Tuesday, January 15, 2013

pasu ibu pecah. hatinya juga.

Malam itu adalah malam minggu di Kota Lisbon. Di penghujung kota tua Portugal itu, sepasang anak beranak tinggal bersama, Puan Maria dan anaknya Alesandro. Suami beliau telah bertahun lama tidak pulang selepas mengikuti rakan-rakanya berlayar menaiki kapal laut atas urusan kerja di sebuah tempat yang tidak diketahui. Tiada siapa yang tahu apa yang terjadi kepada suaminya itu.

Alesandro meminta kepada ibunya untuk keluar sebentar menonton wayang bersama kawan-kawannya. Namun, ibunya tidak membenarkan. Tidak berpuas hati, Alesandro menengking dan menjatuhkan pasu Panathenaic Amphora kegemaran ibunya. Kemudian, dengan perasaan marah dia keluar  meninggalkan rumah. Malam itu angin dingin berhembus kencang, hujan turun dengan lebat dan tempias air memercik serata tempat. Tanpa hala tuju, dia berjalan berseorangan. Tidak lama kemudian dia terpandang di bawah sinaran lampu jalanan berwarna kuning, ada sebuah gerai kecil menjaja sosej bakar. Sebelum dia mengangkat kaki ke arah gerai, realiti menamparnya. Dia tidak membawa dompet.

Basah dan kesejukan, Alesandro menuju kearah sebuah tempat menunggu bas tidak jauh daripada gerai sosej bakar itu. Dengan mata kuyu dan kening keputehan, lelaki tua penjaja sosej bakar itu memandang kearah Alesandro. Tiba-tiba perut Alesandro berbunyi. Merah mukanya. Sosej bakar seakan memerli.

Pakcik Diego menyapa budak kecil wajah suci itu, "Apa nama kamu?"

Tergagap-gagap, Alesandro menjawab, "Ale..Alesandro."

"Kamu lapar?" Pakcik Diego mengeluarkan dua batang sosej dan meletakkannya di atas grill tempat membakar. Baunya sangat menggoda, membuatkan Alesandro menelan liur. Selepas itu, sosej diletakkan di atas roti, mayonis dan sos cili diratakan pada sosej yang masih panas berasap. "Nah."

Spontan kedua tangan diangkat, Alesandro menerima roti sosej itu. "Tapi..tapi,saya tiada duit."

"Pakcik belanja." jawab Pakcik Diego sebelum menawarkan tempat duduk sebelahnya di bawah payung besar yang menaungi gerai. Kemudian, dia menyediakan segelas Cappucino buat Alesandro.

Menikmati roti sosej dan Cappucino, Alesandro tiba-tiba bergenang airmata. Menunggu hingga Alesandro selesai dengan juadahnya, Pakcik Diego bertanya "Kenapa nak?"

"Tiada apa." Alesandro menjawab. Mengesat airmata yang mengalir. "Pakcik terlalu baik. Kita baru bertemu, nama saya pun Pakcik belum tahu. Tapi, Pakcik menawarkan makan dan minum kepada saya. Tapi, ibu saya..Kami bergaduh, dan dia menghalau saya keluar dari rumah. Dia tidak sayangkan saya." Alesandro menambah. Sekali lagi mengesat airmata.

Mendengar cerita Alesandro, Pakcik Diego mengeluh perlahan. "Macammana kamu boleh berfikir begitu nak? Pakcik hanya berikan kamu roti sosej dan segelas Cappucino, kamu sudah begitu teruja dan terharu. Sedangkan ibumu membesarkan kamu dari kecil, memberi makan, minum dan kasih sayang kepada kamu. Dan kamu tidak berterima kasih tetapi sebaliknya bergaduh dengan ibumu?"

Kata-kata itu menghempap Alesandro seperti 10 tan batu besar yang dijatuhkan dari menara Elevador San Just ke atasnya. Selepas berterima kasih, Alesandro segera berlari pulang ke rumahnya.

"Macammana aku boleh berfikir begitu..Anak jenis apa aku ini.." Dia merungut dalam nafas tercungap-cungap. Perasaan menyesal menghantuinya.

Sampai di hadapan rumah, kelihatan ibunya sedang duduk menunggu di atas kerusi malas di beranda rumah. Raut wajahnya yang bimbang  bertukar lega. Alesandro segera mendapatkannya. Dengan pakaian yang masih basah, dia melutut dan memegang tangan ibunya.  Dengan tangisan teresak-esak Alesandro berkata, "Maafkan Ally ibu. Benarkan Ally berkerja dengan Pakcik Diego. Ally nak ganti pasu ibu."

Puan Maria tersenyum. Dia membongkokkan badan, dirangkulnya tubuh Alesandro yang mengigil kesejukan itu. Menyapu muka dan kepala Alesandro perlahan-lahan, Puan Maria berkata, "Ibu tak kesah kehilangan pasu, tapi ibu tak tahu nak buat apa kalau ibu kehilangan kamu Ally."



poto

....

Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab, “Ibumu.” Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu.” Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Ayahmu.” (Riwayat Bukhari)

telah kering air mata,
telah luput kesedihan,
telah reda ratapan,
telah mampat tanah di kuburan,
telah berbanir bunga puding,
tapi tidak akan berhenti doaku.

semoga aman di sana,
bersama rahmat dan kasih sayang ilahi.

:')


.

2 comments: