Sunday, April 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (vi).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. chal jinaeseyo?
coba tanyakan tentang masa pada sepuluh orang, nescaya kita akan mendapatkan sepuluh jawapan yang berbeza. yang sedang menunggu berkata masa itu berjalannya lambat sekali. yang sedang kelewatan berkata masa bergerak terlalu pantas. yang sedang bersedih berkata masa sedang membunuhnya, yang sedang gembira berkata masa terlalu singkat untuk dinikmati sepenuhnya, yang sedang menderita dalam kesakitan berkata masa adalah kegelapan yang tidak ada penghujung, yang sedang dilanda kebosanan berkata jarak masa bergerak sungguh telalu panjang. di setiap sela waktu, masa diterjemahkan oleh perasaan dan kondisi hati serta fikiran kita, bukan lagi dengan jarum jam. ya, masa sungguh rumit dan unik kan? nah, semoga  kita berada dalam lingkungan masa yang baik-baik.

... 

tujuhbelas, 
sudah di naskhah yang ke-enam, dan sudah masuk bulan yang ke-enam atau separuh tahun sudah pena ini berbicara diam dalam naskhah picisan yang aku terus hamburkan dengan perkataan-perkataan rambang, entah dari mana saja datangnya melintas di pikiranku. takdir terus bergerak dan kita tetap menjalaninya. jika diizinkan Tuhan, hidup ke hadapan nantinya, pasti akan lebih banyak ujian, cabaran dan persoalan yang datangnya dalam pelbagai bentuk dan rupa. justru, sebelum melangkah ke masa hadapan itu- yang masih lagi dan tetap saja dalam statusnya 'mungkin ada mungkin tiada'- hari ini kita perlu belajar dan mempersiapkan diri dengan jawapan-jawapan yang kita yakini kebenarannya. masih tidak banyak yang aku ketahui, tapi di naskhah ke-enam ini aku ingin mengajak untuk kita sama-sama menghayati kalimah inna lillah wa inna ilaihi rojiun, kalimah yang kita banyak zikirkan sejak beberapa tempoh kebelakangan ini. jika ditadabbur dan didalami, kalimah ini sebenarnya menyimpan hikmah besar untuk kehidupan kita.

tujuhbelas, 
inna lillah; 'daripada Allah kita datang'. bahagian pertama kalimah ini menyedarkan bahwa semua perkara dalam dunia ini datangnya daripada Allah, termasuk diri kita sendiri. hakikatnya, kita adalah hamba kepada Tuhan dan sebagai hamba kita tidak punya hak ke atas apa pun di dunia ini, termasuk diri kita sendiri. setiap apa yang kita perolehi adalah hadiah daripada Tuhan, yang bukan atas kehendak kita untuk memilikinya tapi atas hak Tuhan untuk memberi. kita tidak patut merasa berhak mendapatkan sesuatu hanya kerana kita merasa telah berkerja untuknya. itu menyalahi fitrah, kerana kita bukanlah pekerja yang berhak menuntut habuan pada majikan setelah berkerja keras untuknya, jauh sekali, kita hanyalah hamba yang mengharap belas kasihan Tuhan. jika kita mendapatkan sesuatu yang baik, maka bersyukurlah. dan jika kita tidak mendapatkan sesuatu yang kita sangat inginkan atau kehilangan sesuatu perkara yang begitu kita hargai, berlapang dadalah, kerana ia bukanlah milik kita pada awal hakikatnya. bila kita memahami konsep asas ini, pasti, kita tidak akan mudah kecewa dalam hidup.

tujuhbelas, 
bahagian keduanya, inna ilaihi rojiun; 'kepada Allah kita kembali'. mudah dan jelas, kepada Allah nantinya kita akan kembali juga. segala hal dalam dunia ini tidak ada satu pun yang akan kekal sama ada diri kita sendiri, orang-orang yang sekeliling kita, harta benda yang kita miliki, juga termasuklah kebahagiaan yang kita nikmati dan kesusahan yang kita tempuhi. semua akan hilang. semua akan berakhir. semua akan dikembalikan kepada Tuhan. justru, bersederhanalah dalam setiap perkara. apabila dikurniakan kebahagiaan, janganlah kita lalai sehingga lupa untuk bersyukur kepada Tuhan kerana satu hari ianya pasti akan ditarik kembali sedangkan kita masih dalam keadaan kufur atas nikmat-nikmat itu, nauzubillah. dan jika kita sedang menempuhi kesusahan dalam hidup, bersabarlah dengan yakin bahawa ianya juga tidak kekal selamanya, akan ada akhirnya. bersederhanalah dalam segala hal. bila kita memahami konsep asas ini, nah, kita tidak akan mudah kecewa dalam hidup.

tujuhbelas, 
setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan kita punya agendanya sendiri yang disusun Tuhan. takdir adalah susunan cerita dalam kronologi yang bersambung dari satu peristiwa kepada satu peristiwa yang lainnya. seperti dalam bacaan. untuk sampai kepada kisah di hadapan, kita harus melalui kisah sebelumnya. kita akan belajar memahami mengapa kisah sekarang ini harus menjadi begitu dan begini, hanya setelah kita sampai kepada kisah seterusnya. pernah cuba membaca buku, lebih-lebih buku cerita, membaca daripada muka surat tengah, tanpa bermula daripada bab pertama atau pendahuluannya? atau terus saja membaca halaman terakhirnya pada bab yang terakhir? dengan pelbagai watak yang tidak kita ketahui peranan dan perkaitan antara mereka dan dengan apa yang sedang berlaku ketika itu, mustahil untuk kita memahami apa sebenarnya yang disampaikan si penulis jauh sekali memperoleh sesuatu pengajaran daripadanya. mungkin begitu hikmah takdir.


... 

rasanya cukup ini saja untuk naskhah di ke-setengah tahun ini. perkara yang baik-baik adalah untuk orang-orang yang percaya pada Tuhannya, perkara yang lebih baik pula akan datang kepada orang-orang yang tetap bersabar dan bersyukur, dan akan ada perkara yang terbaik menanti untuk mereka yang tidak pernah berputus asa dalam usahanya. selamat bertambah kiraan usia. semoga menjadi sosok yang dicintai Tuhan, yang dirindui baginda nabi, yang disayangi penghuni langit dan yang dikasihi orang-orang di bumi. jika kau bertemu hujan di sana, mungkin ada yang menitipnya pada matahari untuk menghadiahkanmu pelangi, juga untuk menemanimu menikmati kopi panas yang akan menghangat-segarkan jiwamu. tetaplah bersemangat dan semoga bertemu lagi di naskhah seterusnya.

sekian.
 | tujuh belas april dua ribu enam belas.


No comments:

Post a Comment