Amaran separa keras: Cerita ini rekaan semata-mata.jangan dikaitkan dengan mana2 menusia termasuk saya sendiri.selamat membaca.
Selepas itu, Siti pun bergerak masuk ke balai berbelepas sebelum menaiki kapal terbang. Dalam perjalanan menaiki kapal terbang itu dia tiba-tiba teringat kata-kata terakhir Zainal padanya. Sambil memandang jauh ke arah awan puteh mulus yang mengiringi penerbangan pulangnya, Siti berbisik perlahan,
"Alhamdulillah. Mungkin aku sudah temui jawapanmu, Zainal. Terima kasih."
...
11 Januari 2006.
Sekolah Berasrama Penuh Cempaka, SBPC Sandakan Sabah.
Hari itu adalah hari isnin. Hari sunat berpuasa. Hari pendaftaran pelajar-pelajar baru tingkatan 4. Beberapa orang pelajar dari sekolah harian biasa seluruh negeri Sabah dipilih memasuki sekolah berasrama penuh (tak penuh pun sebenarnya, ada jak katil-katil kosong di bilik-bilik asrama) tersebut berdasarkan prestasi cemerlang mereka dalam PMR pada tahun 2005. Daripada 54 pelajar yang ditawarkan, hanya 38 sahaja yang hadir mendaftar pada hari tersebut. Mungkin mereka yang tidak hadir itu kurang selesa hidup dalam suasana asrama yang dimomok-momokkan sebagai penjara.
Di hadapan dewan, kelihatan seorang gadis lengkap berbaju kurung puteh dengan skirt kaler biru, bertudung puteh berbual-bual dengan ibubapanya, selepas selesai urusan didalam dewan pendaftaran. Sebentar lagi dia akan bergerak mengangkat barang-barang menuju ke asrama. Eh lupa, nama beliau ialah Siti Rosalmah. Kerana kurang familiar dengan sekolah tersebut, Siti mencari-cari kalau ada cekgu atau pelajar-pelajar yang berada di sekitar dewan untuk bertanya dimana asrama pelajar perempuan.
Zainal Abadan Abada, pelajar tingkatan 5 di sekolah tersebut bertugas untuk membantu pelajar lelaki baru untuk bergerak ke asrama. Oleh kerana ketika itu tiada petugas perempuan, Siti langsung saja bertanya kepada Zainal.
"Abang, asrama perempuan di mana?"
"Err, adik jalan terus ikut susur gajah ne. Sampai depan dewan makan,ambil kona ke kiri. Dalam 5 meter belok kanan, then jalan terus. Lepas 10 meter, akan jumpa water cooler sebelah kanan.pintu asrama tu sebelah kiri. Paham?"
"Uish, macam tunjuk jalan highway pulak. Haha. Err, nama abang siapa?"
"Zainal, tapi kawan-kawan panggil Zack. Hehe. Err, adik?"
"Siti Rosalmah. Panggil siti jak."
"Ouh, ok. Selamat datang ke SBPC."
Disitu mereka mula berkenalan. Zainal yang agak pemalu, merah pipinya. Bukan selalu dia bercakap langsung dengan pelajar-pelajar perempuan. First time dia bertanya nama kepada pelajar perempuan. Dia seolah berasa selesa ditegur Siti lebih-lebih lagi apabila Siti mengelarnya dengan gelaran Abang. Berbunga-bunga hatinya.
...
Sudah 1 tahun peristiwa perkenalan mereka itu berlalu. Dan hari ini adalah hari terakhir peperiksaan SPM tahun 2007, dan hari terakhir Siti di alam persekolahan. Sudah dirancangnya pelbagai perkara yang mahu di buatnya. Selepas pengawas peperiksaan selesai mengutip kertas jawapan, semua pelajar termasuk Siti meluru keluar dewan penuh keterujaan tahap gaban. Maka bermulalah aktiviti penyahtekanan. Ada yang mencampak buku-buku dari kelas ditingkat 3, ada yang belari mengelilingi sekolah, ada yang menconteng baju dengan mendapatkan tandatangan semua orang, ada yang membuka novel-novel cinta yang ditahan-tahan untuk dibaca selama berbulan, dan macam-macam lagilah aktiviti luar jangkaan saudara saudari.
Namun, di bilik Siti bersendirian. Dia ada agenda tersendiri. Dia bermonolog sendirian dalam hati,
"Ya,hari ni aku mesti konfes. Sudah lama aku pendam"
Segera dicapainya henset nokia 3350 di bawah bantal. Mereka calon-calon SPM dibenarkan membawa henset sepanjang musim SPM oleh pihak sekolah bagi memudahkan mereka berhubung dengan ahli keluarga masing-masing meminta motivasi dan sokongan(kononnya). Dia segera menaip sms yang berbunga-bunga ayatnya.
"Aduh, send ka tidak.. send ka tidak.. send ka tidak.."
Siti masih ragu2. Ternyata dia belum yakin dengan perasaannya.
"Ah, nantilah!"
Siti hampir-hampir menunda apabila tiba-tiba hensetnya berdering memainkan lagu ST12, Puspa. Tertera '
Zack Kilik calling' di skrin. Segera dia menekan butang berlogo gagang telefon kaler hijau. Berdegup-degup akan jantung dia.
"Hello Siti. Tahniah! habis suda SPM kan? Well done! Tawakal ja. Hehe."
Zainal menelefon dari Kafe Suria, Kolej Matrikulasi Kuching, tempat dia mengaji ilmu sains fizikal selepas menamatkan persekolahan di SBPC. Setelah berkenalan lama sepanjang bersekolah, mereka berdua masih berhubung walaupun setelah Zainal tamat persekolahan. Sering saja ada gosip-gosip liar tentang mereka berdua berpacaran daripada kawan-kawan walaupun mereka seringkali menafikannya. Mana tidaknya, Zainal sering kali tercari-cari kelibat Siti stiap kali ada perkumpulan antara pelajar lelaki dan perempuan. Di dewan makan, perhimpunan pagi mahupun sukan tahunan sekolah. Setiap kali melalui kelas Siti waktu prep, Zainal akan curi-curi pandang.
Siti yang awalnya jual mahal, akhirnya cair dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan Zainal terhadap dirinya. Tiap kali musim peperiksaan akan ada kad ucapan
selamat berjaya!,
Gud Lak!,
Caiyok-caiyok! di bawah lacinya, berbau harum. Selalu juga dia mendapat hadiah secara tiba-tiba seperti coklat cadbury, minuman iceshake, juadah-juadah buka puasa di bulan ramadhan dan coki-coki. Semua daripada Zainal, diberi melalui teman sekelas Zainal yang tinggal sebilik dengan Siti. Semua atas nama '
dari sahabatmu, Zainal'.
Akhirnya Siti jatuh hati. Namun dia belum berani mengungkapkannya. Seringkali mereka berbalas-balas surat ringkas. Namun masih atas nama 'sahabatmu'. Masing-masing enggan memulakan langkah. Malu-malu kucing kononnya. Puihh! Zainal juga menghadiahkan Siti sebuah patung Hello Kitty kegemaran Siti di hari jadi Siti. Di hari terakhir persekolahan, Zainal pula beroleh jersey Bayern Munich, pasukan bola sepak pilihannya sebagai tanda mereka ber'sahabat'.
"Bagi salam la dulu. Assalamulaikum. Ya,habis sudah. Happy gila guling-guling. Haha. Tiada kuliahkah?"
"Ada, kejap lagi. Sekarang rehat. Saja jak telefon. Isi masa lapang. Ok la ya, sori ganggu. Huhu."
"Ouh, ok. Eh,kejap-kejap. Ada benda maw bagitau ne. Ermm.. Tapi, malulah."
"Ha, apakah?"
"Ermm, ok. 1234"
"1234. Apa tu?"
"Eh, nantilah Siti sms. Hehe. Pegila kelas dulu. Ada kelas kan?"
" Suspen bah. Ok. Ok."
Zainal pun bergerak menuju bilik kuliahnya. Lecturer datang lambat.sementara menunggu,dia bermain game tetris dalam henset. Tiba-tiba, hensetnya bergetar. Ada sms masuk. Segera dia menutup aplikasi game, dan membuka paparan skrin utama. '
1 new
message : Siti SBPC'. Segera dibuka.
Salam. 1234. Hehe. :P
Salam jugak. Apa tu 1234?
I have 1 thing 2 say 3 words 4 U. Jangan terkejut ya. Sudah lama Siti pendam sebenarnya. Huhu.
Owh, ok. Cepatlah.
Ermm...
Apa?!
I LOVE YOU. :)
1234.
LOVE YOU TOO. :)
Serius?
Ya. Serius jugak ka?.
Ok. Yup, serius. sama-sama rupanya kita pendam perasaan.. :P
Okla. T kita sambung. Ada kuliah kan. ;)
Ok. Tata.
Siti sengaja menamatkan perbualan sms mereka. Malu. Hari itulah bermula bab baru dalam perhubungan dua org menusia ini. Rupa-rupanya keduanya saling memendam perasaan. Terbuktilah sudah. Bermulalah episod penuh romantika ala-ala cerita Twilight itu dalam hidup mereka. Pagi petang siang malam. Makan tak basah, tidur tak kenyang. Tiap malam ada saja benda yang mahu di bincangkan dalam sms-sms mereka. Nescaya akan muntah saya jika mahu diceritakan kisah keromantikan mereka disini. Eh, macammana saya boleh tahu?
...
Setelah selesai belajar di kolej matrikulasi, Zainal mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA di utara semenanjung tanah air, USM Pulau Kelapa. Siti pula meneruskan pengajian di kolej matrikulasi Zainal tersebut selepas mendapat keputusan SPM. Jarak hanya memisahkan fizikal mereka, tidak jiwa dan hati pasangan gagak dua sejoli ini. Begitu kuat dan utuh ikatan yang dibina.
Malangnya, pelangi-pelangi cinta tidak dapat muncul lama. Matahari semakin terang menyinar sedangkan titis-titis hujan mulai hilang. Hubungan mereka semakin sepi. Bukan Siti yang kurang komitmennya, tapi Zainal yang semakin pasif. Semakin hari dia mula jarang membalas sms berbunga-bunga daripada Siti. Kalau dulu, mereka ibarat perlawanan badminton antara Lee Cong Wei bertemu Lin Dan. Pantang menyerah, sama-sama saling berbalas pukulan smash, malu rasanya kalau bulu tangkis jatuh digelanggang sendiri tidak berbalas. Begitulah Zainal dan Siti, saling berbalas sms 24 jam 7 hari seminggu tanpa henti, barangkali.
Tapi, kini selepas 1 tahun bermadu asmara, Zainal mula kurang bertenaga. Seringkali dibiarkan saja bulu tangkis sms daripada Siti mejunam jatuh ke gelanggang inboxnya. Tidak lagi dibalasnya. Siti pula dihimpit persoalan. Kenapa dan mengapa? Hari-harinya penuh pilu dan sunyi sepi. Sehinggalah suatu malam dia mendapat sms yang menyimpulkan segala-galanya daripada Zainal.
Assalam'alaikum Siti. First sekali, sori lama tak balas sms. Sekarang orang tak guna sms lagi, orang guna Facebook, Twitter and Wassupp. Ok, kidding. Ada sesuatu yang mahu Zainal sampaikan. Ini dia.. Saya sudah putuskan, saya bukan lagi kekasih Siti dan Siti bukan lagi kekasih saya. Kita sahabat sajalah. Ini muktamad. Jangan tanya kenapa. Alasan saya terlalu panjang untuk ditulis di sini. Saya baru sedar, antara kita seharusnya tidak ada apa-apa. Saya yakin Siti akan bertemu sendiri dengan jawapan saya suatu hari kelak. Saya doakan, Insya'Allah..
Lemah seluruh badan, menitis air mata Siti membaca mesej itu. Terlalu ringkas jawapan daripada Zainal untuk menutup kisah panjang mereka. Dia masih mahu penjelasan yang lebih. Namun, kerana enggan luka hatinya menjadi lebih parah, dia pasrah. Dicampak hensetnya. Teresak-esak dia menangis menutup muka dengan bantal. Di sisinya, patung Hello Kitty pemberian Zainal terduduk bisu, andai dia mampu berkata-kata mahu saja dia kata "baru hang tau, hahaha." kepada Siti, barangkali. Terimbaulah semula kenangan-kenangan indah yang lalu Siti bersama Zainal sambil lagu korea, Winter Sonata versi piano diputar.
Dua tiga, mungkin empat minggu selepas itu, hidup Siti tidak keruan. Kadang-kadang ponteng kelas. Assignment tidak dihiraukan. Melayan jiwa laranya. Kalau tidak kerana ibubapanya yang kerap kali menghubungi bertanya khabar dan perkembangan, semangatnya pasti padam sepenuhnya. Akhirnya, dia berjaya menghabiskan sisa-sisa kehidupan matrikulasi 1 tahun yang diselubungi episod duka.
...
28 Jun 2011.
Kolej Tun Tan Cheng Lock, Universiti Terbaik Malaysia.
Hari itu adalah hari khamis. Hari sunat berpuasa. Hari pendaftaran pelajar-pelajar baru tahun pertama bagi sesi 2011/2012 sebuah universiti diselatan semenanjung tanah air. Beberapa orang pelajar dari seluruh Malaysia dipilih memasuki universiti berorentasikan teknologi tersebut berdasarkan kelulusan masing-masing.
Di hadapan dewan pendaftaran, kelihatan seorang gadis berbaju blaus pink sedikit sendat, tersalah pilih saiz barangkali, bertudung merah puteh ala Yuna berborak-borak dengan ibu bapanya selepas selesai urusan didalam dewan pendaftaran. Sebentar lagi dia mahu bergerak mengangkat barang-barang menuju ke asrama. Eh lupa, nama beliau ialah Siti Rosalmah. Kerana kurang familiar dengan universiti tersebut, Siti mencari-cari kalau ada pegawai atau mahasiswa yang berada di sekitar dewan untuk bertanya dimana asrama pelajar perempuan.
Siti datang dari jauh seberang laut bersama ibu dan bapanya. Menaiki kapal terbang selama 2 jam. Kemudian menyewa teksi dari lapangan terbang ke universiti itu. Usai mendaftar, ibu dan bapa Siti akan bermalam di hotel berdekatan dan esoknya akan
langsung bertolak pulang mengikut tiket kapal terbang yang ditempah mereka. Besar pengorbanan mereka.
Rabiatul Adawiyah, mahasiswi tahun akhir universiti tersebut bertugas untuk membantu mahasiswi-mahasiswi baru untuk bergerak ke asrama masing-masing. Melihat Siti yang terpinga-pinga melihat peta yang dibekalkan, dia menyapa Siti.
"Adek, dah selesai daftar ea, nak pegi asrama perempuan? Jom akak hantar."
"Err, ya. Di blok L08"
"Ooo, dekat je dengan dewan nie. Nama ape ek? Datang dari mana?"
"Siti Rosalmah, panggil Siti jak. Daripada seberang. No, I mean Sabah. Err,akak?"
"Rabiatul Adawiyah. Panggil Kak Rabiatul je."
"Ouh, ok. Besar jugak UTM ne. Huh!"
Disitu mereka mula berkenalan. Siti yang agak pemalu, merah pipinya. Bukan selalu dia bergaul dengan geng-geng tudung labuh seperti Kak Rabiatul. Siti berasa sedikit kekok berbual-bual dengan Kak Rabiatul kerana fehshen pakaian mereka yang jauh berbeza. Lebih kekok lagi apabila Kak Rabiatul menawarkan untuk menolong mengangkat barang dari dewan ke blok asramanya kerana mereka sekeluarga datang hanya menaiki teksi daripada lapangan terbang.
Sempat juga Kak Rabiatul berkenalan dengan ibu bapa Siti. Ibu bapa Siti berterima kasih kerana sudi menolong. Siti dan Kak Rabiatul juga bertukar nombor telefon masing, kalau2 Siti memerlukan pertolongan.
Drama airmata berlaku lagi saat ibu bapa Siti bertolak pulang. Meninggalkan anak gadis mereka berseorangan di bumi asing. Kak Rabiatul masih berada menemani Siti. Seolah-olah menawarkan kepada ibubapa Siti untuk menjaga Siti bagi pihak mereka. Akhirnya Siti menangis dalam dakapan Kak Rabiatul selepas teksi yang menghantar ibubapanya bertolak pergi. Mereka sudah kelihatan seperti adik beradik walaupun baru berkenalan beberapa jam.
...
Pejam celik, pejam celik, pejam celik lagi sekali maka berlalulah sudah setahun yang penuh kisah suka duka, Siti mula berubah. Dia tidak lagi murung. Kak Rabiatul, seorang yang asing baginya suatu ketika dulu telah menjadi orang paling rapat kepadanya di rantauan. Hidup jauh dari keluarganya, dia tentunya perlukan seseorang untuk menumpah kasih mengadu masalah. Kalau dulu dia ada Zainal. Tapi kini dia sudah menemui seseorang yang jauh lebih baik dan ikhlas berbanding Zainal. Dia tidak pernah merasa sunyi kasih sayang. Kak Rabiatul sentiasa ada menawarkan diri menjadi kakak dan ibu kepadanya.
Pernah juga Siti ragu-ragu dengan kehadiran Kak Rabiatul yang sangat tiba-tiba dan terlalu baik sukar dipercayai. Namun, keikhlasan Kak Rabiatul yang sentiasa memberi segala-galanya tanpa mengharap balasan daripada Siti melenyapkan perasaan sangsi itu. Seluruh kepercayaan ditaruhkan kepada Kak Rabiatul. Setiap kali ada masalah, segera dirujuknya kepada Kak Rabiatul. Termasuk kisah duka bersama Zainal, lelaki yang dichentainya, tiba-tiba ghaib dari hidupnya. Diceritakan segala-galanya dengan sekotak tisu yang hampir habis basah semuanya.
Proses itu tidak mudah bagi Kak Rabiatul. Seringakali jiwa hitam Siti memberontak, dan ianya dizahirkan Siti dengan mengabaikan sms-sms daripada Kak Rabiatul, mematikan henset apabila mahu bersendirian, keluar bersama kawan-kawan lain apabila Kak Rabiatul mengajak ke program-program tertentu, dan pelbagai lagi taktik dan teknik Siti mengelak apabila sindrom jahiliyyahnya menyerang. Tapi, Kak Rabiatul bukanlah seorang murabbiyah biasa. Penuh tabah dia mengikut setiap rentak Siti sehinggalah dia berjaya membawa Siti dalam melodi indah hakiki yang sebenar-benarnya.
Siti juga mula mengenali orang-orang di sekeliling Kak Rabiatul yang ternyata datang dari kilang yang sama yang menghasilkan orang-orang seperti Kak Rabiatul. Perlahan-lahan Siti berubah. Pakaiannya yang semakin longgar dan lebar, aktiviti hidupnya yang semakin bertamadun, jiwanya yang dirasakan semakin bercahaya. Sinar iman mula menyinari gelap hatinya. Al-Quran pemberian Kak Rabiatul sentiasa bersamanya walau kemana dia keluar bermusafir. Dia telah mengenali siapa dia yang sebenarnya dan mengapa dia ada di dunia. Dari situ, Siti mula belajar erti hidup sebagai hamba Allah yang sebenar-benarnya dan paling penting kemana harus disalurkan rasa cinta yang sebetulnya. Alhamdulillah. Saya tumpang gembira. Eheh.
...
Di akhir semester, cuti panjang bakal bermula. Kak Rabiatul telah menamatkan pengajiannya 4 tahun di unversiti berkenaan. Siti pula akan pulang ke kampung halaman bercuti. Mereka bakal berpisah. Namun, kali ini Siti tidak lagi bersedih. Dia yakin, ukhuwah antara dia dan Kak Rabiatul tidak akan terputus selama-lamanya walaupun mereka tidak bersua muka. Itulah ukhuwah yang dijalinkan atas tali keimanan. Dia juga bertekad untuk terus berada dalam lingkaran iman dan islam ini dan meneruskan amanah yang ditinggalkan Kak Rabiatul padanya, yang itulah namanya dakwah.
Pada hari dia bertolak pulang, Kak Rabiatul bersama teman-temannya menghantar Siti ke lapangan terbang. Sambil menunggu waktu sebelum masuk ke balai berlepas, Siti berbual-bual dengan Kak Rabiatul.
"Emm, kak Rabiatulku sayang. Ada benda ne nak bagitau. Dah lama Siti pendam. Hehe."
"Ya, adik akak yang kiut, comel kebom kebom.. Apa tu? Bagitau cepat. Kang x sempat. Terpaksa pendam lagi."
Kak rabiatul mencubit pipi gebu Siti. Siti memuncungkan mulutnya.
"Sakitla kak. Tak nak la bagitau."
"Alalala, merajuk pulak. Ok, akak tak nak tau pun. Wekk.."
"Akak ne.. Ish ish. Yela yela. Emm, 1234. Hehe"
"1234?"
"Hihi. I have 1 thing 2 say 3 words 4 u."
"What?"
"I LOVE YOU, Ukhti! Kerana Allah."
"1234. LOVE YOU TOO! Kerana Allah."
Mereka berpelukan. Akhirnya kedua-dua mereka tenggelam dalam tangisan indah penuh cinta, kasih dan sayang. Ouh, so sweet.
Selepas itu, Siti pun bergerak masuk ke balai berbelepas sebelum menaiki kapal terbang. Dalam perjalanan menaiki kapal terbang itu dia tiba-tiba teringat kata-kata terakhir Zainal padanya. Sambil memandang jauh ke arah awan puteh mulus yang mengiringi penerbangan pulangnya, Siti berbisik perlahan,
"Alhamdulillah. Mungkin aku sudah temui jawapanmu, Zainal. Terima kasih."
[Tamat]