Saturday, February 28, 2015

seindah bougainvillea 05.




   Alhamdulillah. Sudah pun berlalu seminggu sejak hari Mak Senah pergi menghantar Man ke sekolah barunya. Hari itu Cikgu Nur menghantar mereka berdua dengan kereta kancilnya. Dan Cikgu Nur juga yang membantu menguruskan proses pendaftaran Man di sana.

   Mak Senah melalui hari-hari biasanya seorang diri. Seawal pagi dia keluar mengayuh membawa makanan bungkus untuk dijual di luar pagar sekolah. Petangnya berehat di rumah bersama pokok-pokok bunganya, membersihkan apa yang patut sebelum pergi ke kedai untuk membeli barang masakan yang sudah kurang. Malamnya pula usai solat isya', menyiapkan barang jualan untuk hari esok. Kalau hari cuti sekolah, Mak Senah datang melawat jiran-jirannya dan jika ada kenduri dia pasti hadir membantu apa yang patut di dapur.

   Sunyi?

   Rindu?

   Siapa yang boleh menipu tentang hati dan perasaan seorang ibu. Apalagi untuk seorang ibu yang ada cuma satu-satunya anak lelaki. Apalagi untuk seorang ibu yang tinggal sendirian tanpa suaminya. Tapi Mak Senah sudah berjanji kepada kepada Man bahawa dia tidak akan bersedih lagi di hari kemudian untuk keputusan yang mereka pilih bersama ini. Bahkan Mak Senah sudah berjanji pada dirinya sendiri agar jangan pernah meragukan takdir Tuhan, yakin bahawa dia dan Man akan sentiasa berada di bawah perhatianNya. Dia telah bertekad untuk tetap kuat.

  Rutin antara maghrib dan isya' Mak Senah tetap dijalaninya seperti biasa meski kali ini tanpa Man yang berada di hadapan mengimamkan solat mereka, meski dia tidak lagi mengaminkan bacaan doa daripada Man yang sentiasa terselit namanya dan nama arwah suaminya, meski tanpa dia dan Man membaca Al-Quran bersama, memperbetuli bacaan masing-masing. Ya, kali ini semua itu dilakukannya seorang diri. Solat sendirian. Berdoa sendirian. Membaca Al-Quran sendirian.

   Tapi, malam itu Mak Senah tidak lagi kuat untuk menampung rindunya. Hari ini dia baru tersedar bahawa bebanan rindu yang dipikulnya sudah berganda dua. Rindu berat pada arwah suaminya sudah ditambah dengan rindu pada anaknya. Sungguh, dia tidak pernah menduga hatinya akan jadi sedu seperti ini pada hari dia memutuskan untuk melepaskan Man. Ternyata dia belum cukup kenal dengan hatinya sendiri.

   Sungguh bersendiri dalam kesukaran beginilah manusia akan lebih dekat kepada Tuhannya, merasakan diri sungguh lemah tidak punya kuasa.

   Sejadah hijau lusuh yang sudah dilipat dua, dibukanya kembali. Sejadah yang telah banyak menyambut dan menampung air mata Mak Senah ketika dia hanyut dalam sujud panjangnya. Sejadah yang saban waktu mendengar luahan sedu, permintaan-permintaan penuh rendah diri, dan pujian syukur Mak Senah kepada Tuhan. Sejadah yang berkongsi cerita suka duka Mak Senah sedari hari pertama dahi Mak Senah menyentuhnya. Kisah hidup Mak Senah ada tersimpan kemas pada sehelai sejadah.

   Pada malam ini sekali lagi sejadah hijau lusuh akan menjadi peneman Mak Senah mengadu dan meminta pada Tuhannya. Sejadah hijau lusuh juga sudah cukup kering untuk terus menerima hujan air mata daripada wajah cekal itu.

   Dan Mak Senah pun mengangkat dua tangan untuk takbiratul ihram.

   Allahu akbar..

   Tapi, belum pun sempurna kedua telapak tangannya bertemu di atas dada, Mak Senah berhenti. Air matanya mengalir lebih awal. Dia hilang fokus. Dicubanya lagi untuk mengangkat takbir. Sekali lagi, ia tidak dapat disempurnakan. Mak Senah menatap sejadah. Menyeka air matanya sendiri. Tarik nafas sedalamnya dan melepaskan perlahan, mahu menenangkan diri.

   Sekali lagi, diangkat dua tangannya ke paras bahu.

   Allahu akbar..

   Ah, akhirnya Mak Senah mengaku kalah. Dia masih belum mampu. Dia terus saja merebahkan tubuhnya di atas sejadah hijau lusuh. Airmata yang tadi ditahan-tahan agar tidak jatuh, terus saja mengalir laju membasahi telekung putih dan sehelai sejadah yang tahu benar apa yang ditanggungnya.

   Dalam sedu Mak Senah cuba bangun menadah tangan, berdoa.

   "Ya Allah, ujian apakah ini? Aku sudah tidak mampu menyempurnakan solatku. Aku tertahan dengan beban cinta dan rindu. Apakah aku benar menyimpan cinta dan rindu ini?  Sungguh aku tidak tahu.. Ampunkan dosaku ya Allah. Ampunkan dosaku.."


[done 05. nanti disambung lagi..]
_episod 4
_episod 3
_episod 2
_episod 1

No comments:

Post a Comment