Tuesday, May 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (vii).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. kabare? 
sungguh, kita mudah untuk belajar nilai masa jika kita bertanya pada orang yang tepat. jika mahu tahu berapa nilainya sesaat, tanyakan pada orang yang ditimpa musibah kemalangan, hanya kerana kelalaian sesaatnya dalam pemanduan. jika mahu tahu berapa nilainya satu jam, tanyakan pada mereka yang terlepas tiket perjalanan ke destinasi jauh, hanya kerana tersilap memilih jalan yang macet menuju terminal berlepas. jika mahu tahu berapa nilainya sebulan, tanyakan pada orang yang terpaksa melalui dan mengulangi semula proses belajar dari awal selama sebulan untuk kembali menduduki ujian sama yang mungkin dia kurang bersedia pada percubaan pertamanya. jika mahu tahu berapa nilainya masa setahun, tanyakan pada pengendali projek pembinaan yang mengalami kerugian ribuan malah jutaan wang, hanya kerana gagal mengawal dan mengatur kemas jadual kerja yang akhirnya mengakibatkan penundaan. jika mahu tahu berapa nilainya sebuah kehidupan, tanyakan pada orang yang telah ditinggalkan selamanya (tidak, hanya sementara, mereka akan bertemu lagi di syurga nanti) oleh seseorang yang paling dicintainya, siapa lagi kalau bukan ibunya sendiri, tanpa dia merasa sempat untuk memberi yang terbaik kepada ibunya sepanjang hayatnya. cubalah bertanya pada orang-orang seperti ini jika ingin belajar bagaimana menghargai masa dan kesempatan.

...

tujuhbelas,  
setiap orang punyai definisi kebahagiaan masing-masing. atau lebih mudah, mungkin bukan 'definisi', tapi 'punca' kebahagiaan mereka masing-masing. iya, menurut aku ianya begitu. seperti seorang guru yang menemukan kebahagiaan pada setiap kali muridnya beroleh keputusan yang baik, seperti seorang penjual bakso tepi jalan yang disinggahi orang yang lalu-lalang lantas bertanya, "baksonya masih ada mas? mau dua mangkuk" ketika hari sedang hujan, seperti seorang bibliophiler bertemu buku kesukaannya setelah mencarinya sekian lama di beberapa toko buku seluruh kota, seperti seorang introvert kembali ke ruangan senyapnya setelah hari yang panjang berurusan dengan pelbagai manusia, seperti seorang ibu yang mendodoi tidur anak kecilnya yang masih belum mengerti apa-apa tentang dunia, seperti jari-jari yang ingin sekali berdansa di atas huruf-huruf yang kemudian akalnya bertemu idea untuk menulis sesuatu, atau seperti seseorang yang mengetahui namanya disimpan kemas dalam ruangan paling istimewa untuk dihuni, yakni dalam doa-doa orang lain. 

tujuhbelas,   
iya, bahagia itu sungguh subjektif pada setiap orang. ia bergantung kepada siapa yang sedang mencarinya, bagaimana kondisi hati mereka ketika mencarinya, dan di mana mereka mencarinya. apa yang menurut kita adalah kebahagiaan, mungkin tidak termasuk dalam daftar kamus bahagia orang lain. begitu juga, sesuatu yang nampak sederhana, perkara yang menurut kita biasa-biasa saja, mungkin adalah kebahagiaan besar untuk orang lain. begitulah, bahagia itu sungguh subjektif jika mahu ditanyakan pada setiap orang. justru, kerana bahagia itu sungguh subjektif, kita tidak perlu pusing memikirkan bagaimana untuk menjadi bahagia. bahagia tidak punya skema khusus. kita bebas untuk menjadi bahagia versi kita sendiri. jangan pernah mahu bahagia kita dikongkong oleh pandangan atau cakap-cakap orang lain. mereka dengan bahagia definisi mereka. kita juga dengan bahagia definisi kita sendiri. setuju ya? 

tujuhbelas,  
sebenarnya, menjadi manusia bahagia tidaklah sukar. setelah kita yakin bahawa setiap orang memiliki definisi bahagia masing-masing, apa yang kita perlu yakini seterusnya pula ialah, ada banyak hal-hal kecil yang mampu menjadi tunas bunga kebahagiaan dalam taman hati kita yang mungkin sedang murung. andai saja kita mahu memberi perhatian kepada perkara-perkara halus dan seni yang berlintas langsung di sekeliling kita, pasti kita akan menemukan pelbagai hal yang indah. perhatikan liuk-lentuk hujung batang pepohonan yang menari dan jatuhan dedaunan kering dari dahannya, ditiup angin yang tidak kelihatan. perhatikan senyuman gembira bersahaja orang-orang yang tidak kita kenali meski dalam kepenatannya berkerja seharian. perhatikan keindahan bunga mekar dari pohon yang tumbuh di tempat-tempat yang tandus seperti di rekahan konkrit tepian jalan. perhatikan kata-kata dalam tulisan orang yang gigih bangkit dari jatuhnya. perhatikan cahaya matahari yang tetap akan menembusi sampai ke bumi meski betapa banyak awan mendung yang menutup gelap ruangan langit. cubalah perhatikan hal-hal seperti itu. tidak butuh masa yang banyak, cuma butuh pandangan yang lebih peka, seni, luas dan mendalam. dengan latihan yang berterusan, pasti akan mahir nantinya.

tujuhbelas, 
bukahkah Tuhan terlebih dahulu telah mendefinisikan 'bahagia' yang sebenar? di mana lagi kalau bukan dalam kitabNya; al-quran. ya, kamu tahu kan bagaimana ayatnya? ya, yang itulah; dalam surah ke-tiga belas, pada ayat ke-dua puluh lapan. kamu benar. jelas kan? hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. itulah kebahagiaan; hati yang tenang, kan? nah, kembalikan semua fikiran dan perhatian kita kepada Tuhan. cari dan temukanlah 'ayat-ayat' Tuhan pada setiap hal-hal halus dan seni yang berlintas langsung di sekeliling kita. pada perkara-perkara kecil ini, rasakanlah kebesaran Tuhan yang maha mampu mengatur alam dengan saksama. saksikan betapa Tuhan itu maha mengasihani, menyayangi dan pemurah kepada setiap hambaNya, sentiasa mahu menerima taubat dan sentiasa menjamin rezeki buat kita. hayati betapa indahnya Tuhan yang menciptakan segala yang ada di dunia ini termasuklah manusia-manusia indah yang kita sayangi; ibu bapa, keluarga dan teman-teman baik kita.

... 

hanya setakat ini yang aku mampu kongsikan pada naskhah ke-tujuh ini. sungguh, masih banyak celanya berbanding baiknya tulisan ringkas ini. kurang lebihnya, aku mohon maaf atas setiap kata-kataku dan semoga Tuhan mengampuni dosa-dosa kita. hidup akan terus berjalan selagi kita belum disapa izrail atau matahari bangun dari barat. sehingga itu, kita akan sentiasa berada dalam dewan peperiksaan, diuji dengan pelbagai persoalan. oleh itu, mahulah kita agar sentiasa belajar. kita masing-masing pernah melayari lautan dan terbang di langit kehidupan yang berbeza. kita juga, masing-masing pernah merasakan kedinginan hujan dan kepanasan matahari yang berbeza ketika melalui itu semua. semestinya, ada hal yang berbeza yang telah kita masing-masing temui di sepanjang itu. aku mohon, ajari aku jika ada sesuatu yang aku tidak tahu dan kau tahu tentangnya. kita dijadikan dengan segala perbezaan dan melalui hal yang berbeza dalam perjalanan hidup adalah agar kita saling belajar kemudian melengkapi kekurangan masing-masing, kan? sampai jumpa lagi di pertemuan seterusnya.

sekian.
 | tujuh belas mei dua ribu enam belas. 

2 comments:

  1. Bahagia tu berpaksi pada yg satu, Sang Pencipta, andai kita temukan duka mgkn itu jalan pada bahagia yg abadi...andai saja kita selalu bisa pasrah..

    ReplyDelete