membina hati adalah seperti membina rumah.
yang pertama dipersiapkan adalah lantainya, yang dialaskan pada strata tanah bumi. dari lantai ditumbuhkan tiang yang saling berhubung antara satu sama lain. hujung-hujung tiang menyambut atap yang meneduhkan.
maka ketika atap itu bersungguh kita siapkan, ada jiwa-jiwa yang berlalu berpapasan dan mereka senang melihat kita membina tempat berteduh daripada teriknya hidup, dan mereka suka pula bertanya jika mereka boleh singgah untuk mendapatkan nyaman daripada teriknya hidup jika kita sudah selesai menyiapkan ruang teduh itu nanti. sambil menyeka peluh hangat di dahi, kita tersenyum dan berkata, "silakan."
demikian setelah itu, batu-bata merah mulai disusun, lapisan demi lapisan meninggi, ruangan dari lantai ke atap tertutup perlahan-lahan. ah, jiwa-jiwa tadi menyangka kita rupanya mahu bersendiri, ruang yang kita bina ini adalah ruang privasi dan rahasia. jangan masuk. tidak boleh berteduh di sini. dunia luar adalah dunia luar manakala dunia di dalam ruang ini adalah dunia di dalam ruangan ini.
padahal kita belum selesai.
pada dinding itu, ada pintu yang akan kita pasangkan. pintu yang menjadi laluan untuk kita keluar ke dunia melakukan perjalanan mencari hikmah dan pedoman. pintu yang menjadi laluan masuk untuk kita menyimpan hikmah dan pedoman yang kita temui supaya sentiasa terjaga dan tidak akan rusak. pintu yang sedia menjemput siapa pun jiwa yang ikhlas mahu berteduh dan saling
berbagi ruang pengalaman pembelajaran dan cerita dari perjalanan-perjalanan hidup.
padahal kita belum selesai.
pada dinding itu, ada jendela yang akan kita tampalkan. jendela kaca lutsinar yang membiaskan cahaya matahari fajar, yang menjadi gelanggang butir-butir air hujan meluncur, juga sebagai layar skrin yang menayangkan persembahan cahaya bulan dan bintang. dari dalam ruang ini, kita menelaah dunia menerusi jendela itu tanpa perlu risau apa pun cuacanya. ya, kita tidak lari daripada dunia, bahkan semakin akrab.
ya, rupanya kita belum selesai, kan?
jendela-jendela dinding itu sedang kita tampalkan masing-masing.
dan pintunya, yang cuma ada satu itu, nanti kita akan pasang bersama.
No comments:
Post a Comment