Saturday, February 04, 2017

bookmarked page.




kali pertama aku terjumpa denganmu adalah ketika hari hujan, di cafe perpustakaan kota. aku dengan tidak sengaja terpandang kau yang menolak pintu kaca cafe, selepas menyapu pergi butir-butir hujan yang melekat pada jacket cardigan berwarna biru gelap, di hadapan pintu kaca itu. di tangan kirimu ada sebuah buku, yang ditulis oleh penulis sama buku yang sedang aku baca ketika itu. ya, kita membaca buku yang berbeza tapi ditulis oleh penulis yang sama. kau menempah secawan honey lemon tea. kemudian kau duduk dan mula membaca. seperti aku, kau juga baru mula membaca buku itu, masih tidak sampai suku buku habis dibaca. 
dua hari kemudian, ternyata kau juga bertandang lagi ke cafe itu seperti aku. mungkin kau juga suka idea reka bentuk dalaman cafe itu. kita sama-sama masih tetap membaca buku yang sama seperti hari pertama itu. ah, maafkan aku jika aku terlalu sering memerhatikanmu. aku hanya tertarik pada buku di tanganmu itu. aku penasaran ingin tahu, seperti apa cerita yang ditulis oleh sang penulis di buku itu? apakah lebih kurang saja kisahnya dengan buku yang aku baca ini atau sebenarnya jauh berbeza? cerita di buku yang manakah lebih menarik, buku yang itu atau buku yang ini? kau kelihatannya begitu khusyuk membaca buku itu.
jarum jam waktu- matahari(siang) dan bulan(malam)- terus berpusing di bulatannya- bumi(langit). sudah seminggu berlalu. cafe itu masih tetap kita singgahi jika berkunjung ke perpustakaan. dan buku daripada penulis yang sama itu, masing-masing masih kita bawa bersama untuk dibaca. tapi, aku perasan, ada tanda yang kau tinggalkan di salah satu mukasurat buku yang ada padamu. pelekat berwarna jingga yang separuhnya nampak jelas tertonjol keluar di antara helaian-helaian kertas. dan bacaanmu tidak pernah melepasi mukasurat bertanda itu. setelah habis di mukasurat itu, kau selak kembali mukasurat sebelum-sebelumnya, bukan mukasurat selepasnya. dan hal itu kau ulang. aku tidak pasti, apa yang menyebabkanmu berbuat seperti itu. mungkin kisah dari permulaan mukasurat pertama sehingga ke mukasurat itu terlalu indah dan seronok untuk dibaca berulang kali. atau mungkin ada konflik atau persoalan  pada plot cerita tulisan penulis yang masih belum kau fahami, dan kau cuba menghuraikan kekeliruanmu dengan membacanya semula dari mukasurat pertama. 
dan hari itu, aku yang sudahpun hampir ke mukasurat pertengahan, menutup buku dan menghentikan sebentar pembacaanku. mungkin kisah yang aku baca tidak serumit kisah yang kau baca itu. aku kemudian masuk ke dalam perpustakaan dan pergi ke kaunter pustakawan. aku bertanya kepada mereka jika waktu peminjaman buku boleh dianjak dari tempoh asal selama dua minggu, dan mereka berkata, "maaf, tidak boleh."

No comments:

Post a Comment