Thursday, July 17, 2014

two third.




How's ramadhan?

Rasminya, dengan suapan seulas kurma di awal mukaddimah iftar maghrib tadi, maka sudah pun berlalu 20 hari semenjak anak bulan ramadhan satu-empat-tiga-lima menampakkan dirinya. Dalam kiraan pecahan, satu pertiga lagilah ramadhan yang berbaki.

Barangkali ada yang masih tidak menyadari. Betapa hingga ke saat ini, adalah satu keuntungan besar bagi kita yang dapat melalui ramadhan. Lagi-lagi yang punya catatan-catatan besar dalam mutaba'ah amalan mereka sepanjang berlalu 20 hari ke belakang. Katakan apa; tilawah, kuliah ilmu, sedekah. Bersyukurlah kalau mampu begitu.

Betapa pun, kita harus melihat ramadhan pada yang kurang punya kesempatan dalam pusingan jarum waktu sehari-hari mereka. Mahunya, kita lebih bersyukur atas ruang yang dikurniakan Allah kepada kita sepanjang tempoh ini.

Perhatikan sekeliling.

Bagaimana jadual mereka yang bertugas menjaga lalu lintas, para doktor yang punya kes kecemasan saban waktu diluar masa normal mereka harus bertugas, para operator yang menjaga kelancaran sistem komunikasi, para pekerja 'makan gaji' yang harus menurut arahan majikan berkerja siang malam demi mencari nafkah, para pengusaha perniagaan dan lain-lain lagi.

Sungguh mereka-mereka ini terkadang sukar membagi masa untuk tarawih, tilawah bahkan mahu iftar juga selalu saja tersasar jauh dari awal waktu berbuka.

Betapa, tatkala kita mudah untuk bangun sahur, ada yang membangunkan selepas rehat tidur malam. Makanan pula sudah siap hidang. Iftar mewah dengan segala macam juadah. Tarawih dalam masjid luas, karpet lembut, berhawa dingin lagi. Namun masih juga 'malas-malas' dengan waktu, dengan ibadah.

Nah, harusnya kita muhasabah lagi ramadhan kita sejauh ini. Bagaimana ramadhan, bulan tarbiyah ini mendidik hati kita. Apakah sudah mendapatkan hati yang benar-benar 'hamba'. Hamba kepada iman. Hamba kepada taqwa. Tapi tuan kepada nafsu.

Bagaimana dengan al-Quran? Tilawah, apakah kita cuma pecut laju mengejar juzuk-juzuknya? Kalau cuma itu, maka tarbiyah ramadhan masih belum sampai ke hati. Tidak lebih sekadar menambah ruangan tilawah dalam jadual harian. Baik. Tapi belum cukup terbaik. Tambahlah juga tadabbur. Itu kan bahagian untuk hati.

Hakikatnya sepanjang ramadhan, kita sedang membina permulaan graf kehidupan untuk 11 bulan yang mendatang. Tentu, kita perlukan paksi horizontal yakni tarbiyah jasadi (ritual) dan di paksi vertikal adalah tarbiyah qalb/hati (spiritual). Nah, kedua-duanya perlu dinilaikan tinggi sepanjang ramadhan untuk mendapat lonjakan graf kehidupan yang baik.

Semoga kita berjaya mendapatkan kedua-dua tarbiyah ini.
Allahumma ballighna laylatul qadr. Allahumma amin.

:)


Saturday, July 12, 2014

selipar hilang.




Ia adalah malam ke-empat-belas ramadhan, satu-empat-tiga-lima hijrah. Saorang laki-laki berpakaian baju melayu cekak musang warna puteh dan dengan kain sarong petak-petak cap Gajah Duduk. Di kaki lima musolla dia mundar mandir. Matanya melilau ke sana ke mari.

Bata; bukan. Crocs; bukan. Adidas; bukan. Osaki; bukan. Fipper; ya, tapi bukan warna biru.

Yang dicarinya adalah sepasang selipar Fipper warna hitam dengan tali hijau. Dengan selipar itu dia datang ke musolla untuk fardhu isya', sunat tarawih dan witir. Ah, baru sebulan rasanya selipar itu menjadi kenderaan kakinya. Masih belum haus lagi tapaknya.

"Kenapa Lue? Selipar hilang?"

"Iya."

"Selipar apa?"

"Fipper. Hitam. Ah, takpalah. Ada yang ter-tukar mungkin."

"Nah. Redhokan saja. Barangkali ada hikmahnya. Setidaknya, seliparmu boleh jadi saham pahala. Kau doa-doa  saja orang yang ter-pakai seliparmu itu orang soleh, atau menjadi orang soleh. Biar dia suka datang ke masjid. Nah, nanti di situ lubuk pahalamu; kalau tiap kali yang dipakainya ke masjid itu seliparmu."

"Selipar yang akan membawa ke syurga. Boleh begitu?"

"Bolehlah..."


[dalam pada itu]


Ia adalah malam ke-empat-belas ramadhan, satu-empat-tiga-lima hijrah. Riuh rendah perkarangan musolla. Barangkali bukan musolla. Tapi, separuh-musolla.Ya, baru saja tadi ia dibedil roket buas. Musolla hancur separa. Nasib saja jemaah sudah selesai tarawih setengah jam lebih awal sebelum itu. Jadinya, tidak ramai berada di dalam untuk menyambut bedilan itu.

Namun, dalam 'tidak ramai' itu ada juga yang tetinggal. Saorang gadis kecil setengah dekad antaranya. Dia antara yang sempat 'disapa' sang algojo. Padahal dia baru saja mengenakan sepatunya. Padahal dia baru saja mahu berlari-lari mendapatkan ibunya. Padahal ayahnya juga baru saja mendepakan lengan mahu menyambut pelukannya.

Namun, dalam beberapa saat itu, dia segera hilang. Hilang dari dunia yang gila. Yang tinggal sempat ditemukan, hanya sepatunya yang indah diwarnai merah mewangi darah. Ya, persis cinderella. Yang meninggalkan sepatunya agar insan yang disayangi boleh mencarinya lagi. Tapi, ini adalah cinderella dengan kesudahan yang jauh lebih indah; syurga.

Seperti kata ibunya.

"Alhamdulillah, dia sudah sampai ke syurga dulu untuk membukakan pintu rumah kita di sana."

Juga kata ayahnya.


"Kita juga. Syahid, cepat-cepatlah datang kepada kami!"


#pray4Palestine


Monday, June 02, 2014

hu-jan.



a faint clap of thunder
clouded skies
perhaps rain comes
will you stay here with me?
    a faint clap of thunder
    even if the rain comes not
    i will stay here
    together with you.
-The Garden of Words.
....

Hujan. Saya sebenarnya tidak pasti sejak bila saya mula menjadi begitu obses pada hujan. Belakangan ini, saya gilakan segalanya tentang hujan. Tulisan, lagu, cerita, apa saja tentang hujan, di sana saya menemukan sesuatu yang luar biasa, walaupun sudah duapuluh tahun lamanya saya mengenal hujan. Ah, apalagi kalau hujan benar benar turun. Berteman secawan kopi atau cokelat panas, senaskhah buku dan alunan instrumental. Tenang. 

Secara exact, saya tidak pasti  bila semua ini bermula. Entah, mungkin memang begitu azalinya. Orang orang itu tak akan tahu hatinya sedang jatuh cinta pada sesuatu. Hanya sedar apabila mula merasakan segala yang mereka lakukan terarah kepada apa yang dicintainya. 

Bila diimbas imbas kembali, mungkin ia bermula selepas beberapa kali bermandi hujan dengan Dek Ji sejak tahun satu lagi. Entah sudah berapa kali meredah dengan kuda NBG Dek Ji. Tiap kali keluar berdua berboncengan, mesti hujan akan turun. Tak jugak 'mesti'. Tapi, dalam kiraan sepuluh kali kami keluar bersama, hujan turun mengiringi kami untuk tujuh kali. Rasanya la..

Seterusnya, entah ini adalah kebetulan atau saya sendiri yang memilihnya sejak dari awal lagi. Topik projek sarjana muda ataupun final year project saya dan Dek Ji adalah kajian tentang hujan. Lebih spesifik, bidang hidrologi yang merupakan pecahan daripada disiplin kejuruteraan sivil. Menganalisis kiraan data hujan yang turun ke bumi dalam bentuk aliran permukaan atau bawah tanah, untuk digunakan dalam merancang pembinaan struktur dan infrastruktur hidraulik, keperluan dalam urusan bekalan air dan kawalan bencana seperti banjir dan kemarau. Oh ya, kerana hujan adalah rahmat yang turun dari langit, jadi secara teknikalnya kami sedang menganalisis kiraan rahmat. Begitu kan? Hoho.

Ok, sebenarnya post ni saya nak bagitau yang pagi ini, saya dan Dekji akan ber-viva dalam lebih kurang lapan jam dari sekarang. Akan dibentang segala galanya berkenaan hasil kajian sepanjang satu tahun yang agak tough bersama Dr Askari, supervisor kelahiran indonesia dengan gaya pembelajaran jepun, yang tidak lekang dengan tazkirah tazkirah menyentuh jiwa. Memang sungguh exciting dan mencabar. Kan Dek Ji? (Eden tahu ekau akan senyum-mendalam-yang-teramat kalau ekau baca ini dan eden tahu jugak ekau tak akan baca ini. Haha.)

Akhir sekali, buat Dek Ji, Pa'an dan teman teman yang akan ber-viva;
Semoga lancar semuanya ya. Rabbi yassir wala tu'assir!

....

air hujan adalah titis titis dakwat yang mengalir jatuh dari langit.
dengannya, para manusia menulis seribu satu kisah tentang hidup mereka.
-renja hijo, 020614.