Sunday, April 28, 2013

membaca itu pengalaman.

  Membaca itu, pada perkiraan saya ialah satu pengembaraan yang melangkaui masa dan tempat tanpa sempadan bersama catatan si penulis. Memang sesuatu yang luar biasa.

  Setiap orang mempunyai kisah hidup sendiri yang bersifat masing-masing. Mustahil ada dua orang yang melalui perjalanan hidup yang seratus peratus serupa dan sama setiap masa mulai dari hari kelahirannya. Latar masa, latar tempat, latar masyarakat itu yang jadikan ia berbeda.

  "Manusia itu belajar daripada pengalaman."

  Saya setuju handred persen dengan pernyataan ayat gabungan huruf-huruf mereng di atas. Anda?

  Orang yang tinggal di Kepulau Madagascar, mustahil sama pengalaman hidupnya dengan orang yang menetap di Pulau Nami. Orang yang hidup di tahun 2013 mustahil dapat merasai pengalaman hidup orang di zaman dinasour. Orang yang hidup dalam kalangan masyrakat muslim, pasti tidak tahu bagaimana rasanya pengalaman hidup dalam kelompok non-muslim. Mereka yang tidak pernah memasuki ladang tarbiyah, mustahil ada pengalaman merasai manisnya buah-buah sakinah, mawaddah dan rahmah dari pohon-pohon rendang iman dan taqwa. Cewah.

  Para penulis hakikatnya merakamkan kisah pengalaman hidup mereka dalam penulisan mereka. Tak kisah penulisan tentang apa pun. Para penulis novel, bercerita tentang pengalaman perasaan tentang hati dan jiwa mereka mendengar kisah-kisah daripada pelbagai manusia atau peristiwa-peristiwa mereka lalui sendiri. Para penulis buku-buku pemikiran, bercerita tentang pengalaman mereka melalui atau menyaksikan beberapa perkara dalam kehidupan sehingga membuat mereka berfikir tentang sesuatu. Para penulis bahan-bahan akademik, bercerita tentang ilmu-ilmu yang mereka perolehi hasil daripada pengalaman mereka belajar dan mengkaji tentangnya. Para penulis motivasi, bercerita pengalaman mereka menyaksikan pelbagai hidup manusia dan pengajaran-pengajaran yang mereka perolehi daripadanya. Dan begitulah di setiap aksara yang didakwatkan. Semua tentang pengalaman.

  Kita ini manusia biasa. Yang terbatas pergerakan dan masa. Kita tidak mampu pergi ke masa-masa yang lepas yang diluar jangka hayat kita, masa-masa sebelum kelahiran kita ke dunia. Dan kita tidak dapat menjejakkan kaki di setiap inci muka bumi ini.

  Oleh itu. Untuk mendapatkan pengalaman daripada masa-masa dan tempat-tempat yang tidak tercapai oleh kudrat kita, maka membacalah!

Mari mengembara ke serata dunia. Hanya dengan buku-buku.

Iqra'. Bismirabbika. 

Friday, April 19, 2013

gelap menuju terang.




ini pesan
dari diri
yang bukan malaikat
suci dosa noda.

   malam yang sepi
   berjalan sendiri
   entah kemana pergi
   menuju haluan tidak pasti
   tanpa mahu ada yang menemani
   konon mengejar mimpi

   malam yang silap
   coba mencerap
   di antara awan awan gelap
   dalam cahaya bulan malap
   hanya suram yang di garap
   memang tiada harap

   malam yang hilang
   baring lurus lentang
   jiwa jalang
   fikir compang
   hati kontang
   mata menerobos kencang
   mencari gugus bintang
   langit seluas ruang
   hanya bertemu malang

tapi
bumi itu berpusingan
mengelilingi matahari
dikelilingi bulan
malam akan berganti siang
itu  pasti

maka

   pagi hari nanti
   hadir cerah mentari
   pantaslah belari
   berpatah kembali
   hakikat dicari
   tentang ilusi ilusi
   fantamorgana duniawi
   sedikit sedikit pasti mengerti

   pagi hari cemerlang
   hadir cahaya gilang
   luas terpandang
   pada langit gemilang
   jiwa girang
   fikir matang
   hati terang
   tinggal segala berang

   pagi hari gemerlap
   cahaya didakap
   nikmat terasa sedap
   tidak mampu terucap
   silap dalam ungkap
   begitu dalam  menyerap
   mengikut setiap derap
   cuma jangan lelap

ini pesan
kepada diri
yang bukan syaitan
tidak terampun noda dosa.

...

Thursday, April 18 2013. 1 message received.
"Assalam. Tema sajak tu cancel urban/indie. Tema yang terkini; patriotik. Harap Maklum."
Reply.
"Wassalam. Oh ya ka, oke." 
Maka, terperahlah otak kering kontang untuk sebaldi yang kembali kosong. Aduyai.


Jumaat barakah!

Monday, April 15, 2013

rindu itu isyarat cinta.



  Apabila Rasulullah wafat, keluarlah para Sahabat dari kota Madinah menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. menjadi da'i dan pemimpin. Mengajak, mengajar dan mendidik umat di luar Madinah kepada kebenaran. Bilal memilih Syam sebagai tempat menabur bakti. Di sana dia menyambung tugas dengan jayanya.

 Tidak lama kemudian dia pulang ke Madinah untuk menziarahi Masjid Nabawi dan makam Rasulullah S.A.W. Berita kepulangannya diperkatakan oleh penduduk Madinah.
"Bilal yang mengalunkan azan pada zaman Rasulullah hidup dahulu ada bersama di Madinah. Alangkah lunak sekiranya kita boleh mendengarnya lagi."
  Itulah permintaan dalam kalangan Sahabat dan penduduk Madinah kepada Bilal.
"Maaf, aku tidak boleh azan lagi."
  Itu jawapan tegas daripada Bilal penuh berhemah. Sehinggalah sampai berita ini kepada Sayidatina Aishah r.ha., Ummul Mukminin.

  Sayidatina Aishah memanggil Bilal. Dari balik tabir Sayidatina Aishah berkata,
 "Wahai Bilal, perdengarkanlah kepada kami azan seperti kami mendengarnya semasa Rasulullah masih hidup. Kami rindu untuk mendengar suara kamu wahai Bilal."
  Mendalam harapan dan rayuan Ummul Mukminin. Bilal tidak punya pilihan kedua. Dengan berat hati Bilal bersetuju.
  
  Subuh keesokan harinya, ketika Madinah masih dibungkus embun pagi dan kedinginan menyelimuti suasana damai, Bilal berdiri di tempat biasa dia melaungkan azan.
"Allahu akbar..Allahu akbar!"
  Suara lunak Bilal memecah kedinginan fajar sadik. Gemersik azan itu merayap dari celah pohon-pohon tamar dan bangunan batu membangkit penghuni Madinah. Sebahagian besar daripada mereka telah ada di atas sejadah di bilik masing-masing. Tersentak, mereka segera membangkitkan ahli keluarga yang lain.
"Bangun dan dengar. Inilah suara yang masih berkumandang setiap kali solat semasa Rasulullah masih hidup. Bangun. Mari bersama mendengar suara Bilal"
  Mereka mengejutkan ahli keluarga. Mereka tidak segera keluar ke masjid tetapi berada di tempat mereka dalam sebak penuh kesayuan.
 "Allahu akbar..Allahu akbar!"
  Laungan azan terus berkumandang daripada mulut Bilal, menyucuk dalam sehingga ke tangkai hati. Mereka menangis kerana membayangkan betapa syahdu laungan azan ini saat Rasulullah masih bersama.

  Mereka menangis teresak-esak sambil turut menuturkan, Allah Maha Besar.. Allah Maha Besar.
"Asyhadu allailaha illallah!"
"Asyhadu allailaha illallah!"
  Kian meninggi suara Bilal atas pengakuan untuk menyaksikan betapa tiada Tuhan melainkan Allah. Syahadah itu bergema dalam atmosfera dingin kota Madinah meresap ke dalam jiwa penghuninya.

  Bersama airmata, mereka yang mendengar, bibir turut bergetar. 'Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.'
Mereka terus duduk sambil tangan menekup muka bersama esakan.
"Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah!"
  Bergetar suara Bilal apabila dia melaungkan kalimah tersebut, sementara penduduk Madinah khusyuk mendengar laungan yang menyaksikan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.

  Suasana sepi sekali. Mereka menunggu dan terus menunggu sambungan azan daripada Bilal. Lama tempohnya mereka dapati azan tidak bersambung; laungan itu mati di situ.

  Penduduk Madinah bergegas ke Masjid dalam keadaan hairan. Mereka meluru masuk. Nun di penjuru, Bilal kelihatan terjelepuk di atas lantai masjid nan suci itu. Dia jatuh pengsan.

  Mereka berusaha menyedarkan Bilal. Apabila terjaga dari pengsannya, dalam linangan airmata, dalam esakan dan sedu yang sangat berat, Bilal berkata:
"Bukankah aku telah beritahu kalian, aku tidak dapat azan lagi. Aku tidak mampu menyebutkan dalam azan kalimah Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Aku merasakan bahawa Rasulullah sedang berada di belakangku seperti masa hayatnya untuk menjawab azanku itu. Aku sangat rindu kepada Rasulullah!"
  Bilal tidak berupaya lagi menyembunyikan rasa hatinya. Rindunya terdedah. Perasaannya terngadah dan dia tidak mampu bertahan daripada perasaan kasih yang sangat dalam kepada Rasulullah.

  Demikian rindu Bilal yang disembunyikan selama ini, sebagai bukti betapa mendalamnya perasaan kasihnya kepada Rasulullah. Kasih yang menunjukkan kesempurnaan iman para Sahabat. Kesempurnaan itulah menjadikan mereka berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa membangunkan Islam. Benar sabda Rasulullah S.A.W.,
Daripada Ali r.a., Rasulullah bersabda: "Seseorang itu bersama dengan siapa yang dia cintai." [Riwayat Abu Daud]
- petikan daripada buku RnR di Lebuhraya Kehidupan, Ustaz Zul Ramli M Razali.

...

  Kisah ini saya selalu baca berulang-ulang kali. Kisah yang sangat membasahi. Kemudian, saya akan bertanya kepada diri sendiri; Sejauh mana aku punya 'Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah'? Bisakah seperti Bilal? 

:')

Mata anda kering tak bermaya? Titiskan cecair Eyemore segera. Ouch!

Friday, April 12, 2013

dalam, dalam lagi.

  Tepi pantai. Suasana indah nian. Bayu laut mendayu-dayu mengalunkan irama petang yang nyaman dan segar. Sepasang laki-laki duduk berduaan menikmati lukisan panorama laut biru di bawah kawanan awan komulus dan stratus. Meredupkan petang mereka. Sudah hampir setengah jam mereka di situ. Berbual agak panjang. Soal masalah problem yang meruncing.
"Min, apa yang enta lihat kat depan ni?"
"Ha? Emm, laut?"
"Oke. Apa yang enta lihat pada laut tu?"
"Luas. Kosong. Airnya masin. Adala ombak kecil-kecil sikit. Kenapa bang?"
  Sekali sekala mereka mengutip batu-batu kecil. Melemparnya sejauh mungkin ke arah lautan. Mungkin dengan harapan, bersama batu-batu itu dibawa segala resah dan gelisah yang membungkam.
"Pandang dalam lagi Min."
"Maksud abang?"
"Dalam sikit daripada permukaan laut, apa yang enta boleh lihat?"
"Emm. Tamadun hidupan laut yang berenang bebas sini sana kot. Macam ikan pelbagai spesies, sotong kurita, obor-obor. Macam-macam ada. Rezeki nelayan la ni."
  Ouh ya. Abang dalam cerita ini namanya Abdul Sulaiman. Abang Man nama glamournya. Manakala Min adalah nama panggilan kepada empunya nama, Muhamad Mukmin. Masing-masing adalah murabbi dan mutarabbi dalam usrah mereka. Abang Man dan Min. Eh, seirama pulak bunyinya.
"Dalam lagi Min."
"Kat dasar laut?"
"Ya."
"Ada tamadun hidupan laut gak. Tapi, majoriti yang tak berenang. Mungkin jenis yang berjalan kaki. Atau yang berjogging. Contohnya, kerang, siput, batu karang."
"Mutiara berharga yang mahal-mahal tu orang dapat kat mana?"
"Dalam kerang la bang."
"Kerang tu kat dasar laut la kan. Macam enta cakap tu."
"Hmm. A'ah."
  Air laut surut sedikit demi sedikit. Parasnya turun perlahan-lahan. Pantai menjadi semakin luas ke arah laut. Semakin banyak cangkerang-cangkerang siput yang ditinggalkan perumahnya kelihatan pada hamparan pasir. Berkilauan sini sana.
"So, Min nampak tak apa yang abang nampak?"
"Nampak apa bang?"
"Semakin dalam kita pandang laut tu, semakin banyak perkara berharga kita jumpa kan."
"Ouh. Ya. A'ah la bang." 

  Sunyi sebentar antara mereka berdua. Shiuhh.. Shiuhh.. Angin sepoi-sepoi bahasa melayu nusantara terus membelai lembut. Seekor anak ketam keluar dari lubang persembunyiannya. Berlarian mereng beberapa meter daripada mereka berdua. Perbualan disambung semula selepas iklan setempat sebentar tadi.
"Kenapa abang tanya pasal tu?: 
 "Tadi masa Min cerita masalah-masalah enta, Min pandang kat mana? Kat permukaan ke dalam lagi?"
"Entah. Macam mana nak tahu bang?" 
"Kalau Min pandang masalah-masalah tu dengan keluhan dan rasa benci, maksudnya Min nampak pada permukaan je la. Dalam sikit, Min akan pandang ia sebagai peluang untuk diri Min belajar sesuatu. Menyelesaikan masalah baru dalam situasi berbeza mungkin. Lebih dalam lagi, nanti Min akan nampak ada perkara lain yang lebih bermakna akan berlaku selepas masalah tu selesai. Dan perkara ini tidak akan terjadi kalau masalah tadi tak hadir. Semua ada kaitannya dengan tarbiyah. Dan hasil daripada tarbiyah tidak semua datang sekelip mata. Faham tak?"
"Emm, betul jugak bang. Min rasa, ana pandang semua masalah-masalah ini sebagi beban untuk dikeluhkan je. Bukan peluang mentarbiyah diri. Sebab tu la kot tak selesai-selesai lagi."
  Abang Man keluarkan henset Eksperia S III dari koceknya. Lincah jemarinya menekan-nekan skrin sesentuh. Aplikasi Android, iQuran dibuka. Kemudian, dihulur kepada Min. Min baca sepotong ayat al-quran. Kemudian dia pandang Abang Man. Senyum dibalas senyum.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,padahal ia amat buruk bagimu.Allah mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui."
[Al-Baqarah:216]

...

* Mentadabbur alam itu memang seronok. Seriously.


Thursday, April 11, 2013

bukan ukhuwah biasa.


Buat para sahabat,
Ikhwah akhwat fillah.

Ukhuwah kita ini,
Bukan ukhuwah biasa-biasa.
Ukhuwah kita ini,
Ukhuwah yang penuh rayuan perjuangan.

Ada niat yang harus diluruskan.
Ada tekad yang harus dikukuhkan.
Ada tanggungan amal-amal yang harus segera ditunaikan.
Ada komitmen yang harus diserahkan.
Ada pengorbanan yang harus disanggupkan.

Tidak sekadar mengungkapkan, "Ana uhibbukum lillah!"
Lalu kita mengharapkan manisnya ukhuwah.

Ia tidak pernah semudah itu.

Kerana ukhuwah ini,
Bukan ukhuwah biasa-biasa,
Ia adalah cemburuan para nabi dan syuhada'.