Sunday, May 01, 2016

labour day's rants.





taman unibersiti.

di simpang empat dengan lampu isyarat. kawasan itu terbahagi kepada empat quadran. quadran pertama adalah gedung pasaraya aeon, yang juga terdapat toko buku mph. mengikut putaran jam, di quadran kedua adalah stesen minyak petronas yang kfc melekat di tepinya. dalam petronas ada mesin teller automatik yang disediakan bank cimb, maybank dan rhb.

quadran ketiga, adalah deretan rumah kedai, yang paling hujung berdekatan lampu isyarat adalah kedai motor sym, dulu pakai tagline 'safee yang menunggang' bersempena era kegemilangan bola sepak malaysia yang baru memenangi afc suzuki cup ketika itu dan safee sali adalah superstarnya kerana menjadi penjaring terbanyak kejohanan. penuh billiboard tepi jalan iklan sym muka safee sali. kemudian ditambah pula dengan tagline baru, 'syamsul yang mencelah' ambil nama syamsul yusof. itu saya tak tahu bagaimana kisahnya dan dah jarang tengok billiboard sym. entah sekarang apa pula tagline terbaru. 'sahlan yang menulis' mungkin? eh, siapa sahlan? ah, lupakan. 

quadran keempat adalah taman rekreasi. tak ada cerita sangat sebab baru sekali dua datang situ. selebihnya cuma lalu saja.


oh ya, kembali ke quadran ketiga. dalam deretan mengunjur ke bahagian sebelah kanan kedai motor sym, paling hujung sekali adalah kilang memproses kiub ais. ya, kiub ais. bila difikir-fikir, kiub ais je kot. budak-budak buat di rumah pun jadi. isi air dalam bekas, masukkan dalam freezer peti ais, biar semalaman, besok dah keras. tapi, benda simple macamni boleh jadi bisnes besar-besaran. entah, tak reti jugak, saya bukan otak bisnes. baru-baru ni kilang tu kebakaran. tak teruk sangat la. masih mampu beroperasi lagi rasanya. tapi, bila difikir-fikir, kilang ais terbakar. ya, kilang ais kawan-kawan. nampak tak? ha, say no to global warming.

masih di quadran ketiga. ada ruang parkir besar antara jalan dengan bahagian kanan dan hadapan kedai motor sym. setiap petang  hingga lebih kurang selepas isyak, ada lori kecil yang buka premis jual nasi lemak berlauk. nasi lemak anggerik namanya. sedap dan lazat berkrim. eh, mana ada krim. belum pernah lagi jumpa nasi lemak cheese. nasi lemak anggerik jual nasi lemak dengan aneka lauk pilihan.  dari telur mata sapi, ayam goreng kosong, ayam masak merah, sotong masak apa ntah tapi sedap, daging masak apa ntah tapi sedap jugak, dan sambal yang menggigit. 

gerai nasi lemak anggerik tu dikendali oleh dua orang brader. diorang ada uniform 'nasi lemak anggerik'. diorang berkerja dalam synchronizing yang baik. ada dua tugas utama, satu layan pelanggan memilih lauk untuk nasi lemak mereka dan satu lagi siapkan air pesanan mereka. ok, ceritanya saya on the way balik kerja. lepas keluarkan duit dan isi minyak di petronas di quadran kedua, sambil tunggu lampu merah bertukar hijau, saya terpandang kedai ni. dah saya putuskan untuk singgah sebab malas nak tunggu lama dekat restoran faiz tomyam sorang-sorang yang sebenarnya tidak jauh dari situ, berjarak hanya satu selekoh pendek.

done mukaddimah.

"bro, makan ke bungkus?" 
"bungkus."

brader nasi lemak ambil satu kemasan surat khabar yang berlapik kertas minyak yang telah disiapkan dalam kuantiti banyak. buka penutup bekas nasi yang diperbuat daripada kayu, asap keluar berkepul-kepul.

"air nak bro?" 
"teh ais." 
"ikat tepi ke bungkus?" 
"bungkus."

brader di jabatan lauk tu pandang beregunya di jabatan buat air pada bahagian belakang gerai.

"weh, teh ais bungkus satu." 
"ok."

brader pusing balik ke depan.

"baru balik keje ke bro?" 
"ya."

siap cedok nasi, brader alih perhatian kami berdua kepada lauk.

"lauk apa bro?" 
"emm, jap ea."

hidup memang komplikated la, kadang nak buat pilihan lauk pun susah, lepas round setiap periuk lauk-lauk ambil feeling, akhirnya jari tunjuk pilih ayam masak merah. brader laju ambil sudip periuk lauk ayam masak merah. keluarkan bahagian dada. kuahnya jatuh meleleh, mengalir ke ladang nasi.

"keje kat mana bro?" 
"nusajaya." 
"ouh. keje apa kat sana?" 
"err, buat bangunan. susun batu-bata."

lepastu, tangan brader capai senduk kecil. sebelum ceduk masuk, brader tanya dulu.

"timun. kacang. boleh?" 
"boleh." 
"sambal?"
"boleh." 
"lauk ini je ea? takde nak tambah lagi?" 
"ya. ok, itu je."

lincah tangan brader kemaskan bungkusan jadi piramid dan akhir sekali ikat dengan getah merah.

"penat tak kerja buat bangunan?" 
"err.."

belum sempat jawab, brader sambung lagi sambil ketawa kecil.

"mestilah penat kan? mana ada kerja tak penat. kerja macam ni pun penat." 
"ya. iya. haha."

siap. nasi lemak siap. teh ais bungkus pun siap.

"berapa?" 
"tujuh ringgit bro."

not ringgit merah bertukar tangan. dibalas dengan tiga not ringgit biru. dua-dua pun ucap terima kasih. dua-dua pun ucap sama-sama. selesai, gerak balik rumah.

selamat hari pekerja kawan-kawan! semoga semangat selalu.. :)

No comments:

Post a Comment