Saturday, November 23, 2019

another stage.






setiap minggu saya suka solat jumaat di masjid-masjid berlainan. bagi saya, setiap masjid ada vibes-nya sendiri. dan saya juga ada spot-spot tertentu yang saya suka duduk untuk mendengar khutbah pada masjid-masjid yang biasa saya singgahi. seperti semalam di masjid pulai indah, saya suka duduk di bahagian luar masjid. bersebelahan tempat mengambil wuduk.

sebab saya suka tengok budak-budak ambil wuduk. haha.

saya suka saksikan momen mereka berhadapan bersendirian dengan pili air sambil diperhatikan diam-diam oleh ayah mereka dari belakang berada dalam posisi rukuk di hadapan pili air, mereka termenung sebentar, menarik nafas dalam kemudian mula membuka pili air. setiap kali beralih di antara satu anggota wuduk ke satu anggota wuduk yang lain, mereka akan berhenti sebentar, termenung melihat air yang mengalir di bawah sambil berfikir, mengingat-ngingat kembali rukun wuduk "lepas ni apa? lepas ni apa?" tapi sepanjang itu sedikit pun mereka tidak terganggu oleh  pili-pili air di sebelah, orang-orang dewasa di kiri dan kanan yang lancar menyelesaikan wuduk mereka. fokus mereka hanyalah pada air yang terus mengalir dari pili di hadapan mereka, mencuba sehabis baik untuk menyempurnakan wuduk. akhirnya, setelah menyelesaikan semua anggota wuduk, mereka menutup pili air dengan penuh gembira dan berpaling pergi menuju ke arah ayah mereka dengan senyuman paling ceria.

inilah momen sederhana yang selalu saya jadikan tempat untuk bermuhasabah sendiri. muhasabah tentang proses dan perjalanan-perjalanan hidup. menjadi semakin dewasa hari ke hari, kita selalu beranggapan bahawa kita harus pantas dalam semua hal. sampai-sampai meletakkan tekanan tidak perlu kepada diri sendiri. merasa diri terlalu perlahan ketika orang lain sudah pun jauh bergerak. padahal hidup bukan perlumbaan. setiap manusia melalui jalanan yang masing-masing seperti yang ditetapkan Tuhan; jadinya untuk apa membanding-banding kelajuan? sampai atau tidak kita pada destinasi di hadapan tidak pernah ditentukan oleh halaju.

tidak perlu menoleh ke kiri dan kanan, teruskanlah melangkah ke hadapan, berehat jika perlu, selebihnya nikmati dan belajarlah dari apa saja yang ada pada jalanan yang sedang kita lalui. dan ya, kita tidak pernah terlalu dewasa untuk menjalani hidup seperti kanak-kanak atau memandang kehidupan dari kacamata seorang kanak-kanak.





___
*may Allah ease our journey ahead. :)

Thursday, November 14, 2019

fasobrun jamil.






ada banyak hal-hal indah di dunia. seperti sinaran matahari hangat di waktu pagi yang dingin; seperti kucing jalanan yang membalas sapaan meow kita; seperti melepasi tiga persimpangan berterusan dengan semua lampu trafiknya berwarna hijau ketika kita melaluinya tanpa perlu berhenti; seperti mesin yang kembali berfungsi setelah dicuba berkali-kali untuk dihidupkan; seperti membaling masuk tin minuman(wonda coffee mungkin?) yang habis diminum ke tong sampah pada jarak lima meter dalam sekali percubaan; seperti sabar.



.



alangkah sederhananya perkataan nabi yaakub as yang dirakam Tuhan di dalam al-quran ini; 
    ---sabar itu indah.

padanya, tidak ada paksaan untuk bersabar. seperti ketika kita terpesona pada hujan, kita berkata 'hujan itu indah'; tidak ada paksaan untuk orang lain berbasah-basahan, nikmati ia sekadar yang kalian senangi. manakala padanya tidak ada maksud untuk menekan-nekankan bahawa begitu pentingnya sabar. tidak lebih, hanya ingin menyatakan keindahannya. keindahan sabar. bahawa setelah hari-hari yang sukar dan malam-malam yang panjang, pada kesabaran yang kita tetap berpaut padanya itu, ia akan menarik kita kepada sebuah realiti yang lebih indah, yang sungguh luar biasa, yang tidak tersangkakan oleh kita akan wujudnya. sepanjang itu ia tidak pula menolak kesedihan, tidak menafikan hak kita untuk meraikan rasa sedih; cukup untuk kita tahu, menerusi pantulan pada genangan-genangan itu, ia mahu menyatakan bahwa sabar itu indah. bahawa ketika kita memilih untuk bersabar- jawapannya; hasilnya; destinasinya- pasti tidak akan pernah mengecewakan. ada keyakinan yang ditiupkan bersama perkataan ini, bahawa pada akhirnya semua akan baik-baik sahaja. akan tiba masanya, tumbuh bunga-bunga wangi indah berwarna-warni dari akar penderitaan yang terus dipertahankan dengan berani.















___
*surah yusuf, ayat 13 & 18.