ada banyak hal-hal indah di dunia. seperti sinaran matahari hangat di waktu pagi yang dingin; seperti kucing jalanan yang membalas sapaan meow kita; seperti melepasi tiga persimpangan berterusan dengan semua lampu trafiknya berwarna hijau ketika kita melaluinya tanpa perlu berhenti; seperti mesin yang kembali berfungsi setelah dicuba berkali-kali untuk dihidupkan; seperti membaling masuk tin minuman(wonda coffee mungkin?) yang habis diminum ke tong sampah pada jarak lima meter dalam sekali percubaan; seperti sabar.
.
alangkah sederhananya perkataan nabi yaakub as yang dirakam Tuhan di dalam al-quran ini;
---sabar itu indah.
padanya, tidak ada paksaan untuk bersabar. seperti ketika kita terpesona pada hujan, kita berkata 'hujan itu indah'; tidak ada paksaan untuk orang lain berbasah-basahan, nikmati ia sekadar yang kalian senangi. manakala padanya tidak ada maksud untuk menekan-nekankan bahawa begitu pentingnya sabar. tidak lebih, hanya ingin menyatakan keindahannya. keindahan sabar. bahawa setelah hari-hari yang sukar dan malam-malam yang panjang, pada kesabaran yang kita tetap berpaut padanya itu, ia akan menarik kita kepada sebuah realiti yang lebih indah, yang sungguh luar biasa, yang tidak tersangkakan oleh kita akan wujudnya. sepanjang itu ia tidak pula menolak kesedihan, tidak menafikan hak kita untuk meraikan rasa sedih; cukup untuk kita tahu, menerusi pantulan pada genangan-genangan itu, ia mahu menyatakan bahwa sabar itu indah. bahawa ketika kita memilih untuk bersabar- jawapannya; hasilnya; destinasinya- pasti tidak akan pernah mengecewakan. ada keyakinan yang ditiupkan bersama perkataan ini, bahawa pada akhirnya semua akan baik-baik sahaja. akan tiba masanya, tumbuh bunga-bunga wangi indah berwarna-warni dari akar penderitaan yang terus dipertahankan dengan berani.
___
*surah yusuf, ayat 13 & 18.
No comments:
Post a Comment