Saturday, December 28, 2013

gadis penjual bunga.


[kundasang]

   Awal pagi, hujung minggu di penghujung disember sekitar Pekan Kundasang. Ven keluar bersiar-siar dengan basikal. Kamera hitam bergantung di dada. Angin lembut menemaninya. Sebetulnya Ven tiada tujuan khusus mahu keluar. Hanya bersiar-siar. Menyusuri laluan indah sepanjang kaki pergunungan Kinabalu, penuh dengan abstrak-abstrak natural lukisan alam. Ladang teh kehijauan, kebun sayuran segar, dusun buah ranum dan taman bunga warna-warni. Hawa sejuk, langit redup dan burung bebas yang berterbangan riang turun dari puncak Kinabalu. Ah, apakah puisi terbaik untuk menggambarkan ketenangan itu?

   Sepanjang tepian jalan, ada pelbagai gerai-gerai dibuka. Semuanya hanya bermodalkan alam. Setiap kali melalui gerai-gerai itu, Ven akan melemparkan senyuman manis sambil melambai kepada pemiliknya. Dan pastinya, ia akan disambut dengan ramah dan bahagia.

   Ven melalui sebuah gerai bunga. Raudah al-Zahra. Jelas terpampang papan tanda kayu di hadapan gerai itu. Ros, Camelia, Dahlia, Daisy, Flora, Olive, Poppy, Rose, Jasmin dan Lily. Aneka bunga-bunga mekar. Segar, wangi dan indah.

   Di satu sudut, kelihatan seorang gadis sedang sibuk menyusun atur bunga-bunga di dalam pasu yang diperbuat daripada seramik. Kerana gadis itu menghadap ke belakang, Ven tidak dapat melihat mukanya. Tapi, Ven tidak kisah siapapun dia. Ven lebih tertarik pada bunga-bunga di gerai itu.

   Tidak jauh dari gerai itu, Ven berhenti sebentar. Menyandarkan basikal di pohon Meranti rendang. Kamera, Ven angkat ke paras muka. Ven fokuskan lensa ke arah bunga-bunga di gerai itu. Dan Ven pun klik dua tiga kali. Kemudian Ven tengok hasilnya. Gambar-gambar itu sedikit kabur. Tidak berpuas hati, Ven angkat lagi kamera. Kali ini, Ven lebih teliti dengan fokus lensanya.

   Klik lima enam kali. Ven terus tengok hasilnya.

   Gambar pertama, jadi. Gambar kedua pun jadi. Lighting. Angle. Semua tepat. Sayang, gambar ketiga sedikit gelap. Ada bayang-bayang manusia yang sedang berjalan. Gambar keempat langsung tak nampak bunga. Pandangan kamera ditutup total oleh sosok belakang  gadis di gerai bunga itu. Gambar kelima, masih sama tertutup. Tapi dalam gambar kelima, gadis itu sosoknya separuh berpaling ke hadapan.
   
   Dan dalam gambar terakhir gadis berpaling total menghadap ke hadapan, jelas kelihatan wajahnya. Apron corak bunga matahari, tudung labuh hitam, baju lengan panjang warna merah jambu dan bahagian bawahnya hampir mencecah ke paras lutut. Lengkap juga berstokin di lengan dan kaki.

   Ven cuba tengok lebih dekat. Tapi, belum pun tekan butang zoom pada kamera..
   
   “Astaghfirullah!”

    Ven tepuk dahi. Cepat-cepat delete gambar terakhir itu.

   "Eh, siapa walinya?"

_____________________
* rekaan semata-mata.

                

Thursday, December 19, 2013

muhasabah tentang musi-bah.





   Bismillah. Kita teruskan rakaman bicara lewat pena ini dengan petikan indah dari kitab suci al-Quran. Dalam baris ke-11 at-Taghabun, ayatNya menyapa kita dengan begitu lembut dan manis sekali;
 “Tidak ada satu musibah yang menimpa, kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah niscaya Allah akan memberikan petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”
   Belakangan ini, ruangan angkasa di beberapa negeri  Malaysia begitu sesak.  Awan-awan gelap tidak berhenti menitiskan air mata. Siang ke tengahari. Petang ke malam. Entah apa peristiwa yang terlalu sedih di alami oleh langit. Atau, mungkin juga langit terlalu gembira terharu. Tiada kepastian, kita yang berada jauh di bawah bumi ini mustahil untuk menjelaskannya.
                
   Tapi, ini bukan novel bersiri tentang cerita langit, awan atau matahari. Kita cuba membaca apa mesej dibawa dalam musi-bah yang telah menghanyutkan pelbagai cerita duka bersamanya. Ya, tentang banjir. Dan bukan banjir itu secara khusus, tapi secara umumnya. Kita melihat ia sebagai musibah atau bencana supaya lebih menyeluruh pengertian kita.

   Kisah tentang bencana sudah tentu memiliki banyak sudut pandangnya. Di sini, kita cuba membacanya dalam konteks sebagai muslim. Bilamana sesuatu bencana berlaku, tiga pandangan utama akan wujud dalam kalangan muslim.
   
   Pertama sebagai siksa, jika itu menimpa orang-orang yang tidak beriman. Kedua sebagai peringatan, jika menimpa orang-orang yang beriman tapi melakukan banyak dosa. Dan ketiga, sebagai sarana mengangkat darjat, iaitu bagi orang yang beriman, hamba-hamba Allah swt.

   Ini adalah formula mudah untuk menilai posisi iman kita.Tapi, formula ini hanya lebih praktikal untuk mereka yang terlibat langsung atau menjadi mangsa dalam bencana tersebut. Seterusnya adalah kita sebagai entiti yang melihat peristiwa tersebut dari luar gelanggang. Bagaimana kita harus memandang dan membacanya agar kita juga boleh turut memuhasabah iman kita.

   Sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ini salah satu jawapannya,
“Seorang Muslim adalah saudara orang Muslim lainnya.”
    Disinilah ruang untuk kita bermuhasabah. Apakah kita sudah menjalankan peranan terbaik sebaik seorang muslim? Yang mana, hati setiap muslim itu adalah bercantum dengan hati saudara-saudara seakidahnya. Segala apa yang menimpa atau berlaku kepada saudaranya, pasti akan merangsang perasaan yang  sama antara keduanya.

   Maka, perhatikan. Bergetarkah hati kita saat menyaksikan saudara-saudara kita  menerima musibah di sana? Seterusnya, bagaimana tindakan anggota tubuh? Masihkah pegun bisu tanpa apa-apa usaha untuk menghulurkan bantuan, setidaknya doa? Kalau ternyata jawapan kita adalah tidak, yakinlah bahawa Allah sedang memberikan teguran bahawa iman kita masih terlau jauh untuk menghampiri kesempurnaan.

   Semoga  dengan peristiwa ini, iman kita tidak dihanyutkan oleh deras yang mengalir. Bahkan ia timbul meningkat naik setinggi paras air setelah hujan lebat berhari-hari. Wallahualam.

_____________

*agak skema di situ..


Thursday, December 12, 2013

cerita hujan.



   Tik.. 
   
   Tak.. Tak..Tak..

   Tik.. Tik..

   Berantakan bunyinya laskar-laskar tetes hujan yang turun dari langit mendarat di lapangan atap atas bumbung. Formasi dibentuk. Lalu mereka bergerak seiringan menuruni laluan lengkuk-lengkuk beralun zink separa berkarat. Ada yang berguling. Ada yang melompat. Ada juga yang merayap. Akhir sekali mereka semua bertemu di tanah.

  Dua sosok menyaksikan persembahan tentera-tentera langit itu. Dari balik jendela lutsinar, di dalam kotak bilik segiempat tanpa pusingan kipas. Mereka bertukar-tukar suara.
"Temanku, Puteri Farsyiha Ellyza. Kau lihat itu, hujan turun lagi. Lebat. Padahal baru saja reda ba'da subuh tadi."
"Aku kurang jelas dengan nadamu Qaseh Aishea Zein. Bunyi hujan terlalu bingit. Apa kau suka atau mengeluh dengannya?"
 "Hmm. Aku juga kurang pasti. Kalau aku memilih untuk suka, apa aku berkira-kira keadaan mereka yang di sana, yang bergelut tenggelam dengan air? Dan bila aku mendengus benci, apakah aku sudah kufur dengan nikmat."
"Barangkali jawapannya ada pada tanah-tanah di bawah itu. Cuba kau tanyakan padanya."
 "Ha, memangnya kenapa? Eh, kau mahu aku bertanya pada tanah, Puteri Farsyiha Ellyza? Apa kau masih waras atau tidak?"
  Berkerut dahinya, Qaseh Aishea Zein. Melopong juga mulutnya. Lucu sekali memek mukanya.
"Hei, Qaseh Aishea Zein. Aku bercanda saja lah. Tapi, kalau memang boleh, aku rasa tanah memang ada jawapannya. Kerna mereka yang akhir sekali ditemui oleh tetes-tetes hujan. Kan. Pasti hujan menceritakan perkhabaran apa yang dibawanya dari langit"
"Ha, sepertinya kau benar. Tapi, itu mustahil. Mereka itu makhluk tanpa roh."
"Ya. Imijinasiku terlalu tinggi."
  Begitu perbualan mereka berhenti, hawa sejuk hujan mendodoikan mereka berdua. Sehingga mereka terlena sepi.

  Maka hujan dan tanah pun memulakan perbualan mereka.
"Hahahaha. Ada yang membicarakan perihal kita tu."
  Berdekah ketawa-ketawa daripada Sang Tanah. Sang Hujan pula tampaknya kurang senang.
 "Tanah, aku justru kasihan pada mereka. Mereka selalu tersilap membaca surat kiriman Tuhan melalui aku. Barangkali aku yang silap dalam menyampaikan. Padahal, semua isinya sekadar tentang rahmat dan cinta Nya. Mengapa begitu sukar."
"Maafkan aku Hujan. Aku bahkan kasihan padamu. Kau sudah melakukan yang terbaik sebenarnya. Tapi, manusia lah yang tidak pandai membacanya. Jauh lebih dari itu, aku begitu kagum padamu. Saban waktu, kau lebih banyak menerima keji dan caci dari manusia. Tapi, kau terus saja dengan konsistensimu menyampaikan rahmat dan cinta Nya."
"Itulah sebenarnya yang aku takutkan Tanah. Aku seringkali malu untuk naik semula ke langit Nya di atas, padahal tugasku tidak sempurna di bumi."
"Jangan begitu kawan. Kau tahu? Ini, semua pohon-pohon indah yang aku tumbuhkan. Mereka menjadi kesukaan manusia dengan redup teduh dan manis buahnya."
"Kau beruntung Tanah. Mudah sekali manusia membaca mesej cinta Tuhan yang ada padamu."
"Aku belum selesai menerangkan, Hujan. Semua ini adalah budi darimu. Kau yang menyuburkan aku. Tanpa kau menyirami, aku hanya gurun gersang dan kontang. Padaku, kau sebenarnya wira. Wira yang tidak punya bayang-bayang. Tidak pernah ditahu akan kewujudanmu. Kau hebat Hujan!"
"Ah, pujianmu terlalu Tanah."
  Sang Tanah tersenyum. Indah sekali temannya itu, Sang Hujan. Rendah hati dan istiqamahnya, sungguh luar biasa.

  Paling Sang Tanah suka, Sang Hujan selalu saja melukis pelangi untuk teman-temannya di bumi. Katanya, itu hadiah dari Sang Matahari. Padahal, Sang Matahari cuma memberikan warna. Sang Hujan pula yang melukisnya.

  [Tamat]


  Hey, aku ingin menjadi seperti Sang Hujan!