Ini adalah pagi Ahad yang biasa bagi Raykal sejak tiga bulan yang lepas. Jika minggu lepas dia di Istiklal Street, hari ini dia memilih Ortakoy Square yang terletak di tepian Besiktas di tengah tengah Istanbul. Berhadapan Selat Bhosporus, yang memisahkan dua tanah besar; eropah dan asia. Seperti juga diri Raykal yang terpisah dua. Jasadnya ada di tengah benua eropah tetapi jiwanya terpisah jauh di tenggara asia. Terbentang di atas selat Bhosporus adalah dua jambatan; Jambatan Bhosporus dan Jambatan Fatih Sultan Mehmet.
Imbas kembali peristiwa tiga bulan lepas. Ketika itu, Turki bukanlah destinasi pilihan Raykal. Dia sedang dalam perjalanan ke kota New York untuk menghadiri konferens pembentangan kertas kerja untuk kajian yang dibuatnya dalam projek sarjana di univesiti tempatan. Namun, dia terlepas penerbangan ketika transitnya berhenti di Istanbul. Semua kerana beg galas yang hilang, entah dicuri atau orang lain tersalah ambil ketika dia sedang sibuk membasuh tangan di sebuah restoran. Lebih parah lagi, beg galas itu mengandungi semua barang-barang penting; laptop, charger handphone, beg duit dan passport! Dalam sibuk dia mencari semula beg galasnya, kapal terbang sudah pun berlepas.
Yang tinggal ada padanya cuma handphone yang hampir kehabisan bateri, beberapa dolar dalam koceknya (tak mungkin cukup untuk tiket kapal terbang baru) dan gitarnya (nasib baik tidak turut sama hilang). Raykal adalah lelaki dengan gitarnya. Kemanapun dia pergi mesti gitar ada bersamanya. Gitar adalah teman yang selalu menyelamatkan dia dari segala kemurungan dan kebosanan. Dan kali ini, gitar menjadi penyelamat hidupnya.
Tersadai di negara Turki bukanlah sesuatu yang baik bagi Raykal yang cuma tahu berbahasa melayu dan inggeris. Bahasa Turki tidak pernah meniti di bibirnya hatta satu perkataan sekalipun. Tapi, Raykal harus mengusahakan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan. Berbekal duit yang berbaki, Raykal membeli beberapa barang penting. Pengecas talipon, kamus bahasa Turki dan peta bandar sekitar Turki. Dia mahu mencari dimana pejabat kedutaan Malaysia. Tapi, ia tak semudah itu. Tanah Turki tidak kecil. Pelat bahasa Turki yang sukar untuk disebut menjadi halangan besar. Perut yang menagih makanan untuk tenaga juga merumitkan.
Awalnya, Raykal bercadang untuk menjual gitarnya di mana-mana kedai. Tetapi, gitar itu adalah aset terakhirnya. Mungkin ada cara lain untuk mendapatkan duit tanpa perlu melepaskan segala-galanya. Nah, di situlah mulanya karier pemuzik jalanan solo Raykal. Entah di jalan mana saja, Raykal duduk memetik gitarnya dengan lagu-lagu bahasa inggeris yang diingatnya. Menuju malam, Raykal menginap di mana-mana masjid yang dijumpanya. Esoknya dia kembali mengumpul duit dengan gitarnya sambil mencari jalan ke kedutaan Malaysia.
Begitulah hidupnya dalam tempoh tiga bulan sejak menjejakkan kaki di Turki. Perlahan-lahan dia mula pelajari bahasa Turki. Dia juga sempat berkenalan dengan pelbagai orang yang ditemuinya ketika menumpang di masjid-masjid sekitar kota Istanbul. Ada juga segelintir yang tahu berbahasa inggeris. Melalui orang-orang tersebut, Raykal bertemu dengan pejabat kedutaan. Tetapi, belum masanya lagi untuk Raykal kembali ke tanah air. Urusan kad pengenalan dan passport yang hilang memerlukan Raykal menunggu sebulan atau lebih lagi untuk terbang balik semula.
Kawasan sekitar Ortakoy Square yang dipenuhi kafe, restoran, galeri seni dan kedai artisan, menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati bayu segar selat Bhosporus sambil memberi makan kepada burung merpati yang terbang rendah. Tambahan pula, pagi ahad adalah masa untuk pasar seni terbuka di Ortakoy. Lambakan manusia yang datang dari sekitar Istanbul yang berjual beli barang kemas, cenderahati, buku, barang antik dan perhiasan lain adalah port yang baik untuk Raykal mencari rezeki. Langit sedikit mendung pagi itu, tapi Raykal tetap meneruskan aktivitinya.
Kerusi lipat disiapkan. Mafla yang diikat di bahagian lehernya di bentang di hadapan. Keluarkan gitar dari beg, Raykal petik tali untuk nota-nota bunyi yang disusun seindahnya. Kali ini Raykal nyanyikan lagu yang ditulisnya sendiri.
like the rain that fell
unites the sky and the earth
even they're far apart
with the flowing Bhosporus
the two ground separated
but yet connected with bridges
and I'm with my prayer
uniting hope and destiny
Dan akhirnya, dari corong bunyi Buyuk Mecidiye Camii (masjid Ortakoy), azan berkumandang menyambut waktu zohor dan hujan yang turun untuk jiwa Raykal..