Hari ini populasi manusia duniawi melepasi bilangan 918284873957932 juta. Yang mana, sembilan puluh tiga poin tujuh peratus daripada mereka tidak membaca susunan nombor tersebut dan tidak perasan ada huruf B dalam kalangannya. Sementara itu, lapan puluh satu poin dua belas peratus lagi akan berusaha mencari huruf B dalam susunan nombor itu dan akhirnya mereka cuma bertemu hampa.
Dia yang terkenal dalam kalangan kaumnya. Dikenali sebagai al-Amin, yang amanah. Mereka tahu dia itu anak kepada Abdullah, yang dalam kalangan mereka bukan calang-calang orangnya, disegani.
Tetapi, Tuhan yang Esa mengutuskannya sebagai penyampai wahyu yang berbekalkan Al-Quran. Menyeru kaumnya untuk mengikuti ajarannya, menyahut seruannya dan menumbangkan berhala kejahilan, hanya menyembah hanya DIA yang Esa.
Lalu mereka merasakan semua itu pelik dan asing.
Dan bersabdalah pada mereka, "Kamu tahu siapa aku. Jika aku beritahu kamu bahawa ada tentera di belakang pergunungan ini datang untuk menghancurkan kamu, adakah kamu ada percaya?"
Mereka menjawab, "Tentu. Kami percaya pada engkau."
Kemudian, bersabda lagi. "Oleh itu, aku memberitahu kepada kamu sekalian bahawa aku ini utusan Allah dan kamu wajib mengikuti ajaranku."
Akhirnya, mereka masih fikir semuanya terlalu pelik dan asing.
...
“Islam itu bermula dalam keadaan asing (ghareeb) dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu (ghuraba’).” [Riwayat Muslim]
Dialah ini yang menyampaikannya; Nabi Muhammad SAW yang dihormati, yang dipercayai, yang dikasihi, yang terkenal dalam kalangan kaumnya, termasuk bapa saudaranya sendiri- pada hari itu dia menjadi orang yang asing. Kerana seruannya yang asing.
Hari ini, kita mahu dan cuba mengikuti jejak itu. Berada dalam keasingan. Menjadi sebahagian daripada golongan asing yang bangkit di penghujung zaman menyampaikan seruan asing. Semua kerana cinta kita padanya yang telah membawa keasingan ini hingga ia sampai kepada kita, keluarga kita dan sahabat-sahabat kita. Kerana keasingan inilah yang akan menyelamatkan kita dari siksaan api neraka dan membawa kita kepada kenikmatan di syurga abadi. Syukur.
...
Akhir sekali, marilah berqasidah Ya Hanana. Sama-sama. Satu dua tiga..
Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.
Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),
Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.
Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,
Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.
Pada suatu petang yang gemilang, seorang budak 9 tahun bertandang ke kedai aiskrim tempatan berdekatan kawasan perumahan. Duduk di meja dan langsung memesan aiskrim pada pelayan kedai.
"Kak, aiskrim dalam kon 2 skop berapa ya?"
"Seringgit lima posen." jawab kakak pelayan bertudung litup kaler biru.
Budak itu mengeluarkan duit syiling di poket dan mula membilangnya satu persatu. Kemudian, dia bertanya lagi.
"Err, kalau dalam bekas kecil berapa?"
"Seringgit." kakak pelayan menjawab sedikit tidak sabar.
"Ok, saya nak aiskrim dalam bekas kecil tu. Perisa mint tambah cokelat ya. Terima kaseh kak. :) "
Budak tersebut pun menikmati aiskrimnya, bayar dan terus beredar. Ketika pelayan datang mengemas meja, dia terkesima dan terharu-biru sebentar. Di bawah bekas aiskrim, budak itu meninggalkan 50 sen sebagai upah kepada pelayan yang melayannya. Penuh timbang rasa dan mengambil kira kebajikan orang lain, dia menunjukkan apa yang namanya 'berkongsi'.
...
Dan orang-orang (Ansaar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. [Al-Hasyr : 9]
Kebahagiaan tidak boleh dibeli. Tapi, aiskrim boleh. Beli aiskrim dan berkongsi dengan orang lain. Bahagia akan hadir, insyaAllah. Jadi, kepada sesiapa yang inginkan kebahagiaan, PM saya. Saya sudi berkongsi aiskrim yang anda beli. Hemo hemo hemo.. Itsar
- Mengutamakan sahabat dalam segala perbuatan dan perkara yang baik kecuali dalam ibadat.
- Tingkatan paling tinggi dalam ukhuwah.
- Mari amalkan bersama.