Wednesday, October 21, 2015

sesuatu.






sepertiga malam. kira-kira satu jam sebelum subuh.

langit berkabus, bukan jerebu. memang kabus pagi yang dingin. pintu masjid belum dibuka. masih gelap. pak cik tua baru tiba di pagar masjid. usai  menyandarkan basikalnya di tiang parkir berbumbung, dia segera ke tangga naik ke masjid yang bermozek. sebelum naik, dia membuka pili air tepi tangga. membasuh kaki dan seliparnya.

sampai di anak tangga paling atas, pak cik tua menyeluk poket di siring jubahnya. mengeluarkan segugus kunci tembaga dan perak. satu persatu suis lampu yang ditemukannya, dihidupkan. begitu juga dengan pintu masuk dewan solat sekeliling masjid. satu persatu dibuka. perlahan-lahan ruangan sekitar masjid menjadi semakin terang bercahaya.

tiba di bahagian belakang masjid, pak cik berhenti sebentar. dia perasan ada kelibat manusia sedang berdiri qiam solat di sudut berhampiran tiang dan pintu. anak muda berbaju melayu dan berkain pelikat. barangkali dia iktikaf. pak cik tidak jadi menghidupkan suis lampu di kawasan itu. tapi, belum pun sempat dia melangkah ke pintu seterusnya, dia mendengar suara esak. diperhatikan semula orang tadi. anak muda itu cuba mengangkat takbiratul ihram berberapa kali. tapi, cuma sampai di paras dada kemudian dijatuhkannya semula, tunduk menyeka airmatanya. hal itu diulangnya berkali-kali.

pak cik tua menghampiri anak muda itu. 

"sudahlah nak. hatimu belum bersedia untuk bertemu Tuhan. jangan dipaksa lagi. pergi basuh mukamu. perbahrui wudhukmu. lepastu datang sini balik."

anak muda itu mengangkat mukanya, yang jelas tampak sugul dan lelah, memandang pak cik tua. diturutinya saja. setelah bertemu pak cik tua itu semula, dia dihulurkan beberapa anak kunci.

"ini, pergi buka pintu sebelah sana. pak cik mau hidupkan lampu di dalam."

sekali lagi tanpa menjawab sepatah, anak muda itu patuh saja apa yang diarahkan pak cik tua. selepas membuka pintu terakhir masjid, dia kembali mendapatkan pak cik tua yang juga sudah selesai menghidupkan semua suis lampu dan beberapa suis kipas untuk jemaah subuh. 

"sudah buka semua?"

anak muda menjawab cuma dengan anggukan.

"sini, ambil ni."

pak cik tua berjalan ke arah rak al-quran bersebelahan kumpulan kotak-kotak suis. ditariknya senaskhah al quran. terus pergi ke indeks daftar surah berserta muka suratnya. selepas itu diselaknya al quran pada muka surat yang dipilihnya. akhir sekali naskhah al-quran itu dihulur kepada anak muda yang masih tetap sugul.

"nah, baca."

anak muda menyambut naskhah al-quran itu dan pergi menuju tiang utama masjid yang sebesar dua pemeluk orang dewasa. menyandarkan tubuhnya ke tiang kemudian terus membaca ta'awuz, basmalah, surah al-fatihah dan surah at-taubah, surah yang diselak pak cik tua.

perlahan-lahan anak muda itu kembali tenang. tidak disedarinya semakin ramai orang datang ke masjid. tepat dia menghabiskan ayat terakhir pada muka ke enam surah at-taubah, bilal melaungkan azan subuh..



_________________________
*semoga hati kita sentiasa dalam penjagaan Allah swt agar jangan pernah Dia didahului oleh yang lain.



No comments:

Post a Comment