Monday, April 15, 2013

rindu itu isyarat cinta.



  Apabila Rasulullah wafat, keluarlah para Sahabat dari kota Madinah menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. menjadi da'i dan pemimpin. Mengajak, mengajar dan mendidik umat di luar Madinah kepada kebenaran. Bilal memilih Syam sebagai tempat menabur bakti. Di sana dia menyambung tugas dengan jayanya.

 Tidak lama kemudian dia pulang ke Madinah untuk menziarahi Masjid Nabawi dan makam Rasulullah S.A.W. Berita kepulangannya diperkatakan oleh penduduk Madinah.
"Bilal yang mengalunkan azan pada zaman Rasulullah hidup dahulu ada bersama di Madinah. Alangkah lunak sekiranya kita boleh mendengarnya lagi."
  Itulah permintaan dalam kalangan Sahabat dan penduduk Madinah kepada Bilal.
"Maaf, aku tidak boleh azan lagi."
  Itu jawapan tegas daripada Bilal penuh berhemah. Sehinggalah sampai berita ini kepada Sayidatina Aishah r.ha., Ummul Mukminin.

  Sayidatina Aishah memanggil Bilal. Dari balik tabir Sayidatina Aishah berkata,
 "Wahai Bilal, perdengarkanlah kepada kami azan seperti kami mendengarnya semasa Rasulullah masih hidup. Kami rindu untuk mendengar suara kamu wahai Bilal."
  Mendalam harapan dan rayuan Ummul Mukminin. Bilal tidak punya pilihan kedua. Dengan berat hati Bilal bersetuju.
  
  Subuh keesokan harinya, ketika Madinah masih dibungkus embun pagi dan kedinginan menyelimuti suasana damai, Bilal berdiri di tempat biasa dia melaungkan azan.
"Allahu akbar..Allahu akbar!"
  Suara lunak Bilal memecah kedinginan fajar sadik. Gemersik azan itu merayap dari celah pohon-pohon tamar dan bangunan batu membangkit penghuni Madinah. Sebahagian besar daripada mereka telah ada di atas sejadah di bilik masing-masing. Tersentak, mereka segera membangkitkan ahli keluarga yang lain.
"Bangun dan dengar. Inilah suara yang masih berkumandang setiap kali solat semasa Rasulullah masih hidup. Bangun. Mari bersama mendengar suara Bilal"
  Mereka mengejutkan ahli keluarga. Mereka tidak segera keluar ke masjid tetapi berada di tempat mereka dalam sebak penuh kesayuan.
 "Allahu akbar..Allahu akbar!"
  Laungan azan terus berkumandang daripada mulut Bilal, menyucuk dalam sehingga ke tangkai hati. Mereka menangis kerana membayangkan betapa syahdu laungan azan ini saat Rasulullah masih bersama.

  Mereka menangis teresak-esak sambil turut menuturkan, Allah Maha Besar.. Allah Maha Besar.
"Asyhadu allailaha illallah!"
"Asyhadu allailaha illallah!"
  Kian meninggi suara Bilal atas pengakuan untuk menyaksikan betapa tiada Tuhan melainkan Allah. Syahadah itu bergema dalam atmosfera dingin kota Madinah meresap ke dalam jiwa penghuninya.

  Bersama airmata, mereka yang mendengar, bibir turut bergetar. 'Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.'
Mereka terus duduk sambil tangan menekup muka bersama esakan.
"Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah!"
  Bergetar suara Bilal apabila dia melaungkan kalimah tersebut, sementara penduduk Madinah khusyuk mendengar laungan yang menyaksikan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.

  Suasana sepi sekali. Mereka menunggu dan terus menunggu sambungan azan daripada Bilal. Lama tempohnya mereka dapati azan tidak bersambung; laungan itu mati di situ.

  Penduduk Madinah bergegas ke Masjid dalam keadaan hairan. Mereka meluru masuk. Nun di penjuru, Bilal kelihatan terjelepuk di atas lantai masjid nan suci itu. Dia jatuh pengsan.

  Mereka berusaha menyedarkan Bilal. Apabila terjaga dari pengsannya, dalam linangan airmata, dalam esakan dan sedu yang sangat berat, Bilal berkata:
"Bukankah aku telah beritahu kalian, aku tidak dapat azan lagi. Aku tidak mampu menyebutkan dalam azan kalimah Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Aku merasakan bahawa Rasulullah sedang berada di belakangku seperti masa hayatnya untuk menjawab azanku itu. Aku sangat rindu kepada Rasulullah!"
  Bilal tidak berupaya lagi menyembunyikan rasa hatinya. Rindunya terdedah. Perasaannya terngadah dan dia tidak mampu bertahan daripada perasaan kasih yang sangat dalam kepada Rasulullah.

  Demikian rindu Bilal yang disembunyikan selama ini, sebagai bukti betapa mendalamnya perasaan kasihnya kepada Rasulullah. Kasih yang menunjukkan kesempurnaan iman para Sahabat. Kesempurnaan itulah menjadikan mereka berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa membangunkan Islam. Benar sabda Rasulullah S.A.W.,
Daripada Ali r.a., Rasulullah bersabda: "Seseorang itu bersama dengan siapa yang dia cintai." [Riwayat Abu Daud]
- petikan daripada buku RnR di Lebuhraya Kehidupan, Ustaz Zul Ramli M Razali.

...

  Kisah ini saya selalu baca berulang-ulang kali. Kisah yang sangat membasahi. Kemudian, saya akan bertanya kepada diri sendiri; Sejauh mana aku punya 'Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah'? Bisakah seperti Bilal? 

:')

Mata anda kering tak bermaya? Titiskan cecair Eyemore segera. Ouch!

Friday, April 12, 2013

dalam, dalam lagi.

  Tepi pantai. Suasana indah nian. Bayu laut mendayu-dayu mengalunkan irama petang yang nyaman dan segar. Sepasang laki-laki duduk berduaan menikmati lukisan panorama laut biru di bawah kawanan awan komulus dan stratus. Meredupkan petang mereka. Sudah hampir setengah jam mereka di situ. Berbual agak panjang. Soal masalah problem yang meruncing.
"Min, apa yang enta lihat kat depan ni?"
"Ha? Emm, laut?"
"Oke. Apa yang enta lihat pada laut tu?"
"Luas. Kosong. Airnya masin. Adala ombak kecil-kecil sikit. Kenapa bang?"
  Sekali sekala mereka mengutip batu-batu kecil. Melemparnya sejauh mungkin ke arah lautan. Mungkin dengan harapan, bersama batu-batu itu dibawa segala resah dan gelisah yang membungkam.
"Pandang dalam lagi Min."
"Maksud abang?"
"Dalam sikit daripada permukaan laut, apa yang enta boleh lihat?"
"Emm. Tamadun hidupan laut yang berenang bebas sini sana kot. Macam ikan pelbagai spesies, sotong kurita, obor-obor. Macam-macam ada. Rezeki nelayan la ni."
  Ouh ya. Abang dalam cerita ini namanya Abdul Sulaiman. Abang Man nama glamournya. Manakala Min adalah nama panggilan kepada empunya nama, Muhamad Mukmin. Masing-masing adalah murabbi dan mutarabbi dalam usrah mereka. Abang Man dan Min. Eh, seirama pulak bunyinya.
"Dalam lagi Min."
"Kat dasar laut?"
"Ya."
"Ada tamadun hidupan laut gak. Tapi, majoriti yang tak berenang. Mungkin jenis yang berjalan kaki. Atau yang berjogging. Contohnya, kerang, siput, batu karang."
"Mutiara berharga yang mahal-mahal tu orang dapat kat mana?"
"Dalam kerang la bang."
"Kerang tu kat dasar laut la kan. Macam enta cakap tu."
"Hmm. A'ah."
  Air laut surut sedikit demi sedikit. Parasnya turun perlahan-lahan. Pantai menjadi semakin luas ke arah laut. Semakin banyak cangkerang-cangkerang siput yang ditinggalkan perumahnya kelihatan pada hamparan pasir. Berkilauan sini sana.
"So, Min nampak tak apa yang abang nampak?"
"Nampak apa bang?"
"Semakin dalam kita pandang laut tu, semakin banyak perkara berharga kita jumpa kan."
"Ouh. Ya. A'ah la bang." 

  Sunyi sebentar antara mereka berdua. Shiuhh.. Shiuhh.. Angin sepoi-sepoi bahasa melayu nusantara terus membelai lembut. Seekor anak ketam keluar dari lubang persembunyiannya. Berlarian mereng beberapa meter daripada mereka berdua. Perbualan disambung semula selepas iklan setempat sebentar tadi.
"Kenapa abang tanya pasal tu?: 
 "Tadi masa Min cerita masalah-masalah enta, Min pandang kat mana? Kat permukaan ke dalam lagi?"
"Entah. Macam mana nak tahu bang?" 
"Kalau Min pandang masalah-masalah tu dengan keluhan dan rasa benci, maksudnya Min nampak pada permukaan je la. Dalam sikit, Min akan pandang ia sebagai peluang untuk diri Min belajar sesuatu. Menyelesaikan masalah baru dalam situasi berbeza mungkin. Lebih dalam lagi, nanti Min akan nampak ada perkara lain yang lebih bermakna akan berlaku selepas masalah tu selesai. Dan perkara ini tidak akan terjadi kalau masalah tadi tak hadir. Semua ada kaitannya dengan tarbiyah. Dan hasil daripada tarbiyah tidak semua datang sekelip mata. Faham tak?"
"Emm, betul jugak bang. Min rasa, ana pandang semua masalah-masalah ini sebagi beban untuk dikeluhkan je. Bukan peluang mentarbiyah diri. Sebab tu la kot tak selesai-selesai lagi."
  Abang Man keluarkan henset Eksperia S III dari koceknya. Lincah jemarinya menekan-nekan skrin sesentuh. Aplikasi Android, iQuran dibuka. Kemudian, dihulur kepada Min. Min baca sepotong ayat al-quran. Kemudian dia pandang Abang Man. Senyum dibalas senyum.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,padahal ia amat buruk bagimu.Allah mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui."
[Al-Baqarah:216]

...

* Mentadabbur alam itu memang seronok. Seriously.


Thursday, April 11, 2013

bukan ukhuwah biasa.


Buat para sahabat,
Ikhwah akhwat fillah.

Ukhuwah kita ini,
Bukan ukhuwah biasa-biasa.
Ukhuwah kita ini,
Ukhuwah yang penuh rayuan perjuangan.

Ada niat yang harus diluruskan.
Ada tekad yang harus dikukuhkan.
Ada tanggungan amal-amal yang harus segera ditunaikan.
Ada komitmen yang harus diserahkan.
Ada pengorbanan yang harus disanggupkan.

Tidak sekadar mengungkapkan, "Ana uhibbukum lillah!"
Lalu kita mengharapkan manisnya ukhuwah.

Ia tidak pernah semudah itu.

Kerana ukhuwah ini,
Bukan ukhuwah biasa-biasa,
Ia adalah cemburuan para nabi dan syuhada'.