How's ramadhan?
Rasminya, dengan suapan seulas kurma di awal mukaddimah iftar maghrib tadi, maka sudah pun berlalu 20 hari semenjak anak bulan ramadhan satu-empat-tiga-lima menampakkan dirinya. Dalam kiraan pecahan, satu pertiga lagilah ramadhan yang berbaki.
Barangkali ada yang masih tidak menyadari. Betapa hingga ke saat ini, adalah satu keuntungan besar bagi kita yang dapat melalui ramadhan. Lagi-lagi yang punya catatan-catatan besar dalam mutaba'ah amalan mereka sepanjang berlalu 20 hari ke belakang. Katakan apa; tilawah, kuliah ilmu, sedekah. Bersyukurlah kalau mampu begitu.
Betapa pun, kita harus melihat ramadhan pada yang kurang punya kesempatan dalam pusingan jarum waktu sehari-hari mereka. Mahunya, kita lebih bersyukur atas ruang yang dikurniakan Allah kepada kita sepanjang tempoh ini.
Perhatikan sekeliling.
Bagaimana jadual mereka yang bertugas menjaga lalu lintas, para doktor yang punya kes kecemasan saban waktu diluar masa normal mereka harus bertugas, para operator yang menjaga kelancaran sistem komunikasi, para pekerja 'makan gaji' yang harus menurut arahan majikan berkerja siang malam demi mencari nafkah, para pengusaha perniagaan dan lain-lain lagi.
Sungguh mereka-mereka ini terkadang sukar membagi masa untuk tarawih, tilawah bahkan mahu iftar juga selalu saja tersasar jauh dari awal waktu berbuka.
Betapa, tatkala kita mudah untuk bangun sahur, ada yang membangunkan selepas rehat tidur malam. Makanan pula sudah siap hidang. Iftar mewah dengan segala macam juadah. Tarawih dalam masjid luas, karpet lembut, berhawa dingin lagi. Namun masih juga 'malas-malas' dengan waktu, dengan ibadah.
Nah, harusnya kita muhasabah lagi ramadhan kita sejauh ini. Bagaimana ramadhan, bulan tarbiyah ini mendidik hati kita. Apakah sudah mendapatkan hati yang benar-benar 'hamba'. Hamba kepada iman. Hamba kepada taqwa. Tapi tuan kepada nafsu.
Bagaimana dengan al-Quran? Tilawah, apakah kita cuma pecut laju mengejar juzuk-juzuknya? Kalau cuma itu, maka tarbiyah ramadhan masih belum sampai ke hati. Tidak lebih sekadar menambah ruangan tilawah dalam jadual harian. Baik. Tapi belum cukup terbaik. Tambahlah juga tadabbur. Itu kan bahagian untuk hati.
Hakikatnya sepanjang ramadhan, kita sedang membina permulaan graf kehidupan untuk 11 bulan yang mendatang. Tentu, kita perlukan paksi horizontal yakni tarbiyah jasadi (ritual) dan di paksi vertikal adalah tarbiyah qalb/hati (spiritual). Nah, kedua-duanya perlu dinilaikan tinggi sepanjang ramadhan untuk mendapat lonjakan graf kehidupan yang baik.
Semoga kita berjaya mendapatkan kedua-dua tarbiyah ini.
Allahumma ballighna laylatul qadr. Allahumma amin.
:)
No comments:
Post a Comment