bismillah.
assalamualaikum.
hari yang kemarin, aku terbaca ramalan ahli kaji cuaca. katanya akan ada hujan di sana hari ini. apakah perkiraan mereka benar? ataukah langit mahu bercanda dengan mereka hari ini? oh ya, di sini tadi hujan. tapi hujannya sekejap-sekejap. sekitar lima minit hujan, lalu segera selesai. dan tidak lama, tiba-tiba turun lagi untuk lima minit, kemudian hujannya terus hilang. ah, mungkin langit sedang kebosanan hari ini.
hmm, sebelum perenggan-perenggan ini menjadi lebih panjang, maaf kalau ia sedikit bernada saintifik. ya, terkadang aku tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan sesuatu perkara abstrak melainkan cuba untuk menyusunkannya dalam kerangka-kerangka yang saintik, yang boleh disandarkan dengan kiraan nombor-nombor. aku bukan ahli sastera. yang aku tahu cuma sepuluh ditambah tujuh itu adalah tujuhbelas secara matematiknya. tapi kalau ditanya kenapa mesti hasilnya menjadi tujuhbelas? kenapa tidak menjadi pisang goreng? atau bakso? atau air batu campur? kan lebih sedap? ah, aku hilang akal. aku juga sungguh tidak tahu.jadi begini, hukum sains menjelaskan bahawa semua objek, akan tetap berada pada posisi pegunnya atau akan kekal bergerak dalam halaju seragam pada arah yang sama, kecuali ada daya lain yang dikenakan padanya. seperti pena yang tetap akan terbaring pegun diatas kertas kosong, tapi tidak sehingga ada jari mengenakan daya yang cukup untuk mengangkat dan menggariskan-gariskannya di atas kertas-kertas dan menghasilkan tulisan seperti yang sedang kau baca ini. faham kan?nah, begitu pula jiwa dan hati kita. ia akan tetap berada pegun diposisinya atau akan tetap berjalan dalam ritma dan pada arah yang sama. posisi pegun itu mungkin adalah masa lalu yang penuh jatuh yang mematahkan, sakit yang melukakan, salah yang menyesalkan, dan pilihan yang tersilapkan. semuanya kekal ada di dalam kotak memori yang memandu akal kita menuju jalan yang lebih sunyi, pada arah yang lebih sendiri. mematuhi sunnatullah hukum alam, keadaan ini akan tetap begitu tidak berubah. dan mematuhi sunnatullah hukum alam juga, keadaan ini masih boleh berubah- ya, tapi perlu kepada sesuatu yang memiliki daya tolak atau daya tarik. dan menurutku, daya yang kita perlukan itu, yang akan menggerakkan hati dan jiwa kita, adalah 'harapan'.adalah harapan yang mampu menarik hati kita keluar daripada kegelapan kepada ruang yang lebih bercahaya. adalah harapan yang mampu menolak jiwa kita untuk berubah haluan, daripada laluan berkabut yang tidak jelas bahkan untuk menjangkakan apa yang ada pada dua tiga langkah di hadapan, kepada perjalanan yang lebih berpeta, bertujuan dan berdestinasi. harapan menerangkan bahawa peluang untuk bahagia sentiasa ada dibawa bersama oleh matahari yang datang menyinar setiap pagi, manakala segala derita dan sengsara telah termasuk dalam hal-hal yang sementara sifatnya seperti kehidupan kita di dunia ini seluruhnya. kisah silam bukanlah perangkap waktu yang jika kita terjerumus ke dalamnya, tidak akan ada jalan keluar, bahkan ia sebenarnya sebahagian daripada silibus matapelajaran kehidupan yang perlu ditekuni hikmahnya untuk mematangkan tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan kita seterusnya. harapan menawarkan kita laluan pengembaraan yang akan membuatkan adrenalin dalam diri kita lebih kerap mengalir laju dengan kejutan-kejutannya yang istimewa, perjalanan dengan variasi pemandangan menarik yang dengannya akan lebih banyak metafora yang boleh kita tuliskan dengan dakwat yang lebih banyak untuk dicoretkan di atas kertas yang lebih banyak ruangan kosongnya.namun, harapan adalah sesuatu yang terlalu berat untuk diangkat oleh jiwa dan hati kita sepanjang perjalanan hidup. ia perlu kepada sandaran. maka, jika disandarkan selain kepada Tuhan pasti akan terjatuh kerana sandarannya yang rapuh. setelah jatuh, akan pecah berkecai pula menjadi serpihan yang melukakan. daripada itu, akhirnya, semuanya kembali semula kepada keadaan yang aku jelaskan di dua perenggan sebelum ini. kitaran keadaan ini akan terus berulang dalam fasa yang seragam pada arah yang sama, sehingga ada pula daya lain yang lebih baik yang akan menarik kita untuk sedar atau menolak kita kepada kefahaman bahawa yang menciptakan alam adalah Tuhan. dan yang menetapkan hukum alam, sunnatullah kehidupan juga adalah Tuhan. justeru, setiap harapan layaknya disandarkan hanya kepada Tuhan Yang Esa.
ya, aku tahu, tulisan ini sudah terlalu panjang. aku perlu segera memanggil fikiranku pulang sebelum ia menerawang lebih jauh entah ke mana saja. amplop ini juga sudah terlalu sempit untuk menampung semua huruf-huruf ini. semoga kau membukanya perlahan-lahan supaya huruf-huruf ini tidak tiba-tiba terburai keluar. cukuplah sampai di perenggan ini. sehingga kita tiba di stesen berikutnya di landasan kereta api masa ini, semoga dunia akan baik-baik saja kepadamu dan semoga dunia dapat menyaksikan cahaya kebaikan yang ada dalam dirimu. untuk dunia yang lebih baik pula, semoga kita sudi mendengar perkataan orang lain sebaik-sebaiknya, sebaik perkataan kita ingin didengarkan orang lain dan semoga kita mahu memahami sebelum meminta difahami. semoga harapan sampai kepada semua orang yang memerlukan dan semoga kita tidak pernah kehabisan kasih sayang untuk diberikan kepada jiwa-jiwa yang merindukannya, terutama jiwa kita sendiri. selamat menikmati malam yang aman tanpa resah.
sekian.
___
*oh, hi! you are here. how was the journey?