Bismillah.
Kita teruskan rakaman bicara lewat pena ini dengan petikan indah dari kitab
suci al-Quran. Dalam baris ke-11 at-Taghabun, ayatNya menyapa kita dengan
begitu lembut dan manis sekali;
“Tidak ada satu musibah yang menimpa, kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah niscaya Allah akan memberikan petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”
Belakangan
ini, ruangan angkasa di beberapa negeri
Malaysia begitu sesak. Awan-awan
gelap tidak berhenti menitiskan air mata. Siang ke tengahari. Petang ke malam.
Entah apa peristiwa yang terlalu sedih di alami oleh langit. Atau, mungkin
juga langit terlalu gembira terharu. Tiada kepastian, kita yang berada jauh di
bawah bumi ini mustahil untuk menjelaskannya.
Tapi,
ini bukan novel bersiri tentang cerita langit, awan atau matahari. Kita cuba
membaca apa mesej dibawa dalam musi-bah yang telah menghanyutkan pelbagai
cerita duka bersamanya. Ya, tentang banjir. Dan bukan banjir itu secara khusus,
tapi secara umumnya. Kita melihat ia sebagai musibah atau bencana supaya lebih
menyeluruh pengertian kita.
Kisah
tentang bencana sudah tentu memiliki banyak sudut pandangnya. Di sini, kita
cuba membacanya dalam konteks sebagai muslim. Bilamana sesuatu bencana berlaku,
tiga pandangan utama akan wujud dalam kalangan muslim.
Pertama
sebagai siksa, jika itu menimpa orang-orang yang tidak beriman. Kedua sebagai
peringatan, jika menimpa orang-orang yang beriman tapi melakukan banyak dosa.
Dan ketiga, sebagai sarana mengangkat darjat, iaitu bagi orang yang beriman,
hamba-hamba Allah swt.
Ini
adalah formula mudah untuk menilai posisi iman kita.Tapi, formula ini hanya
lebih praktikal untuk mereka yang terlibat langsung atau menjadi mangsa dalam
bencana tersebut. Seterusnya adalah kita sebagai entiti yang melihat peristiwa
tersebut dari luar gelanggang. Bagaimana kita harus memandang dan membacanya
agar kita juga boleh turut memuhasabah iman kita.
Sabda
Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ini salah satu jawapannya,
“Seorang Muslim adalah saudara orang Muslim lainnya.”
Disinilah
ruang untuk kita bermuhasabah. Apakah kita sudah menjalankan peranan terbaik
sebaik seorang muslim? Yang mana, hati setiap muslim itu adalah bercantum
dengan hati saudara-saudara seakidahnya. Segala apa yang menimpa atau berlaku
kepada saudaranya, pasti akan merangsang perasaan yang sama antara keduanya.
Maka, perhatikan.
Bergetarkah hati kita saat menyaksikan saudara-saudara kita menerima musibah di sana? Seterusnya,
bagaimana tindakan anggota tubuh? Masihkah pegun bisu tanpa apa-apa usaha untuk
menghulurkan bantuan, setidaknya doa? Kalau ternyata jawapan kita adalah tidak,
yakinlah bahawa Allah sedang memberikan teguran bahawa iman kita masih terlau
jauh untuk menghampiri kesempurnaan.
Semoga dengan peristiwa ini, iman kita tidak dihanyutkan
oleh deras yang mengalir. Bahkan ia timbul meningkat naik setinggi paras air
setelah hujan lebat berhari-hari. Wallahualam.
_____________
*agak skema di situ..
Penulisan yang sangat menarik..teruskan menulis!
ReplyDeletejazakallah khair.
DeleteinsyaAllah jika dikurniakan ilham dan kekuatan daripada Allah.