Thursday, December 17, 2015

surat-surat tujuhbelas (ii).





bismillah.
assalamualaikum tujuhbelas. keifa hal?


sebulan sudah berlalu, kita telah melepasi satu lagi rentang waktu yang penuh dengan pelbagai perkara. ada perkara yang telah kita selesaikan dengan jayanya dan ada juga perkara yang masih belum terlunas. alangkah, waktu memang sungguh unik dan penuh tanda tanya. kadang kita cuba merancang dan mengawal waktu, tapi bahkan waktu yang akhirnya merancang dan mengawal kita. marilah sentiasa mencuba untuk mendahului waktu yang berjalan, kalaupun bukan dengan tindakan kita, dahuluinya dengan fikiran kita. bergerak seiring waktu, kalaupun tidak berada di depan, kita tidak tertinggal jauh di belakang. agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi kerana waktu


...


tujuhbelas,

selamat mengembara - mentadabbur bumi Tuhan -  ke mana pun destinasi itu, bersama orang-orang yang kau sayangi dan mereka juga menyayangimu. sepanjang itu, berbicaralah dengan ibu dan ayahmu; mereka punya banyak pengalaman, mereka punya banyak nasihat. sepanjang itu, berbuallah dengan alam; mereka punya banyak cerita, mereka punya banyak pengajaran. sungguh, pengembaraan akan menemukan kita dengan pelbagai hal, termasuk menemukan siapa diri kita dan apa sebenarnya yang kita mahukan daripada hidup singkat ini. mungkin satu hari nanti kita bisa mengembara dunia bersama-sama, menyelak peta mencari jalan bersama-sama, membaca dunia orang-orang asing bersama-sama, menangkap momen bersama-sama, dan menuliskan semula setiap satunya dalam bahasa kita sendiri bersama-sama. ah, semua itu masih cuma 'mungkin' saja buat masa sekarang kan?


tujuhbelas,

tetaplah menjaga diri. teruskanlah berdiskusi dengan hatimu. kita sama-sama saling tahu sendiri bahawa ada sesuatu antara kita. tapi, meski sesuatu yang sedang tumbuh itu, ingin mahu segera berbunga mekar, ingin mahu segera berbuah ranum, kita telah sama-sama sudah sepakat bahawa ia tetap butuh waktu. kita juga sama-sama sudah sepakat mahu berusaha, sentiasa menjadikan Tuhan yang pertama dalam semua hal-hal kita, kan? maka, sehingga kau menemukan jawapanmu, tetaplah kita sama-sama menjaga diri ya.


tujuhbelas,

tetaplah berdoa. kerana doa tidak punya batas waktu. ia mampu pulang ke masa lalu dan mampu pergi ke masa depan. seperti doa memohon ampun kepada dosa-doa masa lalu dan seperti doa memohon ditetapkan dalam keimanan dan ketaqwaan di masa depan. kerana doa akan tetap tiba kepada penerimanya. ia mampu, dengan atau tanpa alamat, doa akan tetap sampai ke pintu rumah penerimanya, mengetuknya untuk menyampaikan kirimanmu. seperti doamu untuk sesuatu atau seseorang - yang mungkin kamu masih tidak tahu dan belum pasti apa atau siapa  - agar ia atau dia baik-baik saja; itu pasti akan sampai kepadanya. kerana doa tidak punya had muatan. seberapa berat permintaanmu atau seberapa besar kegusaranmu, doa tetap mampu mengangkatnya naik ke langit. kerana doa tidak semestinya perlu dikatakan. meski satu masa nanti kau hilang kata-kata, tidak tahu apa yang harus kau luahkan, tetaplah berdoalah dalam kesenyapan kata-kata; Tuhan maha tahu. kerana bila berdoa, kita sedang berusaha agar sentiasa menjadikan Tuhan yang pertama dalam setiap pengharapan kita. maka, tetaplah kita sama-sama berdoa dan saling mendoakan ya.


tujuhbelas,

tetaplah bersabar. sungguh perjalanan ini akan lebih panjang. kita masih berdiri di petak mulanya. atau mungkin belum pun tiba di petak mulanya. jika ternyata kita nekad memutuskan untuk melalui jalan ini, jauh di depannya nanti, pasti akan lebih banyak ujian, akan lebih banyak cobaan. entah dari mana datangnya atau bagaimana caranya. perjalanan ini adalah perjalanan perjuangan. dan sunnatullah perjuangan pasti butuh pengorbanan. andai benar kita yakin bahawa perjuangan ini pasti akan menjadikan diri kita lebih baik, maka siap-siaplah kita untuk berkorban. entah itu pengorbanan tenaga, materi atau perasaan. kita sesungguhnya tahu bahawa aku atau kau tidak sedang melaluinya sendirian. Tuhan pasti akan bersama kita. ya, Tuhan pasti akan bersama kita. tapi tetap saja jika kita berusaha untuk sentiasa mendahulukan Tuhan dalam setiap langkah kita. maka, tetaplah kita sama-sama bersabar ya. 


...



rasanya cukup berhenti setakat di sini untuk surat kali ini. sungguh pada setiap tulisanku, aku sendiri juga yang membacanya terlebih dahulu. maka akulah yang paling akan dipertanggungjawabkan dan diuji dengannya. jika ada yang baik, kita lakukanlah bersama. jika ada yang buruk, ajarkanlah aku. ketakutan kita cuma setitis hujan yang jatuh ke laut, sedangkan alangkah luas dan dalamnya lautan rahman-Nya. harapan kita cuma setitis hujan yang jatuh dari langit, sedangkan alangkah luas dan tingginya langit rahim-Nya. sampai ketemu lagi pada bulan baru di tahun yang baru; januari dua ribu enam belas.



sekian.
 | tujuh belas disember dua ribu lima belas.

No comments:

Post a Comment