Showing posts with label buat tujuhbelas. Show all posts
Showing posts with label buat tujuhbelas. Show all posts

Monday, December 14, 2020

anam cara.

 
 
 
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 love had a thousand shapes.
 
toi et moi.
you and me forever.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


 
 
 
 
 
 ___
*happy first anniversary ummi! --abi. :)

Friday, April 17, 2020

april tujuhbelas.

















thank you for being happy, together with me.
thank you for being sad, together with me.
thank you for being okay, together with me.
thank you for being patient when things get hard, together with me.
thank you for being weird, together with me.
thank you for laughing at my lame jokes, together with me.
thank you for going through everything, together with me.
thank you for living here, together with me.

i enjoy doing this life, together with you.

























































__
selamat ulang tahun, syurga. :)

Monday, October 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (xii).






bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. semoga aku, kau serta sesiapa pun yang sedang membaca ini, perjalanannya akan redup dan nyaman di bawah lindungan awan-awan Tuhan.
saat menjadi minit. minit menjadi jam. jam menjadi hari. hari menjadi bulan. bulan menjadi tahun. begitu juga, huruf menjadi kata. kata menjadi ayat. ayat menjadi paragraf. paragraf menjadi surat. surat menjadi surat-surat. beginilah waktu dan tulisan ini berjalan. rasanya seperti baru semalam aku termenung di atas meja tulis bersama beberapa helai kertas kosong dan sebatang pena. berfikir sendiri, entah bagaimana aku ingin memulakan semua ini, entah apa yang aku akan ceritakan di sini, entah kapan aku akan berhenti kerana lelah atau mungkin kehilangan arah. justru, hari ini hampir semua kertas itu penuh dengan dakwat contenganku sendiri. mahu dikata waktu berjalan begitu cepat, tidak juga. mahu dikata waktu berjalan perlahan, ah, tidak tepat juga. mungkin memang begitu, waktu tidak akan pernah diukur tepat. setiap sesuatu yang hilang pasti boleh ditemukan kembali, pasti ada jalannya untuk dicari. tidak, ia tidak hilang sebenarnya, hanya kita yang tidak dapat melihatnya di depan mata kerana ia berada di tempat yang lain, yang jika kita berada di tempat itu, pasti kita akan menemukannya kembali. orang yang pergi selamanya, ketika melepaskan nafas terakhirnya di dunia, yang kita sebut-sebut sebagai kehilangan, pun sejatinya tidaklah hilang. kita akan bertemu lagi dengan mereka di kehidupan yang benar-benar terakhir nanti; akhirat. tapi, tidak masa yang hilang. masa adalah kehilangan sejati. masa adalah kerugian sejati. tidak akan ada jalan untuk menemukan masa yang hilang sia-sia di belakang kerana masa sentiasa bergerak ke hadapan. maka, jagalah sebaiknya masa yang dikasi Tuhan untuk kita. 

...


tujuhbelas, 
kalau ada membaca setiap naskhah sehingga yang ini, masih ingat lagi pada naskhah ke-lima aku bercerita tentang foto-foto langit yang aku tampalkan pada setiap naskhah bermula dari naskhah pertama hingga ke-lima? nah, kali ini aku mahu bercerita tentang foto yang aku tampalkan pada naskhah ke-enam hingga ke-sebelas. mungkin ini cerita terakhirku bersama surat-surat yang entah apa-apa ini. ya, yang semua itu, foto dua buah bangunan yang sedang dibina orang-orang. foto yang entah apa-apa kan? haha. jelek dan langsung tidak aestetik. oh ya, bangunan itu sudah pun siap struktur asasnya, tinggal lagi ditambah servis-servis asas dan kekemasannya. dan tidak lama lagi akan menjadi tempat orang-orang untuk hidup berteduh. apa-apa pun, aku mahu bercerita tentangnya di naskhah akhir ini. akan dibaca atau tidak, ah, terpulang lah. saban naskhah yang aku tulis bermula naskhah ke-enam, aku menampalkan foto binaan yang sedang membangun tinggi. aduh, namanya juga bangunan, mestilah ia bangun dan berdiri meninggi. ianya terbahagi, blok satu dan blok dua. begitu. keduanya sama-sama masing-masing sedang membina diri. bermula daripada tanah lapang yang kosong, mereka mula tumbuh perlahan-lahan, dan seiring waktu, tingkatan demi tingkatan mereka capai. sehinggalah hari ini, mereka berjaya mencapai tingkatan tertinggi yang mereka cita-citakan. sungguh, perjalanan ke tingkat tertinggi itu tidak selesai dalam satu malam yang singkat. ia adalah perjalanan panjang, yang sangat panjang. 

tujuhbelas, 
tentang bangunan ini, orang-orang asing yang kagum(mungkin) melihat ianya berdiri teguh dan tenang pada luarannya, tidak akan pernah tahu seperti apa kisah di dalamnya sepanjang ia perlahan-lahan tumbuh meninggi. orang-orang tapak datang dan pergi sepanjang pembinaan itu. ada yang datang sebentar, kemudian bertemu realiti kisah dalaman bangunan ini seperti apa, akhirnya memilih untuk keluar, meninggalkan dan mencari tapak lain yang mereka lebih senangi. ada juga yang datang sedikit lebih lama, tapi, akhirnya memilih untuk keluar juga atas alasan mereka ingin mendapatkan cabaran yang baru dan tapak ini tidak lagi sesuai buat mereka, meski ianya belum lagi selesai siap. juga sudah tentu, masih ada yang kekal bersama terus membina, yang yakin bahawa bangunan ini pasti akan mencapai ketinggiannya meski seberapa rumit dan komplikated laluan ke atas itu. dua buah bangunan, yang setiap satunya memiliki kisahnya, masalahnya dan konfliknya sendiri. masing-masing melalui jalan dan cara yang berbeza untuk sampai ke tingkat tertinggi mereka. sepanjang perjalanan naik, blok dua sentiasa di hadapan, ia memanjat lebih tinggi mendahului berbanding blok satu. ya, blok dua tiba dulu di puncak sebelum blok satu sampai kemudian. nah, itu terjadi atas perbagai kombinasi situasi sepanjang perjalanan pembinaannya. dan sekarang, bila atau yang mana sampai dulu bukan lagi cerita utamanya kerana kedua-duanya sudah pun berjaya mencapai tingkat itu dan sama-sama ada berdiri di puncak ketinggian yang sama.

tujuhbelas, 
itulah kisah yang aku baca setiap hari sepanjang naskhah ini aku tulis setiap bulan. bermula dari naskhah pertama sehingga naskhah yang ini. bermula ketika aku masuk menyertai kumpulan orang-orang tapak yang membinanya. aku menyertai mereka ketika sudahpun lebih daripada sepertiga struktur asas telah siap terbina sehinggalah struktur itu siap sepenuhnya hari ini. kisah yang aku baca, seluruhnya adalah kisah tentang tumbuh. kisah tentang bangkit dan membangun. kisah tentang dua identiti yang sedang berusaha tumbuh tinggi menggapai langit. kisah tentang dua identiti yang sedang gigih membangunkan dirinya. dua identiti yang melalui perjalanannya masing-masing menuju destinasi yang sama. aku kira, surat-surat tujuhbelas ini tumbuh dan membangun bersamanya. dan seperti aku katakan, yang baru selesai pada bangungan itu adalah struktur asasnya. perjalanannya masih lagi ada berbaki ke depan sebelum ia benar-benar bersedia untuk menjadi tempat naungan orang-orang hidup berteduh di dunia. dari semasa ke semasa, struktur itu perlu disemak semula dari tingkat paling bawah ke tingkat paling atas. diteliti dan diperhatikan semula setiap satunya. jika ada yang tersilap, maka diperbaiki. jika ada yang terkurang, maka ditambah. begitu. mungkin naskhah ini juga harusnya seperti itu untuk aku yang menulisnya. surat-surat tujuhbelas. sudah pun sampai sehingga ke naskhah dua belas ini. cukup dua belas bulan, yakni setahun. sekarang adalah untuk memulai semula membaca daripada naskhah pertama. mencari apa yang kurang, apa yang silap, apa janji yang belum ditunaikan, dan apa kata yang belum sampai kepada perbuatan. semoga aku dan mungkin kau atau sesiapa yang membaca bisa belajar sesuatu, kalaupun tidak bertemu perkara-perkara yang baik daripada naskhah-naskhah ini, tapi belajarlah daripada kesilapan yang telah dilakukan oleh sang penulisnya dalam naskhah-naskhah ini.

tujuhbelas, 
cinta tidak pernah hadir tiba-tiba lalu menjadi sebesar gunung, datang menghempap manusia. cinta itu adalah pohon. pohon bermula dengan benih. cinta bermula dengan benih kecil. setiap orang menumbuhkan cinta masing-masing dengan benih masing-masing. ada yang menumbuhkan cinta daripada cita-cita mereka, ada yang menumbuhkan cinta mereka daripada pertemuan ringkas beberapa menit dengan sesuatu atau seseorang, ada yang menumbuhkan cinta daripada kesedihan atau kegembiraan mereka di masa lalu, ada yang menumbuhkan cinta daripada tulisan-tulisan orang sembarangan, ada yang menumbuhkan cinta daripada keinginan untuk melindungi dan dilindungi sesuatu atau seseorang, dan ada pula yang menumbuhkan cinta hanya sekadar alasan mereka ingin tahu cinta itu seperti apa. begitu, ada jutaan benih-benih yang ditemukan pelbagai orang untuk menumbuhkan pohon cinta mereka masing-masing. kemudian dari benih kecil inilah, mereka gigih menyirami, membaja, menjaga segala kebutuhannya untuk ia tumbuh subur. ia adalah proses panjang yang berjalan seiring masa, keberanian dan kesabaran. jika berjaya, pohon itu pasti akan membesar, dari akar mengeluarkan batang, batang menumbuhkan ranting, dari ranting muncul dedaunan, di antara rimbun dedaunan mekarlah bunga dan daripada bunga ia bertukar menjadi buah. ketika itu yang paling manis bukanlah menikmati buah yang telah masak ranum, justru, ia adalah mengimbau kembali perjalanan panjang untuk mendapatkan buah itu, sebuah proses yang mendewasakan.

...


naskhah ke-dua belas, yang terakhir. ya, ini naskhah akhir. menurutku, tulisan tidak akan pernah mati. setiap tulisan punya peluang untuk terus hidup. seperti manusia dan tumbuhan yang saling bertukar oksigen dan karbon dioksida untuk terus hidup, tulisan pula bertukar nafas dengan pembacanya untuk terus hidup. sepanjang itu, penulisnya pula yang akan menangung bayaran untuk tulisan itu terus hidup. jika tulisan itu baik, maka keberuntunganlah yang akan diraih penulisnya. namun, jika tulisan itu tidak baik, maka berhutanglah penulisnya dengan hal-hal buruk yang tersebar dari tulisan itu. sungguh, aku sentiasa merasakan bahawa aku adalah penulis yang banyak berhutang dengan tulisanku. pena ini terlalu berani untuk dilarikan sesukanya oleh jari-jari angkuhku. maka, mungkin yang terbaik sekarang adalah melepaskan pena ini setelah menyelesaikan naskhah ini. berhenti menulis untuk membaca, mencari nafas baru.

sekian.
 | tujuh belas oktober dua ribu enam belas.

Saturday, September 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (xi).






bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. too kaisa hai?
masa dan waktu yang diberikan setiap hari kepada dunia dan penghuninya adalah sama. dua puluh empat jam. seribu empat ratus empat puluh minit. lapan puluh enam ribu empat ratus saat. sama, tidak pernah terlebih tidak pernah pula terkurang. justru, aku, kau, dia, kalian, mereka dan kita semuanya melalui jumlah masa yang sama. yang tidak sama adalah apa yang terisikan dalam ruang waktu itu. dalam ketidaksamaan itulah ada yang kita namakan sebagai 'kesempatan'. setiap orang memiliki kesempatan yang sejatinya hanya milik mereka, yakni, seperti mereka memiliki hati mereka sendiri. pertemuan orang-orang hanya akan terjadi apabila dua atau lebih kesempatan berada di sela waktu yang sama dan pemilik kesempatan itu mahu mengisi(berkongsi)nya dengan pertemuan. dalam menjalani rutinitas kehidupan seharian, semoga kesempatan yang kita miliki terisi dengan hal yang baik-baik dan pertemuan yang baik-baik dengan orang yang baik-baik untuk kita belajar menjadi lebih baik.

...


tujuhbelas, 
jika mahu bercerita tentang pengorbanan, nah inilah waktunya. kisah agung perihal pengorbanan begitu dekat sekali dengan kita ketika ini. iya, yang itu. kisahnya nabi ibrahim as dengan anaknya nabi ismail as. tapi, aku tidak akan bercerita semula kisah itu di sini. aku yakin, kau juga tahu kisahnya, seperti yang diabadikan pada surah tiga puluh tujuh, ayat sembilan puluh sembilan sehingga seratus sebelas. peristiwa hebat beribu tahun lalu yang menjadi ibadah kita hari ini. justru, ibadah bukan hanya ritual semata. setelah melaksanakan ibadah, nah selesai, kita sudah berpahala. tidak, belum selesai lagi. ibadah datang dengan ibrah. lagi-lagi ibadah yang datang dengan kisah besar dan peristiwa agung bersamanya.

tujuhbelas, 
mari membaca kisah nabi ibrahim as dan nabi ismail as dengan kacamata cinta. begitu, adalah cinta yang saling dimiliki mereka. cintanya seorang bapak kepada anak dan cinta seorang anak kepada bapaknya. cinta yang ikhlas. cinta yang saling berbalas. cinta yang suci. tapi, justru ada cinta lebih besar daripada itu yang mereka miliki. itulah cinta mereka berdua kepada Tuhan. cinta Tuhan adalah cinta nombor satu, tidak ada cinta lain di atasnya. justru, Tuhan menguji cinta yang dimiliki oleh nabi ibrahim as dan nabi ismail as. apakah cinta sesama mereka lebih besar daripada cinta mereka kepada Tuhan. dan, kesudahan itu kita juga tahu bagaimana kan? bahawa ternyata cinta mereka kepada Tuhan berada paling atas, mengatasi cinta antara mereka. nabi ibrahim as dan nabi ismail as, mereka korbankan cinta antara mereka. mereka berkorban untuk cinta yang lebih agung.

tujuhbelas, 
ya, cinta adalah hal fitrah untuk dimiliki manusia. jatuh cinta, mencintai dan dicintai. kita jatuh cinta pada pelbagai perkara. kita mencintai hal-hal tertentu. dan mungkin kita dicintai dengan sesuatu. tapi, sebelum itu, ketahuilah bahawa kita sedang dicintai Tuhan. ya, Tuhan sentiasa mencintai hamba-hambaNya. cuma, kita saja mungkin yang belum benar-benar jatuh cinta pada Tuhan. adalah tidak salah untuk memiliki rasa cinta kepada yang lain. tapi, cinta Tuhan adalah cinta nombor satu. Tuhan akan menguji cinta yang dimiliki manusia. Tuhan justru cemburu ketika ada cinta lain yang mendahului cintaNya. sebesar mana, semulia mana, sesuci mana cinta yang dimiliki antara manusia, tidak akan ada yang bisa menurunkan cinta Tuhan daripada anak tangga paling atas. tidak ada. 

tujuhbelas, 
ah, sepertinya  sudah terlalu banyak aku menuliskan kata cinta di sini. maaf, kalau itu memualkan. ya, cinta bukan perkara main-main. benar, cinta bukan hanya penyedap kata dan cerita. sungguh, cinta bukan sekadar pemanis puisi dan lirik. cinta punya pemaknaan yang lebih luas dan dalam. sepertinya tidak akan habis orang-orang mahu mendefinisikan cinta menurut fikiran mereka masing-masing. terlebih sering, definisi itu dirujuk pada kamus nafsu dan duniwai semata. aku juga tidak terlepas daripada itu. aku sungguh masih sedang belajar tentangnya. jika ditanya cinta yang sempurna itu apa atau bagaimana, jawabanku ialah  ia adalah tentang susun atur cinta-cinta yang kita miliki. bebaslah kita untuk jatuh cinta, mencintai atau membenarkan diri dicintai. tapi, pastikan cinta Tuhan ada di tingkat paling atas, menaungi semua cinta-cinta lain itu.

...

naskhah ke-sebelas. naskhah ini sudah masuk kepada kiraan belas rupanya. kasihan pena ini, dipaksa berlari sejauh ini oleh jari-jari egoisku. pasti pena ini kepenatan. aduh, sedikit lagi ya, sang pena, kamu pasti akan aku rehatkan nanti. tidak sang pena, kita tidak sedang berlari untuk mencari penghujung langit. meski pada pandangan kita, langit sepertinya punya penghujung di seberang sana. sungguh itu hanyalah bumi ini yang berbentuk sfera, yang membuatkan langit jatuh di penghujung pandangan mata kita. tidak juga sang pena, kita tidak sedang berlari di atas lautan yang ada penghujungnya, yang pasti akan ada daratannya. mustahil kita bisa berlari di atas permukaan air yang lembut ini. kita sedang menulis di atas kertas, sang pena. bertahanlah ya untuk sekian jarak yang berbaki di hadapan ini. temani aku hingga semua ini selesai.

sekian.
 | tujuh belas september dua ribu enam belas.

Wednesday, August 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (x).






bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. wie gehts?
setiap manusia sedang berjalan di garis masa mereka masing-masing. setiap orang adalah pejalan waktu di atas garisan yang mereka lalui sendiri. kita akan bertemu dengan empat momen dalam garis masa kita. pertama, perkara yang salah pada waktu yang salah. kedua, perkara yang tepat tapi pada waktu yang salah. ketiga, perkara yang salah datang pada waktu yang tepat. dan keempat, perkara yang tepat pada waktu yang tepat. semuanya adalah takdir yang sengaja diatur Tuhan di atas perjalanan garis masa kita, tidak lain untuk kita belajar dan mendewasa. terkadang kita merasa tertekan dan sedih kerana melihat orang lain sudahpun bertemu momen keempat mereka, sedangkan kita masih berlegar-legar di tiga momen lain itu. padahal, kita lupa, setiap orang melalui garis masa mereka masing-masing. nah, tenanglah menjalani hidup dengan meyakini bahawa urusan kita adalah dibawah aturan Tuhan yang maha mengetahui dan maha bijaksana.

...

tujuhbelas, 
manusia dan rahsia. menurutku peribadi, setiap orang pasti memiliki rahsia-rahsia yang disimpannya sendiri. tidak ada yang mengetahuinya selain dia dan Tuhan. itu tidaklah akan diceritakan kepada sesiapa, meski berapa besar kepercayaannya kepada orang-orang yang baik itu. kalaupun diceritakan, pasti bukan kisah yang sebenar atau belum selesai, itu cumalah cerita di permukaannya, masih banyak yang disimpan jauh dan dalam ke dasarnya. tapi, ini bukanlah soal percaya atau tidak. ini hanya soal sikap dan sifat ke-privasi-an yang sememangnya fitrah untuk dimiliki oleh setiap manusia. nah, semoga Tuhan menerima amal-amal rahsia, menjawab doa-doa rahsia dengan jawapan yang baik menurutNya, menghapus airmata-airmata rahsia, mengampunkan dosa-dosa rahsia dan mengamankan ketakutan-ketakutan rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali diri kita sendiri dan Dia.

tujuhbelas, 
hidup terkadang menjadi sangat ironi. pengajaran terkadang datang dalam cara yang tidak kita senangi, bukan dalam bungkusan kotak terbalut indah dengan reben merah berkilau dan berbau wangi. datangnya dengan bunyi yang keras dan menyesakkan dada. terkadang kita harus merasa kehilangan untuk menyedari dan lebih menghargai apa yang sedia ada di sekeliling kita, tapi tidak pernah kita endahkan. kadang apa yang kita bina, apa pun itu, harus hancur habis dahulu agar kita tahu bahawa binaan kita itu asasnya masih belum kukuh, kita harus membinanya semula dengan lebih teliti dan berhati-hati agar ia lebih kuat dan utuh, agar ia mampu menampung apa pun beban(ujian dan tanggungjawab) yang bakal dipikulnya. kita tahu, jika binaan dengan asas yang goyah, terus saja dinaik-tinggikan, semakin meningkat semakin tidak stabil dan pastinya semakin parah jika tumbang. ya, hikmah tidak selalu datang dalam cara yang mudah, terkadang kita harus berfikir panjang dan mendalam untuk mengetahuinya.

tujuhbelas, 
setiap daripada kita memiliki masalah yang berbeda. setiap manusia menanggung kegusaran yang berbeda. setiap orang, di fikiran dan hatinya ada menyimpan perkara-perkara kusut yang mahu diselesaikannya segera agar lebih lapang. yang kelihatan tenang di luar, mungkin ada taufan yang sedang dilaluinya di dalam fikirannya. yang senyumnya paling ceria, mungkin di dalam hatinya sentiasa banjir dengan tangisan. tapi, walaupun kita menanggung hal-hal berat yang sangat peribadi dan sangat masing-masing, kita adalah hamba kepada Tuhan yang sama. alangkah indahnya ketika kita sama-sama saling mendoakan agar Tuhan memudahkan urusan kita sesama.

tujuhbelas, 
memang mudah untuk terlihat buruk dan lemah. tapi butuh seumur hidup untuk terlihat hebat dan membanggakan. namun, hidup bukanlah soal menyamankan pandangan dan perkataan orang lain terhadap kita. bebaslah menjadi diri kita sendiri tanpa perlu hidup terkongkong dalam sangkar pandangan dan perkataan orang lain. ya, menjadi kuat dan indah itu perlu untuk melalui perjalanan hidup yang semakin panjang dan berliku ini. justru, jadilah sosok yang kuat dan indah, bukan untuk sesiapa atau untuk apa-apa, tapi, untuk diri sendiri, ikhlas kerana Tuhan.

...

naskhah ke-sepuluh, untuk diriku dan untuk sesiapa pun yang membaca. ada waktu-waktu dalam hidup, kita akan memandang ke belakang, melihat betapa jauhnya perjalanan yang sudah kita tempuhi, apa pun perjalanannya itu, dan kita senang kerana kita tidak menyerah ketika putus asa adalah satu-satunya pilihan yang ada. hidup di dunia adalah petualangan. kitalah petualangnya. maka, menjadilah petualang yang bebas tapi terpandu, kerana kita akan pulang. pulang kepada Tuhan. seperti bebasnya kapal layar berlayar di lautan, menempuh ombak dan badai, tapi sentiasa ingin pulang ke pelabuhan. seperti bebasnya burung di langit, terbang ke sana sini mengemudi angin, tapi sentiasa ingin pulang ke sarangnya. semoga dalam kehidupan sementara ini, kita tidak menjadi hamba dunia; bebas tapi tidak merdeka, tapi jadilah kita hamba Tuhan; sentiasa bebas dan merdeka. walau apa pun yang berlaku dalam hidup ini, kita pasti akan pulang kepada Tuhan.

sekian.
 | tujuh belas ogos dua ribu enam belas.

Sunday, July 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (ix).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. cómo estás?
masa dan jalanan adalah dua hal yang serupa. tapi, orang-orang melihat masa atau jalanan dalam dua dimensi yang berbeda. ada yang melihat masa dan jalanan sebagai batas pemisah. pemisah antara destinasi. kata mereka, masa memisahkan hari ini dan besok. manakala jalanan, menurut mereka, memisahkan antara toko buku dan kedai kopi. lalu, ada yang menolak untuk melalui masa dan jalanan itu. aku mahu berada pada kelompok kedua. yang melihat masa dan jalanan sebagai penghubung. masa menghubungkan hari ini dan besok. jalanan menghubungkan toko buku dan kedai kopi. dengan melalui masa dan jalanan menuju tujuan, kita akan bertemu pelbagai hal yang membuat kita belajar sesuatu yang baru. akhirnya, hidup di dunia bukanlah sekadar destinasi-destinasi yang kita pilih, tapi tentang perjalanan dan pengembaraan yang kita lalui menuju ke destinasi itu. masa dan jalanan yang dilalui adalah sangat masing-masing untuk setiap orang. justru, masa yang sama dan jalanan yang sama akan mempertemukan orang-orang di persimpangan yang menyatukan laluan mereka ke hadapan.

...


tujuhbelas, 
tentang memberi harapan. tentang berjanji. ya, janji bukan sekadar kata-kata dalam percakapan atau tulisan. tapi bagaimanakah kita ingin menyampaikan janji kita kepada orang lain kalau bukan melalui kata-kata? ah, mungkin ada cara lain yang aku belum tahu. begitu banyak orang-orang berjanji untuk itu dan ini. sepertinya sangat mudah untuk orang-orang berbuat janji. sepertinya setiap janji itu terlalu ringan untuk diperkatakan. ya, janji adalah cara untuk menunjukkan bahawa kita serius untuk memperjuangkan sesuatu. tapi, marilah menjadi lebih bijaksana dan matang dalam berjanji. menjadi lebih bijaksana dan matang dengan kata-kata kita dalam berjanji. kita boleh berjanji untuk dan atas apa-apa pun. tapi, jangan berjanji dengan kata-kata yang bernada seperti "kita pasti akan mendapatkannya". tapi berjanjilah dengan kata-kata yang nadanya adalah "kita pasti akan -berusaha semampu kita untuk- mendapatkannya". ada bezanya kan? kerana, yang menentukan setiap sesuatu itu berlaku atau tidak bukan kita, tapi Tuhan. jika Dia mengizinkan, maka terjadilah. jika tidak, maka tidaklah. yang kita mampu lakukan hanyalah berusaha, berdoa dan bertawakal. itu yang kita belajar daripada kalimah 'insyaAllah' kan? begitu, sandarkan setiap janji pada takdir Tuhan agar kita tidak mudah kecewa dan mengecewakan orang lain.

tujuhbelas, 
bahawa semua manusia tidak terlepas daripada berbuat silap, berlaku salah. kita tersilap dalam memilih keputusan. kita tersalah dalam tindakan. kita tersilap dalam kata-kata dan tulisan. kita tersalah menilai orang lain. kita tersilap memahami orang lain. alangkah begitu banyak silap dan salah kita kepada diri sendiri, kepada orang lain dan kepada Tuhan. hakikatnya, tidak ada manusia yang sentiasa benar. orang-orang yang nampak baik dan suci juga adalah bekas pelaku salah, yang pernah tersilap. permohonan maaf yang paling baik adalah perubahan sikap. begitu, orang-orang menjadi lebih baik dengan menyedari, mengetahui salah dan silap yang terlanjur mereka lakukan, kemudian mereka ikhlas memohon maaf kepada diri mereka sendiri, kepada orang lain dan kepada Tuhan atas semua kesilapan dan kesalahan itu. akhirnya, semua kesilapan dan kesalahan menjadi sebuah pengalaman yang akan mengajarkan banyak hal menuju masa-masa ke hadapan. sungguh, menyedari bahawa diri kita sedang berdosa adalah satu tanda bahawa Tuhan masih menyayangi kita, tanda kita masih memiliki iman. setidaknya kita tidak menjadi orang yang hidup, kemudian mati hanya dengan berfikir mereka tidak berbuat apa-apa kesalahan. sudah tentu, merasa berdosa saja tidak cukup. perlu ada taubatnya. semoga kita kekal dalam suluhan hidayah Tuhan.

tujuhbelas, 
sungguh, Tuhan tidak pernah menolak doa-doa hambaNya. cuma, cara setiap doa dijawab itu beda-beda. jawapan Tuhan tidak pernah kosong. ada doa yang segera dijawabNya dengan "ya", ada pula doa yang dijawabNya dengan "ya, tapi belum sekarang", dan ada pula doa jawapannya adalah "tidak, Aku ada sesuatu yang lebih baik untuk kamu". ya, Tuhan tidak pernah membiarkan kosong setiap tadah tangan kita kepadaNya. yakinlah bahawa setiap doa-doa kita didengar oleh Tuhan. dan yakinlah bahawa Tuhan pasti akan menjawab doa-doa kita dengan jawapan yang paling baik menurutNya, bukan yang baik menurut kita. Tuhan maha mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui apa pun. bersabarlah sebentar untuk doa-doa yang belum kita terima jawapannya. Tuhan sedang merencanakan sesuatu untuk doa-doa itu.

tujuhbelas, 
aku menemukan sesuatu dalam pembacaanku yang aku kira adalah hikmah daripada sebuah pengalaman. pertama, jangan berjanji ketika kita sedang gembira. kedua, jangan memberi jawapan ketika kita sedang marah. dan ketiga, jangan membuat keputusan ketika kita sedang bersedih. aku tidak tahu bagaimana kau akan memahami ini, dan aku juga tidak tahu daripada mana ianya datang, tapi, sungguh aku menyedari bahawa hal ini adalah benar dan sebuah kebijaksanakan untuk dijadikan pegangan dalam hidup. lebih-lebih lagi setelah berlalu banyak hal dalam tempoh panjang sehingga hari ini. semoga selepas ini, hikmah datang dahulu sebelum kesabaran kita hilang. atau semoga kita kekal dalam kesabaran sehingga kita bertemu hikmah atas segala ujian yang kita lalui. sungguh, pengalaman adalah guru yang terbaik dalam menjalani hidup.

...

masih ada selonggok kertas putih yang tersimpan dan pena ini masih ada dakwatnya. nah, satu lagi naskhah tertulis. sesungguhnya, aku sedang mengutuk diriku sendiri setiap kali aku membaca tulisan-tulisanku, kerana, alangkah banyak kata-kata yang masih tersangkut sekadar tulisan di atas kertas, belum sampai kepada amal perbuatanku. hujan sedang turun lebat ketika naskhah ke-sembilan ini hampir habis ditulis. juga ada setin air kopi yang sudah habis separuh diteguk. ada tumpah sedikit. begitulah, tangan kanan bertukar-tukar antara pena dan tin kopi. sambil menulis sambil minum kopi. nasib saja tidak tertumpah ke atas kertas putih ini. belakangan ini, hujan sering turun di sini. mungkin cuaca seperti ini akan berterusan lagi untuk beberapa hari. dingin sekali. di luar langit masih gelap. matahari belum muncul. jika matahari muncul sebelum malam, pasti akan ada pelangi petang ini. apakah di sana sedang hujan juga?

sekian.
 | tujuh belas julai dua ribu enam belas.

Friday, June 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (viii).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. ni hao ma? 
mari belajar daripada penunjuk masa, penunjuk waktu. jarum-jarum waktu yang berputaran dalam lingkungan melengkapkan satu bulatan. pada jarum saat yang geraknya laju, pada jarum minit yang jalannya sederhana tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan, dan pada jarum jam yang hanya beranjak sedikit-sedikit. kita boleh memilih untuk menjadi jarum yang mana. mungkin menjadi jarum saat yang cergas dan lincah, meski langkah kecilnya tidaklah membawa makna besar, tapi ia menjadi penggerak untuk menggerakkan jarum-jarum yang lain. atau bisa menjadi sesederhana jarum minit yang berada di tengah-tengah, tetap juga bergerak dalam konsistensinya. atau cukup menjadi jarum jam, yang sangat sedikit geraknya hampir tidak kelihatan, tapi jika ia bergerak, justru akan membawa perubahan signifikan yang sangat besar kepada waktu. nah, memilihlah untuk menjadi jarum-jarum waktu, sama ada saat, minit atau jam. yang pentingnya kita tetap dan terus bergerak. kerana jarum waktu yang tidak bergerak adalah waktu-waktu yang mati, hilang jiwanya.

...

tujuhbelas,  
kita(mungkin) adalah manusia yang terperangkap(mungkin) dalam sebuah ruangan teka-teki yang sangat kompleks dan rumit untuk difahami apalagi untuk diselesaikan. bayangan daripada kisah masa silam yang sukar untuk hilang dan dilepaskan, mungkin kita memang masih tidak mampu(mahu) melepaskannya sekarang, lalu bayang itu membataskan langkah kaki kerana ia sentiasa menarik kita untuk menoleh ke belakang. pintu-pintu masa depan yang tidak diketahui akan membawa ke mana, membuatkan kita tidak yakin untuk membukanya. gambaran watak-watak abstrak pada dinding yang kita tidak jelas apa motifnya sungguh mengelirukan. nah, apakah memang tidak ada jalan keluar daripada semua ini? sebentar, jalan keluar itu sebenarnya ada menurutku. hakikat bahawa kita telah melangkah gerbang masuk ke dalam ruangan ini adalah bukti bahawa akan ada jalan keluarnya. setidaknya, kita boleh keluar semula melalui gerbang masuk itu kalaupun tidak bertemu gerbang keluarnya. cuma, yakinlah, yang memasukkan kita ke dalam ruangan teka-teki ini adalah Tuhan yang memegang takdir, dan pasti Dia memiliki perancanganNya yang khusus dan sempurna. mungkin setelah kita benar-benar belajar dalam ruangan ini atau bertemu jawapan sebenar atas segala persoalanNya, Dia akan menunjukkan jalan keluar. tetaplah berdoa mohon petunjuk.

tujuhbelas,   
ramadhan; alangkah indahnya bulan ini. dan alangkah beruntungnya untuk dipilih berada dalam bulan indah ini. kita memasuki bulan ini tepat pada waktunya. setelah perjalanan panjang yang sangat memenatkan hati dan fikiran, kita dipertemukan dengan ramadhan. perjalanan panjang yang melibatkan perang antara iman dan nafsu, ditambah pula dengan pujuk rayu syaitan. kita terhimpit di tengah-tengahnya, ditarik-tarik dari tiga penjuru. lalu, hadir ramadhan. alangkah cantiknya percaturan Tuhan. ketika salah satunya, yakni syaitan, ditolak keluar lalu himpitan dan tarikan itu terasa semakin longgar. yang tinggal hanya iman dan nafsu. nah, inilah masanya untuk menyelam ke dalam diri, mencari tahu apa sebenarnya yang tersimpan dalam dasar hati kita, apa sebenarnya yang kita mahukan, apa sebenarnya yang kita perlukan dan apa sebenarnya makna atas setiap apa yang telah diberikan Tuhan kepada kita. inilah masanya untuk benar-benar memiliki diri kita sendiri lalu berdiskusi dengan iman dan nafsu sendiri. bahkan ramadhan datang dengan waktu-waktu mustajab untuk kita menadahkan doa-doa kita. semoga Allah memberkati semua manusia-manusia ramadhan, dan semoga kita terpilih menjadi tetamu lailatul qadr. 

tujuhbelas,  
menurutku, kehidupan adalah 'puasa' panjang. puasa panjang ini bermula ketika kita lahir di dunia. lalu sepanjang hayat kita, kita berpuasa. sehinggalah nantinya kita akan berbuka setelah kita pulang bertemu Tuhan. ya, dunia menawarkan seribu satu nikmat yang begitu menggiurkan untuk diambil dan dimiliki. tapi, tidak semua nikmat ini akan berkekalan dan menenangkan selagi kita berada di dunia. kerana itu, kita berusaha untuk 'berpuasa' daripadanya. sudah tentu, puasa bukanlah mudah. ada cabarannya. ada ujiannya. ia butuh iman yang benar-benar mantap dan terus istiqamah; inilah yang kita masih cari dan usahakan untuk perbaiki setiap hari. sesekali kita akan jatuh tewas, istiqamah tidak pernah mudah, tapi jangan biarkan itu memadamkan semangat untuk terus berada dalam usaha menjadi manusia taqwa. semoga kehidupan kita di dunia akan menjadi seindah, seberkah dan setenang ramadhan, juga semoga kita akan bertemu syawal yang meriah dan menggembirakan di akhirat setelah berjaya melalui puasa panjang ini.

tujuhbelas, 
adalah impian dan cita-cita yang membuatkan manusia terus hidup dalam perjuangannya. dengan impian dan cita-cita yang jelas, mereka akan mencari jalan untuk tiba kepadanya. membuka denai dengan menebas semak-samun, meletakkan titi di atas aliran sungai antara dua tebing dan membina anak tangga untuk mencapai puncak tinggi. sebesar mana impian dan cita-cita itu, maka besar jugalah perjuangan yang dibutuhkan. bahkan sebenarnya, jauh terlebih awal sebelum manusia membina cita-cita dan impian mereka ketika di dunia, Tuhan telah pun menanamkan sebuah cita-cita yang paling besar dalam setiap manusia untuk digapai ketika mereka lahir ke dunia; itulah cita-cita untuk bertemuNya di syurga. nah, untuk terus berada dalam kehidupan yang terpandu, miliki dan teruslah berpegang pada impian dan cita-cita yang jelas, sama ada yang ingin dicapai di dunia mahupun di akhirat.

... 

naskhah kelapan. ya, naskhah ini masih bersambung lagi dan mungkin akan terus bersambung ke naskhah ke-sembilan, ke-sepuluh dan seterusnya. entah bila dan di mana akan berhenti. mungkin apabila pena ini kehabisan dakwatnya atau tiada lagi kertas kumal untuk diconteng. naskhah ini akan aku lipat-lipat menjadi perahu kertas jika bertemu laut dan aku lepaskan ia berlayar. meski tidak akan jauh, sebentar saja pasti akan basah dan tenggelam hilang. atau jika aku bertemu langit, naskhah ini akan menjadi lipatan kapal terbang kertas dan aku lepaskan ianya terbang. meski tidak akan pergi setinggi mana, sekejap saja akan hilang jatuh menjunam ke tanah. hmm, setakat di sini sajalah untuk naskhah ini dan terima kasih telah membaca sehingga ke ayat ini. sungguh, aku sedang menulis tentang diriku dan kepada diriku sendiri sebelum naskhah ini dibaca orang lain.

sekian.
 | tujuh belas jun dua ribu enam belas.

Tuesday, May 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (vii).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. kabare? 
sungguh, kita mudah untuk belajar nilai masa jika kita bertanya pada orang yang tepat. jika mahu tahu berapa nilainya sesaat, tanyakan pada orang yang ditimpa musibah kemalangan, hanya kerana kelalaian sesaatnya dalam pemanduan. jika mahu tahu berapa nilainya satu jam, tanyakan pada mereka yang terlepas tiket perjalanan ke destinasi jauh, hanya kerana tersilap memilih jalan yang macet menuju terminal berlepas. jika mahu tahu berapa nilainya sebulan, tanyakan pada orang yang terpaksa melalui dan mengulangi semula proses belajar dari awal selama sebulan untuk kembali menduduki ujian sama yang mungkin dia kurang bersedia pada percubaan pertamanya. jika mahu tahu berapa nilainya masa setahun, tanyakan pada pengendali projek pembinaan yang mengalami kerugian ribuan malah jutaan wang, hanya kerana gagal mengawal dan mengatur kemas jadual kerja yang akhirnya mengakibatkan penundaan. jika mahu tahu berapa nilainya sebuah kehidupan, tanyakan pada orang yang telah ditinggalkan selamanya (tidak, hanya sementara, mereka akan bertemu lagi di syurga nanti) oleh seseorang yang paling dicintainya, siapa lagi kalau bukan ibunya sendiri, tanpa dia merasa sempat untuk memberi yang terbaik kepada ibunya sepanjang hayatnya. cubalah bertanya pada orang-orang seperti ini jika ingin belajar bagaimana menghargai masa dan kesempatan.

...

tujuhbelas,  
setiap orang punyai definisi kebahagiaan masing-masing. atau lebih mudah, mungkin bukan 'definisi', tapi 'punca' kebahagiaan mereka masing-masing. iya, menurut aku ianya begitu. seperti seorang guru yang menemukan kebahagiaan pada setiap kali muridnya beroleh keputusan yang baik, seperti seorang penjual bakso tepi jalan yang disinggahi orang yang lalu-lalang lantas bertanya, "baksonya masih ada mas? mau dua mangkuk" ketika hari sedang hujan, seperti seorang bibliophiler bertemu buku kesukaannya setelah mencarinya sekian lama di beberapa toko buku seluruh kota, seperti seorang introvert kembali ke ruangan senyapnya setelah hari yang panjang berurusan dengan pelbagai manusia, seperti seorang ibu yang mendodoi tidur anak kecilnya yang masih belum mengerti apa-apa tentang dunia, seperti jari-jari yang ingin sekali berdansa di atas huruf-huruf yang kemudian akalnya bertemu idea untuk menulis sesuatu, atau seperti seseorang yang mengetahui namanya disimpan kemas dalam ruangan paling istimewa untuk dihuni, yakni dalam doa-doa orang lain. 

tujuhbelas,   
iya, bahagia itu sungguh subjektif pada setiap orang. ia bergantung kepada siapa yang sedang mencarinya, bagaimana kondisi hati mereka ketika mencarinya, dan di mana mereka mencarinya. apa yang menurut kita adalah kebahagiaan, mungkin tidak termasuk dalam daftar kamus bahagia orang lain. begitu juga, sesuatu yang nampak sederhana, perkara yang menurut kita biasa-biasa saja, mungkin adalah kebahagiaan besar untuk orang lain. begitulah, bahagia itu sungguh subjektif jika mahu ditanyakan pada setiap orang. justru, kerana bahagia itu sungguh subjektif, kita tidak perlu pusing memikirkan bagaimana untuk menjadi bahagia. bahagia tidak punya skema khusus. kita bebas untuk menjadi bahagia versi kita sendiri. jangan pernah mahu bahagia kita dikongkong oleh pandangan atau cakap-cakap orang lain. mereka dengan bahagia definisi mereka. kita juga dengan bahagia definisi kita sendiri. setuju ya? 

tujuhbelas,  
sebenarnya, menjadi manusia bahagia tidaklah sukar. setelah kita yakin bahawa setiap orang memiliki definisi bahagia masing-masing, apa yang kita perlu yakini seterusnya pula ialah, ada banyak hal-hal kecil yang mampu menjadi tunas bunga kebahagiaan dalam taman hati kita yang mungkin sedang murung. andai saja kita mahu memberi perhatian kepada perkara-perkara halus dan seni yang berlintas langsung di sekeliling kita, pasti kita akan menemukan pelbagai hal yang indah. perhatikan liuk-lentuk hujung batang pepohonan yang menari dan jatuhan dedaunan kering dari dahannya, ditiup angin yang tidak kelihatan. perhatikan senyuman gembira bersahaja orang-orang yang tidak kita kenali meski dalam kepenatannya berkerja seharian. perhatikan keindahan bunga mekar dari pohon yang tumbuh di tempat-tempat yang tandus seperti di rekahan konkrit tepian jalan. perhatikan kata-kata dalam tulisan orang yang gigih bangkit dari jatuhnya. perhatikan cahaya matahari yang tetap akan menembusi sampai ke bumi meski betapa banyak awan mendung yang menutup gelap ruangan langit. cubalah perhatikan hal-hal seperti itu. tidak butuh masa yang banyak, cuma butuh pandangan yang lebih peka, seni, luas dan mendalam. dengan latihan yang berterusan, pasti akan mahir nantinya.

tujuhbelas, 
bukahkah Tuhan terlebih dahulu telah mendefinisikan 'bahagia' yang sebenar? di mana lagi kalau bukan dalam kitabNya; al-quran. ya, kamu tahu kan bagaimana ayatnya? ya, yang itulah; dalam surah ke-tiga belas, pada ayat ke-dua puluh lapan. kamu benar. jelas kan? hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. itulah kebahagiaan; hati yang tenang, kan? nah, kembalikan semua fikiran dan perhatian kita kepada Tuhan. cari dan temukanlah 'ayat-ayat' Tuhan pada setiap hal-hal halus dan seni yang berlintas langsung di sekeliling kita. pada perkara-perkara kecil ini, rasakanlah kebesaran Tuhan yang maha mampu mengatur alam dengan saksama. saksikan betapa Tuhan itu maha mengasihani, menyayangi dan pemurah kepada setiap hambaNya, sentiasa mahu menerima taubat dan sentiasa menjamin rezeki buat kita. hayati betapa indahnya Tuhan yang menciptakan segala yang ada di dunia ini termasuklah manusia-manusia indah yang kita sayangi; ibu bapa, keluarga dan teman-teman baik kita.

... 

hanya setakat ini yang aku mampu kongsikan pada naskhah ke-tujuh ini. sungguh, masih banyak celanya berbanding baiknya tulisan ringkas ini. kurang lebihnya, aku mohon maaf atas setiap kata-kataku dan semoga Tuhan mengampuni dosa-dosa kita. hidup akan terus berjalan selagi kita belum disapa izrail atau matahari bangun dari barat. sehingga itu, kita akan sentiasa berada dalam dewan peperiksaan, diuji dengan pelbagai persoalan. oleh itu, mahulah kita agar sentiasa belajar. kita masing-masing pernah melayari lautan dan terbang di langit kehidupan yang berbeza. kita juga, masing-masing pernah merasakan kedinginan hujan dan kepanasan matahari yang berbeza ketika melalui itu semua. semestinya, ada hal yang berbeza yang telah kita masing-masing temui di sepanjang itu. aku mohon, ajari aku jika ada sesuatu yang aku tidak tahu dan kau tahu tentangnya. kita dijadikan dengan segala perbezaan dan melalui hal yang berbeza dalam perjalanan hidup adalah agar kita saling belajar kemudian melengkapi kekurangan masing-masing, kan? sampai jumpa lagi di pertemuan seterusnya.

sekian.
 | tujuh belas mei dua ribu enam belas. 

Sunday, April 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (vi).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. chal jinaeseyo?
coba tanyakan tentang masa pada sepuluh orang, nescaya kita akan mendapatkan sepuluh jawapan yang berbeza. yang sedang menunggu berkata masa itu berjalannya lambat sekali. yang sedang kelewatan berkata masa bergerak terlalu pantas. yang sedang bersedih berkata masa sedang membunuhnya, yang sedang gembira berkata masa terlalu singkat untuk dinikmati sepenuhnya, yang sedang menderita dalam kesakitan berkata masa adalah kegelapan yang tidak ada penghujung, yang sedang dilanda kebosanan berkata jarak masa bergerak sungguh telalu panjang. di setiap sela waktu, masa diterjemahkan oleh perasaan dan kondisi hati serta fikiran kita, bukan lagi dengan jarum jam. ya, masa sungguh rumit dan unik kan? nah, semoga  kita berada dalam lingkungan masa yang baik-baik.

... 

tujuhbelas, 
sudah di naskhah yang ke-enam, dan sudah masuk bulan yang ke-enam atau separuh tahun sudah pena ini berbicara diam dalam naskhah picisan yang aku terus hamburkan dengan perkataan-perkataan rambang, entah dari mana saja datangnya melintas di pikiranku. takdir terus bergerak dan kita tetap menjalaninya. jika diizinkan Tuhan, hidup ke hadapan nantinya, pasti akan lebih banyak ujian, cabaran dan persoalan yang datangnya dalam pelbagai bentuk dan rupa. justru, sebelum melangkah ke masa hadapan itu- yang masih lagi dan tetap saja dalam statusnya 'mungkin ada mungkin tiada'- hari ini kita perlu belajar dan mempersiapkan diri dengan jawapan-jawapan yang kita yakini kebenarannya. masih tidak banyak yang aku ketahui, tapi di naskhah ke-enam ini aku ingin mengajak untuk kita sama-sama menghayati kalimah inna lillah wa inna ilaihi rojiun, kalimah yang kita banyak zikirkan sejak beberapa tempoh kebelakangan ini. jika ditadabbur dan didalami, kalimah ini sebenarnya menyimpan hikmah besar untuk kehidupan kita.

tujuhbelas, 
inna lillah; 'daripada Allah kita datang'. bahagian pertama kalimah ini menyedarkan bahwa semua perkara dalam dunia ini datangnya daripada Allah, termasuk diri kita sendiri. hakikatnya, kita adalah hamba kepada Tuhan dan sebagai hamba kita tidak punya hak ke atas apa pun di dunia ini, termasuk diri kita sendiri. setiap apa yang kita perolehi adalah hadiah daripada Tuhan, yang bukan atas kehendak kita untuk memilikinya tapi atas hak Tuhan untuk memberi. kita tidak patut merasa berhak mendapatkan sesuatu hanya kerana kita merasa telah berkerja untuknya. itu menyalahi fitrah, kerana kita bukanlah pekerja yang berhak menuntut habuan pada majikan setelah berkerja keras untuknya, jauh sekali, kita hanyalah hamba yang mengharap belas kasihan Tuhan. jika kita mendapatkan sesuatu yang baik, maka bersyukurlah. dan jika kita tidak mendapatkan sesuatu yang kita sangat inginkan atau kehilangan sesuatu perkara yang begitu kita hargai, berlapang dadalah, kerana ia bukanlah milik kita pada awal hakikatnya. bila kita memahami konsep asas ini, pasti, kita tidak akan mudah kecewa dalam hidup.

tujuhbelas, 
bahagian keduanya, inna ilaihi rojiun; 'kepada Allah kita kembali'. mudah dan jelas, kepada Allah nantinya kita akan kembali juga. segala hal dalam dunia ini tidak ada satu pun yang akan kekal sama ada diri kita sendiri, orang-orang yang sekeliling kita, harta benda yang kita miliki, juga termasuklah kebahagiaan yang kita nikmati dan kesusahan yang kita tempuhi. semua akan hilang. semua akan berakhir. semua akan dikembalikan kepada Tuhan. justru, bersederhanalah dalam setiap perkara. apabila dikurniakan kebahagiaan, janganlah kita lalai sehingga lupa untuk bersyukur kepada Tuhan kerana satu hari ianya pasti akan ditarik kembali sedangkan kita masih dalam keadaan kufur atas nikmat-nikmat itu, nauzubillah. dan jika kita sedang menempuhi kesusahan dalam hidup, bersabarlah dengan yakin bahawa ianya juga tidak kekal selamanya, akan ada akhirnya. bersederhanalah dalam segala hal. bila kita memahami konsep asas ini, nah, kita tidak akan mudah kecewa dalam hidup.

tujuhbelas, 
setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan kita punya agendanya sendiri yang disusun Tuhan. takdir adalah susunan cerita dalam kronologi yang bersambung dari satu peristiwa kepada satu peristiwa yang lainnya. seperti dalam bacaan. untuk sampai kepada kisah di hadapan, kita harus melalui kisah sebelumnya. kita akan belajar memahami mengapa kisah sekarang ini harus menjadi begitu dan begini, hanya setelah kita sampai kepada kisah seterusnya. pernah cuba membaca buku, lebih-lebih buku cerita, membaca daripada muka surat tengah, tanpa bermula daripada bab pertama atau pendahuluannya? atau terus saja membaca halaman terakhirnya pada bab yang terakhir? dengan pelbagai watak yang tidak kita ketahui peranan dan perkaitan antara mereka dan dengan apa yang sedang berlaku ketika itu, mustahil untuk kita memahami apa sebenarnya yang disampaikan si penulis jauh sekali memperoleh sesuatu pengajaran daripadanya. mungkin begitu hikmah takdir.


... 

rasanya cukup ini saja untuk naskhah di ke-setengah tahun ini. perkara yang baik-baik adalah untuk orang-orang yang percaya pada Tuhannya, perkara yang lebih baik pula akan datang kepada orang-orang yang tetap bersabar dan bersyukur, dan akan ada perkara yang terbaik menanti untuk mereka yang tidak pernah berputus asa dalam usahanya. selamat bertambah kiraan usia. semoga menjadi sosok yang dicintai Tuhan, yang dirindui baginda nabi, yang disayangi penghuni langit dan yang dikasihi orang-orang di bumi. jika kau bertemu hujan di sana, mungkin ada yang menitipnya pada matahari untuk menghadiahkanmu pelangi, juga untuk menemanimu menikmati kopi panas yang akan menghangat-segarkan jiwamu. tetaplah bersemangat dan semoga bertemu lagi di naskhah seterusnya.

sekian.
 | tujuh belas april dua ribu enam belas.


Thursday, March 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (v).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. nasılsın? 
tentang masa. tentang kesabaran. masa dan kesabaran adalah dua hal yang saling menjadi makna untuk menerangkan satu sama lain. masa adalah cerita tentang kesabaran. kesabaran adalah kisah tentang masa. kita tidak mampu mengatur gerakan jarum masa, sama ada mahu melambatkan atau melajukannya, itu adalah kemustahilan. yang mampu kita lakukan adalah memupuk kesabaran. kita akan belajar tentang aturan masa(takdir) dengan kesabaran. dan yakinlah, setelah kesabaran-kesabaran yang selama mana pun masa-masanya itu, pasti yang menunggu di penghujungnya adalah keindahan dan kebahagian. bahkan, Tuhan dengan penuh indah ketika menyampaikan keterangan tentang masa, al-asr, ada menyatakan bahwa orang yang beruntung antaranya adalah mereka yang saling nasihat-menasihati dalam hal kesabaran.

... 

tujuhbelas,
sudah di naskhah yang kelima. nah, semakin banyak cerita semakin banyak hal-hal yang berlaku dalam perjalanan hidup kita masing-masing. jika hidup kita adalah lukisan kosong diatas kertas puteh, maka sepanjang ini, kita sebenarnya sedang mengumpul warna-warna untuk lukisan kita. lukisan menjadi lebih indah dengan warna-warni abstrak. begitu juga, hidup kita akan menjadi indah dan tampak matang dengan banyaknya warna-warna yang kita kumpul sepanjang perjalanan hidup kita. justru, apa pun warna yang kita temui, baik yang terang atau gelap, cerah atau malap, hargailah setiap satunya dan gunakan warna-warna itu sebaiknya dalam lukisan kita. 

tujuhbelas,
entah kau perasan atau tidak, sepanjang lima naskhah ini, aku menyelitkan foto yang sama; foto langit. ya, itu adalah langit yang sama untuk setiap foto dalam lima naskhah yang lepas. aku menangkapnya dari beranda tingkat tiga bangunan maahad ketika menghuninya bersama adik-adik huffaz. berhadapan maahad adalah sekolah kebangsaan. jadinya, bayang atap bangunan dan pohon-pohon di setiap foto itu adalah bangunan sekolah dan pohon-pohon yang sama. setiap foto itu diambil pada waktu yang berbeza dengan kamera yang sama. ya, aku suka dan senang memandang langit, kadang menangkapnya masuk ke dalam lensa kamera seperti itu. emm, kau suka langit?

tujuhbelas,
ramai yang memandang langit tidak lebih daripada kanvas kosong tempat jatuhnya air hujan, laluan cahaya matahari dan bulan, bertukar warnanya daripada puteh ketika siang kepada hitam ketika malam. tidak lebih daripada itu. tapi, sebenarnya langit punya lebih banyak warna daripada itu. hanya saja, langit tidak selalu menampakkan warna-warna indahnya itu. langit punya masa-masa tertentu yakni masa-masa rahsia untuk menampilkan warna-warninya. dan aku mungkin tahu masa-masa rahsia itu; ia adalah pada peralihan antara gelap dan terang, ketika siang menuju malam(senja) dan malam menuju siang(subuh). ah, aku sudah terlanjur memberitahu kamu rahsia langit.. kamu simpan rahsia ini baik-baik ya? jangan sampai orang lain tahu. nanti langit marah. ini rahsia besarnya! oh ya, satu lagi rahsia paling besar tentang langit ialah langit juga menyimpan doa-doa manusia, kadang ada orang yang tidak pernah saling bertemu tapi doa mereka bertemu di langit. aduh, aku membocorkan rahsianya lagi..

tujuhbelas,
ada yang bisa kita belajar dengan menghayati langit kan? bahawa setiap sesuatu perkara punya sisi indah yang bisa kita hargai dan pelajari. bahawa sesuatu yang pada kita tampak biasa-biasa, mungkin menyimpan hikmah besar yang tetap menjadi rahsia sehingga tiba masanya kita akan mengetahuinya. tapi, tetap saja jika kita melihatnya dengan pandangan yang benar-benar seni - memandang dengan hati - kerana hatilah perkara paling seni dalam setiap manusia.

... 

rasanya cukup ini saja perkataan-perkataan daripada papan taipku untuk kali ini. mungkin mengumpul perkataan adalah cara untuk menjaga hala tuju perjalanan kita. dengan menulis impian-impian dan harapan-harapan pada hari ini, kita akan membacanya semula di hari-hari depan ketika merasa hilang dan tidak jelas. mungkin juga perkataan-perkataan yang kita catatkan pada hari ini, sebenarnya menyimpan jawapan-jawapan untuk persoalan-persoalan yang bakal kita temui di hari-hari depan. hujan dan matahari tidak selalu bertemu. justru dalam ketidakselaluan itu, apabila keduanya bertemu pasti akan hadir keindahan, apalagi kalau bukan pelangi yang menenangkan. yakinlah, dalam setiap pertemuan dan perpisahan, pasti punya hikmah yang dititip Tuhan dalam susunan takdirNya. sampai ketemu lagi nanti, sama ada di kota nostalgis penuh momen atau hanya dalam tulisan-tulisan.

sekian.
 | tujuh belas mac dua ribu enam belas.

Wednesday, February 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (iv).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. aga kareba?
alangkah sulit memahami perihal jarak dan masa. kadang, perjalanan panjang beribu batu terasa pendek. kadang, terasa baru saja menaiki pintu kereta api dan mendengar geselan pertama gerabak pada relnya, setelah itu fikiran melayang sebentar, kemudian tiba-tiba saja kita sudah tiba di stesen seterusnya. kadang pula, kita berusaha mengisi jarak perjalanan singkat dengan pelbagai hal, dengan alasan mahu merasa segera sampai. tapi akhirnya, yang terjadi bahkan kita merasa semakin lama untuk tiba ke destinasi. rupanya, jarak dan masa tidak selalu tepat diukur hanya dengan pita pembaris dan kiraan detik. ia juga adalah perihal kondisi hati dan perasaan. jarak dan masa boleh jadi terlalu singkat dan boleh jadi begitu lama bergantung kepada kondisi hati dan perasaan kita saat melaluinya. maka, mari kita belajar menguasai jarak dan masa dengan meneliti hati dan perasaan kita. agar -setiap jarak dan masa yang kita tempuhi dan lalui- yang mana seharusnya dilamakan tidak menjadi singkat dan yang sewajarnya singkat tidak menjadi terlalu lama.


... 


tujuhbelas, 
hati dan jiwa manusia selalu dilanda dengan dua keadaan yang menggugat ketenteramannya. yang pertama itu adalah perasaan al-hamm, yakni kegusaran dan kekalutan hati terhadap masa hadapan. iya, sememangnya masa hadapan adalah rahsia yang tidak akan pernah kita tahu tentang apa dan bagaimana rupanya. kita sering menjadi khuatir kepada sesuatu yang kita sangkakan akan berlaku di masa hadapan, terutama pada kesukaran dan kesusahan walaupun hakikatnya ia belum tentu akan terjadi. pernah merasakannya? aku sendiri juga pernah. bagaimana menghadapinya? nah, aku serahkan itu kepadamu. bukalah naskhah al-quranmu dan carilah ayat-ayat itu. 


tujuhbelas, 
hati dan jiwa manusia sering dilanda dengan dua keadaan yang menggugat ketenteramannya. yang kedua itu perasaan al-hazan, yakni kesedihan dan kemurungan kerana memikirkan perkara yang telah berlaku. mungkin itu adalah keperitan, kegagalan, atau kehilangan yang pernah kita lalui satu ketika dahulu sebelum hari ini. pernah merasakannya? aku sendiri juga pernah. bagaimana menghadapinya? nah, itu tugasmu. selaklah naskhah al-quranmu dan tadabburlah ayat-ayat itu. 


tujuhbelas, 
hidup adalah sekumpulan ujian. indahnya, Tuhan akan sentiasa menguji manusia pada titik-titik kelemahannya, bukan pada kekuatan mereka. Tuhan akan mempertemukan kita dengan orang-orang atau keadaan yang merupakan cerminan kepada titik-titik kelemahan kita. pertemuan yang akan membawa kita bertarung habis-habisan dengan setiap kelemahan dalam diri. kenapa begitu? tidak lain kerana Tuhan mahu mendidik kita untuk belajar mengatasi segala kelemahan itu, hingga akhirnya kita akan menjadi semakin matang, bijaksana dan kelemahan itu bertukar menjadi kekuatan. maka, bersyukurlah kita bila Tuhan menghadirkan orang-orang tertentu dalam hidup kita dan kita belajar mengenali kelemahan-kelemahan diri dan memperbaikinya. nantinya juga, Tuhan akan mempertemukan kita dengan seseorang yang tahu benar kelemahan kita dan mahu membantu kita memperbaikinya bersama, kerana dia sendiri, yakni orang itu, juga ada kelemahan yang ingin diperbaikinya bersama-sama kita. kita manusia tidak saling sempurna, tapi saling menyempurnakan. 


tujuhbelas, 
bila dalam perjalananmu, kau merasa penat, merasa lelah, berehatlah sebentar. berehatlah dalam solatmu. tapi, jangan berhenti bila kau yakin akan kebenaran laluan yang kau sedang tempuhi. hidup memang memenatkan. bahkan, dunia sememangnya diciptakan untuk manusia berpenat-lelah dengannya. penat-lelah yang tetap adalah pilihan. berpenat-lelah untuk berseronok menikmati dunia semata atau berpenat-lelah untuk lari daripada kelalaian menikmati dunia. dunia tidak selamanya akan ada. begitu juga kita. satu hari dunia akan lenyap. satu hari nanti kita juga akan mati. bila kedua hal itu akan terjadi, tetaplah ia berada dalam pengusaan takdir Tuhan tanpa ada sesiapa pun mendapat bocoran. setelah itu, akan ada hari pembalasan. di hari inilah nantinya segala penat-lelah itu akan ditanyakan kembali. semoga penat-lelah kita adalah penat-lelah yang menghampirkan kita kepada Tuhan dan bukan yang sebaliknya. dan semoga kita mendapat kerehatan yang paling agung setelah segala kelelahan kita dunia; syurgaNya. 


...  


cukuplah yang ini saja aku tulis dan hamburkan buat kali keempat di naskhah yang terus bersambung ini, entah ke mana hala tujunya. segalanya aku kembalikan kepada kedhaifan diriku sendiri dan kebesaran Tuhan yang maha agung. seringkali kita merasa lautan ketenangan yang dihamparkan kepada kita terlalu dalam untuk diselami. kita menjadi takut kalau-kalau lemas sebelum sampai ke dasarnya. mungkin kita lupa bahwa lautan itu adalah lautan ar-Rahman, Tuhan akan sentiasa mengalirkan nafas buat hambaNya yang bersabar. seringkali juga kita merasa langit kebahagiaan terlalu tinggi untuk didaki. kita menjadi takut kalau-kalau terjatuh sebelum mencapai puncaknya. mungkin kita lupa bahwa itu adalah langit ar-Rahim, Tuhan akan memasangkan sayap untuk terbang tinggi buat hambaNya yang bersyukur.

sekian.
 | tujuh belas febuari dua ribu enam belas.

Sunday, January 17, 2016

surat-surat tujuhbelas (iii).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. how was your day?
sudah masuk naskhah ketiga untuk surat ini. dan perlahan-lahan kita juga melangkah masuk ke peringkat ketiga. peringkat apa saja, aku juga tidak tahu. sungguh, masa yang terus berlalu tidak membuatkan kita lupa pada apa yang berlaku, tapi ia akan sentiasa mendewasakan dan membantu kita belajar dan memahami pelbagai perkara. sungguh juga, hidup adalah sekumpulan ujian. baik ujian berorentasikan dunia di atas kertas atas mahupun ujian yang berorentasikan akhirat yang menyoal keyakinan kita pada takdir Tuhan. apa pun ujian yang sedang dan bakal kita lalui, semoga kita berjaya menjawabnya dengan tenang dan aman. 

...


tujuhbelas, 
alangkah abstraknya cerita yang sedang berjalan ini. seperti memasuki galeri lukisan yang pamer begitu banyak lukisan dengan motif dan warna masing-masing. setiap lukisan itu, yang untuk memahaminya, perlu diamati dengan pandangan seni dan tidak cukup dengan logika bentuk dan padanan semata-mata. atau mungkin seperti membaca puisi yang penuh dengan pelbagai personafikasi dan metafora. lebih banyak makna-makna tersirat daripada yang tersurat dalam setiap barisnya. justru, ia perlu dibaca dengan bacaan seni dan bukan logika tambah tolak darab bahagi. kerana itu, setiap perkara yang telah dan mungkin bakal berlaku sepanjang cerita ini berjalan akan mudah kita fahami hikmahnya bila kita memandangnya dengan pandangan keimanan yang penuh seni.

tujuhbelas, 
alangkah komplikatednya cerita yang sedang berjalan ini. semakin lama, semakin ramai watak baru yang muncul. bermula dari dua watak kompleks yang berbeza dimensi, yang ditakdirkan bertemu sebentar dalam perjalanan menuju destinasi masing-masing. kemudian, watak-watak baru terus bertambah dan bertambah sehingga ke saat ini. entah sudah berapa banyak penama-penama asing yang kedengaran. setiap satunya muncul dengan cara masing-masing dan membawa peranannya masing-masing. yang pastinya, ia tidak berhenti di situ. akan lebih banyak yang akan hadir dan mewarnai cerita komplikated ini. dan daripada setiap watak ini, ada perkara baik dan manfaat berguna yang boleh kita ambil sebagai pedoman dan panduan. oh ya, sehingga ke saat ini juga, aku masih tidak percaya bahawa aku sedang membawa watak besar dalam cerita ini. ya, komplikated.


tujuhbelas, 
alangkah peliknya cerita yang sedang berjalan ini. bagaimana ya agaknya orang-orang lain yang membaca atau menyaksi cerita aneh ini? ah, mungkin seperti menonton filem berbahasa asing tanpa sarikata, tidak faham apa yang dikata, apalagi untuk faham apa jalan ceritanya. tidak lebih, hanya mampu melihat gerak laku, turun naik, dan tiba-tiba ceritanya, ah, ternyata sudah habis. atau mungkin seperti seorang pengamal ilmu pembinaan, yang sehariannya cuma bermain dengan nombor-nombor dan garis-garis struktur, tiba-tiba dihulurkan senarai skripsi ubat-ubatan, yang mahu menuturkan namanya saja sudah begitu rumit, apalagi untuk tahu apa kegunaannya dan mana padanan penyakitnya. terkadang aku juga ketawa sendiri memikirkan bahawa aku sedang menjalani cerita ini. masih terasa pelik kan?
  
tujuhbelas, 
akhirnya, alangkah abstrak, komplikated dan peliknya  cerita yang sedang berjalan ini. justru, cerita tentang takdir memang begitu kan? apakan tidak, bukankah yang menuliskan cerita ini adalah Tuhan yang sugguh indah dan begitu unik dalam perancanganNya? Alhamdulillah ala kulli hal. terus lagi berjalan ke hadapan, cerita ini mungkin akan menjadi lebih seni untuk difahami oleh kita apalagi oleh orang lain, mungkin lebih banyak naik turunnya, yang pasti lebih banyak wataknya. semoga ianya kekal tersusun cantik dan kita mampu tenang dalam menjalaninya dengan peranan kita masing-masing, sehingga cerita ini bertemu pengakhirannya, bagaimana pun itu nanti.

... 

sudah tidak ada apa-apa lagi untuk ditaipkan. jujur, aku merasakan aku tidak banyak perkataan untuk dituliskan kali ini. mungkin kerana memang aku kering idea untuk menuliskan apa. atau mungkin terlalu banyak idea sehingga entah yang mana saja mahu ditumpahkan. buat kamu, terima kasih kerana terus menjadi tujuhbelas. semoga di tujuh belas yang mendatang kita akan terus berada dalam petunjuk yang sudah terbentang seluas langit rahmanNya, kita hanya perlu mendongak sedikit dengan dua telapak tangan yang sedia menadah apa saja yang dijatuhkan. semoga di tujuh belas yang mendatang juga, kita tidak akan kontang tanpa tarbiyah, tazkiyah dan tazkirah yang sudah pun terbentang seluas lautan rahimNya di hadapan kita. tinggal kita cedok, siram dan basahkan hati kita dengannya. selamat menikmati dua ribu enam belas, setahun yang mungkin akan dipenuhi dengan pelbagai hal-hal besar.

sekian.
 | tujuh belas januari dua ribu enam belas.

Thursday, December 17, 2015

surat-surat tujuhbelas (ii).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. keifa hal?


sebulan sudah berlalu, kita telah melepasi satu lagi rentang waktu yang penuh dengan pelbagai perkara. ada perkara yang telah kita selesaikan dengan jayanya dan ada juga perkara yang masih belum terlunas. alangkah, waktu memang sungguh unik dan penuh tanda tanya. kadang kita cuba merancang dan mengawal waktu, tapi bahkan waktu yang akhirnya merancang dan mengawal kita. marilah sentiasa mencuba untuk mendahului waktu yang berjalan, kalaupun bukan dengan tindakan kita, dahuluinya dengan fikiran kita. bergerak seiring waktu, kalaupun tidak berada di depan, kita tidak tertinggal jauh di belakang. agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi kerana waktu. 


...


tujuhbelas,

selamat mengembara - mentadabbur bumi Tuhan -  ke mana pun destinasi itu, bersama orang-orang yang kau sayangi dan mereka juga menyayangimu. sepanjang itu, berbicaralah dengan ibu dan ayahmu; mereka punya banyak pengalaman, mereka punya banyak nasihat. sepanjang itu, berbuallah dengan alam; mereka punya banyak cerita, mereka punya banyak pengajaran. sungguh, pengembaraan akan menemukan kita dengan pelbagai hal, termasuk menemukan siapa diri kita dan apa sebenarnya yang kita mahukan daripada hidup singkat ini. mungkin satu hari nanti kita bisa mengembara dunia bersama-sama, menyelak peta mencari jalan bersama-sama, membaca dunia orang-orang asing bersama-sama, menangkap momen bersama-sama, dan menuliskan semula setiap satunya dalam bahasa kita sendiri bersama-sama. ah, semua itu masih cuma 'mungkin' saja buat masa sekarang kan?


tujuhbelas,

tetaplah menjaga diri. teruskanlah berdiskusi dengan hatimu. kita sama-sama saling tahu sendiri bahawa ada sesuatu antara kita. tapi, meski sesuatu yang sedang tumbuh itu, ingin mahu segera berbunga mekar, ingin mahu segera berbuah ranum, kita telah sama-sama sudah sepakat bahawa ia tetap butuh waktu. kita juga sama-sama sudah sepakat mahu berusaha, sentiasa menjadikan Tuhan yang pertama dalam semua hal-hal kita, kan? maka, sehingga kau menemukan jawapanmu, tetaplah kita sama-sama menjaga diri ya.


tujuhbelas,

tetaplah berdoa. kerana doa tidak punya batas waktu. ia mampu pulang ke masa lalu dan mampu pergi ke masa depan. seperti doa memohon ampun kepada dosa-doa masa lalu dan seperti doa memohon ditetapkan dalam keimanan dan ketaqwaan di masa depan. kerana doa akan tetap tiba kepada penerimanya. ia mampu, dengan atau tanpa alamat, doa akan tetap sampai ke pintu rumah penerimanya, mengetuknya untuk menyampaikan kirimanmu. seperti doamu untuk sesuatu atau seseorang - yang mungkin kamu masih tidak tahu dan belum pasti apa atau siapa  - agar ia atau dia baik-baik saja; itu pasti akan sampai kepadanya. kerana doa tidak punya had muatan. seberapa berat permintaanmu atau seberapa besar kegusaranmu, doa tetap mampu mengangkatnya naik ke langit. kerana doa tidak semestinya perlu dikatakan. meski satu masa nanti kau hilang kata-kata, tidak tahu apa yang harus kau luahkan, tetaplah berdoalah dalam kesenyapan kata-kata; Tuhan maha tahu. kerana bila berdoa, kita sedang berusaha agar sentiasa menjadikan Tuhan yang pertama dalam setiap pengharapan kita. maka, tetaplah kita sama-sama berdoa dan saling mendoakan ya.


tujuhbelas,

tetaplah bersabar. sungguh perjalanan ini akan lebih panjang. kita masih berdiri di petak mulanya. atau mungkin belum pun tiba di petak mulanya. jika ternyata kita nekad memutuskan untuk melalui jalan ini, jauh di depannya nanti, pasti akan lebih banyak ujian, akan lebih banyak cobaan. entah dari mana datangnya atau bagaimana caranya. perjalanan ini adalah perjalanan perjuangan. dan sunnatullah perjuangan pasti butuh pengorbanan. andai benar kita yakin bahawa perjuangan ini pasti akan menjadikan diri kita lebih baik, maka siap-siaplah kita untuk berkorban. entah itu pengorbanan tenaga, materi atau perasaan. kita sesungguhnya tahu bahawa aku atau kau tidak sedang melaluinya sendirian. Tuhan pasti akan bersama kita. ya, Tuhan pasti akan bersama kita. tapi tetap saja jika kita berusaha untuk sentiasa mendahulukan Tuhan dalam setiap langkah kita. maka, tetaplah kita sama-sama bersabar ya. 


...



rasanya cukup berhenti setakat di sini untuk surat kali ini. sungguh pada setiap tulisanku, aku sendiri juga yang membacanya terlebih dahulu. maka akulah yang paling akan dipertanggungjawabkan dan diuji dengannya. jika ada yang baik, kita lakukanlah bersama. jika ada yang buruk, ajarkanlah aku. ketakutan kita cuma setitis hujan yang jatuh ke laut, sedangkan alangkah luas dan dalamnya lautan rahman-Nya. harapan kita cuma setitis hujan yang jatuh dari langit, sedangkan alangkah luas dan tingginya langit rahim-Nya. sampai ketemu lagi pada bulan baru di tahun yang baru; januari dua ribu enam belas.



sekian.
 | tujuh belas disember dua ribu lima belas.