[kundasang] |
Awal
pagi, hujung minggu di penghujung disember sekitar Pekan Kundasang. Ven keluar
bersiar-siar dengan basikal. Kamera hitam bergantung di dada. Angin lembut menemaninya. Sebetulnya Ven tiada tujuan khusus mahu keluar.
Hanya bersiar-siar. Menyusuri laluan indah sepanjang kaki pergunungan Kinabalu,
penuh dengan abstrak-abstrak natural lukisan alam. Ladang teh kehijauan, kebun
sayuran segar, dusun buah ranum dan taman bunga warna-warni. Hawa sejuk, langit
redup dan burung bebas yang berterbangan riang turun dari puncak Kinabalu. Ah,
apakah puisi terbaik untuk menggambarkan ketenangan itu?
Sepanjang
tepian jalan, ada pelbagai gerai-gerai dibuka. Semuanya hanya bermodalkan alam.
Setiap kali melalui gerai-gerai itu, Ven akan melemparkan senyuman manis sambil
melambai kepada pemiliknya. Dan pastinya, ia akan disambut dengan ramah dan
bahagia.
Ven
melalui sebuah gerai bunga. Raudah al-Zahra. Jelas terpampang papan tanda kayu
di hadapan gerai itu. Ros, Camelia, Dahlia, Daisy, Flora, Olive, Poppy, Rose,
Jasmin dan Lily. Aneka bunga-bunga mekar. Segar, wangi dan indah.
Di satu
sudut, kelihatan seorang gadis sedang sibuk menyusun atur bunga-bunga di dalam
pasu yang diperbuat daripada seramik. Kerana gadis itu menghadap ke belakang, Ven
tidak dapat melihat mukanya. Tapi, Ven tidak kisah siapapun dia. Ven lebih tertarik
pada bunga-bunga di gerai itu.
Tidak jauh
dari gerai itu, Ven berhenti sebentar. Menyandarkan basikal di pohon Meranti
rendang. Kamera, Ven angkat ke paras muka. Ven fokuskan lensa ke arah bunga-bunga
di gerai itu. Dan Ven pun klik dua tiga kali. Kemudian Ven tengok hasilnya. Gambar-gambar
itu sedikit kabur. Tidak berpuas hati, Ven angkat lagi kamera. Kali ini, Ven
lebih teliti dengan fokus lensanya.
Klik
lima enam kali. Ven terus tengok
hasilnya.
Gambar
pertama, jadi. Gambar kedua pun jadi. Lighting. Angle. Semua tepat. Sayang, gambar ketiga sedikit
gelap. Ada bayang-bayang manusia yang sedang berjalan. Gambar keempat langsung tak nampak bunga.
Pandangan kamera ditutup total oleh sosok belakang gadis di gerai bunga itu. Gambar kelima,
masih sama tertutup. Tapi dalam gambar kelima, gadis itu sosoknya separuh berpaling ke hadapan.
Dan
dalam gambar terakhir gadis berpaling total menghadap ke hadapan, jelas kelihatan wajahnya. Apron corak bunga matahari, tudung labuh hitam, baju
lengan panjang warna merah jambu dan bahagian bawahnya hampir mencecah ke paras lutut. Lengkap juga berstokin di lengan dan kaki.
Ven cuba tengok lebih dekat. Tapi, belum pun tekan butang zoom pada kamera..
“Astaghfirullah!”
Ven tepuk dahi. Cepat-cepat delete gambar terakhir itu.
"Eh, siapa walinya?"
_____________________
* rekaan semata-mata.
No comments:
Post a Comment