Sunday, May 12, 2013

dengan penuh hairan.


  

  Berpagi-pagian di pagi hujung minggu. Selamat tiba di bilik daripada larian merentas benua sekitar tasik kejayaan. Picu penutup air tin ditarik. Psss. Kedengaran bunyi gamat gas-gas karbon dioksida yang berpusu-pusu keluar. Begitu teruja ingin melihat dunia baru setelah terperangkap berabad lamanya dalam kerangka silinder aluminium. 

  Tin diangkat tinggi. Kemudian diserengkan 45 darjah. Maka mengalirlah laju cecair cecair isotonik memasuki laluan laluan gelap. Tatkala ia menyentuh permukaan kering kontang saluran tekak, hadir satu kenikmatan luar biasa. Sungguh luar biasa. Hidrasi semakin bergiat aktif dalam tubuh badan. Kembali bertenaga.

  100 Plus dirumus khas untuk menghidrat dan mengembalikan semula bendalir, tenaga dan elektrolit yang hilang semasa anda menjalani gaya hidup aktif. Ini memastikan anda mencapai tahap prestasi maksimum!

  Selesai membaca penerangan pada sisi tin air, mata melilau lilau sekitar ruang bilik segiempat. Hmm, masih kemas. Tiba-tiba ada suara suara halus kedengaran. Dari rak rak tepian meja. Sebuah buku mengerling manja tergedik-gedik mahukan perhatian dan belaian. Maka tangan dihulur, buku dicapai.

  Mulut dimuncungkan. Menghembus habuk yang melekat padanya. Ada bubuk buku berkeliaran, bau lapuk terserak sama. Saat menyelak-nyelak helaian buku itu, mata jatuh terhenti pada halaman akhir bab pertama. Ada sapaan bisu daripada pengarang. Menuturkan petikan Hadis Qudsi daripada kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah. Membuat jiwa begitu teruja tidak tentu arah.

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

"Wahai anak Adam, 
Aku hairan kepada mereka
yang yakin terhadap kematian 
tetapi masih bergembira.

Aku hairan kepada mereka 
yang yakin terhadap hari perhitungan 
tetapi dia masih mengumpulkan harta.

Aku hairan kepada mereka 
yang yakin terhadap kubur
tetapi masih tertawa.

Aku hairan kepada mereka 
yang yakin terhadap kehidupan di akhirat 
tetapi dia masih beristirehat.

Aku hairan kepada mereka 
yang yakin terhadap dunia dan kemusnahannya
tetapi dia masih tenang dengannya.

Aku hairan kepada mereka 
yang alim pada lidahnya 
tetapi jahil pada hatinya.

Aku hairan kepada mereka 
yang sibuk bersuci dengan air 
tetapi hatinya tidak suci.

Aku hairan kepada mereka 
yang sibuk dengan keaiban orang lain 
tetapi dia lupa terhadap dirinya sendiri.

Aku hairan kepada mereka 
yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu mengawasinya 
tetapi dia masih boleh melakukan maksiat.

Mereka yang mengetahui sesungguhnya dia akan mati keseorangan, 
akan memasuiki kubur keseorangan 
dan akan dihitung keseorangan 
tetapi masih jinak bersama manusia.

Ketahuilah, 
tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Aku 
dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Ku."

   Hambatan luar biasa. Luar biasa. Hampir saja jatuh cairan permata berkilau daripada kelopak basah. Ah. Terpacul satu ayat menyimpulkan susunan firman itu;

  Aku hairan dengan diriku sendiri!


   T_________T


No comments:

Post a Comment