bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. too kaisa hai?
masa dan waktu yang diberikan setiap hari kepada dunia dan penghuninya adalah sama. dua puluh empat jam. seribu empat ratus empat puluh minit. lapan puluh enam ribu empat ratus saat. sama, tidak pernah terlebih tidak pernah pula terkurang. justru, aku, kau, dia, kalian, mereka dan kita semuanya melalui jumlah masa yang sama. yang tidak sama adalah apa yang terisikan dalam ruang waktu itu. dalam ketidaksamaan itulah ada yang kita namakan sebagai 'kesempatan'. setiap orang memiliki kesempatan yang sejatinya hanya milik mereka, yakni, seperti mereka memiliki hati mereka sendiri. pertemuan orang-orang hanya akan terjadi apabila dua atau lebih kesempatan berada di sela waktu yang sama dan pemilik kesempatan itu mahu mengisi(berkongsi)nya dengan pertemuan. dalam menjalani rutinitas kehidupan seharian, semoga kesempatan yang kita miliki terisi dengan hal yang baik-baik dan pertemuan yang baik-baik dengan orang yang baik-baik untuk kita belajar menjadi lebih baik.
...
tujuhbelas,
jika mahu bercerita tentang pengorbanan, nah inilah waktunya. kisah agung perihal pengorbanan begitu dekat sekali dengan kita ketika ini. iya, yang itu. kisahnya nabi ibrahim as dengan anaknya nabi ismail as. tapi, aku tidak akan bercerita semula kisah itu di sini. aku yakin, kau juga tahu kisahnya, seperti yang diabadikan pada surah tiga puluh tujuh, ayat sembilan puluh sembilan sehingga seratus sebelas. peristiwa hebat beribu tahun lalu yang menjadi ibadah kita hari ini. justru, ibadah bukan hanya ritual semata. setelah melaksanakan ibadah, nah selesai, kita sudah berpahala. tidak, belum selesai lagi. ibadah datang dengan ibrah. lagi-lagi ibadah yang datang dengan kisah besar dan peristiwa agung bersamanya.
tujuhbelas,
mari membaca kisah nabi ibrahim as dan nabi ismail as dengan kacamata cinta. begitu, adalah cinta yang saling dimiliki mereka. cintanya seorang bapak kepada anak dan cinta seorang anak kepada bapaknya. cinta yang ikhlas. cinta yang saling berbalas. cinta yang suci. tapi, justru ada cinta lebih besar daripada itu yang mereka miliki. itulah cinta mereka berdua kepada Tuhan. cinta Tuhan adalah cinta nombor satu, tidak ada cinta lain di atasnya. justru, Tuhan menguji cinta yang dimiliki oleh nabi ibrahim as dan nabi ismail as. apakah cinta sesama mereka lebih besar daripada cinta mereka kepada Tuhan. dan, kesudahan itu kita juga tahu bagaimana kan? bahawa ternyata cinta mereka kepada Tuhan berada paling atas, mengatasi cinta antara mereka. nabi ibrahim as dan nabi ismail as, mereka korbankan cinta antara mereka. mereka berkorban untuk cinta yang lebih agung.
tujuhbelas,
ya, cinta adalah hal fitrah untuk dimiliki manusia. jatuh cinta, mencintai dan dicintai. kita jatuh cinta pada pelbagai perkara. kita mencintai hal-hal tertentu. dan mungkin kita dicintai dengan sesuatu. tapi, sebelum itu, ketahuilah bahawa kita sedang dicintai Tuhan. ya, Tuhan sentiasa mencintai hamba-hambaNya. cuma, kita saja mungkin yang belum benar-benar jatuh cinta pada Tuhan. adalah tidak salah untuk memiliki rasa cinta kepada yang lain. tapi, cinta Tuhan adalah cinta nombor satu. Tuhan akan menguji cinta yang dimiliki manusia. Tuhan justru cemburu ketika ada cinta lain yang mendahului cintaNya. sebesar mana, semulia mana, sesuci mana cinta yang dimiliki antara manusia, tidak akan ada yang bisa menurunkan cinta Tuhan daripada anak tangga paling atas. tidak ada.
tujuhbelas,
ah, sepertinya sudah terlalu banyak aku menuliskan kata cinta di sini. maaf, kalau itu memualkan. ya, cinta bukan perkara main-main. benar, cinta bukan hanya penyedap kata dan cerita. sungguh, cinta bukan sekadar pemanis puisi dan lirik. cinta punya pemaknaan yang lebih luas dan dalam. sepertinya tidak akan habis orang-orang mahu mendefinisikan cinta menurut fikiran mereka masing-masing. terlebih sering, definisi itu dirujuk pada kamus nafsu dan duniwai semata. aku juga tidak terlepas daripada itu. aku sungguh masih sedang belajar tentangnya. jika ditanya cinta yang sempurna itu apa atau bagaimana, jawabanku ialah ia adalah tentang susun atur cinta-cinta yang kita miliki. bebaslah kita untuk jatuh cinta, mencintai atau membenarkan diri dicintai. tapi, pastikan cinta Tuhan ada di tingkat paling atas, menaungi semua cinta-cinta lain itu.
...
naskhah ke-sebelas. naskhah ini sudah masuk kepada kiraan belas rupanya. kasihan pena ini, dipaksa berlari sejauh ini oleh jari-jari egoisku. pasti pena ini kepenatan. aduh, sedikit lagi ya, sang pena, kamu pasti akan aku rehatkan nanti. tidak sang pena, kita tidak sedang berlari untuk mencari penghujung langit. meski pada pandangan kita, langit sepertinya punya penghujung di seberang sana. sungguh itu hanyalah bumi ini yang berbentuk sfera, yang membuatkan langit jatuh di penghujung pandangan mata kita. tidak juga sang pena, kita tidak sedang berlari di atas lautan yang ada penghujungnya, yang pasti akan ada daratannya. mustahil kita bisa berlari di atas permukaan air yang lembut ini. kita sedang menulis di atas kertas, sang pena. bertahanlah ya untuk sekian jarak yang berbaki di hadapan ini. temani aku hingga semua ini selesai.
sekian.
| tujuh belas september dua ribu enam belas.