Thursday, June 07, 2018

rhodopsin cycle.







ke mana hilangnya cahaya pada pandangan matamu? apa yang terjadi pada langit oren kemerah-merahan itu? kukira itu adalah fajarmu, rupanya itu senja yang memadam terus cahaya. kau kehilangan Tuhan lalu kau kehilangan dirimu sendiri. dalam perjalanan di atas rel kereta api kemarin, entah di stesen mana kau tinggalkan jiwamu, dan tidak sedikit pun terlintas untuk datang mengambilnya kembali walaupun destinasi terakhir semakin hampir. hatimu? hatimu telah kau campak dalam lautan air mata yang mengalir dari paip yang kau buka sia-sia, dan kau biarkan hatimu tenggelam. tenggelam! semua yang kau rasai dan alami adalah berpunca dari pilihan-pilihanmu sendiri yang diputuskan ketika kau lebih mempercayai dirimu sendiri berbanding kepercayaanmu kepada Tuhan. kemudiannya, apabila semua tidak berlaku seperti mana yang kau harapkan, barulah kau berpaling kepada Tuhan. mungkin kau tidak sedar bahawa Tuhan bukan back-up-plan untuk semua masalah yang kau cipta sendiri. Tuhan sentiasa ada bersamamu bahkan ketika kau telah melampaui batas terhadap dirimu sendiri, dan awan-awan keampunanNya sentiasa ada untuk menyiramimu dengan hujan yang membersihkan. ingatlah ketika kau berada di penghujung tebing, ah pedulikanlah dunia, pedulikanlah akhirat, seluruh fikiranmu sedia meninggalkan semuanya, tetapi ada sesuatu, ada sesuatu yang menahanmu daripada terjun ke dalam jurang itu. namun, masih ada lagi doa-doamu yang kau kira belum berjawab atau mungkin tidak akan terjawab seperti apa yang kau mahukan. kau lupa pada Tuhan. kau lupa jiwamu sendiri. kau kehilangan arah. sebenarnya, kau punya kemampuan untuk melepaskan segala yang mengikat dan menarikmu di sepanjang lorong ini, kau boleh saja berpatah balik ke persimpangan itu dan mengambil lorong yang lain, bertemu orang-orang yang berbeza, dan seluruh keadaan di lorong itu akan mengingatkanmu kepada Tuhan dengan situasi yang berbeza. tapi kau selesa dengan berlemah-lemah, senang sendiri berselimutkan kesunyian dalam ruangan yang tiada siapa kecuali dirimu sendiri. kau bertapak dalam kegelapan yang kau jadikan sebagai kediaman. saat, minit dan jam pada hari-hari kosong terus berlalu dan tiada siapa yang tahu keberadaanmu. pintu itu berketuk tapi kau biarkan ianya berkunci. sebenarnya kau tidak mahu sesiapa pun untuk membuka kunci itu dan membebaskan dirimu dari kesengsaraan yang tidak terzahir. sehingga satu waktu kau perasan ada celah bukaan sempit di antara bawah pintu dan lantai. di celah sempit itulah cahaya menyelit masuk dan mencetuskan getaran kecil di dalam hatimu. perlahan-lahan hati yang hampir mati, kerana tidak mampu bernafas dengan lancar itu mendapatkan udara baru. ketahuilah bahawa, nafas itu adalah doa berjawab yang dikirim kepada Tuhan beralamatkan namamu, oleh mereka yang masih kasih tetap sayang kepadamu. kau hanya terlupa tapi belum keputusan asa. kau perlu tersesat untuk menemukan. kau harus kehilangan sesuatu untuk lebih menghargai cinta Tuhan yang memberi segala sesuatu. lihatlah di balik sana, matahari sudah mulai terbit untuk memadam kegelapan. pandangan mata yang sudah leka dalam kegelapan, akan merasa tidak selesa jika disuluh cahaya secara tiba-tiba. tapi, itu tidak akan lama, perlahan-lahan ia akan tetap menyesuaikan retinanya dengan keterangan yang benderang.





2 comments:

  1. Nice title. I have to google the meaning of rhodopsin cycle to understand the whole story. Are you taking chemistry in your study?

    ReplyDelete
    Replies
    1. well done on google-ing the title. and no, chemistry is not my forte. how about yours? looks like you actually understand that complicated(at least for me) rhodopsin cycle mechanism.

      Delete