikiran kita pada hal-hal yang membunuh rasionalisasi kita. yakinlah sesuatu itu akan tetap terjadi sebagaimana ianya tertulis dalam susunan takdir. mungkin bukan seperti yang kita rancangkan, tapi seperti mana yang sepatutnya ia terjadi. (iv) kematangan adalah satu proses, bukan produk. bila ia adalah proses bukannya produk, maka ia akan sentiasa berjalan. kerana kematangan tidak cuma melibatkan diri kita sendiri, ia adalah proses kita berinteraksi dengan orang sekeliling. setiap pertemuan kita dengan orang lain pasti punya alasan, sama ada untuk mereka mengubah hidup kita, atau untuk kita mengubah hidup mereka, atau mungkin juga untuk saling mengubah hidup masing-masing. hargailah setiap interaksi ini dengan sentiasa belajar sesuatu daripadanya. (v) perkataan kita mungkin boleh disusun, tapi tidak tindakan kita kerana ia semulajadi dikawal oleh hati, jika bukan akal kita. hati dan akal adalah raja dan penasihatnya dalam kerajaan diri. kita perlu mendengar daripada keduanya untuk menjadi bijaksana dalam setiap tindakan. memilih untuk mengikuti cuma salah satunya akan membinasakan. jika hati punya emosi, akal juga punya keterbatasan ilmunya. justru, raja dan penasihat ini perlu dididik juga oleh kita sendiri agar menjadi pemerintah yang bijaksana. didik hati dengan 'zikir'. didik akal dengan 'fikir'.









ihdina ya Allah.








2 comments: