Wednesday, February 10, 2016

tentang pilihan.





tentang pilihan. hidup adalah perjalanan pilihan. kita sentiasa harus membuat pilihan. dari sekecil-kecil perkara ke hal yang besar-besar. jika tidak memutuskan pilihan, maka tidak dapat meneruskan perjalanan, dan kita terdampar di persimpangan jalan selama-lamanya. mahu tidak mahu, pilihan harus dibuat, agar perjalanan dapat disambung semula dan kita boleh sampai ke destinasi akhir. 
tentang pilihan. setiap pilihan datang dengan ujian dan cabarannya sendiri. ujian dan cabaran boleh datang dari pelbagai arah. mungkin juga daripada arah yang tidak pernah kita terfikirkan ketika pilihan itu dibuat. kadang, ketika pilihan telah diputuskan, akan muncul pula pilihan lain yang pada kita, tampak mungkin lebih mudah dan kurang cabarannya. ya, kita akan sentiasa dipertanyakan tentang pilihan kita, yang jawapannya akan menuntut kita sama ada untuk terus teguh dengan pendirian kita atau memilih untuk bertukar pilihan. nah, sekali lagi kita harus memilih di situ. kan sudah aku katakan, hidup adalah rantaian pilihan yang sentiasa bersambung dari satu kepada satu yang lainnya. 
tentang pilihan. sungguh penting, sebelum membuat pilihan, kita harus memiliki asas yang menjadi pegangan sendiri. asas yang juga merupakan panduan sekaligus matlamat hidup kita. asas yang akan menjadi perkara pertama yang dipertimbangkan sebelum memutuskan apa-apa pilihan. asas ini juga yang akan menjadi rujukan setiap kali pilihan-pilihan kita dipersoalkan. dari masa ke semasa kita akan kembali kepadanya, untuk menyemak semula perjalanan pilihan kita. 
tentang pilihan. beruntunglah apabila pilihan dibuat berasaskan perintah-perintah Tuhan, yakni apabila redha Tuhan menjadi matlamat utama dalam hidup. kerana Tuhan sentiasa punya jawapan atas semua persoalan manusia, termasuk persoalan tentang pilihan. mengapa tidak, bukankah Tuhan yang memberikan kita pilihan-pilihan itu? mudah alasan di sebaliknya, kerana Tuhan mahu kita sentiasa datang bertanya, bermesra denganNya dalam sujud malam dan doa hiba kita. kerana Tuhan mahu meletakkan kita sentiasa dalam posisi ingin kembali dan bergantung hanya padaNya. sungguh cara Tuhan mencintai makhlukNya begitu unik dan indah kan? senyum. 
tentang pilihan. setiap sesuatu itu, semakin sukar ia dicapai, maka kita akan semakin menghargainya dengan banyaknya perkara yang kita belajar daripadanya. ia adalah graf garisan lurus yang mengunjur pada sudut empat puluh lima darjah pada paksi perpendikular untuk dua perkara yang saling berkadar langsung itu. jadilah bijaksana ketika memutuskan pilihan dan ketika menjalani pilihan yang telah diputuskan. kerana, pilihan yang telah diputuskan akan seterusnya menjadi sebahagian tujuan perjalanan kita.


No comments:

Post a Comment